Sunday, August 12, 2012

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA MALAYSIA



PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA , MALAYSIA.


DARIPADA : YB. DR. SYED HUSIN ALI

PERTANYAAN : LISAN

NO. SOALAN         : 12

TARIKH : 17.07.2012 


Dr. Syed Husin Ali minta MENTERI BELIA DAN SUKAN 
menyatakan hasil daripada penganjuran Parlimen Belia dan
apakah langkah-langkah susulan yang akan dilakukan dalam
memantau kualiti belia-belia yang telah terlibat dalam
penganjuran tersebut.



JAWAPAN : 

1. Berdasarkan kepada kajian minat yang dilaksanakan oleh Institut
Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM), didapati 93%
bersetuju dengan cadangan penubuhan Parlimen Belia Malaysia.

2. Parlimen Belia Malaysia merupakan satu bentuk program yang 
dilaksanakan secara pentadbiran dan menjadi platform untuk mendidik belia tentang bagaimana sesuatu dasar atau akta digubal menurut sistem berparlimen.  Pihak Kementerian telah merencanakan penubuhan dan pelaksanaan sidang Parlimen Belia mengikut peringkat-peringkat.

3. Kementerian telah melaksanakan persidangan Parlimen Belia 
Malaysia ( Percubaan ) pada 8 hingga 11 Mei 2012 bertempat di Seri Kembangan, Selangor yang melibatkan 222 orang belia yang berusia antara 18 hingga 30 tahun. 

4. Persidangan percubaan ini merupakan salah satu proses pelaksanaan bagi persidangan sebenar Parlimen Belia Malaysia yang dijangka akan dilaksanakan pada awal tahun depan ataupun akhir tahun ini bergantung kepada keseluruhan persiapan yang sedang diaturkan. 


5. Kriteria pemilihan untuk menjadi Ahli Parlimen belia tidak mengambil kira komposisi kaum.  Syarat-syarat permohonan untuk menjadi ahli Parlimen Belia adalah seperti berikut : 

a. Pemohon mestilah seorang belia warganegara Malaysia yang berumur 18-30 tahun ;

b. Tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah ;

c. Tidak muflis ;

d. Mempunyai minima 50 penyokong yang berumur 15 tahun hingga 40 tahun dari kawasan Parlimen yang diwakili ; dan

e. Mempunyai seorang pencadang daripada pemimpin pertubuhan
belia atau Pertubuhan Bukan Kerajaan yang sah berdaftar di bawah
mana-mana undang-undang di Malaysia dari kawasan Parlimen yang hendak diwakili. 

6. Langkah-langkah susulan yang akan dilalukan dalam memantau kualiti belia-belia yang telah terlibat dalam Parlimen Belia Percubaan tersebut adalah dengan diberi peluang untuk bersama-sama dalam membuat penambahbaikan pelaksanaan Parlimen Belia yang sebenar. 

7. Selain itu, bagi memastikan kualiti kelangsungan kepimpinan yang ada, belia yang telah terlibat turut diberi peluang untuk menyertai Konvensyen Pemimpin-Pemimpin Muda yang akan diadakan pada 19 Julai ini di Parlimen Malaysia.  Justeru itu, pendapat dan pandangan mereka akan diambil kira dalam pelaksanaan agenda transformasi pembangunan belia Negara. 

No comments:

Post a Comment