(Soal jawab di antara Suara Keaadilan dengan Dr Syed Husin Ali)
SOAL: Benarkah, seperti disebut oleh seorang dua Professor, bahawa Malaya atau Tanah Melayu tidak perenah dijajah?
JAWAB: Ini satu mithos yang cuba ditanam oleh penjajah serta talibarut mereka dalam benak rakyat negara ini. Mereka mengatakan Malaya tidak pernah dijajah akan tetapi hanya dilindungi (protected) oleh British. Malangnya mithos ini diterima bulat-bulat oleh sesetengah bijak pandai pun. Sekarang, mereka pula menyebarkannya di kalangan rakyat.
Jikalau Malaya tidak pernah dijajah, adakah bererti UMNO tidak pernah berjuang untuk Merdeka? Adakah bermakna Tunku Abdul Rahman tidak berhak digelar Bapa Kemerdekaan? Dan kenapakah Merdeka disambut tiap-tiap tahun?
Jelas sekali Malaya pernah dijajah. Bukankah penjajah British menguasai politik serta pentadbiran negara – melalui Pesuruhjaya Tinggi dan pegawai-pegawai daerah/jajahan? Bukankah mereka menguasai ekonomi serta boleh memunggah segala sumber kekayaan negara? Bukankah mereka menguasai tanah-tanah terbaik untuk membuka ladang getah dan memiliki lombong-lombong bijih terbesar?
Bukankah mereka menguasai tentera serta polis, bahkan segala aspek penjagaan keselamatan? Dan bukankah mereka menguasai pendidikan, menekan bahasa dan melemahkan budaya Melayu serta tempatan?
Jikalau semua ini dianggap bukan penjajahan, apakah dia? Jikalau dikatakan perlindungan, beritaulah untuk melindungi kepentingan siapa?
SOAL: Tetapi, bukankah dalam sistem perlindungan ini Raja Melayu mempunyai kedaulatan dan pegawai British hanya menasihat saja?
JAWAB: Pada namanya mereka disebut sebagai Penasihat atau Residen British. Akan tetapi bukankah hampir segala dasar politik dan urusan pentadbiran di semua peringkat terlatak dalam tangan pegawai-pegawai penjajah British? Dari Pesuruhjaya Tinggi membawa kepada ketua-ketua jabatan (termasuk sekolah) dan pegawai daerah, Penjajah Britishlah yang sebenarnya berkuasa.
Jikalau Penjajah British tiada kuasa, bagaimanakah mereka boleh menentukan, dalam beberapa kes, raja mana harus diturunkan, pembesar mana yang harus dinaikkan menjadi raja, dan pembesar atau raja manakah yang harus dibuang negeri?
Lagi pula, kuasa yang ada pada raja mengikut tradisinya dalam bidang pemerintahan, perekonomian dan keselamatan semuanya dirampas oleh penjajah. Yang tinggal hanya Sultan sebagai lambang kedaultan dan mempunyai kuatkuasa yang terbatas cuma dalam bidang agama Islam dan adat istiadat Melayu saja.
SOAL: Akan tetapi betulkah di Johor, sebagai sebuah negeri bukan-bersekutu, polis tidak dikuasai oleh British tetapi oleh kerajaan Johor? Jadi apabila ada rumah pasung yang diserang, bukankah yang diserang ialah polis di bawah kuasa Johor?
JAWAB: Ini tidak benar. Seperti yang disebut di atas, segala aspek keselamatan diambil dan dikuasai oleh Penjajah British, termasuk tentera dan polis. Memang benar Johor mempunyai tentera Johor sendiri, selain tentera yang dikuasai Penjajah British. Akan tetapi bilangannya terbatas dan kuasanya pun tidak luas. Jelas sekali tidak ada pasukan polis Johor secara berasingan.
SOAL: Berpindah soalan sedikit, siapakah yang sebenarnya berjuang untuk menentang penjajahan dan untuk mencapai kemerdekaan?
JAWAB: Dari segi menentang penjajahan, ia telah dipimpin oleh golongan bagsawan sejak Peringgi cuba menguasai Melaka pada 1511 lagi. Bendahara Paduka Raja telah memimpin gerakan penentangan masa itu. Melaka jatuh oleh kerana alat senjata kuat pihak penceroboh dan juga kerana pembelotan dari dalam, melalui Mandaliar dll.
Kemudian, apabila British datang untuk berkuasa dalam abad ke-19, beberapa orang pembesar di negeri-negeri Melayu telah bangun menentang, Ada yang mengangkat senjata, untuk menentang kuasa penjajah ini dan mempertahan kedaulatan raja dan kebebasan rakyat Melayu.
Antara mereka ialah: Datuk Panglimalela di Perak; Raja Mahadi di Selangor; Datuk Bahaman, Datuk Gajah dan Mat Kilau di Pahang; Tok Janggut di Kelantan; Datuk Naning di Melaka, Abdul Rahman Limbung di Trengganu, Datu Mat Salleh di Sabah; Rosli Dhobi di Sarawak, dan ramai lagi.
Punca yang menyebabkan mereka menentang berbeza-beza. Perkara ini memerlukan kajian lebih mendalam. Yang penting mereka terlibat dengan perjuangan menentang penjajahan British dan mempertahan kedualatan serta kemerdekaan. Akibatnya, ada yang digantung dan ada yang diburu sampai mati. Akan tetapi perjuangan mereka tidak diberi sanjungan sewajanya.
SOAL: Bagaimana pula dengan mereka yang berjuang menuntut kemerdekaan? Adakah benar mereka terdiri hanya dari pemimpin-pemimpin UMNO?
JAWAB: Kalau kita baca buku-buku sejarah untuk murid sekolah, propaganda melalui media dan bahkan pandangan sesetengah professor juga, kita akan mendapat kesan seolah-oleh hanya UMNO dan pimpinannya saja, terutama sekali Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein dan Tun Dr Ismail Rahman pejuang kemerdekaan. Selaluya mereka inilah saja yang diiktiraf sebagai pejuang untuk kemerdekaan dalam abad ke-20.
Pada hal ada juga pengorbanan daripada tokoh-tokoh lain dan sumbangan dari badan-badan lain. Antara tokoh-tokoh terkenal ialah: Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Helmy, Ishak Hj Muhamad, Abdullah CD, Shamsiah Fakeh dll. Antara pertubuhan pula ialah: Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu (PKMM) dan sayapnya Angkatan Pemuda Insaf (API) serta Angkatan Wanita Sedar (AWAS).
Apabila kebanyakan tokoh yang selalu dianggap sebagai gologan kiri ini ditahan di bawah Undang-undang Darurat dan pertubuhan-petubuhan mereka pimpin diharamkan atau terpaksa ditutup, barulah ruang terbuka sepenuhnya kepada UMNO dan pimpinannya. British telah membantu kemajuan mereka. Ramai yang menjadi pegawai pentadbiran dibenarkan bergerak dalam UMNO tanpa perlu berhenti kerja.
SOAL: Akan tetapi bukankah Abdullah dan Shamsiah pemimpin komunis?
Ya, benar. Akan tetapi daripada mulanya mereka bergerak dalam PKMM dan AWAS. Apabila Penjajah British menangkap dan menahan beramai-ramai pemimpin serta aktivis kiri, ramai yang yang terlepas. Mereka mengambil jalan lain. Parti-parti mereka sudah ditutup. Jadi ada yang masuk parti lain seperti UMNO dan PAS, ada yang mendiamkan diri dan ada pula yang memilih masuk hutan.
Yang masuk hutan itu akhirnya menyertai gerakan komunis. Abdullah dan Shamsiah adalah di antara mereka ini. Memang benar matlamat akhir Parti Komunis (PKM) ialah untuk menegakkan sistem pemerintahannya sendiri. Akan tetapi mereka perlu berjuang untuk kemerdekaan dulu, sebelum dapat menegakkan sistem mereka.
Jadi, suka atau tidak suka, haruslah diterima hakikat sebenar bahawa mereka terlibat juga dengan perjuangan untuk kemerdekaan. Peranan mereka perlu dikaji dan dinilai secara objektif dan akademik dan tidak dengan cara emosi.
Dalam semua perjuangan menuntut kemerdekaan di Asia-Afrika, terdapat dua golongan yang berlainan aliran. Golongan pertama berlembut atau bekerjasama dengan penjajah. Golongan kedua berkeras dan menentang sepenuh-penuhnya penjajah.
Golongan pertama jarang menangkat senjata dan sanggup berkompromi dengan penjajah mengenai sistem dan dasar pemerintahan. Golongan kedua pula biasanya sanggup mengangkat senjata dan tidak mahu berkompromi dengan sistem dan dasar penjajah itu.
Tun Dr Ismail semasa berucap dalam majlis penganugerahan kedoktoran kehormat kepadanya pada tahun 1973 telah menyentuh tentang pelbagai aliran dalam gerakan perjuangan kemerdekaan negeri ini. Beliau kelihatan menganjurkan supaya kesemua aliran ini diiktiraf. Sikap beliau ini baik dijadikan panduan kepada pengkaji sejarah dan ahli politik.
Tamat.
No comments:
Post a Comment