Monday, July 6, 2015

RUU ANTIPEMERDAGANGAN ORANG DAN PENYELUDUPAN MIGRAN (PINDAAN) 2015 BAHASAN OLEH DR SYED HUSIN ALI

Terima kasih Tuan Yang Dipertua.
Bahasan saya  ini terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama bertujuan untuk memberikan komen serta pandangan secara umum tentang RRU Antipenerdagangan Orang dan Penyeludukan Migran (Pindaan) 2015 ini. Bahagian kedua pula membicarakan beberapa fasal dalam pindaan yang dibuat ke atas Akta ibu pada tahun 2007. Izinkan saya mulakan dengan bahagian pertama.

2.  Terlebih dulu, saya kurang senang sedikit degan tajuk RRU ini. Ia menggunakan perkataan “orang” selepas perkataan antiperdagangan. Saya ingin mencadangkan supaya digunakan perkataan “manusia” sebagai ganti “orang” itu. Sungguhpun kelihatan kecil ini mempunyai erti yang besar. Manusia lebih halus daripada orang. Yang diperdagangkan itu ialah manusia yang harus dilayan sebagai manusia juga. Oleh itu saya cadang diubah tajuk kepada Antipemerdagangan Manusia.

3. Kita lihat dari tajuk Akta ini bahawa ia merujuk kepada dua perkara, yang seolah-olah berasingan. Pemerdagangan lebih menekankan pemerolehan dan pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan secara paksa dan melibatkan jenis-jenis ketidakadilan atau exploitasi seperti seks, pekerjaan dll.  Ia berkaitan terutama dengan orang asing dan biasanya dilakukan oleh sindiket-sindiket haram. Seperti ditegaskan oleh YB Dr Ariffin, sebenarnya ia berlaku juga ke atas  warga negara tempatan yang bekerja di dalam ataupun di luar negara.

4.  Mengenai penyeludupan migran ia lebih merujuk kepada soal-soal yang berkaitan dengan mengtur, memudahkan dan merancang kemasukan individu atau kumpulan dari negara asing sama ada atas usaha sendiri atau dengan dianjur oleh sindiket-sidiket haram juga. Migran ini kebanyakannya membuat pelbagai jenis pekerjaan dan sering ditipu, dieksploitasi atau diperhambakan sebagai pekerja sex, pekerja ladang atau sebagainya. Biasanya passport mereka dipegang oleh majikan atau sindiket haram dan oleh kerana itu tidak boleh berbuat apa-apa. Ada yang tidak dibayar gaji berbulan-bulan.

5.  Sebenarnya ada kaitan yang simbiotik di antara mereka yang terlibat dengan pengusaha-pengusaha dan mangsa-mangsa pemerdagangan dan penyeludupan itu. Kedua-dua  ini tidak berasingan, bahkan boleh melibatkan orang atau kumpulan yang sama. Migran yang diseludupkan boleh ditipu, dieksploitasi dan diperhambakan juga. Oleh itu segala tindakan anti, untuk menangani atau menentang  dan mengatasi masalah-masalah berhubungan mereka ini adalah berkaitan dan perlu dikordinasikan.

6.  Nampaknya, RRU ini dipinda sebagai respons yang agak terbuka kepada beberapa tekanan dari luar negara dalam pelbagai bentuk. Tidak berapa lama yang lalu, Suruhanjaya Hak Asasi PBB dalam laporan berkalanya telah mengkritik kedudukan hak asasi manusia di Malaysia termasuk mengenai golongan manusia yang diperdagangkan. Ia telah mengemukakan beberapa cadangan. Salah satu cadangan yang diambil ialah untuk menerima kedatangan seorang pelapor khas atau rappotuer PBB berhubung antipemerdagangan.

7.  Lanjutan daripada ini pelapor khas PBB bagi pemerdagangan manusia, terutama untuk kanak-kanak dan wanita, Maria Grazia Giammarinaro mengunjungi Negara ini. Saya percaya beliau telah menemui beberapa pihak termasuk kementerian berkaitan dalam kerajaan. Sempena lawatan beliau, Menteri Dalam Negeri telah berjanji untuk mengemukakan pindaan akta ini. RRU ini hasilnya. Saya gembira dan ucapkan tahniah atas sikap terbuka ini. Saya harap keterbukaan ini akan ditunjukkaan juga terhadap akta-akta lain, seperti Akta Hasutan.

8.  Akan tetapi, saya berpendapat tidak mencukupi hanya dengan meminda akta. Yang penting dan lebih mencabar ialah penguatkuasaan dan perlaksanaannya dengan berkesan. Baru-baru ini telah diterbitkan sebuah Laporan Pemerdagan Manusia 2014 oleh Amerika Syarikat, dan seperti disebut beberapa YB sebelum ini, mengikut laporan ini Malaysia diturunkan dari kedudukan ke-2 ke kedudukan ke-3, iaitu kedudukan yang terburuk  dalam Senarai Pemerhatian atau dengan izin, Tier 3, Watch List. Tiada jaminan Malaysia akan kembali ke Tier ke-2 dengan pindaan ini. Akan tetapi dengan perlaksanaan dan penguatkuasaan yang baik dan berkesan besar kemungkinan kita boleh naik ke Tier-2 dan bahkan ke Tier-1 jua.

9.  Sebenarnya, masalah pemerdagangan manusia ini telah ditimbulkan lebih awal lagi. Pada tahun 2010 Amnesty International menerbitkan sebuah laporan bertajuk “Trapped: The Exploitation of Migrant Workers in Malaysia”, dengan izin. Jika tidak silap petikan dari laporan ini telah disiarkan juga oleh BBC. Laporan ini mendakwa antara tahun 2006-2009 terdapat  sesetengah penguatkuasa imigresen terlibat dengan pemerdagangan. Mereka menghantar tahanan imigresen kepada pedagang manusia di sempadan Thailand. Amnestu International telah mengemukakan 12 kes yang dikenalpastinya. Saya tidak tahu samada pihak Kerajaan telah menjawab dan menyiasat atau tidak hal ini.

10.  Pada 2014, Aljazeera melaporkan dan memaparkan keadaan pelarian yang dizalimi dan diexpoitasi dalam penjara serta kegiatan rasuah kakitangan UNHCR. Ramai pelarian yang dirantai atau digari dan tidak diberi makanan yang cukup. Wanita serta kanak-kanak ada yang ditahan bercampur dengan lelaki dewasa. Banyak bukti sesetengah mereka ditampar, ditendang dan dipaksa berbogel. Pihak berkuasa Malaysia mengakui ada kes-kes penderaan di pusat-pusat tahanan, akan tetapi berkata keadaan di sini lebih baik berbanding  negara lain.

11.  Saya percaya pindaan RRU ini pasti akan diluluskan. Akan tetapi ini belum cukup lagi. Malaysia belum lagi menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protocol 1967. Boleh difahami tentang Konvension 1951 itu, kerana ia ditandatangani berikutan suasana pelarian di Eropa waktu itu. Akan tetapi, kenapa tidak Protocol 1967? Protocol ini,  yang dikenali juga sebagai Protocol New York, kerana ditandatangani di sana, meliputi semua negara dalam pelbagai keadaan dan tidak dibataskan kepada satu benua saja.

12.  Sehingga akhir-akhir ini banyak kes pelarian yang cuba menyeludup masuk ke mari dengan jalan darat atau laut. Berita sedih tentang pelarian Rohingya dll yang dibunuh beramai-ramai di sempadan dengan Thailand, dan ratusan yang cuba masuk dengan bot tetapi tidak dibenarkan, bahkan dihalau ke tengah laut sangat-sangat menyedihkan dan tidak berperikemanusiaan. Akhirnya, sebahagian daripada mereka diterima di Acheh, mungkin kerana masyarakat di sana mengetahui apa ertinya penderitaan, selepas mengalami tsunami.

13.  Secara agak kecilan terdapat banyak percubaan untuk menyeludup masuk, dari Indonesia khususnya.  Antara insiden terkini ialah, misalnya: (i) Pada 18/6/2014 di Sungai Air Hitam, Carey Island; bot karam dengan 97 orang pendatang akan tetapi 62 orang berjaya diselamatkan; (ii) pada 19//6/2014,  di Perairan Sepang, 18 rakyat Indonesia berjaya diselamatkan apabila bot mereka terbalik di Beacon Air Gila. Banyak lagi contoh sebelum itu, yang tidak perlu saya senaraikan.

14.  Selain itu, sekarang ini terdapat sistem “outsourcing” pekerja. Mengikut sistem ini sebuah sayarikat ataupun majikan tidak mengambil pekerja untuk bekerja terus di bawahnya, akan tetapi  menyerahkan kepada individu atau golongan atau syarikat lain untuk mencari pekerja yang diperlukan oleh syarikat dan majikan tadi. Individu dan golongan yang mendapatkan pekerja itu bertanggungjawab ke atas soal gaji dan kebajikan pekerja itu.

15.  Syarikat atau majikan di mana pekerja itu bekerja lepas tangan samasekali. Jadi pekerja tersebut tidak boleh mengadu atau bertindak terhadap syarikat atau majikan jikalau mereka tidak puashati dengan layanan diterima. Pekerja tempatan atau migran yang diambil bekerja mengikut sistem “outsourcing” ini mudah saja ditekan dan dieksploitasi tenpa pembelaan. Ini boleh mengakibatkan sejenis amalan pemerdagangan, walaupun mungkin tidak begitu teruk.

16.  Soal pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran berkaitan rapat dengan keselamatan negara dan juga pengurusan buruh serta kebajikan wanita dan kanak-kanak terutama sekali. Sehingga kini Kerajaan mempunyai undang-undang dan peraturan-peraturan yang ketat untuk mengawal kemasukan secara haram dan juga menahan mereka yang berjaya menyeludup masuk. Naum demikian mereka masih bolos juga. Penguatkuasaan walau bagaimana ketatpun boleh dilemahkan sekiranya berlaku amalan korupsi, terutama sekali.

17.  Akta Anti pemerdagangan dan Antipenyeludupan (Pindaan) 2015 ini, di atas kertas memang kelihatan cantik dan berperikemanusiaan. Akan tetapi keberkesanan perlaksanaan dan penguatkuasaannya perlulah dipastikan dengan tatapengelolaan yang baik tanpa berlakunya, atau sekurang-kurangnya dikawal ketat,  korupsi dan kezaliman.

18.  Tuan Yang Dipertua. Sekarang izinkan saya pergi ke bahagian kedua,  iaitu membicarakan secara khusus beberpa fasal yang dipinda dalam Akata ini.

19.  Pertama, pindaan seksyen 2, mengenai tempat perlindungan. Di sini saya ingin merujuk kepada laporan Aljazeera seperti yang saya jelaskan awal di atas tadi. Saya harap keadaan tempat perlindungan ditabahbaik dan tidak akan berlaku lagi jenis-jenis penderaan dan kezaliman seperti yang diterangkan dan dipaparkan oleh Aljazeera pada tahun 2014 itu.

20.  Kedua, pindaan seksyen 6. Lima perenggan baru (l) dimasukkan. Dua di antaranya ialah mengenai penyertaan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, atau wakilnya, dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, atau wakilnya. Dengan adanya penyertaan kedua-dua  ini,  saya berharap orang perempuan dan kanak-kanak yang dilindungi akan dijamin mendapat layanan lebih baik.

21.  Ketiga, Bahagian baru IA, yang merujuk kepada penubuhan satu Jawatankuasa Tertinggi. Pada 5A(2) dinyatakan bahawa Jawatankuasa Peringkat Tertinggi hendaklah dipengerusikan oleh Menteri. Saya mengalu-alukan ini kerana masalah pemerdagangan dan penyeludupan manusia sekarang ini serius dan sesuailah Jawatankuasa Tertinggi dipimpin oleh seorang Menteri. Akan tetapi, kenapakah tidak diperincikan tentang keanggotaan anggota Majlis yang lain?

22.  Keempat, Pindaan seksyen 7. Subseksyen 7(1) Akta Ibu dipinda dengan memasukkan (ja) selepas perengaan (j), iaitu mengenai pembayaran wang elaun sebagaimana ditentukan oleh Majlis. Sehubungan ini saya ingin membuat tiga pertanyaan: (i) adakah elaun dibayar kepada tiap-tiap seorang dalam satu-satu keluarga, atau dibayar hanya kepada ketua keluarga? (ii) Adakah sudah dijangkakan berapa jumlah minimum bagi tiap-tiap elaun ini, dan (iii) Berapa lamakah dianggarkan elaun itu akan dibayar kepada seseorang?

23. Kelima, Pindaan seksyen 43 (1A). Ini menyatakan Menteri boleh “melantik mana-mana orang” sebagai Pegawai Pelindung. Adakah jawatan ini terbuka kepada siapa saja, termasuk orang yang terlibat aktif dalam politik? Atau tidakkah ia lebih baik diangkat dari kalangan pegawai perkhidmatan awam, terutama yang berkaitan dengan keselamatan?

24.  Keenam, seksyen baru 51A dimasukkan, yang memberi “orang yang diperdagangkan untuk bergerak bebas dan untuk bekerja”, dengan syarat tertakluk di bawah seksyen 66. Ini pindaan yang radikal yang bersesuaian dengan amalan dan tuntutan antarabangsa. Saya memandang ini sebagai pindaan yang memperlihatkan sifat terbuka serta berperikamanusiaan. Sehubungan ini sepatutnya perlu juga dibuka peluang untuk kanak-kanak mendapat pendidikan di sekolah. Kenapakah perkara ini tidak disebut?

25.  Ketujuh, Pindaan seksyen 54, dengan memasukkan perenggan baru untuk mengganti perenggan lama 54(1)(b). Bagi saya, perenggan ini kurang jelas. Apakah maksud sebenarnya? Siapakah dan kenapakah seseorang yang mempunyai dokumen sah itu hendak diserahkan kepada imigresen untuk dihantar balik ke negeri asal? Adakah wujud peraturan bahawa kebenaran untuk tinggal di sini terbatas? Dibataskan kepada berapa tahun? Bagaimana pula dengan nasib mereka yang tidak memiliki dokumen yang sah?

26.  Kelapan, seksyen baru 65A. Akta ibu dipinda dengan memasukkan 65A bertajuk Perkhidmatan  awam di bawah seksyen 65. Seksyen baru ini berhubungan dengan Pindaan seksyen 43 tentang Pegawai Pelindung. Di bawah seksyen baru ini Pegawai Pelindung, semasa berkhidmat akan disifatkan sebagai pekhidmat awam. Saya ingin tahu apakah gred yang akan ditentukan bagi pegawai ini? Adakah tetap? Atau akan berubah dari semasa ke semasa mengikut kelayakan seseorang pegawai itu?

27.  Kesembilan, Akta ibu dipinda dengan memasukkan selepas seksyen 66 satu seksyen baru tentang pembayaran pampasan. Pindaan 66A menunjukkan bahawa Mahkamah boleh memutuskan supaya seseorang yang diperdagangkan dibayar pampasan. Adakah ini akan berlaku hanya apabila mereka mengambil kes ke mahkamah? Bagaimankah bantuan atau kemudahan yang akan diberi bagi proses ke mahkamah ini? Tanggungan siapakah untuk membayar pampasan? Bagaimanakah hendak dikuatkuasakan sekiranya mereka, khususnya sindiket haram yang menjalankan pemerdagangan itu, tidak dapat dikenalpasti ataupun tidak boleh dihubungi? Ada masalah perlaksanaan di sini.

28. Kesepuluh ialah seksyen baru mengenai bayaran gaji tertunggak. Saya percaya ini ialah seksyen 66B. Tetapi 66B ini tidak disebut di sini; yang disebut ialah 69B. Adakah ini satu kesilapan?  Saya rasa seksyen ini kena pada tempatnya. Kita selalu mendengar cerita tentang pekerja migran, khususnya, yang tidak dibayar gaji berbulan-bulan atau dibayar hanya sebahagian daripadanya saja oleh majikan. Ini sering berlaku kepada pekerja ladang, bahkan juga kepada pekerja rumah. Mereka tidak boleh kerluar untuk mengadu atau melapor, ataupun untuk lari ke tempat lain, oleh kerana pasport mereka disimpan oleh majikan. Saya lihat proses melaksanakan seksyen ini lebih jelas serta tersusun, dengan melibatkan permohonan Pendakwa Raya, inkuiri oleh Mahkamah dan pembayaran gaji tertunggak mengikut Tatacara Jenayah.

29.  Tuan Yang Dipertua. Saya mengalu-alukan pindaan Rang Undang-undang ini. Akan tetapi, seperti yang saya sebut lebih awal, diharapkan sangat-sangat ia tidak cantik hanya di atas kertas. Yang penting sekali ialah Akta ini hendaklah dilaksana dan dikuatkuasakan dengan berkesan dan segala jenis penylewengan berkaitan dengannya, terutama sekali korupsi, diperangi hingga hapus.

Terima kasih.
Parlimen Malaysia
6hb Julai, 2015.

No comments:

Post a Comment