Monday, July 6, 2015

UCAPAN DR SYED HUSIN ALI MEMBAHAS RANCANGAN MALAYSIA KE-11



Ucapan YAB Perdana Menteri waktu membentangkan Rancngan Malaysia ke-11 dan juga rancangan itu sendiri megaskan bahawa RMKe-11, “merupakan rancangan pembangunan lima tahun terakhir ke arah merealisasikan matlamat Wawasan 2020”. Wawasan ini “menggariskan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju dalam semua aspek. Iaitu ekonomi, politik, sosial, keharmonian, psikologi dan budaya”.

A.  KEMAJUAN YANG DIKAGUMI?
2.  RMKe-11 merupakan kesinambungan kepada RMKe-10 dan semua rancangan lima tahun sebelumnya. YAB Perdan Menteri menjelaskan bahawa sejak Rancangan Malaysia Pertama dimulakan pada 1964 dan berakhirnya RMKe-10 pada tahun ini,  Malaysia telah mampu “memperoleh pelbagai nikmat kejayaan”. Beliau telah menyenaraikan 10 pencapaian yang boleh dibanggakan.  Katanya Malaysia  berjaya “mencapai kemajuan yang dikagumi”.

i)  Perbandingan Di Antara Negara
3.  Saya ingin mengucapkan tahniah atas pencapaian yang disenaraikan oleh YAB PM, walaupun ada yang boleh dipertikaikan. Walaupun ada aspek pencapaian Malaysia yang boleh dikagumi,  namun  pencapaiannya tidaklah sehebat yang dicapai setengah-setengah negara yang pernah menjadi saingannya. Waktu Malaya mencapai Merdeka, pendaptan perkapitanya hampir sama dengan Korea, Taiwan dan Singapura.

4.  Akan tetapi, ketika ini pendapatan perkapita Malaysia cicir di belakang ketiga-tiga negara tersebut. Pada tahun 2014, mengikut angka-angka daripada International Monetary Fund (IMF), Malaysia mencatatkan pendapatan perkapita sebanyak Intl$24,521 (USD10804), manakala Singapura, Taiwan dan Korea Selatan masing-masing mencatatkan Intl$81,346 (USD56,319), Intl$43,600 (USD22598) dan Intl$35,485 (USD28101).  Korea sudah mencapai kemajuan industri, misalnya, dalam bidang teknologi pengeluaran kereta dan telefon bimbit, dan Singapura pula telah mencapai kemjuan perkhidmatan yang tinggi. Kemajuan industri dan perkhidmatan inilah yang memberi mereka pendapatan lebih tinggi.

5.  Dari segi pendidikan pula, kita dapati daripada kajian perbandingan antarabangsa, seperti PISA, pencapaian sekolah-sekolah  di ketiga-tiga buah negara ini, khususnya dalam bidang Sains dan Matematik adalah cemerlang. Mereka di kedudukan teratas, manakala Malaysia, seperti yang sudah mulai disedari oleh Menteri Pendidikan adalah di kedudukan hampir tercorot. Kajian-kajian antarabangsa juga menunjukkan mutu universiti- universiti di Malaysia juga merosot bila dibandingkan dengan universiti-universiti di Singapura dan Korea.

6.  Singapura sudah mencapai taraf negara maju. Korea Selatan sudah hampir sangat mencapainya. Taiwan tidak jauh di belakang. Pencapaian merekalah yang mengkagumkan sebenarnya. Secara perbandingan kita masih tertinggal ke belakang. Kita masih mengharapkan mencapai taraf negara maju pada tahun 2020. Itupun masih ada kedengaran suara-suara yang kurang yakin. Saya mengharapkan matlamat Wawasan 2020 boleh tercapai. Akan tetapi, untuk mencapainya sangat perlu adalah rancangan tersusun, perlaksanaan terbaik dan tata kelola pemerintahan yang bermutu serta bersih daripada korupsi.

ii)  Perbandingan Dalam Negara
7.  Dalam negara, selepas 60 tahun Umno-BN (dan sebelum itu Perikatan) memerintah, dan walaupun ada dasar kedudukan istimewa Melayu dan slogan ketuanan Melayu, namun keadaan sosio-ekonomi orang Melayu serta Bumiputera masih tercicir. Dari segi pendapatan, kira-kira 26%  isi rumah Melayu/Bumiputera mempunyai pendapatan kurang RM2000 sebulan. Sebagai perbandingan nisbahnya lebih kurang 14% bagi Cina dan 20% bagi India. Isi rumah Melayu/Bumiputera mempunyai pendapatan purata kira-kira RM4,500 sebulan, iaitu yang paling rendah. Sebagai perbandingan, pendapatan purata isi rumah Cina ialah kira-kira RM6400 dan isi rumah India pula kira-kira RM5200 .

8.  Dalam aspek-aspek lain pula, kita dapati bahawa prestasi pelajar Melayu di semua peringkat pendidikan tidaklah secemerlang pelajar Cina. Anak-anak muda yang paling ramai dan tinggi peratusnya terlibat dengan dadah adalah Melayu. Dalam kalangan pekerja, hampir 82% Melayu/Bumiputera merupakan mereka yang tidak mempunyai pendidikan formal, walaupun 67, 64 dan 66% daripada mereka mempunyai pendidikan rendah, menengah dan tinggi. Sebagai tenaga buruh pula, 65% daripada Melayu/ Bumiputra adalah pekerja separuh mahir dan 9% tidak mahir. Cuma 26% daripada mereka boleh dikategorikan sebagai kakitangan pengurus, profesional ataupun pekerja mahir.

9.  Semua perbandingan yang dibuat di atas bukannya bertujuan untuk meperkecilkan apatah lagi menafikan kemajuan yang dicapai setakat ini. Tujuannya ialah untuk menjelaskan bahawa pencapaian negara kita dengan negara-negara sebaya dulu, dan pencapaian kemajuan dalam negara, di antara Melayu/Bumiputra dengan etnik yang lain belumlah boleh dikatakan menggembira dan membanggakan. Hal ini harus mendorongkan kita, terutama Kerajaan, untuk mengkaji sehalus-halusnya kenapa ini berlaku dan seterusnya mengatasi semua masalah dengan sesirus-serusnya, supaya kita tidak semakin tertinggal. 

WAWASAN 2020 DAN RMKe-11
10.  Wawasan 2020 mempunyai sembilan matlamat atau cabaran strategik. Yang utama ialah matalamat Politik  - seperti mewujudkan negara Malaysia yang bersatu (ke-1), mewujudkan masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan maju (ke-2), dan mewujudkan masyarakat demokratik (ke-3). Matlamat ekonomi terletak terakhir, iaitu: mewujudkan masyarakat adil dalam bidang ekonomi (ke-8) danmewujudkan masyarakat makmur (ke-9). Di antara yang pertama dan akhir itu adalah matalamat-matlamat Sosial - sepertimewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur (ke-5); matlamat kerohanian – iaitu membentuk masyakat  bermoral dan beretika (ke-4); dan matlamat sains – iaitu mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif.

11. Untuk mencapai matlamatnya , RMKe-11 menggaris dan menumpu kepada enam Strategi, iaitu: (i) Inklusiviti, (ii) Kesejahteraan Rakyat, (iii) Modal Insan, (iv) Pertumbuhan Hijau, (v) Infrastruktur, dan (vi) Innovasi dan Produktiviti. Berbanding dengan cabaran strategik Wawasan 2020, Strategi RMKe-11 lebih banyak menekankan bidang-bidang ekonomi, tidak menyentuh soal politik secara langsung, dan membawa elemen baru yang penting kini, iaitu pertumbuhan hijau. Soal membentuk masyarakat bersatu yang terletak utama dalam cabaran strategik Wawasan 2020 hanya terletak pada akhir RMKe-11 sebagai salah satu Aspirasi Malaysia pasca 2020 untuk menegakkan “Satu negara, satu bangsa dan satu impian”.

12.  Izinkan saya sekarang membahaskan RMKe-11 mengikut strateginya satu, akan tetapi khususnya  kepada soal-soal Ekonomi (dalam Inklusiviti) dan Alam Sekitar (iaitu Pertumbuhan Hijau). Saya tidak berhajat untuk membincangkan kebanyakan dari rancangan atau projek yang telah dikenalpasti dalam dokumen RMKe-11 dan ucapan YAB PM yang saya setujui. Saya akan lebih menyentuh perkara-perkara yang boleh dipertikaikan dan mengutarakan padangan-pandangan alternatif atau pendapat-pendapat tambahan saja.

SOAL INKLUSIVITI
13.  Saya mengalu-alukan hasrat Kerajaan hendak “mempastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia tanpa mengira gender, etnik, status sosioekonomi dan kedudukan geografi”. Akan tetapi saya mengharapkan hasrat ini tidak tinggal ataupun menjadi impian kosong semata. Begitu banyak ketempangan dan ketidakseimbangan yang wujud sekarang, akibat daripada perbezaan etnik, sosioekonomi (atau lebih tepat kelas), wilayah dan bahkan juga gender. Ketempangan dan ketidaksamaan ini berakibat daripada faktor sistem dan struktur ekonomi politik, dan ini memerlukan kekuatan keazaman politik oleh pimpinan yang berkuasa untuk membuat perubahan besar.

14.  Dari segi etnik, ramai Melayu yang merasa tidak puas hati dengan apa yang mereka rasakan sebagai penguasaan Cina dalam bidang ekonomi, terutama perniagaan. Mereka tidak melihat sangat penguasaan dan dominasi ekonomi oleh golongan korporat antarabangsa dari Barat, setengahnya bekas penjajah yang masih kuat dan mungkin akan diperkuatkan lagi oleh TPPA. Golongan Cina dan India pula menganggap dianaktirikan dari segi peluang, misalnya, untuk mendapatkan jawatan dalam perkhidmatan awam, tempat di universiti dan juga biasiswa, walaupun peluang biasiswa sudah ditambahbaik sedikit untuk mereka. Tidak memadai menyelesaikan masalah ketidakseimbangan ini bagi lapisan atasan saja.

15.  Masalah lebih besar ialah ketempangan dan ketidakseimbangan dari segi kedudukan sosioekonomi atau kelas. Perbezaan kedudukan kelas itu timbul daripada perbezaan pemilikan sumber kekayaan (modal dan tanah), pencapaian pendidikan dan pendapatan. Yang paling didiskriminasi atau terbiar adalah golongan petani (termasuk nelayan) di kawasan desa serta pedalaman, pekerja di ladang, kilang serta perniagaan dan juga kakitangan rendah dalam perkhidmatan kerajaan. Majoriti Petani terdiri dari Melayu di desa, dan Orang Asal di pedalaman. Mengenai pekerja-pekerja pula, India majoritinya di estet, agak seimbang antara semua golongan etnik di kilang dan lebih banyak Cina dalam perniagaan, manakala majoriti pekerja rendah kerajaan (termasuk tentera da polis) adalah Melayu.

16.  Dari segi sejarah, perbandingan dan fakta, golongan petani dan buruh merupakan lapisan kelas bawahan. Kebanyakan mereka itu dapat dianggap sebagai miskin. Dalam negara kita sekarang, golongan ini terdiri daripada pelbagai etnik. Yang berpendapatan paling rendah sekali di kalangan mereka adalah Orang Asal di pedalaman, Melayu di desa, India di ladang dan sebilangan Melayu serta bukan Melayu yang menjadi pekerja di sektor awam dan swasta. Pada hakikatnya mereka boleh dianggap miskin. Ini boleh dilihat dengan mata kepala sendiri jika kita melawat tempat kediaman mereka dan meneliti keadaanpenghidupan mereka. Akan tetapi, kini dikatakan bahawa kemiskinan sudah tidak wujud lagi di Malaysia ini.

SOAL KEMISKINAN
17.  Kemiskinan di sini diukur secara absolut dengan garis kemiskinan yang ditetapkan oleh kerajaan, iaituRM762 bagi Semenanjung RM912 Bagi Sarawak dan RM1048 bagi Sabah. Berdasarkan garis ini, semua orang berpendaptan di bawahnya adalah dianggap miskin secara mutlak.  Pada hemat saya, memandangkan kos hidup sekarang, garis kemiskinan ini sepatutnya dikaji semula. Garis ini paling tidak realistik terutama sekali bagi Semenanjung. Apabila garis kemiskinan rendah, maka sudah tentulah bilangan mereka yang miskin menjadi kecil. Begitu juga sebaliknya, manakala garis kemiskinan tinggi maka mereka yang tergolong sebagai miskin adalah lebih ramai.

18.  Sebaliknya, jikalau kemiskinan diukur dengan kadar kemiskinan relatif, makadidapati garis kemiskinan lebih tinggi keranaia merupakan separuh daripada pendapatan median. Misalnya, pada 2012,  garis  kemiskinan relatif ialah RM1813, iaitu separuh daripada pendapatan median RM3626. Implikasinya, 20% isi rumah berada di bawah garis kemiskinan ini.  Pada hal mengikut kiraan absolut, yang diguna oleh Kerajaan, pada tahun yang sama didapati cuma 1.7 peratus saja berada di bawah garis kemiskinan.

19.  Kerajaan tidak harus malu atau takut jika bilangan rakyat yang miskin lebih besar daripada yang dibanggakan sekarang. Bukankah apabila diketahui bilangan serta kedudukan sebenar golongan miskin, maka akan lebih senang untuk melaksanakan rancangan dan projek menghapuskannya dan menaikkan taraf hidup golongan miskin dan susah? Bukankah kita semua tahu bahwa walaupun golongan miskin itu terdiri daripada pelbagai etnik, yang terbesar sekali ialah orang Melayu dan Bumiputera? Akhirnyabukankah majoritiyang akan mendapat faedah dan terbela adalah Melayu dan Bumiputera juga?

KEDUDUKAN GOLONGAN B40
20.  Saya menyedari bahawa Kerajaan akan mensasarkan golongan 40 peratus yang paling rendah pendapatannya, yang digelar oleh PM sebagai golongan B40. Beberapa projek dan rancangan dijanjikan untuk menaikkan taraf sosio-ekonomi golongan ini. Adalah diharapkan pendapatan bulanan puraat golongan ini akan naik daripada RM2537 pada tahun 2013 kepada RM5701 pada tahun 2020. Ini peningkatan yang besar dan cepat, iaitu lebih dari dua kali ganda dalam lima tahun. Akan tetapi bagaimanakah ia akan dapat dicapai tidak diterangkan. 

21.  Buat sementara waktu, golongan inilah yang menjadi sasaran bagi memberi Bantuan Brim, yang dituduh oleh seorang mantan PM sebagai sejenis rasuah politik pilihanraya. Betul atau tidak tuduhan tersebut, yang penting bagi saya ialah golongan ini, yang saya percaya berpendapatan kurang daripada RM3000 sebulan hendaklah dibantu dan dibela dengan sepenuh hati. Ini memerlukan peranan Kerajaan dan sektor awam yang lebih besar. Sudah pasti Brim tidak boleh membantu pendapatan naik dua kali ganda dalam tempoh yang singkat.

22.  Lebih banyak peruntukan belanjawan hendaklah diberi kepada golongan 40 peratus terendah ini supaya mereka boleh diberi segala jenis kemudahan sosial – misalnya rumah yang lebih murah dan khidmat kesihatan yang lebih mudah diperolehi. Lagi rendah pendapatan mereka maka seharusnya lebih besar tumpuan peruntukan kepada mereka. Lebih banyak bantuan dan subsidi harus dibagi kepada lapisan yang paling rendah pendapatannya. Dan tidak haruslah cukai yang  regresif, seperti GST, yang memberatkan lagi bebanan ke atas  golongan susah atau berpendapatan rendah, dikenakan ke atas mereka.

KESENJANGAN SOSIO-EKONOMI
23.  Mengikut RMKe-11, adalah diharapkan dengan menaikkan pendapatan golongan yang digelar B40 itu, maka jurang atau kesenjangan antara golongan kaya dengan miskin akan dapat dikurangkan. Maka itu diharapkan dalam rancangan lima tahun ini Pekali Gini akan berkurang daripada kira-kira 0.45kepada lebih kurang 0.38. Saya percaya Pekali Gini yang disasarkan ini susah dicapai, melainkan pada masa sama diadakan mekanisme untuk menurunkan atau membataskan kenaikan melulu pendapatan golongan atasan yang kaya. Satu caranya ialah dengan menaikkan cukai pendapatan dan harta ke atas golongan ini.

24.  Perlu ditegaskan bahawa Pekali Gini tidak menunjukkan kesenjangan atau jurang sosio-ekonomi yang sebenar, sebab ianya lebih memberi gambaran tentang jurang di antara pendapatan pukul rata golongan atasan berbanding dengan golongan bawahan. Lagi pula ia tidak menunjukkan pendapatan serta penguasaan ekonomi segolongan kecil yang paling kaya berbanding dengan penguasaan oleh golonganyang miskin sekali.

25.Mengikut seorang ahli ekonomi Perancis yang terkenal, Profesor Thomas Piketty, dalam bukunya “Capital in the 21st century”, yang berdasarkan kajiannya berbentuk sejarah dan juga perbandingan semasa di beberapa buah negara, didapati jurang ekonomi di antara yang kaya dengan miskin di merata dunia semakin melebar. Bahkan sebilangan kecil yang terkaya menguasai lebih banyak kekayaan di seluruh negara. Sekarang ini didapati 1 peratus yang paling kaya di Amerika Syarikat menguasai kekayaan kira-kira 90 peratus daripada sumber pendapatan dan kekayaan di seluruh negara.

26.  Di Malaysia pun kesenjangan ekonomi semakin lebar. Suatu dapatan baru menunjukkan 20%oang Malaysia yang terkaya menguasai 90 peratus daripada kekayaan negara. Sekarang kita dapati juga siapa dia 50 atau 100 orang terkaya, seperti yang disenaraikan oleh majalah Forbes. Setengah daripada mereka bilioner, bahkan ada jua multi-bilioner. Kesenjangan pendapatan serta kekayaan antara mereka dengan golongan termiskin adalah paling lebar. Secara kebetulan majoriti daripada yang terkaya ialah bukan Melayu, sebahagian besarnya Cina. Daripada 50 orang yang disenarai sebagai mahakaya, hanya enam orang Melayu, dan mereka ini terdiri daripada keluarga atau kroni pemimpin atau bekas pemimpin Kerajaan.

AKIBAT PASARAN BEBAS
27.  Proses pengumpulan modal serta harta oleh segelintir mahakaya ini tidak terbatas dan tidak boleh disekat. Ini ialah kerana falasafah dan dasar ekonomi-politik yang diamalkan oleh Kerajaan Malaysia adalah berdasarkan pasaran bebas ataupun laissez faire. Dengan lain perkataan ia berkaitan dengan sistem kapitalis. Dalam sistem kapitalis ini peranan sektor swasta adalah lebih penting daripada sektor awam. Dalam RMKe-11 seperti yang lain sebelumnya, bahkan dalam belanjawanpun, nyata peranan swasta lebih besar daripada awam.

28.  Mengikut rancangan lima tahun ini sasaran ekonomi makro 2016-2020 ialah: purata pelaburan swasta pada harga semasa adalah RM291 bilion, manakala pelaburan awam pula kurang daripada separuh, iaitu RM131 bilion. Dijangka bahawa pertumbuhan purata swasta ialah 9.4%, manakala pertumbuhan purata bagi awam ialah 2.7%. Sistem ekonomi yang berlandaskan kapitalisme, di mana peranan swasta lebih dominan daripada peranan awam atau kerajaan, sudah tentu akan mengakibatkan pengumpulan harta kekayaan oleh segelintir paling kaya, jurang kaya-miskin bertambah, kemiskinan relatif bertambah buruk, dan bahkan boleh jadi juga kemiskinan mutlak akanberterusan.

29.  Jikalau masalah-masalah ini hendak diatasi, maka perlulah digalakkan sistem ekonomi politik, di mana peranan awam atau kerajaan lebih besar daripada peranan swasta. Ini memerlukan perubahan besar dari segi falasafah dan dasar pembangunan sosio-ekonomi. Ini memerlukan pimpinan kuat yang tidak mudah dipengaruhi oleh apatah lagi bergantung kepada golongan segelintir yang paling kaya. Ia juga memerlukan keazaman politik (atau political will) yang teguh. Soal asasnya ialah: kita mahu sistem dan dasar ekonomi, politik serta sosial yang mahu membela rakyat jelata atau yang memberi keuntungan besar tidak terbatas kepada golongan mahakaya?

PENDIDIKAN
30. Sekarang izinkan saya berpindah kepada tajuk lain, iaitu Pendidikan. Seperti kita ketahui rasa kesal sering diucapkan mengenai mutu pendidikan negara yang semakin merosot; bahkan ada yang mengatakan bahawa keadaan pendidikan kebangsaan sekarang ini sudah menjadi caca merba. Akhirnya, Menteri Pendidikan pun sudah menyedari hal ini dan menyatakan kekesalannya. Di peringkat antarabangsa mutu pelajaran, terutama Matematik dan Sains, jauh lebih baik di Singapura, Jepun, China dan Korea Selatan, daripada kita. Bahkan dalam negeri pun pencapaian dalam mutu dua mata pelajaran yang sama adalah lebih tinggi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) daripadaSekolah Kebangsaan.

31.  Ada pihak daripada pelbagai peringkat atau taraf dalam masyarakat (termasuk Sultan), khususnya mereka yang tidak mempercayai kebolehan Bahasa Malaysia dan kuat dipengaruhi oleh budaya Inggeris, mahukan Pendidikan aliran Inggeris diperkenalkan semula. Kebanyakan mereka menyalahkan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar adalah punca yang menyebabkan kemerosotan mutu pendidikan di Sekolah Kebangsaan itu. Perlu kita mengingatkan mereka bahawa negara-negara seperti China, Korea dan Jepun menggunakan bahasa mereka sendiri bukan bahasa Inggeris. Namun, pencapaian mereka adalah cemerlang, bahkan meninggalkan sesetengah negara yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai pengantar.

32.  Bahasa Inggeris memang penting dan saya percaya ia perlu diajar di sekolah-sekolah. Akan tetapi saya tidak percaya bahawa taraf kebolehan pelajar dalam bahasa itu boleh dicipta atau dicapai dengan mengajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Sekarang ini, walaupun sudah diumumkan cara ini sudah ditukar kembali kepada mengajar dengan bahasa kebangsaan, namun masih banyak lagi sekolah, terutama yang di bandar besar yang terus menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar Matematik dan Sains. Jika kita hendak pelajar cekap dalam bahasa Inggeris, maka ia harus diajar sebagai satu mata pelajaran dari peringkat rendah sehingga tinggi di sekolah kebangsaan. Kebolehan menulis dan membaca perlu digalak.

Pendidikan Vokasyenal
33.  Dalam RMKe-11 ditegaskan bahawa penekanan yang lebih kuat akan diberi kepada pendidikan serta latihan teknikal dan vokasyenal, ringkasnya TVET. Ini disesuaikan dengan tujuan untuk memesatkan lagi kemajuan perindustrian dalam negara dan menambah bilangan pekerja mahir dan separuh mahir. Di Malaysia peratus pekerja mahir adalah lebih rendah daripada yang dicapai oleh Singapura, Korea dan Taiwan.

34.  RMKe-11 mensasar untuk menaikkan peratus pekerja mahir daripada 27.6% pada tahun 2010 kepada 35% pada 2020, dan untuk menaikkan peratus pekerja separuh mahir daripada 28% kepada 56.4% dalam tempoh yang sama. Boleh dikatakan ini cita-cita yang tinggi, kerana antara 2010 hingga 2015 pekerjamahir meningkat daripada 27.6% kepada hanya 28%. Mungkinkah mencapai 35% pada tahun 2020? Sungguhpun pesimis, saya harap matlamat sasaran ini akan tercapai.

Pendidikan Khas - Dyslexia
35.  Ssaya merharap penekanan kepada pelajaran teknikal dan vokesyenal ini tidak akan mengakibatkan pendidikan akedemik serta kerohanian terabai. Seharusnya hendaklah dipastikan perkembangan yang seimbang. Selanjutnya, pendidikan khas, iaitu untuk penuntut-penuntut kurang keupayaan, hendaklah jangan terbiar. Saya ambil satu contoh, iaitu kemudahan pendidikan untuk penuntut-penuntut yang menghadapi masalah dyslexia. Mereka ini sering didakwa oleh guru mereka sebagai lembam. Namun kita mengetahui mereka ini menghadapi masalah yang tertentu, sehingga susah untuk membaca dan membuat kira-kira dengan cekap. Namun ramai tokoh yang berjaya , seperti Albert Einstein, Abraham Lincoln, Winston Churchill, Walt Disney dan Tom Cruise pernah mengalami dyslexia.

36.  Saya diberitahu dalam satu jawapan Menteri dalam Senat ini bahawa bilangan pelajar dyslexia ialah seramai kira-kira 60,000 orang. Saya percaya bilangannya mungkin lebih besar, kerana angka yang diberi ini barangkali berdasarkan bilangan rasmi pelajar dyslexia yang berdaftar. Setahu saya tidak ada sekolah khas untuk pelajar dyslexia di negara ini; yang ada ialah satu atau beberapa kelas di sekolah-sekolah tertentu. Guru yang telatih penuh untuk mengajar pelajar dyslexia tidak mencukupi dan kebanyakan mereka kurang latihan formal.

37.  Kelengkapan untuk latihan dan mainan pelajar dyslexia tidak memadai, dan ada kalanya terkunci dalam almari saja tanpa diberi peluang kepada pelajar berkenaan menggunakannya. Sering pelajar dyslexia yang merupakan minoriti, diletakkan bersama pelajar lain dalam kelas biasa di bawah guru sama, yang kadang-kadang tidak faham sama sekali tentang keperluan khas pelajar dyslexia itu. Saya anggap perlu ada perubahan besar dalam bidang pendidikan untuk menangani dengan baik serta memuaskan pelajar dyslexia dan juga pelajar keperluan khas yang lain.

Universiti dan Autonomi
38.  Berpaling kepada universiti pula, sudah berulang kali dilaporkan dalam beberapa kajian perbandingan universiti di peringkat antarabangsa  bahawa kedudukan universiti  tempatan semakin merosot. Sudah agak sering juga ditegaskan bahawa salah satu cara untuk memastikan kenaikan mutu universiti ialah dengan mengembalikan  Autonomi Universiti. YAB PM pun sudah mulai bercakap tentang Autonomi ini. Kita mesti memahami benar-benar maksud konsep ini. Antara lainnya adalah perkara-perkara seperti berikut.

39.  Bersesuaian dengan keperluan Autonomi ini hendaklah dibentuk sebuah Charter Universiti bagi semua universiti dalam negara. Charter ini hendaklah menjamin Autonomi dalam bidang dan perkara di bawah, berkaitan dengnan universiti:
Pertama. Penubuhan sebuah Suruhanjaya Universiti, yang di bawahnya tertakluk semua hal berhubungan universiti – terutama mengenai soal akademik, pentadbiran dan kewangan;
Kedua. Wujudkan kebebasan akademik dengan ertikata bahawa semua hal akademik dari soal penentuan tahun serta semester belajar dan penetapan silabus serta kirikulum dibuat oleh universiti melalui Fakulti dan Senatnya, tanpa campur tangan langsung dari Kementerian;
Ketiga. Perlantikan Naib Canselor atau atau Rektor oleh Yang di-Pertuan Agong, selepas sebuah “Search Committee” yang dipilih oleh Majlis Universiti, mencari, mengenalpasti dan memperakukan calon yang terbaik, dan bukannya atas ketentuan oleh Kementerian semata;
Keempat. Dekan dipilih secara demokratik oleh semua anggota Fakulti, dan Ketua Jabatan dilantik oleh Naib Canselor, dengan persetujuan anggota Jabatan, dari kalangan anggota Jabatan yang terkanan, rajin, berkelayakan, berranggungjawab dan dihormati;
Kelima.  Mahasiswa digalakkan supaya mempunyai fikiran yang bebas, kritikal dan kreatif, dengan memansuhkan segala peraturan dan akta yang menekan serta mengongkong minda mereka; dan
Keenam.  Kerajaan menyalurkan kewangan yang diperlukan oleh universiti melalui Suruhanjaya Universiti, dengan tiap-tiap universiti bebas untuk memungut derma atau menerima sumbangan dari pihak awam, dan mentadbirkan soal kewangan untuk pentadbiran, pengajaran, penyelidikan dan juga penerbitan atas kebijaksanaan mereka sendiri.

ALAM SEKITAR: PERTUMBUHAN HIJAU
Perubahan Cuaca Global
40.  Akhir sekali, benarkan saya untuk membahaskan perkara yang berkaitan dengan Alam Sekitar. Masalah pencemaran alam sekarang ini paling serius dan maka itu menggalakkan pertumbuhan hijau menjadi bertambah penting. Perubahan Cuaca Global sekarang ini mengakibatkan banyak kesan buruk. Cuaca berubah menjadi semakin panas, hujan turun tidak tentu arah tanpa mengikut musim dan selalu membawa bersamanya banjir kilat yang besar serta merosakkan, sehingga ada nyawa melayang dan harta musnah.

41.  Banyak aktiviti manusia yang menyebabkan perubahan cuaca global itu. Antaranya: menebang hutan secara tidak terkawal untuk pembalakan, membuka tanah serta menarah gunung/bukit untuk melaksanakan rancangan atau projek  “pembangunan”bagi memajukan perumahan, mebuka ladang dan membuka ampangan, membiarkan lebih banyak kenderaan bermotor serta kilang yang tidak terkawal sehingga mengeluarkan asap kotor yang banyak. Nampak seolah-olah tidak ada undang-undang yang mengawal kesemua ini, dan kalau adapun undang-undang itu tidak kelihatan sangat perlaksanaan penguatkuasaan yang berkesan untuk mengawal segala kemusnahan yang berlaku.

Akibat “Pembangunan”
42.  Sehubungan ini saya ingin menumpukan perhatian kepada aktiviti-aktiviti “pembangunan” yang menimbulkan masalah alam sekitar yang buruk terutama sekali ke atas masyarakat Orang Asal. Perbahasan saya di sini berdasarkan maklumat yang diberi oleh Presiden Jaringan Orang Asal (JOAS) dalam sebuah taklimat yang diadakan baru-baru ini di Parlimen. Beliau telah membincangan tiga buah projek pembukaan ampangan, iaitu di Telom(Semenanjung), Kaiduan (Sabah) dan Baram (Sarawak). Kaiduan ialah bagi menampung air untuk dibekalkan ke Kota Kinabalu, dan Telom serta Baram ialah untuk menjana kuasa elektrik.

43.  Beberapa isu timbul daripada ketiga-tiga projek ini. Di antaranya ialah seperti yang berikut:
Pertama:  Projek-projek ini ialah di kawasan tanah adat Orang Asal dan hendak dilaksanakan tanpa perundingan ataupun persetujuan dengan masyarakat di situ dan juga tanpa Kerajaan memberikan penjelasan memuaskan tentang tujuan projek;
Kedua.  Projek-projek ini akan mengakibatkan ramai Orang Asal terpaksa berpindah dan rumah panjang atau perkampungan mereka perlu ditinggal atau dimusnahkan. Misalnya di projek Baram 20,000 orang penduduk dan 25 buah rumah panjang akan terjejas;
Ketiga.  Apabila siap, ketiga-ketiga kawasan ini akan ditenggelami air (yang besarsekali Baram, iaitu seluas 150 persegi batu) dan luas kawasan hutan dan banyak tumbuhan serta mungkin juga binatang akan mati atau pupus; dan
Keempat. Ada amaran yang telah dibuat bahwa mungkin boleh berlaku gempa bumi akibat tekanan air yang banyak serta berat di kawasan yang agak sensitif terutama di Baram.

Kesimpulan
Nyatalah projek-projek seperti ini mempunyai akibat buruk, bukan saja ke atas manusia bahkan ke atas alam sekitar juga. Barang tentu sesetengah pihak yang terlibat dengan pembangunan projek-projek ini akan mendapat untung besar, akan tetapi kebajikan manusia dan juga perlindungan alam sekitar akan terjejas serta menanggung kerugian. Oleh itu sebelum satu-satu projek diluluskan untuk dilaksanakan,  hendaklah dipastikan ia benar-benar diperlukan, kajian impak alam sekitar mesti dijalankan secara teliti serta menyeluruh, dan langkah-langkah diambil untuk melindungi terutama sekali kepentingan dan kebajikan masyarakat atau manusia yang terjejas, dengan memberikan tanah, rumah serta pekerjaan ganti dan pampasan memuaskan.

Akhirnya, sebagai kesimpulan umum bolehlah dikatakan bahawa walaupun RMKe-11 ini boleh dikatakan agak tersusunserta menyeluruh, terdapat juga beberapa kukurangan, ketempangan serta  ketidakseimbangan yang harus dan boleh dibaiki. Lagi pula, untuk mencapai matlamat pembangunan yang benar-benar memberi serta mempertahan kebajikan rakyat terbanyak, terutama di lapisan bawahan yang paling susah, perlulah pertukaran sistem dan dasar yang bermakna, di mana kerajaan serta sektor awam memainkan peranan lebih besar daripada sektor swasta. Ekonomi pasaran bebas yang terlalu menjamin keuntungan besar kepada segolongan kecil yang menguasai modal tidak harus dibenarkanbermaharajalela ke atas nasib rakyat jelata yang miskin dan susah.

Dewan Senat
22hb Jun 2015.


No comments:

Post a Comment