Sunday, August 12, 2012

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA MALAYSIA





PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA , MALAYSIA 


DARIPADA : YB. DR. SYED HUSIN ALI

PERTANYAAN : LISAN

NO. SOALAN         : 27

TARIKH : 17.07.2012 


Dr. Syed Husin Ali minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan
berapakah jumlah perbelanjaan ke Amerika Selatan bagi menyiasat
kehilangan enjin jet pejuang F-5E, dan apakah hasil siasatan tersebut serta adakah enjin-enjin itu ditemui.


JAWAPAN : 


Tuan Yang di-Pertua,

1. Hasil siasatan polis berkenaan dengan kehilangan dua buah enjin 
jenis J85-21 yang bersiri No. E227718 dan E227856 bagi pesawat 
F5 telah menunjukkan bahawa kedua-dua enjin jet tersebut berada
di Uruguay.

2. Berikutan daripada itu, suatu permintaan rasmi bagi bantuan bersama dalam perkara jenayah telah dikemukakan oleh Kerajaan Malaysia kepada Kerajaan Uruguay bagi pemulangan kedua-dua enjin jet tersebut.  Hasil daripada permintaan rasmi itu, Mahkamah Uruguay telah memutuskan supaya kedua-dua enjit jet tersebut diserahkan kepada Kerajaan Malaysia.  Pada 16 April 2012, wakil Kerajaan Malaysia daripada Jabatan Peguam Negara dan Polis DiRaja Malaysia telah pergi ke Uruguay untuk mendapatkan semula kedua-dua enjin jet tersebut sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Uruguay itu. 

3. Selain wakil daripada kedua-dua agensi yang berkenaan, rombongan ini turut disertai oleh pegawai Tentera Udara DiRaja Malaysia dan wakil syarikat Kontena Nasional Bhd, yang menguruskan pengangkutan kedua-dua enjin jet tersebut daru Uruguay ke Malaysia. Rombongan ini telah menguruskan penerimaan kedua-dua enjin jet tersebut daripada Kerajaan Uruguay kepada Kerajaan Malaysia. 

4. Kos perbelanjaan bagi wakil setiap agensi yang menyertai rombongan ini, yang merupakan kos tambang kapal terbang dan penginapan hotel, ditanggung oleh agensi masing-masing, manakala kos pengangkutan untuk membawa pulang enjin jet tersebut telah tiba di Malaysia pada 21 April 2012 dan kini berada di Pengkalan Udara Subang. 

5. Sehubungan dengan itu, pada 6 Januari 2010 Tharmendran a/l 
Nagarajah telah dituduh atas kesalahan mencuri kedua-dua enjin
jet tersebut di bawah seksyen 381 Kanun Keseksaan, sementara
Rajandran Prasad a/l Kasy telah dituduh atas kesalahan menyembunyikan harta curi di bawah seksyen 414 Kanun Keseksaan.

6. Kedua-dua kes ini masih di peringkat perbicaraan dan tarikh bicara telah ditetapkan pada 9 hingga 12 Julai 2012. 

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment