Wednesday, May 21, 2014

MEMBAHAS RANG UNDANG-UNDANG SARAAN HAKIM


Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Seperti kita ketahui, institusi kehakiman ini adalah institusi yang sangat penting dan boleh merupakan satu faktor yang utama dalam menentukan sama ada wujud keadilan dan demokrasi atau tidak dalam sesebuah negara. Tanggungjawab hakim adalah sangat berat dan hakim diperlukan bertindak dengan penuh keadilan. Seperti yang disebutkan tadi, dan saya setuju, tanggungjawab mereka melibatkan kerja dan tugas bukan sahaja pada waktu kerja tetapi juga di luar waktu kerja. Oleh kerana itu, memang berpadananlah mereka diberikan gaji yang tinggi dan pencen yang tinggi juga. Sehubungan dengan ini, saya lihat dan sangat puas hati bahawa penyelarasan telah dilakukan terutama sekali untuk memberikan pencen kepada mereka yang meletakkan jawatan pada umur 60 tahun yang sebelum ini tidak wujud.

Memanglah kita harus memberikan penentuan kepada mereka yang sudah pun berkhidmat lima tahun. Akan tetapi yang baiknya ialah bagi mereka yang meletakkan jawatan, sama akan mendapat pencen juga sebagaimana mereka yang tamatkan perkhidmatan mereka pada umur 66 tahun. Saya mesti mengaku Tuan Yang di-Pertua bahawa saya tidak begitu jelas tentang berapa sebenarnya pencen atau kadar pencen yang diperoleh oleh para hakim. Akan tetapi saya mendapat kesan seolah-olah daripada pindaan ini bahawa pencen yang mereka dapat adalah sama dengan gaji terakhir yang mereka terima. Kalaulah demikian, satu perkara yang baik. Satu perkara yang baik juga apabila diadakan kadar tambahan setiap tahun sebanyak 2% sebagaimana yang diterima oleh pegawai-pegawai kerajaan yang lain.

Nampaknya, selain daripada 2% itu, jika ada keperluannya, maka Yang di-Pertuan Agong boleh menaikkan kepada kadar yang lebih daripada 2% bergantung kepada kategori-kategori tertentu dengan tidak misalnya menyatakan selari dan selaras kepada semua.

Berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong, saya ingin mengesyorkan bahawa kadar yang akan dinaikkan itu mestilah disesuaikan dengan kadar inflasi dalam sesebuah negara ataupun negara ini. Jadi yang saya maksudkan ialah bukan sahaja harus ada flexi wage, iaitu gaji yang fleksibel yang disesuaikan dengan kenaikan indeks harga, taraf hidup tetapi mungkin perlu juga ada flexi pension yang disesuaikan dengan taraf hidup itu. Dengan demikian, bererti bahawa kenaikan ini bila disesuaikan dengan taraf hidup, akan memastikan bahawa hakim itu akan mempunyai taraf hidup yang tidak lebih rendah daripada kenaikan harga barang-barang dan indeks kos hidup negara ini.

Saya setuju bahawa pencen hakim itu sepenuhnya seperti gaji mereka walaupun dalam hal ini saya hendak menyelitkan sedikit rasa kekesalan, walaupun tidak begitu relevan. Kekesalan bahawa Ahli-ahli Senate, misalnya, yang berkhidmat untuk satu term, mereka hanya mendapat satu perempat pencen daripada elaun yang mereka terima. Akan tetapi itu adalah perkara selitan yang tidak begitu relevan. Ini kerana saya katakan baik untuk pencen yang tinggi bagi hakim kerana ia akan menentukan bahawa dalam keadaan pencen, hakim tidak memerlukan sumber atau punca pendapatan yang lain. Saya kira kalau inilah, maka telah diadakan satu kod etika hakim pada tahun 2009 dan dalam seksyen 9, quote ini saya baca di sini; ”Seorang hakim akan pada masa pelantikan atau mana-mana masa kemudiannya sekiranya diminta oleh Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan membuat pengisytiharan bertulis semua asetnya kepada Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan”.

Jadi ertinya kalau saya faham di sini, mana-mana masa kemudiannya termasuklah masa pencen. Ertinya sekiranya ada tugas atau jawatan ataupun penglibatan dengan business yang dilakukan oleh hakim yang sudah pencen, maka perlulah dilaporkan perkara ini. Saya tidak tahu dan
saya ingin tahu berapa ramaikah misalannya hakim-hakim yang telah terlibat dengan kerja-kerja lain sama ada sebagai pengarah ataupun apa sahajalah. Profesor atau sebagainya. Kalau ada, adakah mereka sudah melaporkan ataupun adakah mereka telah diminta untuk melaporkan punca-punca pendapatan mereka yang lain ini.

Saya menimbulkan perkara ini oleh kerana saya lihat sebagai satu contoh sahaja, seorang Bekas Ketua Hakim keenam negara ini yang bersara pada 9 September 2011 telah dilantik menjadi Pengerusi Astro Malaysia Holdings Berhad. Isteri beliau pula telah dilantik sebagai seorang pengarah kepada Emrail Sdn. Bhd. yang mendapat kontrak sebanyak RM2 bilion untuk membina jalan yang sekarang ini controversial di Petaling Jaya iaitu KIDEX. KIDEX ini ialah Lebuhraya Kinrara-Damansara. Kebetulan pula seorang peguam sebuah parti pemerintah juga mendapat kedudukan sebagai pengarah di situ.

Jadi, oleh kerana peguam ini telah berhujah di hadapan Hakim ini dalam soal politik berkaitan dengan pemindahan kuasa di Perak maka timbul banyak tuduhan, banyak persepsi. Saya harap, tuduhan ini tidak akan berlaku. Satu cara tidak berlaku ialah supaya tidak ada misalnya keperluan untuk mereka mendapat sumber-sumber pendapatan yang lain dan mencukupi hanya dengan pencen yang mereka peroleh, yang saya harap akan diletakkan pada peringkat yang tinggi. Apabila misalnya ada persepsi yang salah atau tuduhan yang tidak benar, atau benar apatah lagi, maka ia akan menurunkan taraf dan martabat hakim itu. Kita lihat misalnya bagaimana buruknya berlaku kontroversi apabila timbul tuduhan bahawa seorang lagi Ketua Hakim telah bercuti bersama-sama dengan seorang peguam di New Zealand. Peguam ini telah mengakui pada 18 Januari 2008 bahawa memang benar mereka telah bercuti bersama sungguhpun beliau menyatakan bahawa itu hanya secara kebetulan. Pengakuan yang dibuat ini iaitu oleh Datuk VK Lingam pada 18 Januari 2008 telah dibuatnya sebagai suatu testimoni dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja yang telah dibentuk oleh kerajaan untuk menyiasat satu tuduhan ataupun sesuatu dakwaan. Dakwaan itu timbul apabila muncul video yang menunjukkan peguam ini atau VK Lingam ini telah berbicara dan berbual dengan seorang lain lagi Ketua Hakim tentang pelantikan hakim-hakim.

Jadi, tiga Ketua Hakim ini seolah-olah terlibat dalam perkara yang agak kontroversial dan berhubung dengan kes Suruhanjaya Siasatan Diraja tadi di mana VK Lingam dituduh dan disiasat. Suruhanjaya ini telah bersidang pada tahun 2007 hingga 2008. Selain daripada menuntut siasatan tentang hal perbualan itu, ia juga menuntut siasatan menyeluruh ke atas 112 dakwaan korupsi penyalahgunaan kuasa dan salah laku kehakiman terhadap 12 hakim yang dibuat oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi waktu itu yang kemudiannya telah dibuang kerja.

Jadi, ini sangat penting. Ketua Hakim mengikut lazimnya adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan beliau dilantik dengan nasihat Perdana Menteri. Apa yang menjadi masalahnya ialah sekiranya kebetulan Ketua Hakim itu dipilih oleh sebab-sebab lain daripada merit. Umpamanya kerana hubungan politiknya atau pendirian beliau dan sebagainya. Ini akan mempengaruhi lagi kehakiman itu. Saya mengakui bahawa sistem kehakiman kita pada keseluruhannya dalam negara ini adalah adil. Kita dapat mengemukakan banyak contoh tetapi kita tidak mahu misalnya ‘Oleh kerana nila setitik maka rosak santan sebelanga’. Soal kehakiman ini, soal keadilan ini adalah penting bukan sahaja kerana itu memang tugas kehakiman tetapi dikehendaki oleh banyak agama. Dalam Islam misalnya al-Quran menyatakan... [Membaca sepotong ayat al-Quran] Ertinya, apabila kamu menghakimkan antara manusia maka hendaklah kamu bersifat adil. Ada ayat lagi mengatakan Allah menyeru supaya kita...

[Membaca sepotong ayat al-Quran] Kita adil dan berihsan. Jadi dengan demikian, setinggi-tinggi martabat, setinggi-tinggi integriti mesti ditunjukkan oleh hakim untuk bersesuaian dengan kehendak profesionnya dan kehendak ajaran agama juga.

Oleh kerana itulah, saya menganggap bahawa pelantikan Ketua Hakim itu mesti difikirkan apa caranya supaya ia boleh lebih bebas daripada hanya misalnya nasihat daripada Perdana Menteri. Adakah kita hendak pergi kepada Parlimen? Adakah kita hendak tubuhkan satu badan atau commission yang boleh menentukan pelantikan itu atau sebagainya? Saya tidak tahu lagi dan saya tidak fikirkan lagi tetapi perkara ini harus difikirkan. Sebabnya ialah kerana mengikut sistem yang ada sekarang ini, Ketua Hakim itu menentukan hakim-hakim yang lain yang harus mendengar kes-kes tertentu. Kita bimbang misalannya kalau berlaku dan saya harap ini tidak berlaku, di mana Ketua Hakim menentukan hakim-hakim untuk memastikan sesuatu kes itu dimenangi.

Ada hakim, ini yang saya katakan nila yang setitik tadi, ada hakim misalnya yang mahukan pangkat lebih tinggi dan gaji lebih tinggi dengan harapan pencen lebih tinggi, yang mungkin mengkompromikan profesion mereka, mengkompromikan keadilan dengan misalnya keperluankeperluan atau tekanan politik dan sebagainya. Kita harap ini tidak berlaku tetapi…

Dato’ Lim Nget Yoon: Boleh beri laluan?
Timbalan Yang di-Pertua: Ada yang hendak mencelah Yang Berhormat. Silakan.
Dato’ Lim Nget Yoon: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat.
Tentang kehakiman di negara kita ini adil. Hanya sedikit itu tidak adil. Adakah Yang Berhormat
maksudkan yang sedikit itu ialah tentang keputusan kesalahan yang dijatuhkan kepada Ketua Pembangkang? Itukah maksud Yang Berhormat? Terima kasih.

Dr. Syed Husin Ali: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kalau itu yang dimaksudkan, saya sebut dan lebih daripada itu yang ada. Ini misalnya kita ada banyak kes umpamanya di mana ada keputusan diambil dalam Mahkamah Rayuan yang bertentangan dengan keputusan yang dibuat di Mahkamah Tinggi. Salah satu kesnya ialah yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi. Akan tetapi banyak kes lain. Ada misalnya seorang yang bernama Abdul Malik yang telah ditahan di bawah ISA dan semasa ditahan, semasa disoal, beliau bukan sahaja dipukul tetapi dipaksa meminum kencing polis. Oleh kerana itu beliau telah mengambil tindakan dalam mahkamah dan menang dengan RM2.5 juta. Akan tetapi selepas itu di appeal dan hakim-hakim appeal itu ditentukan oleh Ketua Hakim dan diterbalikkan keputusan itu. Dia tidak dapat RM2.5 juta tetapi sebaliknya kena bayar kos RM50,000pula. Ada kes misalnya seorang Adun di Perak yang tidak hadir beberapa lama dan digugurkan kedudukannya dan didapati bersalah Akan tetapi di appeal. Waktu appeal okey, tidak payahlah saya bagikan contoh-contoh lain, saya akan serahkan nanti apa-apa dokumen yang ada, kerana hari itu saya telah diminta untuk berikan dokumen yang lengkap dan saya akan serahkan kepada Tuan Yang di-Pertua. Jadi itu antara contohnya.

Tentang Ketua Hakim itu, antara yang saya anggap misalnya sebagai nila yang setitik tadi ialah Ketua Hakim yang saya sebutkan pergi holiday bersama peguam VK Lingam. Peguam ini terlibat dengan video dan kemudian mengakui tentang hal itu dan dibentuk suruhanjaya. Akan tetapi malangnya suruhanjaya itu telah membuat laporan, telah mendengar banyak pandangan, telah membuat perakuan tetapi kebanyakan daripada perakuan itu tidak diterima oleh pemerintah.


Jadi, dengan keadaan demikian, kita tidak membetulkan sesuatu yang salah dengan misalannya menerima perakuan-perakuan Suruhanjaya yang kita sendiri bentuk, maka, tentulah keadaan tidak akan bertambah baik. Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya seperti yang saya sebutkan tadi mengakui bahawa sebenarnya taraf kehakiman secara keseluruhan adalah tinggi dan kita harus sokong. Dengan demikianlah, maka saya menyokong pindaan bagi persaraan hakim ini. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment