Sebahagian dari punca kenaikan harga adalah kekurangan bekalan berbanding permintaan dari dalam dan luar negeri. Ini mengakibatkan perumahan menjadi satu komoditi rebutan dan dimanipulasi oleh spekulator hartanah. Menurut National Property Information Centre (NAPIC), bekalan rumah baru dalam setahun di seluruh negara adalah kira-kira 100,000 unit, manakala keperluan di Kuala Lumpur dan sekitarnya sahaja menjangkau 1 juta unit jika populasi setempat meningkat dari 6 juta kepada 10 juta menjelang tahun 2020 seperti dijangka oleh PEMANDU (Datuk Alan Tong K.M. dalam StarProperty.my pada 10 Ogos 2013) .
Beberapa program telah diperkenalkan kerajaan dalam usaha mengubah keadaan ini bagi membolehkan rakyat memiliki rumah. Antaranya adalah Skim Rumah Pertamaku serta Skim Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia. Ucapan ini bertumpu kepada Skim Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia. Skim ini membolehkan rakyat yang kurang berkemampuan memiliki rumah sendiri setelah melalui beberapa proses yang digariskan. Skim Rumah Mesra Rakyat adalah di bawah pengurusan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Berdasarkan sedikit sebanyak maklumat yang di kumpul melalui sumber yang ada di ruang maya, Skim Rumah Mesra Rakyat telah diperkenalkan mungkin seawal 2002 dan telah dijenamakan semula sebagai Skim Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia. Dilaporkan SPNB telah meluluskan 31,311 permohonan dan 17,479 rumah telah siap dibina, antaranya, Johor (4920 unit), Kelantan (4813 unit), Terengganu (4756 unit) dan Perlis (800 unit). Satu jumlah yang agak besar.
Di bawah program ini, pemohon yang berjaya akan ditawarkan sebuah rumah bernilai kira-kira RM65,000 dengan potongan RM20,000. Rumah tersebut perlu dibina atas sebidang tanah yang dimiliki oleh pemohon atau tuan tanah yang memberikan keizinan untuk binaan rumah di atas tanah mereka. Pembayaran rumah adalah melalui ansuran bulanan RM150 selama 26-30 tahun. Permohonan dilakukan melalui wakil rakyat tempatan, biasanya wakil rakyat UMNO atau pejabat cawangan UMNO.
Penerima yang berjaya wajib menandatangan perjanjian gadaian dengan SPNB Construction Sdn. Bhd. di mana hak milik tanah tersebut menjadi taruhan. Jika mana-mana penggadai dan/atau penerima biaya memungkiri salah satu dari sembilan (9) syarat-syarat yang dikenakan, termasuklah gagal membayar satu atau lebih ansuran atau mati sebelum tamatnya tempoh perjanjian atau menyelesaikan baki pembiayaan, maka pemegang gadaian (SPNB) serta-merta berhak mendapatkan kembali jumlah wang yang masih terhutang, termasuklah dan tidak terhad kepada tindakan perlelongan, seperti yang terkandung dalam peruntukan Kanun Tanah Negara.
Apa yang menjadikan perjanjian gadaian ini satu perjanjian syaitan (Pact with the Devil) adalah kerana tanah yang menjadi cagaran tidak terhad kepada tapak rumah sekangkang kera yang berukuran antara 700-866 kaki persegi, sebaliknya merangkumi keseluruhan geran tanah di mana rumah tersebut di bina. Sebagai contoh, jika rumah tersebut dibina di atas geran tanah seluas 2 hektar, maka keseluruhannya akan tergadai jika berlaku kemungkiran seperti yang dinyatakan. Jika tanah tersebut dimiliki oleh beberapa pemilik selain daripada pemohon, kesemua pemilik perlu bersetuju atas pegangan gadaian dan berisiko kehilangan hartanah yang sedia ada. Jika berasaskan bilangan 30,000 unit yang dirancang di mana jika setiap unit dibina di atas tanah seluas 1 ekar maka SPNB memegang gadaian sekurang-kurangnya 30,000 ekar.
Saya berpendapat peraturan ini sangat zalim. Kerajaan dikatakan mahu membantu golongan yang tidak memiliki rumah, akan tetapi ia boleh mengakibatkan kehilangan milik tanah, jikalau syarat-syarat yang dikenakan tidak dapat dipenuhi. Saya ingin tahu sejak bila syarat ini telah dikenakan dan sila berikan maklumat berapa kes penggadaian atau kehilangan milik yang telah berlaku. Sekiranya belum berlaku sebarang kes penggadaian atau kehilangan tanah, saya menggesa agar peraturan ini difikirkan semula untuk diubah supaya tidak menjadi beban yang berat kepada mereka yang sangat-sangat berharap untuk membina rumah, terutama sekali dari kalangan mereka yang susah atau berpendapatan rendah.
No comments:
Post a Comment