Sunday, September 4, 2011

MERDEKA RAKYAT & KEADILAN

Walaupun rencana ini diterbitkan 7 tahun dahulu, tetapi masih sangat releven dengan perkembangan semasa.

Negara sudah merdeka 44 tahun, akan tetapi dalam berbagai-bagai bidang, seperti ekonomi dan politik, sebahagian besar rakyat masih belum bebas. Bahkan dari segi fikiran mengenai sejarah kemerdekaan pun, sebahagian ramai rakyat terus terkongkong, terutama oleh pelbagai “dongeng” yang sengaja dilanjutkan melalui saluran buku sekolah dan propaganda pemerintah.

Ada dua tradisi atau aliran yang jelas dalam sejarah perjuangan kemerdekaan di negeri ini, seperti di banyak negara Asia-Afrika-Amerika Latin yang pernah mengalami penjajahan jua. Tradisi pertama ialah penentangan terhadap penjajahan secara habis-habisan untuk mendapatkan kemerdekaan yang penuh. Tradisi kedua ialah berkompromi dengan penjajah sehingga sanggup menerima saki-baki sistem ekonomi, politik, perundangan dan pendidikan yang diwarisi dari penjajahan.

Di Malaysia, kedua-dua tradisi ini wujud. Akan tetapi, tradisi pertama telah berjaya dikalahkan oleh pihak penjajah British, yang kemudiannya memberi dorongan serta sokongan untuk kemenangan tradisi kedua. Pimpinan daripada tradisi kedua ini terdiri dari golongan atasan masyarakat yang memang mudah bekerjasama dengan pihak penjajah. Golongan tradisi kedua ini, selepas menang, telah menyebarkan berbagai-bagai “dongeng” tentang perjuangan untuk kemerdekaan negara. Mari kita lihat sesetengah daripada “dongeng” tersebut.

Dongeng pertama, perjuangan kemerdekaan bermula hanya selepas Perang Dunia II berikutan penentangan terhadap percubaan Mahkota British hendak memaksakan pembentukan Malayan Union. Sebenarnya, perjuangan mempertahankan kemerdekaan negara dan kedaulatan rakyat telah bermula lebih awal dari itu, dengan penentangan pembesar dan rakyat Melaka, di bawah Bendahara Paduka Raja, terhadap serangan serta penaklukan oleh Portugis pada tahun 1511.

Selepas itu, dalam abad ke-19, apabila penjajah British, dengan kerjasama sesetengah Sultan serta pembesar, berjaya mencerobohi masuk untuk menakluki Semenanjung Melayu, ramai pembesar lain telah memimpin rakyat biasa untuk bangun menentang. Di antara mereka ialah Maharaja Lela (di Perak), Tok Janggut (di Kelantan), Orang Kaya Semantan serta Mat Kilau (di Pahang), Datuk Naning (di Melaka), dan ramai lagi. Perjuangan mereka disambung oleh Abdul Rahman Limbong (di Terengganu).

Dongeng kedua, UMNO (dan Perikatan, selepas penyertaan MCA dan MIC) adalah satu-satunya yang menjayakan pergerakan untuk kemerdekaan. Ini tidak tepat. Walaupun kemerdekaan telah diserahkan oleh British kepada Perikatan (yang dipimpin UMNO), namun sebelum itu sudah ada parti dan gerakan yang merintis jalan ke puncak kemerdekaan.

Sebelum Perang Dunia Kedua telah wujud Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan juga Persatuan Melayu di beberapa buah negeri yang telah mula menyemai benih kemerdekaan. Tidak boleh dinafikan bahawa Parti Komunis Malaya (PKM) juga memainkan peranan dalam perjuangan ini. Selepas perang itu telah tertubuh pula Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) berserta Angkatan pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS), dan juga Hizbul Muslimin (HM).

Dalam perjuangan untuk kemerdekaan PKMM (mewakili golongan nasionalis), HM (mewakili golongan agama) disertai oleh unsur dari PKM juga, telah merapatkan kerjasama. Mereka menjadi meluas di bawah payung lebih besar yang dikenali sebagai PUTERA-AMCJA (All-Malayan Council for Joint Action), untuk memperjuangkan kemerdekaan penuh. Di antara tokoh-tokoh yang terkenal ialah Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Helmy, Ishak Hj Muhammad, Abu Bakar Bakir, Abdullah C.D., John Eber dan juga Tan Cheng Lock (sebelum memimpin MCA).

Tun Ismail Abdul Rahman, yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, sewaktu berucap di satu majlis Konvokesyen di Universiti Sains Malaysia (USM), selepas dianugerahkan ijazah kehormat pada tahun 1973, telah menyatakan bahawa sumbangan golongan kiri yang diwakili oleh pertubuhan serta pimpinan yang tersebut di atas perlu diiktiraf dalam perjuangan kemerdekaan. Malangnya banyak pertubuhan ini telah diharamkan dan ramai di antara pemimpin mereka dipenjarakan oleh penjajah Inggeris. Dalam kekosongan yang timbul berikutannya, British telah menggalakkan perkembangan UMNO (dan Perikatan). Sekali lagi dua tradisi perjuangan kemerdekaan yang disebutkan di atas telah kelihatan.

Dongeng ketiga, perjuangan kemerdekaan di negeri ini ialah perjuangan orang Melayu saja, dan oleh itu nasionalisme yang timbul ialah nasionalisme orang Melayu. Memang benar bahawa orang Melayu memainkan peranan yang penting dan utama dalam menentang Malayan Union dan menuntut kemerdekaan selanjutnya. Pada asas permulaannya perjuangan ini bertujuan untuk menyelamatkan kedudukan raja-raja Melayu yang menjadi lambang kedaulatan orang Melayu.

Itu sebabnya slogan perjuangan UMNO dari mula ialah “Hidup Melayu”, yang sempit skopnya dan boleh dianggap sebagai mempunyai unsur perkauman. Dalam tahun 1946, Kongres Melayu dan UMNO tidak menerima cadangan PKMM supaya digunakan slogan “Merdeka”. Hanya beberapa tahun kemudian baru UMNO menerima slogan ini. Itu pun lama selepas British mengisytiharkan Undang-undang Darurat, mengharamkan beberapa parti politik serta gerakan pekerja kiri, menahan beribu-ribu pejuang kemerdekaan tulen dari PKMM, API, AWAS, HM serta PKM, dan memaksa ramai pemimpin serta anggota komunis dan nasionalis meneruskan perjuangan dari hutan rimba.

Terutama sekali sebelum perisytiharan darurat itu, penyertaan orang bukan Melayu dan mereka yang berpendidikan lain daripada pendidikan Melayu boleh dikatakan besar juga. Perjuangan orang Melayu dalam PKMM mendapat sokongan sebahagian daripada orang bukan Melayu dalam berbagai-bagai parti atau pertubuhan. British mencurigai mereka kerana semangat anti-British mereka yang kuat untuk memperjuangkan kemerdekaan penuh dalam semua bidang.

British juga bimbang kerana mereka melambangkan gerakan pelbagai kaum yang boleh bersatu dan tidak akan mahu bersubahat dengan penjajah. Itu sebabnya penjajah British mematahkan gerakan mereka yang progresitf dan pelbagai kaum itu dan menggalakkan perkembangan UMNO (serta Perikatan) yang lebih mudah dikawal. Dengan kerjasama pemimpin-pemimpin UMNO, MCA dan MIC, penjajah British telah Berjaya mengalihkan permusuhan rakyat daripada penjajahan British serta kezalimannya kepada pejuang-pejuang kemerdekaan (terdiri dari nasionalis dan komunis) yang masuk hutan serta kekejaman mereka. British berjaya melaksanakan dasar pecah-pecah dan perintah.

Dongeng keempat, kemerdekaan tidak akan berjaya dicapai seandainya tidak dengan pimpinan golongan atasan Melayu, Cina dan India dalam UMNO, MCA dan MIC, yang kemudiannya bergabung tenaga dalam Perikatan. Memang benar bahawa golongan atasan Melayu (terdiri daripada bangsawan dan pegawai), golongan kapitalis Cina (terdiri daripada peniaga yang bekerjasama dengan syarikat-syarikat besar Inggeris atau tidak) dan juga golongan atasan India (terdiri daripada ahli perniagaan dan juga profesional), memainkan peranan yang penting. Akan tetapi mereka tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat sokongan daripada rakyat biasa dari golongan bawahan dan juga pertengahan.

Sebenarnya, sebelum perisytiharan darurat, parti-parti yang wujud mempunyai pimpinan daripada golongan pertengahan, seperti guru, wartawan dan sebagainya. Begitu juga, pertubuhan pekerja yang terdiri dari semua kaum bergerak begitu cergas sekali untuk memperbaiki taraf hidup mereka. Pergerakan mereka ini dihubungkan dengan perjuangan untuk kemerdekaan, kerana mereka melihat bahawa penindasan yang dilkaukan oleh penjajahan Inggeris melalui agensi-agensi perdagangan dan juga ladang serta lombong, mengakibatkan taraf hidup mereka yang rendah. Akan tetapi perjuangan golongan buruh ini dicap sebagai dipengaruhi komunis. Mereka diharamkan dan ramai pemimpin mereka dipenjarakan. Sesungguhnya kita tidak boleh melupakan sumbangan rakyat jelata dari semua kaum, khususnya dari golongan pekerja, untuk perjuangan kemerdekaan tulen negara.

Dongeng kelima, kepercayaan meluas bahawa Merdeka di negeri ini telah dicapai secara aman dan tanpa tumpah darah, tidak seperti sesetengah negeri lain. Ini sebenarnya kepercayaan yang silap. Banyak nyawa telah melayang apabila rakyat Melaka berjuang dengan berani menentang penjajah Portugis, yang menggunakan kapal serta meriam, dengan bersenjatakan hanya keris, tombak dan panah saja, demi mempertahankan kedaulatan mereka. Begitu ramai rakyat yang maut atau cedera, dan banyak keluarga yang merana serta kampung binasa, apabila pembesar Melayu serta pengikut mereka cuba menangkis kakitangan penjajah Inggeris yang menyerang dengan meriam dan senapang untuk menakluki negeri-negeri Melayu dalam abad ke-19.

Begitu juga, dalam perjuangan selepas Perang Dunia II, beribu-ribu yang terkorban dan menderita apabila penjajah British bertindak ke atas apa yang mereka tuduh sebagai penderhaka komunis dan penyokong-penyokong mereka. Akan tetapi, seperti diakui oleh banyak pihak, termasuk Tun Dr Ismail dalam ucapan penerimaan doktor kehormat di USM pada tahun 1973, ramai jua di antara mereka yang sebenarnya turut berjuang untuk Merdeka. Perang kita bagi pihak penjajah British terhadap komunis, tidak harus diagung-agungkan lebih daripada perjuangan kita menentang penjajahan British untuk mencapai Merdeka.

Akhirnya, selepas 44 tahun merdeka, kita masih belum tahu lagi mengenal, mengiktiraf dan menghormati semua golongan yang telah turut serta memperjuangkan kemerdekaan kita. Sungguhpun pimpinan hari ini membuat percubaan untuk mengubah orientasi pro-British (atau pro-Barat) di awal kemerdekaan kepada yang bersifat lebih anti-Barat, namun percubaan itu tidak begitu berkesan. Saki baki penjajahan dari segi ekonomi, politik, perundangan dan ketenteraan semakin jelas ketara. Walaupun proses globalisasi sering dikritik, namun pimpinan pemerintah tidak berjaya mengurangkan, apatah lagi menangkis akibat, penjajahan bentuk baru ini.

Rakyat jelata dari golongan bawahan mengharapkan pembelaan dari segi ekonomi daripada kemerdekaan. Akan tetapi, kini pembahagian kekayaan negara semakin tidak adil. Kekayaan dan keistimewaan menjadi monopoli sebilangan kecil saja yang rapat hubungan dengan pucuk pimpinan pemerintah. Walaupun pendapatan per-kapita meningkat, namun jurang di antara yang kaya dan miskin bertambah lebar. Amalan pilih kasih dan rasuah semakin meluas. Kehidupan rakyat jelata semakin sempit. Pucuk pimpinan BN semakin bersifat kuku besi.

Semangat perjuangan Merdeka yang tulen semakin malap sekarang ini. Kita perlu ingat bahawa apabila ibubapa kita dahulu mengorbankan nyawa, tenaga serta wang mereka untuk Merdeka, mereka hendak mengembalikan kebebasan, maruah serta martabat kita sebagai satu bangsa. Sesuai dengan semangat gagah perkasa mereka, kita harus meneruskan perjuangan untuk merdeka daripada penjajahan semula oleh mana-mana kuasa; merdeka daripada pemerintahan zalim serta tidak adil yangbertambah oleh seorang pemimpin; merdeka daripada pengumpulan kekayaan secara rakus oleh segelintir yang terpilih; merdeka daripada kemiskinan serta penindasan, merdeka daripada korupsi serta kronisme di kalangan mereka yang paling berkuasa; merdeka daripada ketakutan serta prejudis antara kaum, merdeka daripada segala undang-undang serta peraturan yang zalim dan menekan; merdeka daripada penguasaan segelintir orang dari pemerintah ke atas kehakiman, polis dan media, dan bermacam-macam lagi.

Sejak kita merayakan hari kemerdekaan ke-40, negara dan rakyat telah melihat berbagai-bagai peristiwa. Krisis ekonomi yang melanda dan kezaliman yang dilakukan ke atas Anwar Ibrahim telah membawa banyak perubahan. Ada seorang teman mengatakan, “Apabila Anwar dipukul setengah mati dan matanya lebam serta tertutup sebelah, pada masa yang sama dua-dua belah mata ramai rakyat menjadi celik”. Sekarang setelah beliau dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun atas apa yang dipercayai ramai dalam dan luar negeri sebagai tuduhan palsu serta fitnah semata-mata, lebih ramai lagi yang bertambah celik.

Anwar sudah menjadi lambing kepada apa yang boleh dilakukan oleh pemerintah dan pemimpin yang zalim serta tidak adil ke atas rakyatnya. Kesedaran rakyat sudah melampaui kesedaran tentang kezaliman ke atas Anwar seorang saja. Akan tetapi ia adalah kesedaran lebih luas tentang kezaliman, kekejaman, pembohongan, putar belit, ketamakan, kerakusan, korupsi pemerintah dan pemimpin itu. Itu sebabnya tuntutan rakyat ramai sekarang ini ialah untuk keadilan dan demokrasi dengan erti seluas-luasnya dalam segala bidang bagi rakyat semua. Itu sebabnya mereka menuntut perubahan dan melaungkan Reformasi!

Untuk menutup pekung mereka, para pemimpin pemerintah memainkan api perkauman. Mereka melanjutkan dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh penjajah dahulu. Jikalau dulu gerakan “Komunis” dan “Kiri” menjadi momokan, sekarang ini “Reformasi” dan “Islam” dan “Keadilan” pula digunakan untuk menakut-menakutkan rakyat ramai.

30hb Ogos 2001

No comments:

Post a Comment