Sunday, August 12, 2012

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA MALAYSIA




PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA , MALAYSIA 

DARIPADA : YB. DR. SYED HUSIN ALI

PERTANYAAN : LISAN

NO. SOALAN : 4

TARIKH : 16.07.2012 


Dr. Syed Husin Ali minta MENTERI KEWANGAN menyatakan tentang situasi kewangan negara sehingga suku kedua tahun ini berserta dengan laporan-laporan statistik dan rancangan-rancangan yang akan dilakukan untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara.


JAWAPAN : 

Tuan Yang di-Pertua, 

Situasi kewangan negara adalah menggalakkan selaras dengan prestasi keseluruhan ekonomi negara terus berkembang.  Keluaran dalam negeri kasar (KDNK) yang telah mencatatkan pertumbuhan 4.7% pada suku tahun pertama 2012 dijangka meneruskan momentum dalam suku-suku tahun berikutnya. Perkembangan in adalah berdasarkan petunjuk ekonomi utama iaitu Indeks Pengeluaran Perindustrian terus meningkat sebanyak 4.1% dalam tempoh bulan Januari hingga Mei berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Prestasi eksport juga telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.9% dalam tempoh yang sama. Berdasarkan trend terkini tersebut, Kerajaan yakin sasaran pertumbuhan ekonomi negara 4 ~ 5% pada tahun 2012 akan dapat dicapai dan berupaya meningkatkan kutipan hasil serta menanggung perbelanjaan yang meningkat. Oleh itu, Kerajaan menjangkakan sasaran pengurangan defisit fiskal kepada 4.7% daripda KDNK pada tahun 2012 akan dapat dicapai. 

2. Kerajaan akan terus berusaha memasitkan pengurusan kewangan yang berhemah dan pertumbuhan ekonomi negara ini yang mapan.  Ini termasuk mengurangkan defisit fiskal dan mengawal paras hutang bagi memastikan keyakinan yang tinggi terhadap kedudukan ekonomi dan fiskal negara ini. Jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan akan terus dipastikan terkawal selaras dengan kemampuan hasil dan sasaran defisit negara. Kecekapan perbelanjaan Kerajaan akan dipertingkatkan dan penyemakan peruntukan perbelanjaan akan dilakukan dengan teliti termasuk mengurangkan perbelanjaan yang bukan kritikal. Nilai setara atau value for money dengan izin dalam perolehan Kerajaan akan terus diberi penekanan.  Ini termasuk mempertingkatkan lagi penggunaan ePerolehan dan tender terbuka.  Perancangan dan pelaksanaan serta penyediaan siling program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10 ) secara rolling setiap dua tahun dan pengurusan nilai bagi projek pembangunan (fizikal) yang melebihi RM50 juta juga akan membantu mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan. 

3. Dengan membina asas-asas makroekonomi yang baik,sumbangan sektor swasta dalam menjana aktiviti ekonomi negara ini dijangka meningkat dan bertambah kukuh. Ini akan memperteguh dijangka meningkat dan bertambah kukuh. Ini akan memperteguh lagi kedudukan ekonomi negara dan seterusnya hasil Kerajaan
Persekutuan

Tuan Yang dipertua, 

4. Bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada perkembangan ekonomi domestik dengan melaksanakan pelbagai program dan projek ekonomi berbentuk jangka pendek dan jangka panjang.  Ini melibatkan usaha-usaha mencergaskan pelaburan swasta serta mengekalkan perbelanjaan penggunaan swasta yang kukuh.

5. Bagi program jangka pendek, Kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM232.8 billion bagi perbelanjaan pembangunan dan mengurus.  Usaha bagi merancakkan ekonomi domestik dimantapkan lagi dengan penyediaan Pakej Rangsangan Khas berjumlah RM 6 billion yang dibiayai melalui private financing
initiative (PFI).  Selain itu, Kerajaan telah meliberalisasi 17 subsektor perkhidmatan termasuk hospital swasta, perkhidmatan pakar perubatan, pergigian, kurier dan telekomunikasi dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan asing.  Kerajaan juga akan terus mempergiatkan aktiviti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan mewujudkan satu skim Dana Pembiayaan PKS patuh syariah berjumlah RM 2 billion.  Bagi menghidupkan peluang bagi PKS yang gagal disebabkan oleh faktor luar kawalan seperti kos dan kemelesetan ekonomi, SME Revitalisation Fund telah diwujudkan. 

6. Kerajaan turut melaksanakan pelbagai program untuk meringankan beban kehidupan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan mudah terjejas. Bantuan ini termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia, bantuan persekolahan
kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dan pemberian baucar buku kepada semua pelajar warganegara Malaysia di IPTA dan IPTS.  Kerajaan juga telah melancarkan Rural Transformation Centre (RTC) di Gopeng dan Kota Bharu dan Urban Transformation Centre (UTC) di Melaka yang akan meningkatkan pendapatan masyarakat desa dan bandar subsidi ke atas barang makanan asas serta minyak dan gas terus diberikan.

7. Selain program jangka pendek, Kerajaan juga akan melaksanakan pelbagai projek jangka panjang yang memberi manfaat kepada rakyat serta mampu menghadapi senario ekonomi dunia yang mencabar.  Projek-projek ini akan dilaksanakan di bawah pelbagai program seperti Rancangan Malaysia Kesepuluh
(RMKe-10), Program Transformasi Ekonomi (ETP) , Program Transformasi Kerajaan ( GTP ) dan Digital Malaysia yang dijangka akan turut mencergaskan aktiviti ekonomi dalam negara.

8. Di bawah Rolling Plan Kedua, antara projek yang akan dan sedang dilaksanakan adalah landasan kereta api berkembar Gemas- Johor Bahru, Projek Lebuhraya Pantai Timur Jabor - Kuala Terengganu, Lebuhraya Central Spine dan pembangunan semula Pengkalan Udara Sungai Besi Kuala Lumpur.  Kerajaan juga akan merancakkan lagi pembangunan wilayah koridor sebagai pemangkin ekonomi negara.  Antara projek yang akan dijalankan termasuk lebuh raya persisiran pantai Johor Bahru di Iskandar, Johor, projek agropolitan Besut di Wilayah Ekonomi Pantai Timur, projek kelompok industri berasaskan kelapa sawit di Wilayah Koridor Sabah serta projek bekalan air Samalaju di Wilayah Koridor Sarawak.

9. Bagi merancakkan lagi aktiviti pelaburan domestik, Kerajaan telah mengumumkan lima inisiatif baru pada 3 Julai 2012 berkuatkuasa serta merta iaitu :

a. Dana Strategik Pelaburan Domestik sebanyak RM1 bilion ;

b. Insentif cukai untuk pemgambilalihan syarikat asing berteknologi tinggi ;

c. Insentif cukai untuk syarikat pembuatan tempatan yang sudah beroperasi selama setahun atau kurang dan telah terbabit dalam aktiviti galakan dan pengeluaran produk galakan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986 ;

d. Insentif cukai yang lebih baik untuk syarikat kecil tempatan dengan meningkatkan had kelayakan jumlah dana pemegang saham daripada RM 500,000 kepada kurang daripada RM 2.5 juta ; dan

e. Kadar cukai khas untuk syarikat penyedia perkhidmatan kecil tempatan yang bergabung menjadi entiti besar. 

No comments:

Post a Comment