Sunday, August 12, 2012

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA MALAYSIA





PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA , MALAYSIA 

DARIPADA : YB. DR. SYED HUSIN ALI

PERTANYAAN : LISAN

NO. SOALAN         :  42

TARIKH : 16.07.2012 


Dr. Syed Husin Ali minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan secara statistik berapakah jumlah yang masih perlu diselesaikan oleh Kerajaan kepada syarikat konsesi tol di Batu Tiga berikutan
keputusan memansuhkan tol di Batu Tiga pada 2018. 


JAWAPAN : 


Tuan Yang di-Pertua,


Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Kerajaan pada tahun 1992 telah bersetuku supaya PLUS Expressway Berhad (PLUS) melaksanakan projek menaik taraf Jalan Persekutuan 2 - iaitu melibatkan laluan dari Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya - kepada laluan berstatus Lebuh Raya Persekutuan.

Berikutan itu, PLUS sebagai syarikat konsesi yang juga bertanggungjawab melaksanakan projek membina Lebuh Raya Utara Selatan pada masa itu telah dibenarkan untuk mengutip tol do Lebuh Raya Persekutuan 2. Kutipan tol tersebut mula berkuat kuasa pada 15 November 1993 - melibatkan 2 plaza tol, Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau.  Tempoh kutipan tol di Lebuh Raya Persekutuan 2 itu ialah berdasarkan kepada Perjanjian Konsesi antara PLUS dan Kerajaan yang berkuat kuasa pada masa kini, iaitu sehingga 31 Disember 2038. 

Tempoh tamat konsesi pada tahun 2018 sebagaimana kenyataan oleh Ahli Yang Berhormat itu ialah merujuk tempoh dalam perjanjian konsesi asal PLUS, iaitu sebelum Kerajaan dan Plus memuktamadkan perjanjian-perjanjian konsesi tambahan.  Ini kerana sejak daripada Perjanjian Konsesi PLUS ditandatangani pada tahun 1988 hingga kini, terdapat 3 Perjanjian Konsesi Tambahan telah dimuktamadkan oleh Kerajaan dan PLUS dalam tempoh tersebut, iaitu pada tahun 1999, 2005 dan 2011.  Perjanjian konsesi tambahan tersebut bertujuan untuk memastikan kadar tol di lebuh raya berkenaan dikekalkan atau lebih rendah berbanding kadar tol mengikut perjanjian konsesi asal.

Sebagai contoh, terkini Kerajaan pada tahun 2011 yang lalu telah
mengadakan rundingan dengan pemegang saham utama konsesi
PLUS bagi memuktamadkan cadangan penstrukturan semula kadar
tol dan perjanjian konsesi lebuh raya-lebuh raya di bawah kendalian
syarikat berkenaan.  Rundingan tersebut berasaskan kepada cadangan model pengambilalihan aset dan liabiliti PLUS Expressway Berhad oleh entiti yang baru.  Dalam masa yang sama, pakej rundingan turut melibatkan cadangan penstrukturan semula kadar tol yang lebih rendah berbanding kadar tol asal mengikut perjanjian konsesi.  Perjanjian  Konsesi Tambahan PLUS telah dimuktamadkan pada November 2011 di mana ia telah menetapkan antara lain tiada kenaikan kadar tol untuk lebuh raya-lebuh raya di bawah kendalian PLUS (termasuk Jambatan Pulau Pinang) bagi tempoh selama 5 tahun ( 2011 - 2015 ), dan tarikh tamat konsesi untuk kesemua lebuh raya tersebut diselaraskan ke 31 Disember 2038. 

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada masa kini Kerajaan masih sedang mepertimbangkan dan mengkaji beberapa opsyen penyelesaian yang lebih praktikal dan pragmatik untuk meringankan beban yang ditanggung oleh pengguna lebuh raya, termasuk di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau, Lebuh Raya Persekutuan 2. 


Sekian. Terima kasih. 


No comments:

Post a Comment