Thursday, December 4, 2014

MEMBAHAS UCAPAN BELANJAWAN 2015

Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk membahas Bajet 2015, yang telah dibentangkan oleh YAB Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri. Dalam perbahasan ini saya akan menumpukan kepada tiga bidang saja, iaitu:  Ekonomi, Pendidikan dan Alam Sekitar.

A. EKONOMI

2.  Ini ialah belanjawan keenam yang dibentang oleh Datuk Seri Najib Razak sejak beliau memegang tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan pada tahun 2010.  Sebagaimana yang dijangka, dalam tempoh itu jumlah hasil dan perbelanjaan semakin meningkat. 

MASALAH DEFISIT

3.  Akan tetapi, selama 16 tahun belanjawan negara telah memperlihatkan defisit; tidak pernah ada surplus (lebihan). Namun sejak 2010 kelihatan peratus itu semakin menurun, sesuai dengan hasrat Menteri Kewangan hendak menghapuskannya. Untuk belanjawan 2015 unjuran defisit ialah sebanyak -3.0 peratus.

4.  Saya menjangka bahawa kadar unjuran defisit ini akan bertambah. Ini ialah kerana jumlah pendapatan sebenar akan lebih kecil lagi daripada yang diunjurkan oleh kerana harga minyak petrol dan kelapa sawit dijangka turun. Petronas sendiri telah memberi amaran kepada Putrajaya tentang kemungkinan pendapatannya berkurangan. Selain itu sebagai kebiasaan, sepanjang tahun belanjawan 2015 itu mungkin akan dibentangkan pula bekalan tambahan. Saya sering menegaskan bahawa bekalan bagi tiap-tiap belanjawan harus dilakukan dengan teliti supaya tidak perlu bekalan tambahan, dan jikalau perlupun paling kecil saja jumlahnya, supaya defisit tidak bertambah sangat.

5.  Saya lihat bahawa ada dua kaedah yang akan digunakan oleh Kerajaan untuk menambah pendapatan dan sekaligus mengurangkan defisit. Pertama ialah dengan memperkenalkan GST, iaitu cukai barangan dan perkhidmatan. GST merupakan cukai regresif dengan ertikata ia boleh membebankan golongan berpendapatan rendah lebih daripada mereka yang kaya. Lagi pula, cukai ini akan mengakibatkan kenaikan harga barang keperluan dan menyusahkan lagi mereka berpendapatan rendah. Perkara ini akan saya jelaskan kemudian.

6.  Keduanya ialah dengan menarik balik subsidi, terutama dengan merestrukturnya khusus bagi minyak petrol. Mulai 1 Disember Kerajaan menarik balik subsidi bagi Ron 95 dan diesel. Akan tetapi tiada penarikan bagi Ron 97. Bahkan sebelum ini, harga Ron 95 telah dinaikkan 20 sen manakala pada masa sama Ron 97 pula diturunkan harganya sebanyak 20 sen juga. Seperti kita ketahui Ron 95 digunakan untuk kereta-kereta kecil dan juga motorsikal yang dipunyai oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

7. Kenapakah Kerajaan tidak berani menarik balik subsidi yang diberikan kepada syarikat-syarikat dan korporat-korporat besar? Kami telah berkali-kali menyuarakan dalam dewan mulia ini bahawa tidak ada sebab subsidi sampai sebanyak RM20 bilion diberikan kepada pengeluar bebas tenaga (IPP), yang kebanyakan terdiri daripada syarikat besar dan korporat kaya raya. Sepatutnya subsidi kepada IPP inilah yang mula-mula harus ditarik balik.

8. Seterusnya, mengapakah tidak dipesatkan usaha untuk menjayakan perindustrian bagi menambah pendapatan negara? Negara-negara seperti Korea Selatan dan Taiwan, yang hampir sama kedudukannya dengan Malaysia 30-40 tahun dulu sudah jauh meninggalkan negara kita dalam bidang perindustrian.

9. Kemudian, selama beberapa tahun yang lalu Pejabat Audit Negara menerbitkan laporan yang dibentang kepada Parlimen. Setiap tahun laporan itu mengemukakan pelbagai bukti ketirisan yang berlaku di pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan. Jumlah ketirisan ini sampai berbilion ringgit. Malangnya boleh dikatakan tidak ada tindakan untuk menghukum mereka yang melakukan kesalahan. Jikalau tindakan berekesan diambil, bukankah banyak wang boleh diselamatkan dan boleh digunakan untuk mengurangkan defisit?

POLA PERBELANJAAN

10.  Pola Perbelanjaan dalam Bajet Najib menunjukkan trend yang kurang baik. Daripada Jumlah Perbelanjaan bagi tiap-tiap tahun mulai tahun 2010 hingga 2014 Perbelanjaan Mengurus telah meningkat dari segi jumlah dan juga peratus daripada RM151.633 bilion (atau 74.72%) kepada RM221.112 bilion (atau 84.27%). Untuk 2015 dianggarkan dalam Belanjawan bahawa jumlahnya terus meningkat, iaitu kepada RM223.440, walaupun peratusnya berkurang kepada 82.48%.

11.  Sebaliknya  Perbelanjaan Pembangunan menurun daripada RM51.296 bilion bilion (atau 25.28%) pada tahun 2010 kepada RM41.273 bilion (atau 15.73%) pada tahun 2014. Ini agak membimbangkan.  Akan tetapi, Belanjawan ini menganggarkan bahawa jumlah Perbelanjaan Pembangunan ini akan meningkat kepada RM47.467 bilion (atau 17.5.2%) pada tahun 2015. Walaupun ini satu perkara yang menggalakkan, namun ia belumlah lagi memuaskan. Yang menarik, sebagai perbandingan, bagi Jabatab Perdana Mentri Perbelanjaan Pembangunan (P.6) ialah lebihkurang RM13 bilion, iaitu lebih daripada dua kali ganda Perbelanjaan Pengurusan yang berjumlah M6 bilion (B6) dan hampir sepertiga daripada seluruh peruntukan bagi perbelanjaan Pembangunan dalam Belanjawan 2015. Ini bermakna PM mempunyai peruntukan yang paling besar bagi projek-projek pembangunan yang boleh diagih-agih atau ditaburkan.

12.  Sebenarnya, bagi sebuah negara sedang membangun seperti Malaysia, jumlah serta peratus perbelanjaan untuk pembangunan hendaklah lebih tinggi daripada pengurusan. Perbelanjaan Pembangunan perlu ditambah berkali ganda lagi di kawasan-kawasan mundur, terutama sekali di kawasan desa dan pedalaman. Bahkan diperlukan juga perbelanjaan pembangunan yang bertambah di sesetengah kawasan bandar. Semua pembangunan penting untuk menambah pendapatan negara, menyediakan pekerjaan dan manaikkan pendapatan rakyat.

13.  Di kawasan desa serta pedalaman, yang ramai didiami oleh orang Melayu dan Orang Asli di Semenanjung  dan Bumiputra di Sabah serta Sarawak, bukan saja perlu perbelanjaan untuk memperbaiki jalan dan bekalan air serta api, bahkan juga untuk membina lebih banyak pusat pendidikan dan kesihatan. Selain itu perlu ditambah sumber pinjaman, dipertingkat teknoloji pengeluaran dan diperbaiki organisasi pengeluaran serta pemasaran untuk membantu para petani menambah lagi hasil dan pendapatan mereka.

14.  Di kawasan-kawasan bandar pula, diperlukan perbelanjaan yang lebih besar untuk menggalakkan perindustrian. Seperti yang disebutkan tadi, Malaysia ketinggalan dalam bidang ini walaupun dibandingkan dengan Korea Selatan dan Taiwan. Di dalam bandar-bandar pula terdapat kawasan mundur, dan di sini perlu dibaiki juga perumahan dan juga pusa-pusat persekolahan dan kesihatan. Peruntukan lebih besar di kawasan-kawasan ini boleh merapatkan sedikit lagi jurang atau kesenjangan sosio-ekonomi yang nampaknya semakin buruk. 

KESENJANGAN SOSIO-EKONOMI

15.  Kesenjangan atau jurang sosio-ekonomi wujud di antara kawasan, kaum dan kelas. Kesenjangan antara kawasan ialah di antara bandar dengan desa atau pendalaman. Pukul rata pendapatan per-kapita di bandar adalah jauh lebih besar daripada kampung-kampung di Semenanjung, terutama di negeri-negeri Kedah Kelantan serta Trengganu, dan lebih-lebih lagi di pedalaman Sabah dan Sarawak. Pada tahun 2012, pendaptan isirumah di bandar ialah RM5742, manakala di desa RM3080. Di bandar-bandar terdapat orang yang kaya raya, rumah indah-indah, jalan lebih baik, lampu lebih banyak dan hospital serta sekolah lebih besar, lengkap lagi dekat. Siapakah yang paling ramai di desa dan pedalaman itu?

16.  Kesenjangan wujud di antara kaum. Pada peringkat nasional kita dapati pendapatan pukul rata semua isi rumah pada 2012 ialah RM5000. Akan tetapi, mengikut kaum pendapatan pukul ratanya ialah RM6366 bagi Cina, RM5233 bagi India dan RM4457 bagi Melayu/Bumiputera. Pendapatan pukul rata tidak memberikan gambaran sebenar. Jikalau kita ambil golongan terkaya dan golongan termiskin secara perbandingan maka kita akan dapati kesenjangannya adalah lebih besar. Tidak payahlah diulangkan bahawa sejak Merdeka dan UMNO memerintah, majoriti mahakaya ialah bukan-Bumi dan yang paling miskin ialah Bumi.

17. Dalam golongan 100 orang mahakaya di Malaysia, bilangan besarnya adalah Cina dan India manakala yang paling ramai dalam golongan miskin atau berpendapatan rendah ialah Melayu/Bumiputera. Mengikut laporan, pada tahun 2012 kira-kira 23 peratus isirumah berpendapatan kurang daripada RM2000, 55 peratus kurang daripada RM4000 dan 74 peratus kurang daripada RM6000 sebulan. Daripada mereka ini, majoritinya  terdiri daripada orang Melayu/Bumiputera. Semakin rendah pendapatan pukul rata isirumah itu maka semakin tinggilah peratus orang Melayu. Dianggarkan kira-kira 75 peratus daripada yang berpendapatan kurang dari RM2000 sebulan adalah Melayu/Bumiputera.

18.  Kedudukan sebenarnya bukanlah semua yang miskin atau berpendapatan rendah itu Melayu/Bumiputera atau semua yang kaya atau berpendapatan tinggi itu adalah Cina/India. Sebenarnya ramai juga Cina/India yang miskin dan berpendapatan rendah, cuma bilangan dan peratus mereka, terutama Cina,  lebih kecil daripada Melayu/Bumiputera. Begitu juga ada orang Melayu/Bumipurera yang kaya atau berpendapatan tinggi, cuma bilangan dan peratus mereka adalah lebih kecil daripada orang Cina terutama sekali.

19.  Kelas merintasi kaum dan kawasan. Mereka yang miskin dan berpendapatan rendah merupakan bilangan terbesar dalam negara dan masyarakat. Mereka terdiri daripada pelbagai kaum, akan tetapi kaum Melayu, terutama yang tinggal di kawasan desa dan pedalaman adalah yang lebih ramai dan besar peratusnya. Dengan bertambahnya bilangan Melayu/Bumiputera yang menjadi kaya raya dan berpendapatan tinggi, maka didapati kesenjangan sosio-ekonomi di kalangan Melayu/Bumiputera sendiri bertambah jelas.

20.  Angka rasmi untuk tahun 2012 menunjukkan bahawa pembahagian kaum bagi 10 peratus isi rumah berpendapatan lebih daripada RM10 ribu ialah: Melayu/Bumiputera 280,000 orang, Cina 254,000 dan India 45,000. Memandangkan bilangan penduduk Melayu ialah lebih 60 peratus daripada jumlah besar penduduk, dan Cina cuma kira-kira 25 peratus saja, maka secara perbandingan peratus Cina yang berpendapatan lebih daripada RM10000 itu adalah lebih besar daripada Melayu/Bumiputera. Selanjutnya bagi 74 peratus isirumah yang berpendapatan kurang daripada RM6 ribu, pembagiannya ialah: Melayu/Bumiputera 2.963 juta, Cina 1.039 juta dan India 329 ribu. Di sini struktur kelas atasan yang berbeza daripada kelas bawahan merupakan satu kenyataan yang jelas.

21.  Saya telah sering menyebut di dalam dan di luar dewan ini tentang kesenjangan sosio-ekonomi yang agak serius di Malaysia. Baru-baru ini YMM Sultan Perak bertitah mengenai masalah yang sama dan menegaskan kesenjangan itu menjadi punca utama yang mengakibatkan keadaan korupsi yang bertambah buruk dalam negara. Bahkan saya berpendapat lebih banyak lagi masalah sosial yang berpunca daripada kesenjangan, seperti kemiskinan, pengangguran, jenayah, konflik kaum, kesihatan dan sebagainya. Kesenjangan sosio-ekonomi lazimnya ditunjukkan dengan angkali Gini. Pada masa ini angkali Gini Malaysia ialah di sekitar 0.46, iaitu lebih rendah daripada beberapa tahun yang lalu.

22.  Namun begitu, kedudukan kesenjangan sosio-ekonomi di Malaysia adalah di antara yang terburuk dalam Asia.  Bahkan jika diambil jurang di antara segolongan kecil yang mahakaya, sekitar satu peratus dan kira-kira 20 peratus paling miskin, keadaannya lebih buruk lagi. Kesenjangan ini akan bertambah buruk oleh kerana Malaysia menjalankan dasar yang membenarkan pengumpulan harta yang tidak terbatas oleh segelintir golongan kaya. Pengumpulan harta oleh segelintir yang tamak dan rakus mengakibatkan kemiskinan mutlak, kemiskinan relatif dan pendapatan rendah bagi sebilangan besar rakyat jelata. Allah melarang ini, seperti tersebut dalam Surah Al-Hasyr; Ayat 7, yang antara lain berbunyi:      
                                                                          
كَىۡ لَا يَكُوۡنَ دُوۡلَةًۢ بَيۡنَ الۡاَغۡنِيَآءِ مِنۡكُمۡ
(Surah Al-Hashr: Ayat 7)
yang bermaksud lebih kurang, “(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak beredar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu”.

23.  Masalah kesenjangan sosio-ekonomi dan kemiskinan tidak mungkin diselesaikan dengan memberi BR1M. Mantan PM Dr Mahathir Mohamad menganggap BR1M sebagai satu jenis rasuah, dan apabila diberi sebelum pilihanraya ia merupakan rasuah untuk membeli undi. Saya setuju. Namun PM Najib Razak berkata ia tidak akan diberhentikan kerana popular di kalangan rakyat. Tentu sekalilah pemberian hingga RM900 setahun kepada sebilangan besar rakyat menjadi popular! Bahkan PM menegaskan bahawa BR1M hanya akan diganti jika ada cadangan lebih baik.

24.  Memang diketahui umum bahawa wang BR1M yang diberikan itu biasanya sekejap hangus begitu saja tanpa menaikkan taraf hidup atau mengurangkan tekanan perbelanjaan secara jangka panjang. Jumlah besar BR1M yang telah diberikan oleh Kerajaan kepada isirumah yang berpendapatan kurang daripada RM4000 telah bertambah. Pada tahun 2012 jumlahnya RM1.8 bilion, pada tahun 2013 berjumlah RM3.0 bilion, manakala pada 2014 meningkat kepada RM4.6 bilion pula.

LANGKAH-LANGKAH PERLU DIAMBIL

25.  Sebagaimana yang selalu saya tegaskan di dalam dan di luar dewan mulia ini, jika kita betul-betul mahu membantu golongan bawahan yang miskin dan berpendapatan rendah, yang kebayakannya orang Melayu/Bumiputera di desa dan pedalaman, maka perlulah kita pastikan Kerajaan memberikan peruntukan belanjawan jauh lebih besar daripada sekarang dan sudah-sudah kepada golongan ini. Untuk perbelanjaan pembangunan, hanya RM3.17 bilion saja disedia bagi pertanian dan pembangunan luar Bandar. Ini masih kecil dan perlu ditambah berlipat kali ganda lagi. Bayaran BR1M tiap-tiap tahun boleh dimasukkan sebagai sebahagian daripada peruntukan tersebut. Peruntukan lebih besar itu hendaklah ditumpukan kepada bidang-bidang usaha yang boleh menambah pendapatan dan mengurangkan bebanan hidup ke atas golongan susah ini.

26.  Di antara bidang-bidang usaha tersebut ialah:
i)  memberi bantuan kewangan atau bahan makanan secara tetap kepada isirumah miskin tegar supaya mereka dapat terkeluar daripada kategori kemiskinan tegar;
ii) memberi peruntukan kepada petani miskin untuk menambah hasil serta pendapata  melalui penggunaan teknologi lebih baik dan struktur pemasaran yang tidak menindas;
iii) memberi subsidi kepada petani terutama sekali apabila harga pasaran hasil keluaran mereka merudum jatuh;
iv) memberi subsidi kepada golongan miskin untuk membeli rumah murah dan memastikan mereka mendapat semula subsidi minyak petrol;
v) mengadakan sekolah-sekolah berasrama bagi kanak-kanak dari keluarga miskin; dan  
 vi) memperkenalkan cukai progresif dan bukannya yang regresif. 

27.  Malangnya tekanan hidup bagi golongan bawahan yang miskin dan berpendapatan rendah itu bertambah buruk. Kos hidup semakin tinggi. Sebagai contoh, semasa saya mula bekerja selaku pensyarah universiti lebih 50 tahun dulu, gaji permulaan saya hanya lebih kurang RM1200. Waktu itu harga rumah saya beli hanya RM54 ribu saja, ikan kembung yang saya selalu makan berharga cuma kira-kira RM2 sekati dan baju yang saya pakai harganya hanya lebih kurang RM10 sehelai.

28.  Akan tetapi sekarang gaji permulaan pensyarah sekitar RM3000 atau dua setengah kali ganda. Rumah seperti yang saya beli itu kini sudah bernilai lebih RM600 ribu atau 10 kali ganda, ikan kembung naik RM12 sekilo atau 4 kali ganda dan baju yang serupa tidak boleh dapat kurang daripada RM50 atau lima kali ganda. Jadi, dari dulu kenaikan harga barang lebih tinggi daripada kenaikan gaji. Trend ini tidak berubah sehingga sekarang.

ANTARA GST DENGAN SGT

29.  Kami percaya keadan akan bertambah buruk. Mulai hari April Fool tahun depan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan diperkenalkan. GST ini mengenakan cukai 6 peratus kepada semua warga negara, tidak kira kaya atau miskin. Ia merupakan cukai regresif, dengan ertikata bahawa bebannya adalah lebih berat ke atas golongan miskin dan berpendapatan rendah daripada golongan kaya dan berpendapatan tinggi.

30.  Adalah dijangka bahawa cukai ini akan menaikkan lagi harga barang dan khidmat tertentu. Memang diakui bahawa Kerajaan telah menyenaraikan lebih dua ribu barang dan khidmat yang dibebaskan cukai. Akan tetapi tidak bererti harga barang-barang ini tidak boleh naik. Lagi pula kebanyakan komponen untuk membuat barang-barang tersebut dicukai pada peringkat sebelum ia siap untuk dipasarkan dan diguna. Ada orang berhujjah SST lebih besar daripada GST, akan tetapi perlu diingat SST tidak kena kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah, berbezaa dengan GST.

31.  Kami berpendapat bahawa GST tidak harus dilaksanakan dan sepatutnya diganti dengan Cukai Keuntungan Jualan (SGT – Sales Gains Tax). SGT ini merupakan cukai progresif kerana ia dikenakan ke atas golongan kaya dan lebih membebankan mereka ini. Seperti jelas daripada namanya, cukai ini dikenakan ke atas keuntungan yang diperolehi dan biasanya keuntungan terbanyak adalah diperolehi golongan mahakaya. Ada kebimbangan jikalau cukai ini dikenakan modal akan lari keluar. Amerika Syarikat dan beberapa negara di Eropa mengenakan Cukai Keuntungan Jualan ini sehingga sekitar 50 peratus. Tetapi modal tidak lari keluar.

32.  Satu lagi jenis cukai yang harus dipertimbangkan ialah Cukai Warisan (IT – Inheritance Tax) yang dikenakan ke atas harta kekayaan yang ditinggalkan selepas kematian seseorang. Cukai ini biasanya dikenakan ke atas harta yang banyak ditinggalkan oleh golongan mahakaya. Perlulah ditentukan berapa nilai harta kekayaan ditinggalkan simati yang patut dikenakan cukai ini dan kadar cukainya. Mungkin boleh ditetapkan supaya cukai dikenakan ke atas harta peninggalan yang bernilai lebih daripada RM50 juta dan cukai itu dinaikkan dengan bertambah tingginya nilai harta itu. Akan tetapi hal ini perlu dikaji sebelum ditetapkan.

33.  Kita telah menjelaskan betapa buruknya kesenjangan sosio-ekonomi yang menimbulkan pelbagai ketidaksamaan dalam negara dan masyarakat. Baru-baru ini telah disetujui di peringkat antarabangsa untuk mengisytiharkan tahun 2015 sebagai Global Inequality Year (Tahun Ketidaksamaan Sedunia). Tentulah yang dimaksudkan dengan ketidaksamaan di sini ialah dalam bidang ekonomi dan sosial. Ini melibatkan kesenjangan sosio-ekonomi yang harus diatasi. Tahun ini seharusnya disambut di negara kita Malaysia dengan berusaha sepenuhnya untuk mengurangkan kesenjangan itu.

34.  Usaha ini melibatkan dua proses, pada satu pihak, menaikkan taraf ekonomi dan sosial golongan miskin dan berpendapatan rendah, dan, pada pihak yang lain, menyekat keadaan sosio-ekonomi daripada bertambah tinggi dan buruk, seandainya tidak dapat menurunkannya. Sebentar tadi saya telah mengemukakan beberapa langkah ataupun usaha yang boleh menaikkan taraf sosio-ekonomi golongan miskin dan pendapatan rendah. Apakah yang boleh dilakukan untuk menyekat atau mengurangkan taraf sosio-ekonomi golongan kaya atau berpendapatan tinggi?

PANDANGAN BLINDSPOT

35.  Sebuah badan bukan-kerajaan (NGO) profesional di negara ini, dikenali sebagai Blindspot, telah menerbitkan sebuah artikel yang baik bertajuk “Malaysia’s vicious inequality and how to remedy it”. Artikel ini ringkas saja dan patut dikaji oleh semua pihak, terutama sekali pemerintah, untuk menangani masalah ketidaksamaan yang dianggap “vicious” atau ganas itu. Apa yang dicadangkan melibatkan proses untuk menaikkan taraf mereka yang di bawah dan menurunkan atau menyekat yang di atas.

36.  Di sini saya ringkaskan beberapa langkah yang dicadangkan oleh Blindspot:
i.              Laksana dasar mengurangkan Angkali Gini dengan sasaran 0.35 menjelang 2020;
ii.            Tetapkan Garis Kemiskinan RM1200 bagi seorang dan RM2000 bagi isirumah;
iii.           Wujudkan sekolah berasrama bagi murid-murid terpilih dari keluarga miskin;
iv.           Tingkatkan kemahiran tenaga pekerja dengan mensasarkan 100,000 pelajar keluar dari sekolah vokasional dan politeknik menjelang 2020;
v.            Bataskan gaji eksekutif pada paras tidak lebih daripada 50 kali ganda gaji pukul rata;
vi.           Galakkan kesatuan pekerja dan iktiraf hak pekerja untuk rundingan kolektif;
vii.          Bataskan penggunaan pekerja asing dalam bidang-bidang tertentu, seperti 0 peraus dalam perkhidmatan dan industri, 30 peratus dalam industri asas-tani dan 50 peratus dalam ladang;
viii.        Sediakan rumah yang murah tapi selesa dengan subsidi yang sesuai untuk orang miskin dan berpendapatan rendah;
ix.           Satukan agensi-agensi perumahan dalam sebuah lembaga perumahan negara;
x.            Iktiraf sektor sosial dan beri bantuan dan insentif kepadanya, termasuk dana untuk inovasi sosial dan akses kepada kewangan sosial;
xi.           Beri bantuan tunai untuk mengatasi kemiskinan, berdasarkan kepada keperluan yang jelas, dengan mempunyai peraturan dan matlamat yang jelas juga;
xii.          Perbaiki tatakelola pemerintahan, pastikan ketelusan dan pertingkatkan perang menentang korupsi;
xiii.        Perkenalkan Capital Gains Tax dan Inheritance Tax, dan perkenalkan insentif untuk menggalakkan mereka yang kaya untuk menyumbang kepada peningkatan taraf hidup mereka yang tidak miskin;
xiv.        Bentuk satu unit, dipmpin oleh seorang Menteri berwibawa dan melapor kepada sebuah Jwatankuasa Terpilih Parliamen, yang ditugas untuk merancang dan melaksanakan dasar serta tindakan bagi mengurangkan ketidaksamaan. Unit ini hendaklah mempunyai kuasa dan peruntukan belajawan yang cukup untuk bertindak melelalui pelbagai kementerian dan agensi bagi menangani masalah ketidaksamaan sosio-ekonomi;
xv.          Kerajaan, sektor swasta dan rakyat hendaklah bekerjasama rapat untuk menangani masalah kesenjangan dan ketidaksamaan pendapatan dan kekayaan.

B. PENDIDIKAN

NILAI BAHASA

37.  Soal pertama berkaitan dengan pendidikan ialah bahasa. Nampaknya kedudukan Bahasa Melayu di dalam semua peringkat pendidikan kini semakin lemah dan tercabar. Desakan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar semakin kuat. Bilangan dan peratus murid Cina terutamanya, yang tidak pergi ke sekolah kebangsaan semakin ramai. Tuntutan supaya kedudukan bahasa ibu diperkukuhkan semakin lantang disuarakan.

38.  Malangnya kedudukan BM dalam masyarakatpun kelihatan semakin merosot. Mentri, pegawai dan korporat apabila berucap, berbincang atau mengadakan sidang akhbar lebih banyak menggunakan BI daripada BM, walaupun audiennya Melayu atau boleh memahami BM. Sekiranya kedudukan BM kuat dan dihormati tentulah tiada alasan untuk merasa bimbang terhadap apa yang dianggap sebagai cabaran daripada bahasa lain.

39.  Di samping memperkuat dan menghormati kedudukan BM, usaha harus juga dibuat untuk mempertingkat kebolehan para murid dalam bahasa-bahasa lain. Memang diakui bahawa BI adalah penting, maka oleh itu bahasa ini perlulah diajar di sekolah sebagai satu subjek di peringkat rendah hingga menengah, bahkan universiti. Akan tetapi caranya bukanlah dengan mengajar Matematik dan Sains dalam BI atau, lebih buruk lagi, menjadikan BI bahasa pengantar. Selain itu adalah baik juga setiap murid mempelajari salah satu daripada bahasa yang digunakan dalam negara. Misalnya, adalah sangat baik jika bahasa Mandarin atau Tamil diajar kepada murid-murid Melayu dan seterusnya.

MUTU PENDIDIKAN

40.  Soal kedua ialah soal mutu. Tidak boleh dinafikan bahawa mutu pendidikan kebangsaan di peringkat sekolah dan universiti sudah merosot. Kemerosotan mutu sekolah kebangsaan paling ketara sekali dalam mata-mata pelajaran matematik dan sains. Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa dalam mata-mata pelajaran ini murid-murid dari Malaysia jauh ketinggalan di belakang negara-negara seperti China, Korea, Singapura dan juga Vietnam. Bahkan dalam negarapun didapati mutu murid-murid sekolah kebangsaan dalam mata-mata pelajaran ini lebih buruk daripada mereka di sekolah jenis kebangsaan Cina.

41. Ini adalah salah satu faktor yang menyebabkan kebanyakan ibu bapa Cina tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan. Kira-kira sepuluh tahun lalu hanya lebih kurang tujuh peratus murid Cina di sekolah kebangsaan, akan tetapi baru-baru ini dikatakan bahawa kadar ini telah menurun kepada kira-kira tiga peratus saja. Saya mengutip angka-angka ini daripada media. Sekiranya tidak tepat, tolonglah pihak yang berkenaan membetulkannya. Sebenarnya, keadaan ini juga mempunyai implikasi yang buruk dari segi perpaduan bangsa kerana ia menunjukkan adanya polarisasi yang sangat ketara dari segi pendidikan.

42.  Saya pernah menggesa melalui dewan yang mulia ini supaya ditubuhkan sebuah badan untuk mengkaji kaedah pengajaran matematik dan sains di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina tempatan dan juga di sekolah-sekolah dalam negara asing yang cemerlang pencapaian murid-muridnya dalam mata-mata pelajaran tersebut. Saya ingin mengulangi gesaan ini. Hasil kajian boleh digunakan untuk menambah mutu di sekolah-sekolah kebangsaan kita. Saya percaya sekiranya mutu matematik dan sains tinggi dan nilai bahasa Melayu juga tinggi di sekolah-sekolah kebangsaan, besar kemungkinan lebih ramai lagi murid-murid bukan Melayu akan tertarik untuk memasuki sekolah-sekolah tersebut.

43.  Untuk menaikkan mutu pendidikan memerlukan perbelanjaan yang besar, antaranya untuk membanyakkan sekolah yang baik dari segi kelengkapan dan meramaikan guru yang terlatih. Sekarang ini keadaan bayak sekolah di desa dan di pedalaman, terutama sekali di Sabah dan Sarawak sangat buruk. Ini salah satu faktor penting yang mendorong semakin ramai kanak-kanak Iban dan Dayak dihantar oleh ibubapa mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina. Sudah tentulah perbelanjaan yang lebih besar penting untuk pembangunan pendidikan khususnya di kawasan-kawasan desa dan pedalaman itu.

44.  Dalam Belanjawan 2015 ini, peruntukan bagi pendidikan adalah antara yang paling tinggi, iaitu hampir RM56 billion, bagi pelajaran dan pendidikan tinggi. Bagi kategori pelajaran, jumlahnya ialah RM40.6 bilion, iaitu RM39.2 untuk Pengurusan (B63) dan hanya RM1.6 bilion saja untuk Pembangunan (P63). Malangnya, jumlah untuk Pembangunan bagi 2015 inipun sangat kecil, iaitu kurang separuh daripada perbelanjaan Pembangunan bagi tahun-tahun 2011 dan 2012, yang masing-masing berjumlah RM3.929 dan RM3,553 bilion. Tidak mungkinkah penurunan perbelanjaan pembangunan ini boleh menjejaskan pembangunan fizikal dan juga program-program yang patut dilaksanakan bagi menaikkan mutu mata-mata pelajaran tertentu dan juga nilai bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar pendidikan?

KEMEROSOTAN UNIVERSITI

45.  Kemerosotan mutu pendidikan kita lebih ketara pada peringkat universiti. Dalam perbandingan yang dilakukan oleh beberapa badan antarabangsa, kita dapati bahawa nilai pencapaian universiti-universiti tempatan kian merosot dan kedudukannya semakin ketinggalan di belakang, berbanding dengan banyak universiti di negara-negara lain dalam Asia, seperti China (termasuk Hongkong), Jepun, Korea dan Singapura. Tiada tanda yang nyata menunjukkan keadaan buruk ini bertambah baik, walaupun 20-30 tahun yang lalu, mutu dan taraf universiti terbaik di negara ini setanding dengan universiti-universiti yang cemerlang dalam dunia. 

45.  Sebenarnya saya tidak begitu bimbang sekiranya “ranking” universiti-universiti tempatan rendah daripada universiti-universiti luar Negara, asalkan tidak terlalu rendah. Tetapi ada syaratnnya. Pertama, universiti-universiti kita hendaklah memainkan peranan yang berkesan untuk menyumbang kepada perkembangan negara dan menyelesaikan masalah-masalah besar yang dihadapi negara. Ini dapat dilakukan dengan universiti melaksanakan penyelidikan dalam masalah-masalah besar dalam negara dan masyarakat, mengeluarkan penerbitan-penerbitan berguna yang boleh menjadi panduan kepada membuat dasar negara dan mendapatkan penemuan-penemuan yang boleh membantu perkembangan pertanian serta perindustrian.

46.  Sekarang ini boleh dikatakan kurang sekali penyelidikan yang dilakukan dan penerbitan yang dihasilkan oleh kakitangan akademik di universiti-universiti tempatan. Antara lain ini disebabkan oleh tendensi tidak memberikan penilaian dan pengiktirafan sewajarnya kepada prestasi ahli akademik dalam bidang pengajaran, penyelidikan dan penerbitan itu. Yang dinaikkan pangkat akademik dan pentadbiran, sebagai profesor, naib canselor, dekan dan ketua jabatan bukannya mereka yang baik prestasinya, akan tetapi selalunya mereka yang rapat hubungannya dengan pihak berkuasa dan mudah menjadi pak turut ataupun pengampu saja.

47.  Syarat kedua universiti itu hendaklah menjadi gedung cemerlang bagi perkembangan ilmu, intelektual dan profesional yang berguna dan berwibawa. Universiti harus mejadi pusat bagi mengembangkan nilai-nilai seperti kebebasan, keadilan serta demokrasi. Ia harus mengeluarkan siswazah yang mempunyai fikiran luas terbuka, minda kreatif serta kritikal dan bersikap bertanggungjawab kepada masyarakat dan partiotik kepada negara. Ini banyak bergantung kepada para pensyarah dan pentadbir yang menjadi pemimpin universiti itu. Mereka tidak harus takut kepada konsep autonomi universiti atau gerun kepada nilai kebebasan bagi pelajar.

47A.  Sekarang ini ada semacam tendensi untuk menjadikan universiti sebagai jabatan kerajaan dan pensyarah sebagai kakitangan kerajaan yang hendak dikuasai hampir sepenuhnya oleh pemimpin-pemimpin politik dan pentadbiran pemerintah. Lebih teruk lagi kadang-kadang universiti itu semacam hendak dijadikan sebagai sekolah menengah saja. Kita membaca dan mendengar tentang peristiwa-peristiwa bagaimana pensyarah dan pelajar disekat dan dihukum kerana memberi pandangan yang tidak sealiran dengan pandangan politik pemerintah ataupun kerana mengundang warga masyarakat yang berpengaruh dan tidak disenangi oleh pihak kerajaan. Saya sendiri telah disekat untuk berceramah secara terbuka kepada para siswa selama 24 tahun selepas disuruh berhenti dari jawatan profesor kerana politik.

48.  Lebih parah lagi, saya mendapat laporan tentang adanya ketua jabatan atau dekan,  antaranya bergelar profesor, yang cuba mempengaruhi bahkan kadang-kadang mengugut pelajar supaya jangan bertanding sebagai calon dalam pemilihan pelajar-pelajar, jika mereka dianggap tidak pro-pentadbiran atau kerajaan. Bahkan ada juga mereka ini yang berdiri berdekatan semasa proses pengundian untuk memastikan atau menasihat siswa supaya mengundi calon-calon yang boleh diterima oleh pihak pentadbiran. Sepatutnya, di universiti terutama sekali, hal seperti ini tidak patut berlaku. Para pelajar seharusnya diberi peluang untuk mendengar pandangan yang berbeza dan membuat pilihan mereka sendiri secara bijak.

C. ALAM SEKITAR

49.  Alam sekitar adalah sangat penting bagi penghidupan dan kesejahteraan manusia. Sekarang ini keadaan alam sekitar semakin buruk dan mengancam di seluruh dunia, termasuk negara Malaysia ini. Kita mempunyai Kementrian Sumber Asli dan Alam Sekitar, dan memandangkan betapa pentingnya alam sekitar itu sepatutnya kementerian ini mendapat peruntukan lebih besar daripada RM2.7 bilion yang dijangka untuk 2015.

50.  Allah SAW menganugerahkan Malaysia dengan kekayaan dari pelbagai aspek: sumber petroleum, mineral dan hasil bumi; penduduk yang terdiri dari berbilang etnik, kebudayaan dan agama; serta antara kepelbagaian biodiversiti yang terkaya di dunia. Anugerah Allah ini diamanahkan kepada khalifahnya seperti yang diingatkan di dalam Al Quran, yang berbunyi:    

فَاذۡكُرُوۡۤا اٰ لَۤاءَ اللّٰهِ وَلَا تَعۡثَوۡا فِى الۡاَرۡضِ مُفۡسِدِيۡنَ
 (Surah Al-A’raf : Ayat 74)

bermakna lebih kurang,  “Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi.”

51.  Pemanasan Global (Global Warming) dan Perubahan Iklim (Climate Change) adalah krisis yang mengancam keseimbangan alam, akibat dari aktiviti manusia yang semakin meningkat bilangan dan keperluannya. Seperti kata-kata Mahatma Gandhi “Earth provides enough to satisfy every man's need, but not every man's greed”. Kita telah mula merasa kesan dari pencemaran dan kerosakan yang berlaku berpunca daripada aktiviti-aktiviti manusia yang didorong oleh ketamakan dan kerakusan. Pencemaran ini akan menjadi semakin buruk di masa hadapan jika dibiarkan berterusan tanpa adanya kesungguhan untuk menghalang kerosakan dan memulihara alam sekitar. 

52. Salah satu punca utama perubahan iklim adalah pengeluaran gas karbon dioksida. Pengeluaran karbon dioksida ini menurut takrif World Bank adalah mengikut perkiraan dari pembakaran bahanapi fosil dan penghasilan simen tanpa mengambilkira aktiviti perubahan penggunaan tanah dan penebangan hutan. Pengeluaran karbon dioksida Malaysia pada 2010 adalah 7.67 metrik tan perkapita. Pada tahun yang sama, Malaysia terletak pada kedudukan tangga 31 dari segi pengeluaran CO2 mengikut (kg per PPP $ of GDP).

53. Malaysia telah menyatakan komitmen untuk mengurangkan 40 peratus pembebasan karbon dioksida per kapita menjelang 2020 dengan menggunakan data 2005 sebagai penanda aras (6.86 metrik tan per kapita). Ini merupakan satu komitmen yang harus dipenuhi dan bukan hanya sebagai rhetorik. Perlu dinyatakan secara jelas langkah-langkah untuk mengurangkan penjanaan gas CO2 melalui pembakaran bahanapi fosil dan penghasilan simen. Sejak dari pengumuman tersebut apakah langkah-langkah konkrit yang telah diambil oleh kerajaan bagi memastikan matlamat tersebut tercapai dalam tempoh kurang 6 tahun lagi?

54.  Pengeluaran tenaga elektrik Malaysia merupakan satu punca utama penghasilan karbon dioksida, memandangkan kebanyakan janakuasa elektrik masih menggunakan teknologi cemar dengan membakar arang batu sebagai sumber menjana kuasa (35-40%). Sebanyak lebih 40 juta tan arang batu digunakan setiap tahun dan ini akan meningkat dengan penambahan janakuasa baru yang berkemungkinan besar dianugerahkan (preferred bidder) kepada 1MDB.  Pembakaran arang batu menghasilkan pengeluaran gas karbon dioksida serta pencemar lain seperti merkuri yang menjadi salah satu pencemar terkumpul dalam rantai makanan hidupan laut iaitu sumber penting protin rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia dilaporkan makan lebih 50kg makanan laut per kapita setahun iaitu kedua tertinggi di Asia di belakang Jepun. Selain itu, sulfur dioksida juga dihasilkan oleh pembakaran tersebut.

55. Hasil pembakaran yang naik ke udara akan kembali ke bumi dalam bentuk hujan asid di mana sulfur dioksida dan karbon dioksida bersama pencemar merkuri dan logam berat lain akan larut di dalam air hujan dan merendahkan kadar pH hujan dan saliran. Ini akan menjejaskan sumber asli Malaysia di mana keasidan ini akan mengakibatkan pengurangan tumbesaran hasil pertanian seperti sawit dan getah, merosakkan hutan dan menyebabkan terjejasnya sumber perikanan. Semua fakta ini telah jelas terdokumentasi dalam kajian saintis tempatan dan luar negara. 

56. Pada masa yang sama, tekanan semakin meningkat bagi pembinaan empangan hidroelektrik mega sebagai tenaga yang boleh diperbaharui. Empangan hidroelektrik mega  telah didapati sebagai punca pengeluaran gas metana, iaitu gas rumah hijau (greenhouse gas) yang lebih buruk akibatnya ke atas perubahan iklim daripada CO2. Pembinaan empangan hidroelektrik mega terutamanya di Sarawak telah mengakibatkan kehilangan penempatan dan mata pencarian bagi penduduk asal. Pemindahan penduduk asal menimbulkan kesukaran dan kedaifan yang teruk akibat kekurangan sumber untuk menyara hidup dan keadaan persekitaran yang tidak sesuai untuk bercucuk tanam, apatah lagi bagi mencari sumber hutan. Ini mengakibatkan masalah sosio-ekonomi kepada masyarakat setempat yang tidak banyak menerima menafaat dari pembangunan sedemikian. 

56. Penghasilan tenaga elektrik yang tinggi dari empangan mega memerlukan pengguna yang mampu menggunapakai tenaga yang dihasilkan. Setelah rancangan kabel untuk menyalirkan tenaga elektik ke Semenanjung Malaysia dari Bakun tergendala atau didapati tidak praktikal bagi mendapatkan pengguna tenaga yang berlebihan tersebut, maka digalakkan pula pelaburan dalam bentuk kilang melebur aluminium. Ini merupakan industri yang mencemar alam sekitar. 

57. Tidak cukup sekadar Empangan Bakun, beberapa empangan hidroelektrik mega yang lain dirancang dan dilaksanakan, seperti Empangan Murum dan Baram. Terdapat juga kebimbangan empangan-empangan ini terbina di kawasan yang kurang stabil (geological fault), dan diketahui empangan mega ini mampu menjadi pencetus kepada gerak gempa setempat. Jika berlaku sebarang bencana besar (catastrophic failure), beberapa bandar yang terletak di hilir empangan tersebut akan mengalami kemusnahan dan mengakibatkan kemalangan jiwa yang tinggi. Di Cameron Highlands, hanya pelepasan air dari empangan yang penuh telah mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda.

58. Kecenderungan menggunakan teknologi dan menggalakkan pelaburan yang menjejaskan alam sekitar dan rakyat perlu dihentikan. Selain menggunakan arang batu dan empangan hidroelektrik mega, terdapat juga ura-ura untuk menghasilkan tenaga elektrik dengan membina janakuasa nuklear yang didakwa mempunyai rekod keselamatan yang baik. Namun demikian, sebarang bencana yang berlaku akan mengakibatkan kesan jangka masa panjang yang berlarutan. Walaupun Bukit Merah bukan merupakan janakuasa nuklear, namun pencemaran di kawasan tersebut memakan belanja jutaan ringgit untuk dibersihkan. Apakah Lynas akan mengalami nasib yang serupa?  Ngeri kami memikirkan kemungkinan yang boleh berlaku dalam mana-mana scenario sekalipun.

59.  Sebarang projek yang ingin diperkenalkan seharusnya dengan syarikat dan berdasarkan teknologi yang terbukti serta teruji. Tanpa asas yang kukuh, kebanyakan projek akan mengalami kegagalan dan mengakibatkan kerugian dari segi kewangan dan lebih teruk lagi alam sekitar. Pemberian kontrak membina “incinerator” pembakar sampah kepada syarikat yang tidak mempunyai kepakaran yang secukupnya telah mengakibatkan kerugian dari segi kegagalan untuk melupuskan sampah di Pulau Tioman dan beberapa pulau lain. 

60.  Perkara ini berlaku dikatakan kerana proses penilaian yang lemah. Penilaian yang lemah dan tidak berasaskan fakta telah menjadi punca kegagalan projek-projek berprofil tinggi. Pada suatu ketika dulu pernah diwar-warkan projek menghasilkan bio-ethanol dari nira nipah yang konon mampu menjana berbilion ringgit. Saya ingin bertanya: berapakah kos yang telah dikeluarkan kerajaan dan apakah pula hasilnya? 

61. Akhir-akhir ini, Felda terlibat dalam projek untuk menghasilkan caviar sturgeon yang kononnya mampu menghasilkan pendapatan yang lumayan. Perdana Menteri sendiri telah mencanangkan projek tersebut di peringkat antarabangsa. Apakah asas untuk melihara sejenis ikan yang hidup di iklim sederhana ini bagi menghasilkan telur di Malaysia? Kecenderungan untuk menjalankan projek skala besar dengan memohon peruntukan dana seperti dana Technofund dan sebagainya adakala digunakan sebagai kaedah untuk mendapatkan dana bagi kepentingan peribadi. 

62. Pada masa yang sama, kawasan yang dipilih bagi projek ternakan sturgeon ini adalah berhampiran kawasan sensitif dari segi ekologi, memandangkan letaknya berhampiran Taman Negara. Taman Negara antara kawasan perlindungan tertua di negara ini, namun statusnya sebagai ikon pemuliharaan ini terjejas kerana aktiviti-aktiviti penerokaan yang berlaku di sekitarnya. Selain aktiviti pembukaan tanah untuk projek sturgeon ini, terdapat juga pembukaan ladang getah dengan perancangan lebih 10000 hektar di kawasan bersempadan Taman Negara. Ini akan mengakibatkan tekanan kepada kawasan perlindungan tersebut berpunca daripada kehilangan zon penampan (buffer zone) di sekitar Taman.

63. Seharusnya pembukaan ladang dan pembangunan di kawasan sensitif ekologinya perlu didahului oleh Penilaian Impak Alam Sekitar Terperinci (Detailed Environmental Impact Assessment - DEIA). Adakala  projek dijalankan tanpa sebarang penilaian EIA pun, jauh sekali pada peringkat DEIA. Kelemahan yang sering digunakan untuk mengelak dari menjalankan EIA adalah dengan memecahkan kawasan projek kepada parcel atau fasa yang berbeza dan dengan demikian mengelak dari mencapai had syarat wajib menjalankan penilaian tersebut. Antara contoh yang boleh dilihat adalah seperti yang didedahkan di Bukit Besi, Terengganu di mana dinyatakan kawasan lombong dibahagi dua bagi mengelakkan keperluan menjalankan EIA. 

64. Beberapa projek penambalakan juga dilancarkan malah bermula sebelum sebarang penilaian dilakukan seperti Laguna Mersing (dibatalkan Sultan Johor), Forest City dan Tanjung Aru Eco-Development (Kota Kinabalu). Bagi sesetengah kes, EIA cuma dijalankan setelah timbul tekanan oleh NGO dan masyarakat setempat. Keizinan untuk memulakan pembukaan tapak dan menyediakan jalan sebelum menerima kelulusan EIA sering digunakan untuk menjalankan skop yang jauh lebih besar. Pelantikan konsultan EIA yang dipilih dan dibayar oleh pemaju projek menyebabkan pihak konsultan kurang bebas dalam mengemukakan laporan yang disediakan. 

65. Pemantauan oleh Jabatan yang dipertanggungjawabkan bagi mana-mana penguatkuasaan adalah penting. Tanpa penguatkuasaan, undang-undang yang terbaikpun tidak akan mempunyai kesan. Di sini letak kekurangan dan kekangan di beberapa Jabatan yang diamanahkan dengan tugas memantau dan menguatkuasa undang-undang berkaitan alam sekitar dan biodiversity, antaranya Perhilitan, Jabatan Taman Laut, Jabatan Perikanan dan Jabatan Alam Sekitar. Selain dari penguatkuasaan, tugas jabatan juga terlibat pembangunan sumber, perlesenan, penyelidikan dan latihan (berbeza mengikut jabatan). 

66.  Ini mengakibatkan kekurangan kakitangan di lapangan bagi sesetengah jabatan kerana perlu menguruskan pelbagai tugas lain yang diarahkan. Sebagai contoh, di Perhilitan, bagi melindungi kawasan yang luas beribu hektar, sering kali bilangan kakitangan jauh lebih rendah dari bilangan di kawasan perlindungan di negara lain. Kekangan ini juga menghadkan pemantauan di kawasan lain terutamanya di luar kawasan Taman Negara dan Kawasan Simpanan Hidupan Liar. 

67. Adakalanya KPI Jabatan adalah bertentangan di mana dari satu segi, misalnya, Jabatan Perikanan menghalang kemasukan spesis eksotik dan berkemungkinan tersebar secara invasif di perairan tempatan, akan tetapi bahagian lain mungkin melihat spesies yang sama boleh menjadi sumber pengkomersilan yang lumayan. Sebagai contoh, kebanyakan spesi yang dilarang untuk diimport oleh Jabatan Perikanan boleh didapati di kedai-kedai akuarium, kolam dan sungai malah diberikan lesen untuk dibenarkan bagi akuakultur. Ini jelas bertentangan dengan tujuan menyenaraikannya sebagai ikan terlarang. Kesan dari ini akan mengakibatkan ancaman terhadap spesi tempatan yang ada di antaranya tidak terdapat di mana-mana tempat lain di dunia.

68. Malaysia sebagai salah sebuah negara mega-diversiti seharusnya megah dan bangga dengan anugerah alam semula jadinya. Malangnya Malaysia juga dikenali sebagai antara negara yang paling pantas kadar kehilangan hutannya. Ia juga antara negara yang paling banyak spesi yang tersenarai sebagai terancam di dalam Senarai Merah IUCN.  Harimau yang menjadi kebanggaan di jata negara, dan pasukan sukan kita digelar Harimau Malaysia, pada hakikatnya hampir pupus. 

69. Plan Aksi Nasional berkenaan harimau Malaya merancang untuk menambah bilangannya, tetapi sebaliknya bilangannya berkurangan akibat pemburuan, kehilangan habitat, jalinan hutan penting (important forest corridors) dan sumber makanan. Harimau Malaya ini merupakan salah satu daripada tujuh “sub-spesies” harimau di dunia. Kehilangan spesi ini akan menjadi satu titik hitam yang memalukan dalam komitmen negara untuk melindungi alam sekitarnya.

70. Spesi-spesi unik lain yang terletak di hujung tanduk ialah seperti di Bukit Batu Kapur Kanthan dan di Gua Musang, yang telah diluluskan untuk dimusnahkan bagi menghasilkan simen. Penghasilan simen terutamanya bagi dieksport ke negara asing seperti China meningkatkan pengeluaran gas CO2 yang seterusnya menjadikan pengumuman pengurangan pengeluaran CO2 sebanyak 40 peratus sebagai kokokan ayam jantan sahaja manakala ekornya bergelumang dengan tahi.

Tamat
1hb Disember 2014

No comments:

Post a Comment