Wednesday, April 30, 2014

MEMBAHAS RANG UNDANG-UNDANG GST

TEKS KENYATAAN DI BAWAH INI MERUPAKAN UCAPAN DALAM DEWAN RAKYAT YANG TIDAK SEMPAT DIKEMUKAKAN 30 APRIL 2014.

1. Perbahasan saya tidak menumpu secara khusus kepada rang undang-undang GST (Goods and Services Tax atau Cukai Barang dan Perkhidmatan) yang dibentang. Saya menentang GST dilaksanakan sekarang. Oleh itu saya menolak rang undang-undang ini.
2. GST dikenali juga sebagai VAT (Value Added Tax). Ia bertujuan untuk memungut cukai. Ia adalah untuk menggantikan SST (Sales and Services Act). GST dikenakan ke atas semua orang kerana semua barang dan perkhidmatan yang digunakan dikenakan cukai. Sebaliknya, boleh dikatakan SST lebih dikenakan kepada mereka yang berpendapatan lebih tinggi.
3. Walaupun umumnya GST mempunyai kelebihan, namun pada masa sekarang dan dalam keadaan yang wujud kini, saya berpendapat ia belum sesuai dilaksanakan.
4. Waktu membentangkan Belanjawan beberapa bulan lalu, YAB Perdana Menteri berhujah bahawa 152 daripada 193 negara anggota Bangsa-bangsa Bersatu menerima dan melaksanakan GST. Jadi tentulah ia baik dan baguslah jika kita turut melaksanakannya juga.
5. Hujah ini tidaklah begitu kukuh. Kita dapati dalam dunia ini ada kira-kira 80 peratus negara yang menetapkan umur kurang daripada 21 sebagai kelayakan untuk mengundi. Begitu juga 87 pihak daripada kesemuanya menandatangani International Convenent on Elimination of all Forms of Racial Discrimination. Mengapa kita tidak ikut?
6. Seperti diumumkan oleh YAB Perdana Mentri juga dalam ucapan yang sama, Kerjaan akan melaksanakan GST mulai 1hb April 2015, iaitu dalam tempoh setahun lagi. Saya tidak mengetahui mengapa rang undang-undang ini dibentangkan agak awal. Adakah kerana ura-ura himpunan rakyat pada 1hb Mei?
7. GST merupakan cukai banyak peringkat yang dikenakan ke atas barang-barang dan perkhidmatan yang digunakan. Barang-barang dan perkhidmatan itu boleh dibuat atau dikeluarkan dalam ataupun luar negara. Akan tetapi ia tidak termasuk yang diexport.
8. Yang dimaksudkan dengan cukai dikenakan banyak peringkat ialah bahawa cukai tidaklah dikenakan hanya pada peringkat akhir, iaitu semasa dibeli untuk penggunaan. Bahkan sebaliknya, cukai dikenakan pada tiap peringkat dalam rantai bekalan dari kilang hingga sampai kepada peruncit dan pengguna.
9. Terdapat senarai beberapa produk yang tidak dikenakan cukai Gst - daripada beras dan tepung hingga belacan dan cencalok.Tapi ini cuma merupakan pembebasan cukai pada peringkat akhir saja. Pada semua peringkat pengeluaran sebelumnya cukai sudah dikenakan. Contohnya, untuk pengeluaran beras cukai dikenakan untuk jentera membajak, baja digunakan, minyak untuk pengangkutan dll. Begitulah dengan produk-produk lain.

10. GST adalah satu jenis cukai yang regresif. Ertinya bebannya adalah lebih berat semakin rendah pendapatan, ringan bagi golongan kaya dan berat bagi golongsn miskin. Sudah barang tentulah ini tidak adil.
11. Misalannya, beban cukai bagi orang berpendapatan RM10 ribu sebulan yang berbelanja RM5 ribu adalah lebih ringan daripada bagi orang berpendapatan RM3 ribu yang berbelanja RM2.5 ribu untuk barang dan khidmat yang digunakan. Hal ini akan dijelaskan kemudian.
12. PM telah menyebutkan bahawa kadar cukai GST ialah sebanyak 6 peratus, walaupun ini tidak disebut dalam rang undang-undang ini. Bererti orang yang berbelanja RM5 ribu akan membayar cukai sebanyak RM300 daripada pendapat RM10 ribunya, manakala yang berbelanja RM2.5 ribu akan membayar cukai RM150 daripada pendapatan  RM3 ribunya.
13. Sebenarnya cukai GST yang dimulakan dengan cukai 6 peratus itu adalah agak tinggi. Singapura telah bermula dengan 3 peratus saja, walaupun sekarang, setelah beberapa tahun, sudah naik. Ada pula negara seperti Korea, yang tidak menaikkan cukainya lebih 15 tahun.
14. Tidak sepatutnya negara ini membebankan semua rakyat, terutama sekali mereka yang berpendapatan rendah, dengan memungut cukai melalui GST. Ada pelbagai cara lain untuk menambah cukai, akan tetapi ini belum dikaji.
15. Antaranya ialah: mengenakan kadar cukai khusus ke atas syarikat-syarikat yang terlibat dengan industri ‘berdosa’ seperti rokok, minuman keras dan perjudian; cukai ke atas keuntungan besar yang diperolehi secara mendadak (windfall profit tax); menyelaraskan cukai supaya lebih progresif dengan mengenakan cukai lebih tinggi kepada yang paling kaya, dll.
16. Sebenarnya GST tidak wajar dikenakan apabila masih meluas berlakunya korupsi atau ketirisan. Satu jenis ketirisan teruk yang  berlaku di kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan dijelaskan dalam Laporan Ketua Audit. Jumlah kerugian ialah antara 20-30 bilion setahun. Jika ini boleh dikawal GST tidak perlu.
17. GST juga tidak patut dilaksanakan manakala kadar pendapat masih rendah. Mengikut angka Kerajaan sendiri, 78.6 peratus dari pada penduduk negara ini berpendapatan kurang daripada RM3 ribu sebulan. Majoritinya Melayu/Bumiputera. Selain itu 38 peratus daripada pekerja berpendapatan kurang daripada RM860 sebulan.
18. Hutang seisi rumah pula tinggi. Anak-anak muda yang baru keluar universiti dan bekerjapun sering terbeban dengan hutang yang banyak – hutang pelajaran, hutang beli kereta, mungkin hutang beli rumah dan juga agaknya hutang hendak kawin. Pada penghujng 2012 jumlah hutang seisi rumah ini ialah RM754.6 bilion, iaitu 80.5 peratus daripada KDNK. Tertinggi di Asia.
19. Kadar perdapatan di negara ini lambat meningkat. Sebaliknya pula harga barang keperluan naik dengan cepat pula. Oleh kerana itu GST akan menjadikan bebanan lebih teruk lagi ke atas golongan berpendapatan rendah, terutama sekali yang miskin. Itulah sebabnya ia mesti ditolak buat sementara ini.
30 Mei 2014


No comments:

Post a Comment