Sunday, August 12, 2012

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA MALAYSIA





PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA , MALAYSIA 

DARIPADA : YB. DR. SYED HUSIN ALI

PERTANYAAN         : LISAN

NO. SOALAN : 5

TARIKH : 09.07.2012 


Dr. Syed Husin Ali minta MENTERI KEWANGAN menyatakan Kerajaan dalam Bajet 2012 telah meluluskan Bantuan Rakyat 1Malaysia(BR1M) sebanyak RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3000 ke bawah. Kerajaan juga ada memberi imbuhan kewangan sebanyak RM100 kepada pelajar sekolah dan baucar buku untuk pelajar IPTA dan IPTS. Mohon Menteri Kewangan menjelaskan sejauh mana pemberian insentif ini membantu rakyat berbilang kaum di negara kita.


JAWAPAN : 

Tuan Yang di-Pertua, 

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Kewangan Malaysia telah menerima sebanyak 6 soalan lisan mengenai program bantuan kewangan pada sesi Dewan Negara kali ini. Sehubungan itu, izinkan saya untuk menjawab kesemua soalan yang diterima memandangkan isu-isu yang dibangkitkan adalah sama iaitu mengenai
status program bantuan dan juga pemberian BR1M kali kedua. Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan soalan tersebut adalah YB Senator Dato' Syed Ibrahim Bin Kader dan YB Senator Puan Hajah Noriah Binti Mahat pada 9 Julai 2012 ; YB Senator Puan Hajah Dayang Madinah Binti Tun Abang Haji Openg dan YB Senator Dato' Abdul Rahim Bin Abdul Rahman pada 10 Julai 2012; YB Senator Dr Syed Husin Ali pada 11 Julai 11 Julai 2012, dan yang terakhir YB Senator Datuk Raja Ropiaah Binti Raja Abdullah pada 16 Julai 2012.


Tuan Yang di-Pertua,

2. Pada pembentangan Bajet 2012 yang lepas, Kerajaan telah bersetuju untuk memberi beberapa bantuan kewangan iaitu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucar Buku 1Malaysia (BB1M), serta Bantuan Persekolahan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Program bantuan kewangan ini merupakan julung kalinya atas usaha Kerajaan yang bertujuan membantu meringankan beban rakyat.

3. Bagi program BR1M, seramai 4.33 juta isi rumah telah mendapat manfaat daripada program ini dengan peruntukan Kerajaan berjumlah hampir RM 2.16 bilion. Jumlah ini adalah termasuk kelulusan rayuan dan juga kelulusan kategori khas yang merangkumi penerima bantuan
E-Kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).  Sehingga kini, pelaksanaan program BR1M berjalan lancar dan usaha murni Kerajaan ini telah mendapat sambutan baik daripada rakyat.  Bantuan tunai RM500 bagi setiap isi rumah yang layak ini telah dapat membantu meringankan beban belanja harian mereka.  Dalam masa yang sama, pemberian bantuan ini juga dapat 
merancakkan aktiviti ekonomi domestik.

4. Program BB1M pula telah memanfaatkan hampir seramai 1.25 juta pelajar di semua institusi pengajian tinggi serta pelajar tingkatan enam di seluruh Malaysia yang melibatkan peruntukan hampir RM250 juta. Inisiatif ini telah dapat membantu meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian terutamanya buku rujukan tambahan agar
pelajar-pelajar dapat meningkatkan lagi pengetahuan. Selain daripada itu, inisiatif ini juga dapat memupuk minat membaca di kalangan pelajar. 

5. Bagi program Bantuan Persekolahan pula, seramai hampir 5.45 juta pelajar sekolah rendah dan menengah telah mendapat manfaat daripada program ini dengan peruntukan Kerajaan berjumlah RM545 juta. Bantuan
sebanyak RM100 bagi setiap pelajar ini telah dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa dalam membuat persiapan anak-anak mereka untuk memulakan sesi persekolahan. 


Tuan Yang di-Pertua,


6. Mengenai syor pemberian BR1M kali kedua, perkara ini dalam pertimbangan pihak Kerajaan. 


Tuan Yang di-Pertua,

7. Secara keseluruhannya, usaha murni Kerajaan ini telah mendapat sambutan yang amat baik daripada rakyat di mana bantuan ini telahmembantu meringankan belanja harian mereka.  Kejayaan program ini adalah hasil pengukuhan ekonomi negara dan kemampuan mengurus kewangan negara dengan baik dan cekap.  Kerajaan sentiasa memastikan penggunaan hasil dan perbelanjaan adalah secara berhemah serta dapat memberi manfaat dan pulangan kepada rakyat. 


No comments:

Post a Comment