Friday, December 7, 2012

UCAPAN SYED HUSIN ALI MEMBAHAS BELANJAWAN 2013 DI DEWAN NEGARA PADA 6HB DISEMBER 2012


Sekarang izinkan saya membahaskan belanjawan yang baru-baru ini dibentang oleh Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri.  Saya akan menumpukan bahsan terutama kepada dua perkara, iaitu ekonomi dan pendidikan, kerana yang lain-lain akan dibahas oleh teman-teman seperjuangan saya

EKONOMI

1. PERTAMA sekali, seperti kita maklumi, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2013 ialah sebanyak RM251.67 bilion. Nampaknya Belanjawan ini disasarkan kepada PIlihanraya Umum ke-13 dan oleh itu tidak begitu “prudent” dan “sustainable. Kelihatan terlalu banyak gula-gula yang diberikan kepada semua orang, sesetengah di antara mereka tidak memerlukannya sama sekali. Kita lihat pihak Kerajaan perlu menstruktur semula kedua-dua hasil Pendapatan dan Perbelanjaan.

2. Kita lihat daripada Belanjawan ini, Anggaran Perbelanjaan Mengurus terlalu tinggi, iaitu RM201.92 (atau 80.2 peratus), manakala Anggaran Perbelanjaan Pembangunan cum RM49.75 (atau 19.8 peratus).Memang menggembirakan bahawa jumlah sebenar Belanjawan daripada 1999 sehingga 2013 telah bertambah. Akan tetapi, Perbelanjaan Pembangunan bertambah kecil. Antara 1999-2003 jumlah untuk Mengurus ialah RM302.42 bilion, manakala untuk Pembangunan ialah RM60.48 bilion. Antara 2004-2008 jumlahnya naik kepada RM512.60 bilion untuk Mengurus dan 102.52 bilion untuk Pembangunan. Aantara 2009-2013 julahnya naik lagi kepada RM838.80 untuk Mengurus dan RM167.76 untuk Pembangunan.

3. Saya merasa kurang senang kerana peruntukan bagi Pembangunan dalam Belanjawan 2013 ini agak kecil, iaitu kurang sedikit dari seperlima jumlah peruntukan bagi Mengurus. Lebih lagi tidak senang saya melihat bahawa trendnya ialah semakin menurun kadar peruntukan bagi Pembangunan, berbanding  dengan Mengurus. Misalnya, pada tahun 2000, 2001, 2002 dan 2003, peruntukan bagi Mengurus ialah masing-masing sebanyak kadar 32, 32, 33 dan 34 peratus. Pada 2010, 2011, 2012 dan 2013 pula, ia menurun lagi kepada 28, 23, 22 dan sekarang 20 peratus.

4. Adakah ini bererti bahawa perhatian kepada Pembangunan semakin merosot? Jikalau begitu ini adalah buruk dan berbahaya bagi kemajuan Negara. Peruntukan atau perbelanjaan bagi Pembangunan  merupakan pelaboran yang boleh membwa kepada pembangunan atau kemajuan Negara  pada jangka panjang; ertinya ia meletakkan batu asas bagi pertumbuhan akan datang.  Ini tidak dapat dilakukan dengan baik oleh perbelanjaan Mengurus.

5. Saya tidak bermaksud bahwa Kerajaan perlu memotong perbelanjaan Mengurus hingga mengakibatkan penurunan gaji atau pembuangan kerja yang tidak sewajarnya. Yang saya maksudkan ialah peningkatan perbelanjaan Pembangunan harus berlaku supaya kadar penambahan perbelanjaan itu tidak semakin berkurang, bahkan seboleh-bolehnya kadar perbelanjaan Pembangunan harus semakin bertambah untuk menjamin pelaboran dan kemajuan.

6. Yang sangat merunsingkan ialah daripada keseluruhan Belanjawan 2013 ini, 53 peratus ialah untuk apa yang dikatakan “locked-in expenses” – dengan izin, atau perbelanjaan terkunci. Daripadanya emolument (24 peratus), pencen (5 peratus) membayar hutang (9 peratus) dan subsidi (15 peratrus).  Tiada banyak dilakukan untuk menstruktur semula perbelanjaan terkunci ini. Kategori emolument dan pencen merupakan 30 peratus daripada keseluruhan Belanjawan. Pada 2012 terdapat kenaikan emolument sebanyak 18 peratus (tiga kali kadaar inflasi), berikutan kenaikan gaji dan bonus sebulan setengah bagi pegawai perkhidmatan awam. Malangnya kenaikan itu tidak diikatkan dengan kenaikan produktiviti.

7. Banyak gula-gula yang diberi merupakan pemindahan wang yang tidak efisien kerana tidak disasarkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Misalnya RM250 sebagai pemindahan tunai dan RM250 bagi pelajar-pelajat “tertiary” – dengan izin yang diberi kepada semua tanpa mengambil kira peringkat pendapatan mereka. Begitu juga dengan rebat “smartphone” bagi belia berumur 21-30 tahun.

8. Seterusnya terlalu banyak “transfer” kepada GLC (6 peratus daripada Belanjawan) dan tidak cukup pula bagi kerajaan-kerajaan negeri (3 peratus). Bekalan dan khidmat pula pukul rata merupakan 13 peratrus daripada seluruh belanjawan. Di sini terdapat terlalu banyak pemborosan dan boleh dikurangkan sekiranya dapt dikurangkan korupsi.

9. Di segi Hasil Pendapatan pula, Kerajaan terlalu bergantung kepada petroleum dan gas sebagai sumbernya, yang merupakan 34 peratrus daripada seluruh hasil pendapatan. Kita harus ingat tidak lama lagi mungkin sumber minyak petrol pupus. Oleh itu perlulah diluaskan “basecukai. Sekarang ini, daripada 5 juta pembayar cukai berdaftar, hanya 1.7 juta sebenarnya membayar cukai. Cuma 20 peratus daripada warga Malaysia menyumbangkan hanya 11 peratus daripada Hasil Pendapatan Kerajaan.

10. Lain-lain sumber Hasil Pendapatan perlu dicari – misalnya cukai harta “real estate” – dengan izin, mungkin boleh dinaikkan untuk tidak menggalakkan spekulasi di pasaran perumahan. Begitu juga cukai “estate duty” boleh dinaikkan, walaupun ini mungkin akan dianggap sebagai langkah yang tidak popular.

11. KEDUA, ialah berkaitan defisit dalam Belanjawan Persekutuan. Oleh kerana pengurusan Belanjawan yang tidak baik, defisit fiskal telah berlaku pada 41 daripada daripada 44 tahun dari 1970 hingga 2013.   Belanjawan surplus pernah berlaku sebelum 2009 semasa Timbalan Perdana Menteri waktu itu menjadi Menteri Kewangan. Masa itu difisit sentiasa kurang daripada 2.0 peratus KDNK. Menteri Kewangan merangkap PM dalam Belanjwawan 2013 menganggarkan defisit akan menurun kepada 4.0 peratus berbanding 4.5 peratus pada tahun 2012. Kerajaan Persekutuan mengatakan komited untuk terus mengurangkan ke defisit fiskal yang lebih rendah.

12. Sekiranya kita buat perbandingan kadar defisit Belanjawan Negara ini dengan kadar defisit di Negara-negara lain, kita mendapat gambaran yang kurang menyeronokkan. Misalnya, mengikut statistik yang dikemukkan oleh Bank Dunia untuk tahun 2011 (kerana tidak ada statistik selepasnya), kita dapati bahawa kadar defisit Belanjawan Malaysia ialah kira-kira 4.5 peratus  daripada KDNK. Ini boleh dikatakan tinggi apabila dibandingkan dengan beberapa buah Negara lain seperti Indonesia (1.2 peratus), Singapura (1.3 peratus), Korea Selatan (1.5 peratus), Thailand (1.5 peratus) Taiwan (2.3 peratus) dan Vietnam ( 2.6 peratus). Negara-negara yang lebih tinggi kadar defisitnya daripada Malaysia kebanyakan dari Afrika dan China serta India dalam Asia.

13. Saya tidak begitu yakin bahawa Kerajaan sekarang boleh berjaya mengurangkan kadar difisit sebagaimana yang diharapkannya.  Ada dua sebabnya.  Satu, sudah menjadi kebiasaan Kerajaan mengadakan Belanjawan Tambahan dan jikalau jumlah pendapatan Negara tidak dapat menghambat jumlah perbelanjaan, tentu sekali kadar defisit akan bertambah. Dua, kita dapati biasanya perbelanjaan untuk beberapa projek tertentu lebih tinggi daripada yang dianggar lebih awal atau lebih besar daripada yang sewajarnya. Ini menunjukkan kemungkinan berlakunya pembaziran dan korupsi.

14. Antara contoh projek ini aialah: (i)  Kenderaan RIMV dibeli dengan harga tiga kali ganda harga sewajarnya;  (ii) Alat AES dibeli dengan harga 10 kali ganda harga di Amerika; (iii) Jalan sepanjang 0.9km dari Yayasan ke DUN Sabah berharga RM14.9 juta; (iv) Istana yang mula-mula dianggar RM500 juta akhirnya meningkat kepada kira-kira RM1 bilion; (v) Harga RM3.8 bilion untuk kapalselam Scorpene yang dibayar Malaysia lebih tinggi daripada yang dibayar oleh India (RM2.8 bilion) dan Chile (RM2.0 bilion);  (vi) Metroline 50Km yang hendak dibina dianggar berharga RM50 billion, berbanding dengan yang di Houangzhou (China) sepanjang 48Km tetapi berharga hanya RM11.8 bilion.

15. Apabila berlaku defisit, maka cara mengatasinya ialah sama ada dengan mencetak wang tambahan baru ataupun menambah hutang dalam dan luar Negara. Saya tidak mengetahui jika pencetakan wang tambahan baru telah berlaku atau tidak. Akan tetapi umum mengetahui bahawa dalam beberapa tahun yang lalu jumlah hutang semakin bertambah. 

16. Pada tahun 2012, jumlah hutang Negara ialah RM456.1 bilion bersamaan 53.8 peratus daripada KDNK. Angka ini sudah menghampiri parar 55 peratus, yang dianggap suatu paras yang bahaya dari segi ekonomi. Mengikut Belanjawan 2013 ini, Negara membayar 8.9 peratus daripada jumlah perbelanjaan, sebanyak RM249.7 bilion, untuk bayaran khidmat hutang. Ini jauh daripada perbelanjaan untuk pertanian.

17. Kebanyakan hutang Kerajaan adalah dalam Ringgit, hanya 4 peratus dalam wang asing. Satu trend yang harus membimbangkan kita ialah hutang kerajaan yang dipegang oleh orang/syarikat asing bertambah dengan banyak. Pada tahun 2003 ia kurang daripada 1 peratus, akan tetapi pada tahun 2011 telah meningkat kepada 23 peratus. Trend ini menunjukkan hutang Kerajaan Malaysia tinggi permintaannya di kalangan asing, akan tetapi bahayanya ialah ia mempertingkat risko pelarian atau penghantaran keluar modal. Dalam keadaan kriisis, hal ini boleh menggugat kestabilan ekonomi dan kewangan.   

18. KETIGA, Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri dengan bangga menyatakan bahawa “Ekonomi Negara telah diletakkan di landasan pertumbuhan mapan ke arah transformasi sebagai sebuah Negara maju berpendapatan tinggi”. Namun beliau tidak menyebut tempoh yang dianggarkan perlu untuk mencapai matlamat ini. Berdasarkan kepada data dan fakta yang dapat dikumpul setakat ini, nampaknya tidak mungkin ia boleh dicapai apabila matahari Wawasan 2020 mula menyinsing.

19. Jikalau kita ambil pendapatan perkapita sebagai kayu ukur kita melihat beberapa perkara yang masih mengecewakan. Mengikut statistik yang dikumpul oleh World Bank, pendapatan perkapita Malaysia pada tahun 2010 ialah USD10,095 dan angka ini telah merosot kepada USD8,373 pada tahun 2013. Jika disbanding pula dengan pendapatan perkapita beberapa buah Negara di rantau ini untuk tahun 2013, kita dapati angkanya: Singapura ialah USD46,029 (lebih lima kali ganda), Taiwan USD22,373 (hampir tiga kali ganda) dan Korea Selatan USD22,075 (hampir tiga kali ganda jua). Pada hal, selepas  mencapai Merdeka, Malaysia serta tiga Negara ini mempunyai pendapatan perkapita hampir sama.

20. Apabila pendapatan perkapita Malaysia merosot di antara 2010 dengan 2012, sebagaimana yang disebut tadi, kita dapati sebaliknya bahawa pendapatan perkapita di tiga-tiga Negara ini telah meningkat dalam tempoh yang sama.  Antara tahun 2010 hingga 2013 peningkatan pendapatan perkapita bagi Negara-negara tersebut ialah: Singapura daripada USD39,410 kepada USD46,029, Taiwan  daripada USD19,155 kepada USD22,337, dan Korea Selatan daripada  USD 19,720 kepada USD22,075.

21. Bukan dari segi pendapatan perkapita saja Malaysia tertinggal ke belakang Singapura, Korea Selatan dan Taiwan, yang menjadi saingan sebayanya menjelang kemerdekaan dulu. Pendapatan perkapita  boleh dianggap sebagai mencerminkan kemajuan yang telah dicapai terutama sekali dalam bidang perindustrian, perdagangan dan perkhidmatan. Kita lihat bahawa dalam ketiga-tiga bidang ini Malaysia keciciran juga dibandingkan dengan tiga Negara tersebut.

22. Kita harus mengkaji dengan teliti kenapa hal ini berlaku. Dan pemerintah terutama sekali harus membuat rancangan pembangunan yang lebih berkesan untuk memastikan kemajuan yang dicapainya pesat dan jurang di antara Malaysia dengan Negara-negara di rantau ini, yang pesat membangun sekarang, dapat dirapatkan dan bukan menjadi bertambah lebar.  

23. KEEMPAT, Dalam Belanjawan 2013 ini didakwa “bahawa  ekonomi Malaysia merupakan ekonomi berteraskan rakyat” dan “kesejahteraan rakyat pula telah dipertingkatkan secara berteruskan”.  Walaupun ada sedikit kebenaran tentang dakwaan ini, akan tetapi pada pandangan saya ia masih belum memuaskan. Dalam susunan dan sistem sosio-ekonomi sekarang  ini kita melihat lebih banyak keistimewaan, kemudahan dan bantuan diberi untuk lebih menguntungkan golongan atasan yang kaya-raya daripada golongan bawahan dan juga pertengahan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

24. Dari segi kemudahan asasi kita lihat bahawa masyarakat bandar, di mana kebanyakan orang berpendapatan tinggi bertumpu lebih ramai mendapat kemudahan asas  yang baik daripada masyarakat desa di mana majoriti berpendapatan rendah bertumpu. Lihat saja di mana sekolah dan hospital terbaik didirikan dan di mana jalan, elektrik dan air yang paling memuas disediakan. Selain itu mereka yang mampu di bandar lebih mudah menghantar anak ke sekolah swasta dan isteri ke hospital swasta yang canggih belaka dan sudah tentulah mahal.

225. Seterusnya, lihat pula bagaimana segelintir kapitalis bilioner Melayu dan bukan Melayu, kebanyakan kroni dan suku-sakat pemimpin besar pemerintah dengan mudah mendapat tanah luas di sekitar bandar (seperti di Sentul  - YTL dan Tropicana - VT), bukit serta gunung (seperti pusat judi di Genting - LGT)  dan pulau (seperti pulau Redang -VT). Sebaliknya, mereka yang miskin dan tidak bertanah terpaksa menunggu bertahun-tahun dan akhirnya tidak juga mendapat tanah sekangkang kera untuk dikerjakan sebagai punca kehidupan. Begitu juga golongan pertengahan yang sentiasa mengharapkan sejengkal tanah untuk dijadikan tapak rumah selalu hampa dan kecewa.

26. Ada pula yang mendapat pelbagai syarikat atau badan yang diswastakan – seperti pos, proton, gula, beras, pelabuhan dan mungkin keretapi juga nanti sehingga menjadi pemilik monopoli yang besar (SB). Ada yang mendapat subsidi sampai RM20 bilion untuk mengusahakan IPP misalnya (YTL). Selain itu ada yang mudah mendapat hutang bank hingga beberapa orang kapitalis kroni ini (termasuk  AK dan SB) boleh mendapat kemudahan kredit sampai RM40-50 bilion seorang . Sebaliknya seorang buruh atau kerani berpendapatan rendah  tidak akan diberi kemudahan pinjaman bank untuk membeli rumah murah kerana mereka tidak mempunyai apa-apa jaminan. Dan subsidi gula, minyak dan sebagainya yang diheboh-hebohkan sebagai didapati golongan berpendapatan rendah diperolehi juga oleh mereka yang kaya-raya.

27. KELIMA ialah Kemiskinan. Dalam Belanjawan 2013 perkataan kemiskinan disebut hanya tiga kali. Baik sedikit kerana dalam Belanjawan 2012 ia tidak disebut samasekali. Saya harap ini tidak mencerminkan bahawa Kerajaan tidak memandang masalah kemiskinan sebagai serius. Memang benar bahawa kadar kemiskinan Negara ini rendah dan keadaannya tidak seburuk yang wujud di beberapa Negara di rantau ini. Mengikut angka rasmi yang terakhir diperolehi bagi tahun 2009, kadar kemiskinan di Senenanjung ialah 3.8 peratus, manakala di  Sarawak 5.3 peratus dan di Sabah pula 19.7 peratus. Sebenarnya kadar kemiskinan paling tinggi dalam Negara ialah di Sabah, di mana terdapat sumber kekayaan yang banyak dimiliki beberapa orang yang paling kaya.

28. Sebebarnya, kadar kemiskinan atau bilangan orang yang dianggap miskin itu boleh berubah-ubah mengikut paras ataupun garis kemiskinan yang digunakan. Garis kemiskinan bagi seluruh Malaysia sekarang ialah RM800; bererti seisi yang berpendapatan kurang dari jumlah ini dianggap miskin. Tetapi, oleh kerana wujud taraf hidup yang berbeza di Semenanjung, Sarawak dan Sabah, maka Kerajaan menetapkan garis kemiskinan yang berbeza untuk Semenanjung (RM763), Sabah (RM1048) dan  Sarawak (RM912). Adakah oleh kadar kemiskinan Sabah adalah lebih besar oleh sebab garis kemiskinannya lebih tinggi?

29. Walau apapun, sebenarnya berbanding dengan taraf hidup di Malaysia sekarang ini, garis kemiskinan pada pendapatan RM800 bagi seisi rumah adalah terlalu rendah dan oleh itu patut dinilai semula. Adalah lebih realistik jika garis kemiskinan di Negara ini diletak pada paras RM1500 seisi rumah sebulan.  Pada garis ini maka angka rasmi Kerajaan sendiri menunjukkan kira-kira 40 peratus daripada seluruh isi rumah dalam Negara ini terletak di bawah paras kemiskinan. Seperti yang kita semua ketahui mereka ini terdiri daripada semua golongan kaum, akan tetapi sebilangan besar daripada mereka ialah Melayu/ Bumiputra. Golongan terbesar yang di bawah garis kemiskinan ini adalah dari Sabah. Golongan miskin dalam Negara inilah yang sepatutnya menjadi sasaran untuk pembangunan dan kemajuan.

30. Untuk mengatasi masalah kemiskinan ini tidak cukup dengan usaha tampal sulam atau memberi bantuan/sumbangan kecil sekali sekala dan yang besar 50 tahun sekali menjelang pilihanraya umum. Yang perlu dilakukan ialah menganjak penumpuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah, bukannya mengayakan lagi segelintir yang sudah kaya. Ini dapat dilakukan dengan cara memberi peruntukan kewangan jauh lebih besar bagi membantu dan menyediakan projek-projek untuk menaikkan taraf hidup serta memberi pekerjaan baru kepada golongan tersebut. Selain itu, peruntukan belanjawan harus lebih besar lagi untuk menyediakan kemudahan-kemudahan sosial yang asas, seperti sekolah dan hospital percuma sepenuhnya bagi orang miskin dan berpendapatan rendah, dan jalan serta perhubungan pengangkutan lebih murah bagi mereka. Bantuan dan subsidi istimewa harus diberi kepada golongan kemiskinan tegar.

31. Walaupun dalam Belanjawan 2013 peruntukan bagi pembangunan pertanian ditambah, namun ia masih jauh daripada mencukupi. Dalam sector pertanian terdapat ramai yang miskin. Yang sedihnya sebahagian besar daripada peruntukan itu ialah untuk Mengurus bukannya untuk Pembangunan.  Keadaan ini mesti segera diubah.  

PENDIDIKAN
32. Sekarang izinkan saya berpindah kepada Pendidikan. Ramai yang mengakui, walaupun ada juga yang menafikannya, bahawa Pendidikan di Negara ini menghadapi pelbagai masalah. Salah satu masalah yang besar ialah kemerosotan mutunya. Ini dapat kita lihat dengan jelas pada peringkat Universiti. Tahun lalu tidak ada sebuah universitipun dari Negara ini yang mencapai tempat dalam senarai 400 buah universiti terbaik dalam dunia mengikut Times Higher Education (THE) Ranking .

33. Universiti-universiti di Asia yang mencapai kedudukan teratas dalam senarai THE Ranking itu ialah University Tokyo,  National University of Singapore dan University of Hongkong.  Bahkan university-universiti di Thailand dan Filipina pun ada yang termasuk dalam senarai, walaupun kedudukannya tidaklah sebaik  tiga buah universiti tersebut. Pada hal, 4-5 tahun dahulu ada university di negar kita ini yang berjaya termasuk dalam senarai 200 buan university terbaik.

34. Saya memang bersetuju kita tidak boleh terlalu bergantung kepada atau dipengaruhi oleh badan seperti THE Ranking bagi menilai kedudukan universiti-universiti kita. Lebih penting daripada berusaha matian-matian untuk menaikkan ranking universiti-universiti kita, kita harus memastikan dua perkara. Adakah mereka berjaya memberikan sumbangan yang cemerlang kepada ilmu pengetahuan? Adakah mereka berjaya memberikan sumbangan yang bererti kepada kemajuan mesyarakat serta pembangunan Negara? Jikalau kedua-dua perkara ini tercapai dengan memuaskan, maka dengan sendiri mutu atau ranking universiti-universiti kita akan meningkat.

35. Berdasarkan pencapaian universiti-universiti  yang cemerlang, kita boleh simpulkan untuk mencapai matlamat memperbaiki “ranking” dan meningkatkan mutu sumbangan universiti tempatan, perlu ada sekurang-kurangnya syarat-syarat berikut. Pertama, perlu ada peruntukan kewangan yang lumayan bagi membawa masuk skolar-skolar cemerlang yang boleh memandu atau bekerjasama dengan skolar-skolar tempatan untuk melaksanakan penyilidikan terbaik dan menghasilkan penerbitan serta hasil penyelidikan yang bertaraf tinggi.

36. Kedua, pimpinan universiti hendaklah berkelayakan cemerlang, berani meneroka jalan baru serta mempunyai visi. Ketiga, tiada campur tangan politik dan/atau sebarang sekatan undang-undang yang boleh mengekang perkembangan  universiti sebagai pusat ilmu yang bebas. Keempat, perlu wujud Autonomi dalam bidang-bidang kewangan, pentadbiran dan akademik universiti. Kelima, hendaklah digalak komuniti pelajar yang berani bersaing sihat untuk mencapai kecemerlangan dan mempunyai sifat-sifat kritikal serta kreatif.

37. Kemerosotan mutu pendidikan bukan di peringkat universiti saja, bahkan berlaku juga di peringkat sekolah rendah dan menengah. Mutu pendidikan ini paling buruk terutama di kawasan desa dan apatah lagi kawasan pedalaman yang miskin. Di kawasan-kawasan ini majoriti penduduknya adalah Melayu/Bumiputera. Sebagai contoh, kita ambil Sabah.  Kita telah melihat bahawa dalam negeri ini keadaan kemiskinan paling meluas; di sini ramai rakyat yang hidup miskin dalam negeri yang boleh dikatakan kaya.

38. Di Sabah terdapat 1070 buah sekolah rendah dan 215 buah sekolah menengah. Terdapat 283 sekolah tidak selamat yang melibatkan masalah struktur dan pendawaian elektrik. Terdapat 449 buah sekolah rendah dan 40 buah sekolah menengah  yang Daif – bangunan lama yang tidak terselenggara. Terdapat 12 sekolah rendah dan 18 buah sekolah menengah yang menumpang. Terdapat 85 buah sekolah rendah dan 11 buah sekolah menengah yang kerap dilanda banjir. Terdapat 114 buah sekolah yang tidak mempunyai bekalan elektrik 24 jam dan oleh itu tidak guna dibekalkan dengan komputer. Terdapat 104 buah sekolah tidak mempunyai bekalan air bersih. Angka-angka ini saya kutip daripada kertas kerja “Ke Arah Memperkasa Pendidikan di Sabah” oleh Abdul Rahman Yakub.

39. Persekitaran serta alat sekolah yang serba daif pasti menimbulkan akibat yang buruk ke atas mutu pendidikan. Tidak kurang seriusnya pula kebanyakan sekolah ini tidak mempunyai guru-guru yang terlatih baik dan bermotivasi tinggi. Bahkan di beberapa kawasan bandar pun di Sabah dan Sarawak terdapat ramai murid yang memasuki Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina), yang dianggap lebih tinggi mutunya, lebih berdedikasi gurunya, lebih baik sistem pengajarannya dan lebih baik mutunya  daripada kebanyakan Sekolah Kebangsaan, terutama dalam Matematik dan Sains.  

40. Bercakap tentang matapelajaran Matematik dan Sains ini, kita dapati bahawa ada tanda-tanda yang menunjukkan  bahawa tarafnya – dari segi pembelajaran dan pengajaran – semakin merosot di peringkat sekolah rendah dan menengah. Sebuah badan antarabangsa membuat kajian tentang “Trends in International Mathematics and Science Study” (TIMSS) empat tahun sekali ke atas murid-murid di tahun ke-4 dan ke-8 di seluruh dunia. Berdasarkan kajian ini pada tahun 2003 Malaysia tersenarai di tempat ke-10. Akan tetapi, pada 2007 kedudukannya turun kepada yang ke-20. Saya tidak sempat melihat kedudukannya pada tahun 2011. Akan tetapi, mengikut seorang teman yang melihatnya, kedudukan Malaysia sudah merosot kepada kedudukan ke-50.

41. Guru-guru sekolah sekarangpun nampaknya kurang minat dan dedikasinya. Di setengah negara guru dipilih dari kalangan siswazah yang terbaik; umpamanya di Finland mereka yang diambil menjadi guru adalah dari kalangan lima peratus yang teratas. Akan tetapi di Negara kita, profesi perguruan kelihatan – terutama sekali di kalangan lelaki – sebagai pilihan terakhir, setelah gagal memasuki perkhidmatan awam misalnya. Keadaan ini perlu berubah. Siswazah yang baik-baik hendaklah digalak dan dilatih menjadi guru dan gaji serta syarat kerja untuk  profesi mulia ini hendaklah lumayan dan menarik.

42. Guru besar hendaklah seorang yang mempunyai dedikasi yang tinggi. Sekarang ini ada guru besar yang tidak menumpukan sepenuh masa dan perhatian kepada sekolahnya dankebajikan guru serta muridnya. Ada yang kadang-kadang sering mengambil masa patut bertugas untuk mengekori atau melayan pegawai tinggi dan pemimpin politik, terutama yang bertaraf Menteri. Ini ada kaitannya dengan amalan melantik guru besar dari kalangan mereka yang mempunyai hubungann politik tertentu. Amalan ini, jika betul berlaku hendaklah diberhentikan.

43. Sekarang ini terdapat kelas-kelas khas untuk memberi pendidikan kepada OKU (Orang kurang upaya), daripada mereka yang mengalami autisme kepada dyslexia. Akan tetapi saya dapati kelas-kelas ini tidak mencukupi dan biasanya terletak di bandar-bandar. Ada di antara guru-gurunya yang kurang atau tidak terlatih sama sekali. Saya harap lebih banyak peruntukan akan disediakan bagi membuka lebih banyak kelas pendidikan khas ini dan lebih ramai guru yang diberikan latihan untuknya. Kelas-kelas ini tidak boleh ditumpukan hanya di kawasan-kawasan bandar.

44. Akhirnya, izinkan saya menyentuh sedikit tentang pendidikan di peringkat pra-sekolah, iaitu tadika. Ada sesetengah tadika yang diselenggarakan dengan tujuan perdagangan semata-mata, dengan guru atau pengasuhnya tidak mempunyai latihan. Ada tadika yang terlalu menekan aspek belajar, sehingga terlalu banyak kerja diberikan, termasuk kerja rumah. Keadaan ini boleh menjadi terlalu menekan bagi sesetengah kanak-knak sehingga menghilangkan minat mereka untuk belajar. Sepatutnya, di tadika  diseimbangkan di antara belajar dengan bermain, untuk menggalakkan minat kepada pelajaran  dan berfikir di peringkat kanak-kanak ini.

45. Sekolah atau tadika, trutama yang baik-baik, terletak di bandar-bandar dan mengenakan yuran agak mahal. Oleh itu, hanya yang berkemampuan saja yang dapat menghantar anak mereka ke sana. Oleh kerana itu, apabila masuk ke sekolah rendah, kanak-kanak yang berpeluang ke tadika ini akan lebih ke depan dari segi kebolehan membaca dan mengira daripada kanak-kanak dari keluarga yang tidak mampu. Kebanyakan kanak-kanak daripada keluarga miskin yang pergi ke sekolah rendah dan menengah yang kurang lengkap dengan alat dan guru yang kurang baik jadinya akan terus keciciran. Jurang sosio-ekonomi di antara yang kaya dengan miskin dan di antara bandar dengan desar akan terus lebar pada umumnya. Keadaan ini perlu dibaiki dengan Kerajaan mengadakan tadika percuma dan membaiki taraf sekolah rendah dan menengah di kawasan-kawasan miskin dan terbiar.
Sekian. Terima kasih.



 

No comments:

Post a Comment