Sunday, August 12, 2012

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA MALAYSIA




PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA , MALAYSIA 

DARIPADA : YB. DR. SYED HUSIN ALI

PERTANYAAN : LISAN

NO. SOALAN         : 69

TARIKH : 10.07.2012 


Dr. Syed Husin Ali minta MENTERI PENGAJIAN TINGGI menyatakan fenomena pembukaan IPTS yang di luar kawalan serta pengambilan pelajar yang terlalu banyak iaitu tiga kali setahun dan adakah dengan memberi kewenangan sebegitu kepada IPTS, dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan pakar di Malaysia.



JAWAPAN : 


Tuan Yang di-Pertua,


Sebenarnya kenyataan tentang wujudnya fenomena pembukaan IPTS di luar kawalan adalah tidak tepat di mana tidak berlaku pertambahan bilangan IPTS secara mendadak semenjak beberapa tahun yang lalu, malah bilangannya semakin berkurang disebabkan penutupan IPTS yang tidak berdaya maju.  Semenjak 5 tahun lalu, bilangan IPTS keseluruhannya tidak menunjukkan sebarang peningkatan, sebaliknya berlaku pengurangan, umpamanya, pada Jun 2008 terdapat 536 buah  IPTS keseluruhannya berbanding hanya 504 buah pada April 2012. 



Penubuhan sesebuah IPTS dibuat setelah melalui proses tapisan yang sewajarnya mengikut syarat dan kriteria tertentu dan tidak dibuat sewenang-wenangnya.  Terdapat syarat dan kriteria berbeza bagi permohonan penubuhan IPTS bertaraf universiti, kolej universiti dan kampus cawangan universiti luar negara berbanding kriteria permohonan penubuhan IPTS bertaraf kolej.  Seksyen 21 dan 22 Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 menyatakan bagi menubuhkan IPTS bertaraf universiti, kolej universiti dan kampus cawangan universiti luar negara, pelawaan dan kelulusan Menteri Pengajian Tinggi adalah diperlukan.  Manakala, penubuhan IPTS yang bertaraf kolej pula, permohonan boleh terus dibuat dengan mengemukakan borang permohonan yang ditetapkan. 

Syarat dan kriteria lain yang diambil kira ialah penubuhan syarikat yang diperbadankan di Malaysia dengan Modal berbayar sebanyak RM 20 juta bagi IPTS bertaraf universiti, RM 15 juta bagi IPTS bertaraf kolej universiti dan RM200 ribu bagi IPTS bertaraf kolej.  Di samping mempunyai kewangan yang stabil, kriteria lain yang diambil kira adalah dari aspek pengurusan/governan (Perlembagaan IPTS) yang dinilai melalui proposal pelan pengurusan IPTS yang merangkumi perkara berikut : 

i. unjuran tenaga pengajar yang mencukupi dan memiliki latar belakang akademik yang bersesuaian dengan kursus yang akan ditawarkan ;

ii. program pengajian yang akan ditawarkan dan peringkatnya (sijil,
diploma dan ijazah ) 

iii. perancangan pengantarabangsaan ; 

iv. pengurusan hal-ehwal pelajar ;

v. perancangan R & D dan lain-lain


Berkenaan pengambilan pelajar sebanyak tiga kali setahun, perkara ini bukan merupakan satu kesalahan selagi IPTS tersebut mematuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan.  Kualiti IPTS sebenarnya sentiasa dipantau oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melalui instrumen Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi ( SETARA) dan Sistem Pengukuran Kualiti dan Kesetaraan Swasta (MyQUEST). 

Tuan Yang di-Pertua,

Kita tidak boleh menafikan bahawa IPTS telah memberi sumbangan yang besar dalam memperluas rangkaian dan meningkat ekuiti pengajian tinggi negara.  Malah IPTS juga turut berperanan secara khusus membantu meningkatkan pendemokrasian pengajian tinggi tempatan. Kursus-kursus yang ditawarkan adalah menyokong keperluan industri negara.  Langkah bijak IPTS menawarkan kursus pengajian yang boleh "dijual" di pasaran menjadikan graduan mereka relevan dengan kehendak majikan. Rata-rata graduan IPTS sentiasa menjadi pilihan majikan kerana kursus yang diambil mempunyai nilai pasaran yang tinggi atau marketable. 

No comments:

Post a Comment