Sunday, August 12, 2012

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA MALAYSIA





PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA , MALAYSIA 

DARIPADA : YB. DR. SYED HUSIN ALI

PERTANYAAN : LISAN

NO. SOALAN         : 17

TARIKH : 09.07.2012 


Dr. Syed Husin Ali minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan 
pendirian Kerajaan terhadap isu kemanusiaan yang sedang berlaku
di Syria. 



JAWAPAN : 

Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Senator Dr. Syed Husin Ali di atas pertanyaan yang telah dikemukakan.


Tuan Yang di-Pertua, 


2. Konflik di Syria yang berlanjutan semenjak bulan Mac 2011 telah mengorbankan beribu-ribu nyawa orang awam dan menyebabkan kesengsaraan dan penderitaan kepada rakyat negara berkenaan.  Krisis ini bukan sahaja menarik perhatian masyarakat dunia, tetapi juga negara kita Malaysia.  Kerajaan Malaysia sesungguhnya memandang berat mengenai persengketaan di Syria dan sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku dari masa ke semasa.  Ini adalah penting demi memelihara kepentingan Malaysia di Syria termasuk keselamatan 143 rakyat Malaysia yang masih berada di Syria. 




3. Sebagai anggota PBB, Malaysia telah menyokong kesemua resolusi-resolusi PBB serta usaha-usaha perlaksanaan pelan damai, dengan izin, Six-Point Plan yang sedang diusahakan oleh Kofi Annan, Utusan Khas PBB-Liga Arab.  Pelan damai ini bertujuan untuk menghentikan keganasan dan membolehkan perundingan secara aman di antara semua pihak yang bertelagah serta mengembalikan kestabilan dan keamanan di negara tersebut yang juga selaras dengan pendirian kita.  Malaysia percaya bahawa pelan damai yang diusahakan oleh Kofi Annan ini adalah merupakan peluang dan asas terbaik untuk menamatkan krisis tersebut melalui dialog secara aman.

Tuan Yang di-Pertua, 

4. Kerajaan juga amat sedih dan kecewa di atas kekejaman yang berlaku di bandar El Houla pada 25 Mei 2012 baru-baru ini di mana lebih 108 orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, telah terkorban dan ramai lagi cedera.  Berikutan itu, Malaysia telah membuat kenyataan mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam pihak yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai tersebut pada Sesi Khas Majlis Hak Asasi Manusia mengenai situasi hak asasi di Syria yang telah diadakan pada 1 Jun 2012 di Geneva.  Malaysia turut memberi sokongan padu agar Suruhanjaya Siasatan Bebas Antarabangsa ke Syria ( Commission of Inquiry ) untuk menjalankan siasatan secara bebas dan berkecuali mengenai pencabulan hak asasi manusia di negara tersebut. Kita mahu melihat supaya mereka yang bertanggungjawab ke atas
pembunuhan di Syria di bawa ke muka pengadilan.  Sokongan Malaysia terhadap resolusi ini merupakan kali keempat dilakukan di Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva. 

5. Terdahulu, Malaysia juga telah turut menyokong pelan damai yang dianjurkan oleh Liga Arab semasa Mesyuarat Khas OIC di Jeddah mengenai situasi di Syria pada November 2011. 


Tuan Yang di-Pertua, 

6. Namun, Malaysia juga mengambil maklum perkembangan terkini mengenai kenyataan Kofi Annan pada hari ini di mana beliau telah 
melahirkan kekecewaan beliau kerana tidak dapat melaksanakan 
6-point plan tersebut sebagaimana yang dirancang. 

7. Dalam hal ini, Malaysia akan terus memainkan peranannya bersama-sama negara anggota PBB secara bertanggungjawab untuk 
menamatkan keganasan dan mengembalikan keamanan di Syria
berlandaskan prinsip-prinsip asas dan piagam PBB yang menghormati kedaulatan dan integriti negara Syria. Ini adalah sejajar dengan dasar kita untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain. 


8. Malaysia menyeru agar semua pihak yang terbabit dalam persengketaan di Syria memberhentikan segera semua keganasan dan pencabulan hak asasi manusia. Kita berharap usaha ini akan dapat menghalang berlakunya peperangan saudara yang sudah tentu akan mengakibatkan kematian, kemusnahan dan kesengsaraan yang lebih dahsyat lagi. 

Sekian, Terima Kasih. 








No comments:

Post a Comment