Sunday, August 12, 2012

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA MALAYSIA




PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA , MALAYSIA 

DARIPADA : YB. DR. SYED HUSIN ALI

PERTANYAAN : LISAN

NO. SOALAN         : 46

TARIKH : 10.07.2012 


Dr. Syed Husin Ali minta MENTERI KEWANGAN menyatakan adakah matlamat yang ditetapkan kepada LHDN untuk
meningkatkan jumlah kutipan cukai kepada RM 30 Billion akan mempengaruhi kadar cukai semasa yang dikenakan kepada rakyat dan jika tidak , berikan unjuran-unjuran angka sebagai pembuktian


JAWAPAN : 

Tuan Yang di-Pertua, 

Untuk Makluman Yang Berhormat , sasaran terkini kutipan bersih cukai langsung yang ditetapkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun 2012 adalah sebanyak RM 111 Billion dan ia tidak akan mempengaruhi kadar cukai semasa yang
dikenakan kepada rakyat.  Bagi mencapai sasaran tersebut , LHDN akan melaksanakan beberapa langkah bagi memperkukuhkan hasil cukai iaitu : 

1. Program Pendidikan Cukai 
Pelbagai program dan aktiviti pendidikan cukai dijalankan untuk memberi maklumat dan kesedaran kepada pembayar cukai bagi meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela. 

Aktiviti yang dijalankan adalah : 
Memberi taklimat, ceramah dan khidmat sokongan peniaga 
Mengadakan bengkel dan seminat percukaian 
Membuat hebahan dan publisiti menerusi Media 
Melaksanakan Bulan Perkhidmatan Pembayar Cukai ( BPPC ) dan
Menyediakan maklumat percukaian melalui laman web rasmi LHDNM serta penerbitan LHDNM




2. Program Penguatkuasaan 

a. Gagal atau Lewat mengembalikan BNCP 
Bagi pembayar cukai yang gagal atau lewat mengembalikan BNCP di dalam tempoh yang ditetapkan , penalti di bawah sub seksyen 112 (3) ACP1967 akan dikenakan. 

b. Audit Cukai 
Program audit cukai yang berkesan dan terancang dilaksanakan untuk memastikan pembayar cukai mematuhi peraturan undang-undang percukaian dan melaporkan pendapatan yang sepatutnya secara sukarela. Audit cukai dijalankan melalui dua kaedah iaitu audit luar dan audit meja. Audit luar dijalankan dengan membuat pemeriksaan ke atas rekod-rekod dan dokumen perniagaan di premis perniagaan pembayar cukai manakala audit meja dijalankan di pejabat LHDNM berdasarkan maklumat dan dokumen yang dikemukakan pelh pembayar cukai. 

Sekiranya terdapat kekurangan pendapatan yang dilaporkan oleh pembayar cukai berbanding penemuan audit , penalti akan dikenakan di bawah subseksyen 113(2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 ke atas kehilangan hasil. 

c. Siasatan 
Program siasatan dilaksanakan untuk mencegah aktiviti pelarian serta  pengelakan cukai.  Aktiviti siasatan dilakukan menerusi lawatan mengejut ke premis perniagaan , premis kediaman dan premis-premis lain yang berkaitan dengan perniagaan pembayar cukai.  Rekod perniagaan yang berkaitan akan diambil untuk semakan terperinci di pejabat LHDNM. 

Sekiranya berlaku penipuan pendapatan berikutan siasatan yang dijalankan, penalti akan dikenakan berdasarkan peruntukan di bawah seksyen 112 , 113 dan 114 ACP 1967. 



3. Pengurusan Cukai Tertunggak 
LHDNM sentiasa berusaha untuk memungut cukai-cukai yang masih belum dijelaskan dengan kaedah yang sistematik dan berhemah. Pelbagai tindakan pemungutan diambil seperti menghubungi pembayar cukai melalui perkhidmatan Call-Out Centre , mengadakan lawatan ke premis pembayar cukai dan mempertimbangkan permohonan pembayaran cukai tertangguh secara ansuran. 

Bagi pembayar cukai yang gagal menjelaskan tanggungan cukai mengikut tempoh ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan di bawah peruntukan seksyen 103,  107(B) , dan 107(C) ACP 1967. Sekiranya pembayar cukai masih gagal menjelaskan tunggakan cukai, tindakan penguatkuasaan seperti perintah larangan meninggalkan Malaysia dan tindakan guaman sivil akan diambil. 




No comments:

Post a Comment