Monday, December 7, 2015

UCAPAN MEMBAHAS BELANJAWAN 2016 DI DEWAN NEGARA


1.     Hari ini ialah hari terakhir saya membahaskan Belanjawan, kerana minggu depan akan tamatlah perkhidmatan saya dalam Dewan Negara yang mulia ini. Sebelum saya memulakan bahasan, izinkan saya merakamkan dulu dua perkara.
 2.      Pertama, dalam ucapan saya yang pertama dalam Dewan ini kira-kira enam tahun lalu, saya telah menekankan betapa pentingnya diadakan reformasi atau perubahan dalam Dewan ini. Saya tidak berhajat untuk mengulangi kesemua butirannya, akan tetapi saya hanya ingin mengingatkan satu perkara yang berkaitan dengan keanggotaan Dewan Negara.
3.      Saya telah mengesyorkan agar anggota Dewan yang mewakili tiap-tiap negeri ditambah kepada tiga orang, terdiri daripada dua orang yang dipilih oleh pengundi yang layak dalam setiap negeri dan seorang yang dilantik oleh Dewan Undangan Negeri itu. Perubahan ini bertujuan untuk lebih mengimbangkan bilangan anggota yang mewakili semua negeri dengan yang dilantik oleh DYMM Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Perlembagaan Persekutuan membenarkan perubahan seperti ini dibuat.
4.      Sebenarnya reformasi Parlimen diperlukan secara keseluruhannya, bukan saja untuk Dewan Negara, bahkan meliputi juga untuk Dewan Rakyat. Yang Dipertua Dewan Rakyat pernah menyatakan bahawa Reformasi Parlimen adalah perlu. Saya ingin menggesa supaya bentuk reform ini dikaji dan dilaksanakan seberapa segera.
5.      Kedua, kita semua maklum bahawa setiap anggota Parlimen diberikan satu AP bagi satu penggal. Dari mula saya telah menulis surat kepada pihak berkenaan dan juga kepada pihak pengurusan Dewan Negara menyatakan saya menolaknya. Saya anggap ia bertentangan dengan prinsip saya tidak bersetuju dengan sistem AP yang selalunya diberikan kepada kroni-kroni dan pihak lain yang terpilih.
6.      Saya memohon agar AP yang diperuntukkan bagi saya itu digunakan untuk diberi kepada pegawai yang berkhidmat dalam Parlimen, dipilih atas dasar kecemerlangan perkhidmatannya. Saya memohon agar perkara ini dapat dipertimbang untuk pelaksanaan.
PERMULAAN: MENENTANG GST
7.      Sekarang saya mulakan membahas Belanjawan 2016 ini. Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri waktu membentangkan belanjawan memulakannya dengan membicara tentang GST. Beliau mendakwa Kerajaan telah mengambil tindakan bijak memperkenalkan GST, kerana jikalau tidak defisit yang ditanggung Kerajaan akan lebih besar lagi.
8.      Beliau mendakwa lagi kononnya kami dari Pakatan Harapan juga sudah menyedari tentang kebaikan GST itu dengan menyokongnya dalam Belanjawan Alternatif Pakatan. Dakwaan ini sebenarnya dongeng Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan  semata-mata. Nampaknya beliau mempercayai dongeng sendiri dan mahu meyakinkan pak-pak turutnya.
9.      Sebenarnya, jikalau YAB Menteri Kewangan telah membaca Belanjawan Alternatif kami, beliau tidak memahami ataupun memilih untuk tidak mahu memahaminya.  Kami dengan jelas menuntut dilaksanakan kadar sifar bagi semua barang. Ertinya kami menolak kadar sifar bagi sebilangan barang saja, sebagaimana dilakukan oleh Kerajaan. Lebih tegas lagi kami tetap menentang GST dan tidak mahu ia dilaksanakan.
10.  Kenapa? Sebagaimana yang selalu kami tekankan, GST ini merupakan bentuk cukai yang regresif. Sama banyak kadarnya dikenakan ke atas yang miskin dengan yang kaya, yang susah dengan yang senang. Akan tetapi sudah tentulah beban sebenarnya lebih berat ke atas mereka yang miskin dan susah. Sekiranya kadar GST ini dinaikkan lagi, dan ini mungkin berlaku satu masa nanti, tentulah bebanannya lebih berat lagi ke atas golongan lemah ini.
11.  Tak payahlah kita ulang-ulang bahawa akibat daripada GST, rakyat miskin dan susah semakin menderita kerana beban harga barang keperluan bertambah meningkat. Keadaan ini ditambah pula dengan harga minyak yang tinggi, walaupun harganya di pasaran dunia semakin rendah, dan juga nilai ringgit yang kian merosot sehingga mengakibatkan barang-barang import yang diperlukan rakyat ramai bertambah naik harganya. Selain itu kadar tol dan tambang ERL dan LRT semakin meningkat.
12.   Itu sebabnya golongan miskin dan susah di bandar dan lebih-lebih lagi di desa merintih dan bahkan menentang keadaan harga barang keperluan yang bertambah tinggi, sehingga kadang-kadang di luar kemampuan mereka. Tidak kurang pula peniaga-peniaga kecil serta sederhana yang menentangnya. Ada pula perniagaan yang dilaporkan terpaksa ditutup dan ada juga peniaga  yang membunuh diri.
13.  Tentu ada yang dari sebelah sana akan bertanya secara sinis: Jikalau awak menolak GST bagaimanakah  hendak menangani masalah defisit yang besar? Jawabnya mudah. Kita perlu melaksanakan cukai-cukai yang berbentuk progresif, yang lebih berat bebanannya ke atas golongan kaya dan senang. Kita boleh meneruskan cukai SST (cukai jualan dan perkhidmatan).
14.  Selain itu kita boleh memperkenalkan, dengan izin, Profit Gains Tax (cukai atas laba dari harta). Lebih penting lagi kita perlu berazam mengatasi masalah korupsi dan pembaziran, untuk menyelamatkan berbilion-bilion ringgit wang rakyat. Semua ini boleh dilaksanakan untuk mengutip lebih banyak lagi daripada cukai GST tanpa membebani golongan miskin dan susah.
1MDB DAN DERMA 2.6 BILLION
15.  Begitu banyak persoalan ditimbulkan oleh pelbagai pihak di dalam dan di luar negara mengenai 1MDB dan wang sebanyak RM2.6 bilion yang telah dimasukkan ke dalam akaun pribadi Perdana Mentri Najib Razak. Akan tetapi, tidak sepatahpun disentuh mengenai perkara ini dalam Ucapan Belanjawan Menteri Kewangan merangkap Perdana Mentri.
16.  Ada pihak yang menyatakan bahawa kedua-dua perkara ini tidak ada kaitannya dengan belanjawan. Mengapa tidak? Bukankah modal permulaan 1MDB sebanyak RM1 juta telah disediakan oleh Kerajaan? Bukakankan Perdana Menteri sendiri adalah Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB? Bukankah 1 MDB mempunyai hutang yang banyak dan perlu dijelaskan  dengan terang sama ada wujud atau tidak wang kerajaan, atau lebih tepat wang rakyat, yang digunakan untuk melunaskan sebahagian daripada hutang itu?
17.  Mengenai wang RM2.6 bilion itu, mula-mulanya akhbar dan media internet luar negara yang berwibawa mendakwa bahawa wang yang banyak itu berpunca daripada 1MDB. Bahkan didakwa juga bahawa wang hampir sebanyak itu juga telah disalurkan kepada seorang pedagang  Cina yang mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, iaitu Jho Low. Beliau sekarang di luar negara dan tidak diketahui di mana, walaupun baru-baru ini diberitakan beliau telah dapat di”interview” oleh SPRM.
18.  Buat beberapa waktu wang RM2.6 bilion tidak dijelaskan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dari mana datangnya. Selepas kira-kira sebulan baharulah dinyatakan ia merupakan derma daripada seorang kaya dari Timur Tengah. Derma itu dikatakan untuk parti pemerintah, sudah tentulah UMNO, akan tetapi tidak diketahui siapa dan untuk tujuan apa wang sebanyak itu diberi. Jikalau untuk parti, mengapakah wang dimasukkan ke dalam akaun pribadi Najib Abdul Razak?
19.  Tambahan kepada RM2.6 bilion ini, wang sebanyak RM42 juta daripada SRC International telah juga dimasukkan melalui syarikat Ihsan Perdana ke dalam akaun pribadi Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri. Berhubung semua peristiwa ini bukan saja Jho Low, akan tetapi empat orang pegawai Bank Negara dan SRC telah menghilankan diri, mungkin ke luar negara. Kenapa dan daripada apa mereka lari? Jikalau tiada kesalahan yang mereka lakukan, takkanlah mereka menghilangkan diri. Lagi pula tentu mereka mempunyai sumber yang banyak untuk menanggung mereka di tempat pelarian. Dari mana datangnya?
20.  Selain itu khabarnya sebelum sempat pendakwaan mahkamah terhadap salah laku oleh pembesar tertentu yang terlibat, beberapa tindakanan diambil untuk memastikan dakwaan ini dapat digagalkan. Peguam Negara dilucutkan daripada jawatannya dan digantikan dengan seorang kroni, perombakan kabinet dibuat dan empat orang ahli Jawatankuasa Akaun, yang sedang menjalankan siasatan diangkat menjadi Menteri dan Timbalan Menteri, dan dengan demikian kerja jawatankuasa ini terbantut. Dua orang pegawai SPRM yang sedang melakukan siasastan dipindahkan sekejap ke Jabatan Perdana Menteri. Seorang timbalan pengarah Cawangan Khas juga dipindahkan. Sekarang ini timbul pula skandal baru berkaitan pembunuhan kejam Kevin Morais, yang dituduh melibatkan pihak tertinggi yang sama.
21.  Kesemua persoalan ini perlu disiasat. Lebih-lebih lagi dengan wang RM2.6 bilion yang dikatakan derma yang dimasukkan ke dalam akaun pribadi Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan itu. Dimanakah  wang  itu sekarang? Di Kuala Lumpur? Di Singapura? Di Cayman Islands? Atau di mana? Soalan ini belum terjawab. Jikalau sebahagian daripadanya telah digunakan, untuk apakah ia digunakan? Kesemua ini bukanlah persoalan yang baru, bahkan telah dikemukakan berulang-ulang oleh pelbagai pihak.
22.  Baru-baru ini Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan berjanji akan memberi penjelasan tentang wang RM2.6 bilion itu pada hari akihir sidang Dewan Rakyat. Akan tetapi, pada saat akhir beliau kecut dan Timbalan Perdana Menteri dibenarkan menjawab bagi pihaknya. Malangnya TPM berucap hanya selama tiga minit dan tidak memberi jawapan seperlunya. Memang benar kerajaan membenarkan parti-parti politik menerima wang derma untuk kegiatannya. Akan tetapi mereka diperlukan memberi akaun lengkap yang telah diaudit. Adakah PM Najib Tun Razak atau UMNO telah berbuat demikian?
23.  Soal wang “derma” sebanyak RM2.6 bilion dan RM42 juta itu  perlu dijawab secara jelas, muktamad dan bertanggungjawab. Saya berpendapat ketika terbaik sekali untuk memberi jawapan ini ialah semasa Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri membentangkan ucapan belanjawan. Mengapa hendak bersembunyi? Bukankah tidak bijak hendak menutup bangkai gajah besar dengan nyiru kecil? Semua yang terlibat hendaklah disiasat dan dihadapkan ke mahkamah.  Jika sabit bersalah, mereka hendaklah dihukum dengan setimpal, tidak kira apa kedudukan atau pangkatnya.
PERUNTUKAN BERAT SEBELAH
24.  Pengurusan dan Pembangunan: Mengikut Belanjawan 2016, jumlah peruntukan seluruhnya ialah sebanyak RM267.2 berbanding dengan RM260.7 peruntukan dipinda 2015. Daripada jumlah tersebut RM215.2 bilion ialah untuk perbelanjaan Pengurusan, manakala RM52 bilion ialah untuk Pembangunan. Ertinya, cuma kira-kira 19 peratus daripada seluruh Belanjawan 2016 diperuntukkan bagi Pembangunan dan lebih kurang 81 peratus untuk Pengurusan.
25.  Kadar peruntukan Belanjawan 2016  seluruh negara bagi Pembangunan ini tersangat rendah, berbanding dengan Belanjawan 2016  Negeri Selangor, yang memperuntuk lebih kurang sama banyak di antara Pengurusan dengan Pembangunan. Sebagai negara membangun yang ingin mencapai taraf negara maju menjelang 2020, sepatutnya kadar yang lebih tinggi diperuntukkan bagi Pembangunan dalam Belanjawan 2016.
26.  Defisit: Selama 18 tahun, semenjak Anwar Ibrahim disingkir daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Mentri Kewangan, Belanjawan Negara mencatatkan defisit. Sepatutnya dalam keadaan ekonomi negara yang baik boleh dicapai belanjawan lebihan (surplus) dan dalam ekonomi negara buruk barulah dikemukakan belanjawan defisit.  Akan tetapi selama 18 tahun lalu, setiap belanjawan yang dibentang menunjukkan defisit saja.
27.  Menteri Kewangan dalam ucapannya membentang Belanjawan 2016 menyatakan kegembirannya kerana mencatat defisit sebanyak 3.1 peratus. Malangnya  angka ini boleh dikatakan palsu. Kenapa? Sebabnya ialah di setiap tahun kita melihat bekalan tambahan dikemukakan, bukan saja sekali bahkan dua kali. Saya percaya dalam 2016 nanti tentu akan dikemukakan bekalan tambahan. Bermakna jumlah dan kadar defisit akan bertambah lagi.
28.  Pemotongan Peruntukan: Kita lihat tadi bahawa belanjawan 2016 lebih sedikit saja daripada belanjawan 2016. Akan tetapi peruntukan bagi kementerian-kementrian tidak selaras, ada yang mendapat tambahan besar dan ada pula yang dipotong dengan banyak. Di antara kementrian yang mendapat peruntukan lebih besar ialah: Kementrian Teknologi dan Innovasi; Kementrian Wilayah Persekutuan; dan Kementrian Kommunikasi dan Multimedia. Segala penambahan tidaklah begitu besar, dalam kira-kira 10 peratus.
29.  Antara Kementrian yang dipotong peruntukannya ialah: Kementrian Perusahaan dan Perladangan; Kementrian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi danPenggunaan; Kementrian Pengangkutan; Kementrian Tenaga Teknologi Hijau dan Air; Kementrian Pelancongan dan Kebudayaan; Kementrian Kesihatan; Kementrian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementrian Sumber Manusia; Kementrian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementrian Dalam Negeri; dan Kementrian Pendidikan Tinggi. Secara perbanding pemotongan bagi kementrian ini lebih besar jumlah serta kadarnya daripada penambahan yang diperolehi kementrian-kementrian yang disebutkan tadi.
30.  Ada beberapa jabatan yang juga dipotong peruntukannya dengan banyak. Antaranya ialah: SPRM sebanyak RM42.5 juta aratu 14.4 peratus; Institut Integriti sebanyak RM5.7 juta atau 48.7 peratus dan Suhakam sebanyak RM5.4 juta atau 49.9 peratus. Saya ingin tahu: apakah asas pemotongan peruntukan bagi kementrian-kementrian dan jabatan-jabatan tersebut? Nampaknya semua jabatan dan sebahagian besar kementrian yang dipotong peruntukan itu adalah penting-belaka bagi memperbaiki kebajikan rakyat dan bagi melawan korupsi serta mempertahan hak asasi. Saya ingin bertanya: Apakah keutamaan Kerajaan Umno-Bn?
31.  Peruntukan Rendah Untuk Pertanian dan Desa: Saya telah berulangkali menyatakan tidak puas hati oleh kerana peruntukan belanjawan untk pertanian dan masyarakat tani yang secara perbandingannya adalah kecil. Jumlah peruntukan bagi Kementrian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementrian Pertanian dan Industri Asas Tani, dan Kementrian Perladangan dan Kommoditi ialah  RM16.9 bilion pada 2016. Jumlah ini lebih kecil berbanding RM18.3 bilion untuk 2015. Sudahlah peruntukannya kecil, bertambah merosot pula. Golongan petani di desa dan apatah lagi kawasan pendalaman adalah antara yang paling ramai termiskin. Majoriti mereka terdiri daripada golongan Melayu dan Bumiputra. Tidakkah kita mahu memberikan keutamaan kepada mereka?
32.  Kenapakah peruntukan bagi Jabatan Perdana Menteri lebih besar daripada seluruh peruntukan bagi ketiga-tiga kementrian ini. Saya mohon mendapat perincian perbelanjaan bagi tiap-tiap item (mengikut tajuknya) daripada jumlah besar peruntukan Jabatan Perdana Mentri itu. Adakah yang diberi untuk pebangunan masyakat desa dan pedalaman? Kalau ada kenapakah tidak di masukkan di bawah salah satu daripada tiga kementrian yang disebutkan di atas?
 33.  Masyarakat desa dan pedalaman menumpu kepada aktiviti pertanian, terutama sekali bersawah padi, mengusahakan kebun kecil getah, kelapa sawit dan buah-buahan. Kini hasil pertanian semakin kecil dari segi KDNK. Tanah semakin kurang dikerjakan. Bahkan kita lihat lebih banyak kawasan tanah terbiar. Seterusnya harga keluaran pertanian tidak stabil bahkan turun naik mengikut pasaran antarabangsa, dan ada kala harganya tersangat rendah.
 34.  Padi terutama sekali memberikan pendapatan yang kecil bagi petani. Kebanyakan sawah dikerjakan hanya sekali semusim. Perlu diberikan bantuan dan galakan supaya pewawah mengerjakannya bukan sekali akan tetapi dua kali, seperti dilakukan oleh kebanyakan sawah yang dikerjakan pesawah Cina di Tanjung Karang. Selain itu perlulah kerajaan memberi bantuan teknologi dan baja supaya para pewawah boleh meningkatkan produktiviti mereka.
35.  Tidak begitu bijak sekiranya harga beras dinaikkan untuk menambah pendapatan petani padi, kerana ia akan mengakibatkan beban yang lebih berat kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah di desa dan juga di bandar. Oleh kerana itu subsidi atau bantuan pendapatan hendaklah diberikan terus kepada petani-petani padi sendiri dan jangan kepada kilang-kilang dan syarikat-syarikat yang dimiliki golongan berada dan kroni-kroni besar yang menguasai industri pertanian padi.
36.  Apakah yang boleh dibuat untuk memperbaiki harga buah-buahan waktu musim jelak yang berlebihan. Saya fikir usaha hendaklah dijalankan oleh lembaga atau syarikat koperasi yang disokong kuat oleh pemerintah. Lembaga dan syarikat ini boleh diberikan tanggungjawab untuk membeli buahan supaya tidak berlambak tidak laku, dengan mengetinnya atau menjualnya ke luar negara. Sekarang ini ada buahan yang dijual melalui Singapura terutama sekali. Syarikat  dan koperasi negara kita sendiri harus mengambil alih urusan penjualan ini.
37.  Mengenai harga getah dan kelapa sawit yang tidak stabil dan menjejas pendapatan pekebun-pekebun kecil akbibat pengaruh pasaran dunia, usaha hendaklah dijalankan supaya kesan buruk pasaran dunia itu tidak sampai menjejas pekebun-pekebun kecil. Satu caranya ialah dengan membentuk lembaga penimbal yang boleh menyimpan stok untuk menstabilkan harga. Pada masa harga pasaran dunia turun, lembaga ini hendaklah membeli getah dan kelapa sawit dengan harga lebih baik dan menyimpan bahan-bahan itu di pusat penimbal. Kemudian, manakala harga di pasaran dunia meningkat tinggi, maka dilepaskan sedikit stok itu supaya dengan bekalan bertambah harga akan dapat diturunkan. Dengan demikian pendapatan pekebun-pekebun kecil dapat dilindungi daripada akbibat pasaran dunia yang tidak stabil.
38.  Di negara ini kita sudah lama dan masih banyak bergantung kepada import bahan-bahan pertanian yang diperlukan. Misalnya, sekarang ini negara kita mengeluarkan hanya  70-75 peratus daripada seluruh keperluan beras negara. Kerajan merancang dan menjangkakan kita akan mencapai tahap sara diri (self-sufficiency) pada 2020. Memandangkan apa yang sedang berlaku dalam usaha pertanian padi kini, saya kurang yakin matlamat ini akan dicapai.
39.  Kekurangan bekalan daging lebih teruk. Kita memerlukan 200,000  hingga 250,000 ton metrik daging. Akan tetapi seluruh negara berupaya mengeluarkan hanya kira-kira 50 ton metrik. Banyak yang kita perlukan, bukan saja daging akan tetapi juga susu, mentega dan buah-buahan.  Seharusnya pemerintah menggalakkan industri menternak lembu dan usaha mengeluarkan susu dan mentega. Akan tetapi hendaklah diadakan pengawalan dan pemantauan yang ketat supaya tidak berulang pengalaman buruk menyalah gunakan berjuta-juta ringgit untuk kepentingan diri dan keluarga.
 40.  Ada dua sebab besar mengapa perlu dicapai tahap sara diri dalam pengeluaran beras, daging dan susu itu. Dari segi keselamatan, adalah tidak selamat untuk sesebuah negara bergantung banyak kepada import dari negara lain kerana ini boleh menimbulkan masalah besar, tertutama sekali dalam keadaan bergolak atau tidak aman. Dari segi ekonomi pula, ia mengakibatkan pengaliran keluar wang yang banyak, yang boleh menjejas ekonomi negara. Tambahan lagi manakala nilai wang negara merosot turun, seperti yang berlaku sekarang ini, harga harang import naik, dan ini lebih berat membebankan rakyat berpendapatan rendah.
MASALAH PENDIDIKAN
41.  Sistem pendidikan kebangsaan sekarang ini sedang menghadapi krisis yang serius. Mutunya semakin menurun dan taraf pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik khususnya semakin merosot.  Kepercayaan terhadap sekolah kebangsaan semakin berkurang, terutama sekali dalam kalangan masyarakat Cina, di mana kira-kira 93 peratus murid-murid Cina pergi ke sekolah beraliran bahasa Cina. Selain itu desakan bertambah kuat, terutama dari kalangan golongan masyarakat atasan dan juga pertengahan, supaya pendidikan beraliran bahasa Inggeris diperkenalkan semula.
42.  Masyarakat Cina lebih mempercayai pendidikaan aliran Cina kerana menganggap mutu pelajarannya, terutama dalam bidang Sains dan Metematik, dan taraf disiplin murid-muridnya adalah lebih baik di sekolah jenis kebangsaan(Cina) daripada sekolah kebangsaan. Golongan yang mendesak supaya diperkenalkan semula pendidikan beraliran Inggeris berbuat demikian kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap pendidikan kebangsaan. Mereka menganggap bahwa pendidikan kebangsaan dalam bahasa Malaysia tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi dan sudah tentu akan gagal memberikan jaminan masa depan yang baik bagi anak cucu mereka.
43.  Usaha-usaha yang komited serta gigih hendaklah dijalankan bagi menaikkan lagi mutu pedidikan serta disiplin dalam sistem pendidikan kebangsaan. Sekiranya mutu pendidikannya lebih tinggi, terutama dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, dan mutu disiplin lebih baik, saya percaya lebih ramai ibubapa golongan Cina bertambah percaya untuk menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.
44.  Adalah diakui bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa yang berguna untuk mencapai kemajuan. Akan tetapi kita mesti ingat bahawa negara-negara China, Jepun dan Korea Selatan telah mencapai kemajuan yang hebat dari segi ekonomi dan bidang-bidang yang lain walaupun mereka tidak mengadakan aliran pendidikan dalam bahasa Inggeris.  Mereka tetap mengutamakan bahasa sendiri sebagai bahasa pengantar. Namun mereka berusaha hanya untuk memberi peluang serta galakan mempelajari bahasa Inggeris kepada yang perlu mendapatkannya untuk mencapai kemajuan, terutama di peringkat antarabangsa.
45.  Saya percaya tidak ada gunanya melayan mereka yang hendak menghidupkan semula pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Ini bukan caranya untuk membaiki bahasa Inggeris murid-murid. Lebih-lebih lagi saya berpendapat tidak perlu diperkenalkan semula pendidikan beraliran Inggeris. Yang perlu ialah untuk mengajar bahasa Inggerissebagai satu mata pelajaran. Bahkan juga bahasa-bahasa lain seperti bahasa Arab, Perancis, Jerman dan Jepun. Peluang mempelajari bahasa-bahasa ini hendaklah disediakan dengan baik di peringkat menengah atas dan universiti.
46.  Selain itu sekolah-sekolah kebangsaan hendaklah mewajibkan murid-murid mempelajari satu bahasa tempatan yang lain, iaitu selain daripada bahasa ibunda. Murid-murid Melayu hendaklah belajar bahasa Cina atau Tamil, murid-murid Cina hendaklah belajar bahasa Tamil dan murid-murid India haruslah mempelajari bahasa Cina. Ini dilakukan mulai peringkat rendah sehingga menenagah bawah. Pengetahuan bahasa-bahasa yang digunakan dalam negara ini sudah pasti membantu proses saling faham-memahami yang boleh memperkukuh integrasi negara dan perpaduan bangsa.
47.  Di samping bahasa-bahasa ini diajar, kerajaan serta masyarakat mesti berusaha menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan kukuh dan dihormati. Seperti dikatakan tadi, mutu sekolah-sekolah kebangsaan perlu diperbaiki sehingga menimbulkan keyakinan dalam kalangan ibubapa serta murid terhadapnya. Selain itu, rakyat negara ini mesti menunjukkan kepercayaan mereka terhadap bahasa kebangsaan dengan sering menggunakannya.
48.  Malang sekali pada masa ini golongan atasan yang berkuasa dan juga sesetengah mereka yang berjawatan tinggi dalam ekonomi dan pentadbiran tidak menunjukkan hormat yang sewajarnya terhadap bahasa kebangsaan kita. Mereka lebih suka menggunakan bahasa Ingeris dalam mesyuarat, menyampaikan ucapan dan bercakap melalui television dengan menggunakan bahasa Inggeris. Pada hal suasananya adalah lebih sesuai untuk menggunakan bahasa Melayu. Ini menimbulkan keadaan di mana bahasa yang disebut dalam perlembagaan sebagai Bahasa Kebangsaan itu tidak dihormati. Seharusnyalah mereka yang berkuasa dan berpangkat ini menunjukkan teladan yang positif.
PERKONGSIAN TRANS-PACIFIC (TPP)
49.  Akhir sekali, izinkan saya membincang soal TPPA atau Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik.
50.  Lebih setahun lalu, Mentri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berjanji di dewan mulia ini untuk memberi taklimat khas kepada ahli –ahli Senat. Setahu saya sehingga kini janji itu tidak dipenuhi. Sekarang Malaysia sudah menyatakan persetujuan dengan TPPA ini. Mentri menegaskan perjanjian ini hanya ditandatangani selepas Parlimen meluluskannya. Ini  merupakan kenyataan kosong kerana beliau mengetahui pak-pak turut kerajaan dalam Parlimen pasti akan meluluskannya dengan mudah.
51.  Berkali-kali ahli-ahli Parlimen dan juga masyarakat yang prihatin di luar sana meminta supaya kandungan perjanjian itu jangan dirahsiakan, kerana di Amerika Syarikat pihak korporat besar sentiasa diberikan maklumat tentang perkembangan perundingan TPP ini. Hanya baru-baru ini kita di sini mendapat akses kepada perjanjian tersebut. Itupun bukan atas inisiatif pihak kerjaan atau kementrian sendiri. Apa yang berlaku ialah sebuah mahkamah di New Zealand memutuskan supaya perjanjian itu dimaklumkan kepada umum. Perjanjian telah dimuatnaik dalam internet di New Zealand. Kita di sini mendapakannya daripada laman web mereka.
52.  Sekarang ini apa yang dibimbangi dulu tentang keburukan perjanjian ini sudah menjadi nyata. TPPA adalah salah satu daripada tiga T yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat untuk  memastikan ia dapat menguasai ekonomi dan perdagangan dunia, dan sekaligus mendominasi keselamatan dan politik global. Dua T yang lain ialah TTIP (Trans-Atlantic Investment Partnership) dan TIM (Trade in Services Agreement). Kedua-dua T ini masih belum mendapat persetujuan lagi. Beberapa buah negara di Eropa memberitahu bahawa mereka kecewa TPPA begitu cepat dipersetujui walaupun tidak memberi keuntungan besar kepada penanda-penanda tangannya selain AS.
53.  TPP sebenarnya bukan perjanjian perdagagan kerana hanya kira-kira setengah dozen daripada semua bahagian perjanjian itu melibatkan soal perdagangan. Lebih banyak lagi perkara lain. Banyak pihak mempercayai ia bertujuan untuk menyekat pengaruh perkembangan ekonomi negara Tiongkok demi mempertahan kepentingan serta hegemoni kekuasaan ekonomi dan politik AS. Dijangka yang paling untung daripada perjanjian ini ialah AS dan korporat-korporat meganya, manakala yang paling rugi sekali ialah rakyat serta negara-negara membangun, yang menjadi anggota TPPA itu. Ini termasuklah Malaysia.
54.  Di sini saya cuba terangkan hanya tiga dari lebih banyak kerugian yang bakal ditanggung oleh negara dan rakyat Malaysia. Pertama, seorang professor Amerika Syarikat yang pernah memenangi Hadiah Nobel bernama Stiglitz menjelaskan “Ahli ekonomi di Persidangan PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan, UNCTAD, meramalkan bahawa Malaysia akan menjadi ‘net tade loser’ (dengan izin) setelah menyertai TPP. Perbezaan nilai eksport berbanding dengan import, iaitu imbangan perdagangannya, akan merosot AS$17 bilion setiap tahun.” Ini bererti kita akan kerugian  kira-kira RM30 bilion setiap tahun.
 55.  Perkara kedua berhubung dengan harga ubatan. Perkara ini ada kaitannya dengan harta intelek (IP), di mana pemilik IP boleh mendapat untung yang banyak dengan menaikkan kadar perlindungan melalui pelbagai undang-undang. Hal ini berkaitan dengan paten. Pemilik IP boleh memonopoli pengeluaran ubatan dengan mempunyai paten selama lima tahun atau lebih. Dengan memiliki  paten syarikat-syarikat boleh menyekat pengeluaran dan penjualan ubatan lebih murah, yang merupakan ubatan generik. Jadi pesakit-pesakit terpaksa membeli dan menggunakan ubatan asal yang dikeluarkan dan dijual oleh syarikat-syarikat yang memiliki paten dan memonopoli pengeluaran dan penjualan ubatan asal.
 56.  Sekarang ini sesetengah ubatan generik untuk menyakit-penyakit seperti diabetes dan lemah jantung, misalnya, jauh lebih murah daripada ubatan asal yang diimport dari syarikat gergasi pengeluarnya. Ada kalanya perbezaan harga ubatan generik dengan ubatan asal lebih dari dua kali ganda, bahkan ada kalanya lebih daripada lima kali ganda. Jikalau ubatan generik disekat dalam pasaran, sudah tentulah ubatan asal yang diperlukan jauh lebih mahal sehingga di luar  kemampuan ramai pesakit.
57.  Untuk memberi untung besar kepada syarikat gergasi, nyawa pesakit yang miskin dan berpendapatan rendah terancam dan boleh jadi terkurban, melainkan ada cara pemerintah untuk memberi ubat asal percuma atau murah kepada mereka. Cara ini akan hanya menjamin keuntungan besar kepada syarikat besar yang memiliki paten dan tidak menurunkan harganya. Ada pihak yang mengatakan pada jangka panjang harga ubatan akan turun. Benar, ubatan asal mungkin turun harganya, akan tetapi tidak serendah harga ubatan generik, jika dibenarkan.
58.  Ketiga,TPP mengandungi mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara, dikenali sebagai ISDS. Melalui mekanisme ini pelabur asing boleh mendakwa sesebuah negara jika negara itu mengadakan peraturan yang dianggap oleh pelabur sebagai boleh mengakibatkan kerugian ke atasnya. Hakim ditentukan oleh pihak yang mendakwa dan perbicaraan dijalankan di luar negara hampir secara sulit. Undang-undang, peraturan dan kebiasaan negara didakwa, dan kewibawaan makamahnya tidak diendah. Dengan demikian kedaulatan negara itu tidak dihormati. Boleh dikatakan ini merupakan suatu penjelmaan penjajahan bentuk baru.
59.  Ini bukan satu andaian, bahkan sudah berlaku pada hakikatnya. Melalui mekanisme ISDS ini beberapa buah negara, antaranya  Australia, Argentina, El Salvador dan Kanada pernah dikenakan denda berpuluh bahkan beratus juta dolar selepas didakwa oleh syarikat-syarikat gergasi. “Kesalahan” yang konon mereka lakukan ialah, antara lainnya: membuat peraturan menjual rokok dalam kotok yang tidak bertanda apa-apa, membekukan bil tenaga yang mahal dan memansuhkan paten ke atas ubatan. Semua tindakan ini mereka ambil untuk melindungi kesejahteraan rakyat dan memastikan mereka tidak tertindas oleh syarikat-syarikat yang cuba mengambil keuntungan besar.
60.  Menteri pernah memberi jaminan bahawa peruntukan perlembagaan mengenai keistimewaan Melayu tidak terjejas setelah TPPA ditandatangani nanti. Saya tidak begitu yakin. Saya bimbang, sekiranya Malaysia cuba memperkenalkan sesuatu tindakan atas asas keistimewaan  untuk melindungi kepentingan sesetengah rakyatnya, maka apakah jaminannya sebuah syarikat gergasi yang merasakan kerugian daripada mengambil tindakan dengan menggunakan ISDS? Memang tepat sekali apa yang dikatakan oleh Profesor Undang-undang UM, Gurdial Singh:  dengan izin “What has our government agreed to? The establishment of a private justice system for foreign corporations – with no protection against corporate greed!”

61.  Penutup. Akhirul qalam, sebagai penutup, saya telah mengemukakan kritikan dan rasa tidak puas hati terhadap Belanjawan 2016. Oleh kerana itu saya menolaknya.

Terima kasih.
Dewan Negara

7hb Disember 2015

No comments:

Post a Comment