Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang. Akan tetapi sebenarnya saya tidak akan mengambil banyak masa sangat. Perbahasan saya ini terbahagi kepada dua bahagian. Pertama ialah mengemukakan beberapa pandangan yang umum dan bahagian keduanya saya akan cuba secara khusus pergi kepada peruntukan-peruntukan tambahan yang telah dibuat.
Berhubung dengan bahagian pertama, ada lima perkara yang saya hendak sebutkan. Pertama ialah kita lihat bahawa tambahan bekalan ini ialah kira-kira sebanyak RM15 bilion daripada sekarang ini berjumlah RM216 bilion. Secara mental, dapat saya lakukan kira-kira ini lebih daripada 7%. Bererti penambahan ini akan meningkatkan lagi defisit yang dihadapi oleh kerajaan dalam soal belanjawan. Selama lebih 15 tahun, defisit tidak dapat dikurangkan apatah lagi untuk dihapuskan. Tiap-tiap kali kita mengadakan perbekalan tambahan, maka defisit akan meningkat. Saya tidak secara mutlak menolak perlunya perbekalan tambahan tetapi asas perbekalan tambahan itu hendaklah kuat dan saya nampak ada asas-asasnya yang tidak begitu kuat dalam tambahan ini, dalam defisit ini.
Bukan sahaja soal perbekalan tambahan ini yang akan meningkatkan defisit, bahkan ada perkara lain. Ini saya pergi kepada perkara kedua iaitu Laporan Audit Negara. Kita dibekalkan dengan begitu tebal sekali Laporan Audit Negara dan saya tidak tahu sama ada dapat dibaca ataupun tidak, masanya ada ataupun tidak. Akan tetapi meninjau komen-komen yang dibuat oleh kementerian dan jabatan-jabatan tertentu, kita nampak bahawa memang berlaku banyak perkara yang berulang-ulang tiap-tiap tahun. Saya dalam Dewan ini sudah hampir empat tahun dan saya rasa tiap-tiap tahun masalah yang sama ditimbulkan. Janji yang sama dibuat tetapi ada usaha sebenarnya yang berkesan untuk mengatasinya.
Misalnya kita dibertiahu kali ini tentang betapa tingginya harga yang dikenakan kepada sesetengah barang. Jam umpamanya. Selain daripada itu, ada juga harga-harga yang berlainan bagi barangan yang sama seperti CCTV. Perkara ini berlaku dahulu , sekarang ini berlaku lagi. Perkara ini dijanjikan untuk diatasi tetapi sekarang ini berulang sekali lagi. Jadi saya ingin tahulah apa Jabatan Perdana Menteri terutamanya sekali Kementerian Kewangan akan lakukan secara efektif untuk memastikan tahun hadapan, kalau tidak dapat luput semua sekali, sekurang-kurangnya mesti berkurangan. Ini kerana apabila harga yang terlalu tinggi, berganda-ganda lima hingga sepuluh kali ganda harga pasaran dikemukakan sebagai perbelanjaan, maka ini tentulah akan meningkatkan, meninggikan defisit berterusan.
Perkara ketiga ialah , dan ini berkaitan juga dengan peningkatan defisit, berkaitan dengan adanya pembayaran yang lebih besar dibuat daripada yang ditetapkan. Ini berlainan dengan benda-benda kecil yang saya sebutkan tadi yang ada dalam belanjawan. Akan tetapi ada juga belanjawan yang termasuk dalam sistem kewangan negara ini yang kadang-kadang tidak dapat kita terima dengan akal yang munasabah.
Saya ambil contoh misalnya MRT. MRT ini memanglah tidak termasuk dalam belanjawan tetapi ia termasuk dalam sistem kewangan negara. Pada mulanya setahusaya, seingat saya MRT ini meliputi Kuala Lumpur dan Pulau Pinang untuk menambah baik sistem transport di seluruh tempat ini. Perbelanjaan yang dianggarkan pada waktu itu ialah sebanyak RM25 bilion. Akan tetapi sekarang ini, penambahbaikan sistem pengangkutan ditumpukan terutama sekali kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur - Greater Kuala Lumpur. Kita nampak misalnya, belanjanya satu ketika kita diberitahu sudah meningkat kepada RM50 bilion.
Akhir-akhir ini saya mendapat maklumat dan saya ingin meklumat ini kalau boleh dipastikan atau disahkan oleh pihak kementerian iaitu perbelanjaannya sudah meningkat kepada RM90 bilion. Jadi bagaimanakah dalam masa yang begitu singkat, begitu tinggi sekali peningkatan harga projek yang seperti itu.
Ini tentu sekali akan melibatkan bukan sahaja soal hutang yang berpanjangan, yang berat tanggungan kerajaan bahkan juga ia boleh menimbulkan berbagai-bagai persoalan. Adakah penambahan ini kerana betul-betul harga barang yang naik atau betul-betul pampasan ini harus dibayar ataupun kerana ada elemen komisen dan sebagainya yang melibatkan angka-angka yang besar. Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya rasa perkara seperti ini haruslah kita awasi supaya tidak berlakunya bukan sahaja soal defisit tetapi soal perbelanjaan negara yang berhemah.
Perkara keempat secara umum yang saya hendak katakan dan ini perkara yang sudah sering saya sebutkan iaitu tentang sifat perbekalan tambahan ini yang menunjukkan seolah-olah tidak ada rancangan yang teliti. Maka oleh kerana tidak ada rancangan yang teliti bagi perbelanjaan, ditambah besarkan lagi dengan tambahan. Soal tidak teliti ini ialah kerana nampaknya tidak ada unjuran yang dilakukan secara saintifik atau secara realistik. Kita lihat ini terutama sekali dengan gaji, emolumen, sentiasa tambahan perbelanjaan melibatkan emolumen, pencen dan ada kalanya perkara-perkara yang lain.
Dalam soal ini, saya rasa sekiranya sebelum pembentangan belanjawan, dianggarkan betul-betul apa yang hendak dibelanjakan dan diketahui betul-betul macam manakah dan apakah peningkatan pendapatan misalnya gaji polis atau askar dan sebagainya. Tentulah itu dapat dimasukkan kepada belanjawan yang asal dan kita tidak perlu menambahnya kemudian. Melainkan misalnya perkara ini tergesa-gesa dilakukan. Oleh kerana pilihan raya sudah dekat, kita pun hendak tambah gaji, maka tidak dapat masukkan itu dalam anggaran belanjawan kita yang pertama.
Kelima dan akhir tentang komen umum saya ini ialah wujudnya angka-angka yang menunjukkan bahawa tambahan yang diminta itu jauh lebih besar daripada anggaran yang diluluskan. Saya tidak tahu macam mana ini boleh berlaku. Anggaran sepatutnya jauh melebihi daripada tambahan. Tambahan itu harus lebih kecil daripada anggaran tetapi ini jauh lebih besar dan saya harap dapat diterangkan dan saya akan kemukakan secara terperinci apabila saya membincangkan bahagian kedua.
Sekarang ini izinkan saya Tuan Yang di-Pertua pergi ke bahagian kedua iaitu secara terperinci. Pertama ialah perbendaharaan iaitu bayaran pampasan. Sebanyak RM88 juta dan waran khas telah dikeluarkan untuk membayar RM86 juta adalah untuk bayaran tuntutan dan pampasan atas perintah mahkamah. Jadi ertinya RM88 juta adalah untuk pampasan dan bayaran melalui mahkamah.
Saya ingin tahu berapakah jumlah bayaran pampasan yang terbesar dan kepada siapa? Selain itu, berapakah kes-kes yang kita kalah di mahkamah sehingga kita terpaksa membayar pampasan-pampasan tersebut. Kedua ialah T.14 iaitu pencen, elaun bersara dan ganjaran. Sekali lagi di sini kita dapati bahawa hampir sama banyaknya iaitu RM800 juta adalah dimohon untuk bekalan tambahan. Anggaran belanjawan yang telah diterima ialah kira-kira RM1 bilion. Jadi, ini tambahan sebanyak 80%. Hakikat ini menjelaskan lagi apa yang saya sebut secara umum tadi bahawa seolah-olah tidak ada perancangan, tidak ada unjuran yang dilakukan. Maka sehingga kita terpaksa membuat tambahan yang besar untuk ganjaran tambahan, pencen dan yang lain-lain tadi.
Pergi ke maksud B.6 pula ini perkara yang telah disebut oleh pembicara awal tadi iaitu penambahan sebanyak RM30 juta kepada AlHijrah. Saya tahu bahawa program AlHijrah banyak juga yang baik dan memberikan manfaat kepada umum. Akan tetapi saya juga diberitahu bahawa AlHijrah ini kononya adalah milik seorang hartawan Melayu. Seolah-olah diumumkan bahawa beliaulah pemilik terbesar. Dalam perbekalan tambahan yang lalu saya ingat bahawa jumlah RM30 juta telah diperuntukan sebagai tambahan untuk AlHijrah, kali ini RM30 juta lagi.
Jadi, adakah bererti tiap-tiap kali nanti dibayar atau tiap-tiap tahun dibayar peruntukan dibayar sebanyak RM30 juta kepada AlHirah ini? Ini saya rasa perlu dijelaskan juga ataupun adakah misalnya perkara ini akan berlaku sekali dua ini sahaja sebagai permulaan dan akhirnya nanti boleh AlHijrah berjalan terus dengan menanggung perbelanjaan sendiri atau ditanggung sebagai orang yang dikatakan sebagai sponsornya.
maksud B.42, Kementerian Kesihatan. Bagi rawatan perubatan dan ini ialah berkaitan dengan perkhidmatan dan bekalan terutamana sekali ubat-ubatan. Memanglah perlu kadang-kadang ditambah belanja seumpama ini. Akan tetapi saya ingin juga membuat peringatan bahawa jikalau TPPA diluluskan maka harga ubat-ubatan akan bertambah mahal sebabnya ialah ubat-ubatan yang boleh kita dapat murah sekarang ini akan naik harganya kerana tidak dibenarkan ubat-ubatan yang disebut sebagai generic medicine.
Maksud B.60, Kementerian Pertahanan. Ini yang saya katakan tadi tentang bekalan tambahan yang diminta adalah jauh lebih besar daripada anggaran permulaan, anggaran yang diluluskan. Pertama misalnya, pentadbiran dan dasar pertahanan. Jumlah yang diluluskan ialah sebanyak RM5 juta dan RM3 juta tetapi bekalan hendak ditambah ialah sebanyak RM66.5 juta dan RM22 juta. Iaitu kira-kira 12 kali yang satu dan kira-kira tujuh kali yang satu lagi. Mengapakah berlaku perkara ini? Anggaran yang diluluskan bagitu rendah sekali dan perbelanjaan yang begitu mahal sekali, begitu tinggi sekali. Ini termasuklah penyelenggaraan dan kelengkapan pertahanan ruang udara iaitu dari RM14 juta tambahan diminta RM40 juta dan kita nampak ini adalah sangat besar. Bagaimanakah, eolah-olah kelihatan tidak ada perancangan dalam hal ini? Bagaimanakah dan apa sebab kah , seolah-olah tiada unjuran yang tepat dilakukan untuk membolehkan bekalan tambahan tidak berlaku sedemikian rupa.
Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya lihat bahawa peruntukan terutama sekali untuk menaikkan gaji polis, askar dan sebagainyamelibatkan perbelanjaan sebanyak RM3 bilion. Saya gembira kerana adanya usaha , langkah-langkah untuk menaikkan gaji ini. Sebenarnya saya lebih mengharapkan bukan sahaja naik gaji ataupun pencen mereka bahkan diberikan kemudahan-kemudahan perumahan, perubatan dan kalu boleh persekolahan juga. Terutama sekali bagi anak-anak pegawai polis dan askar sebagaimana yang dikatakan tadi telah memberi khidmat yang cemerlang kepada negara. Jadi Tuan Yang di-Pertua, setakat itulah sahaja dua bahagian yang saya hendak jelaskan secara umum dan secara khusus. Terima Kasih
No comments:
Post a Comment