Timbalan Tuan Yang di-Pertua : Terima kasih Yang Berhormat, Silakan Yang Berhormat Dr. Syed Hisun Ali.
7.43mlm.
Dr. Syed Husin Ali: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua yand dihormati. Baru-baru ini, Tuan Yang di-Pertua, saya telah menghadiri sebuah dialog yang disertai oleh beberapa tokoh Persatuan Majikan dan juga MTUC. Antara mereka ialah Setiausaha Persatuan Majikan dan bekas Presidan MTUC. Dalam dialog itu kesimpulannya ialah bahawa kedua-dua belah pihak majikan dan pekerja tidak bersetuju dengan akta ini dengan rang undang-undang ini. Izinkan saya memberikan alasan mereka secara ringkas kerana ini ada kaitannya dengan perbincangan selanjutnya.
Pihak majikan mengatakan bahawa mereka memang sentiasa menentang gaji minimum dan mereka mengganggap bahawa rang undang-undang ini secara tersembunyinya mengutamakan pelaksanaan gaji minimum. Misalannya fasal 4 jelas menyatakan fungsi majlis yang berkaitan dengan gaji minimum itu
Selanjutnya mereka mengatakan bahawa daripada mengadakan gaji minimum, yang terikat pada waktu-waktu tertentu, lebih baiklah mengadakan review tiap-tiap tahun atau dua tahun sekali untuk kenaikan gaji. Review seumpama ini dilakukan oleh beberapa negara yang lain. Pihak pekerja pula mengatakan sebenarnya rang undang-undang ini tidak memuaskan hati mereka tentang pelaksanaan gaji minimum. Ini adalah kerana dari segi fungsi dan kuasa Majlis ini ia adalah sangat terbatas. Inilah yang hendak saya perjelas kemudian nanti.
Keduanya mereka mengatakan soal gaji minimum ini harus dikaitkan dengan pindaan yang dibuat terutama sekali terhadap akta pekerjaan (Employment Act) tahun 1955 fasal 2. Di sana disebutkan tentang kemungkinan adanya outsourcing bagi mencari pekerja. Outsourcing ini berlaku ialah kerana diadakan kontraktor-kontraktor macam Sistem Kangani, kontraktor-kontraktor yang boleh mengembil pekerja bagi pihak majikan. Jadi, tidak ada interaksi di antara majikan dengan pekerja. Akan tetapi ia adalah melalui kontraktor.
Dengan adanya itu maka tidak bolehlah negotiation ataupun rundingan dilakukan di antara pekerja dengan majikan dan oleh sebab itu timbullah keadaan di mana misalannya kontraktor akan mendapat keuntungan besar dan collective bargaining tidak boleh dijalankan. Oleh sebab itu tidak wujud interaksi di antara pekerja dengan majikan. Kedua-dua perkara ini iaitu keuntungan bagi kontraktor dan juga sulitnya mengadakan collective bargaining ini adalah sebenarnya bertentangan dengan komitmen yang diberikan oleh Menteri Sumber Manusia pada sesi 98 ILO di Geneva pada 11hb Jun 2009. Harus dipertimbangkan soal ini iaitu soal komitmen yang telah diberi dan apa yang berlaku sekarang ini.
Sekarang saya ingin membincangkan secara khusus beberapa hal yang berkaitan dengan rang undang-undang ini. Sebelum itu saya ingin menyatakan bahawa walaupun kita perlukan gaji minimum, bagi saya ada baiknya juga seperti yang dicadangkan oleh pihak majikan tadi, diadakan review tentang gaji pada setiap-tiap waktu yang tertentu. Sebabnya perkara ini bukan mutually exclusive. Bahkan kedua-duanya boleh dilakukan. Kita boleh ada gaji minumum bagi 24 peratus pekerja yang dibawah poverty line misalnya dan sebaliknya bagi mereka yang lain kita boleh adakan review gaji mereka dari semasa ke semasa.
Berhubung dengan ini barangkali sesuai kalau diadakan konsep flexi wage di mana misalannya gaji atau pendapatan adalah disesuaikan dengan kos hidup pada satu-satu waktu. Dalam rang undang-undang ini saya pergi dahulu ke fasal 5 – Keanggotaan Majlis. Di sini ditegaskan secara khusus bahawa keanggotaan Majlis adalah ditentukan sama ada dari segi pelantikan ataupun pengguguran oleh menteri. Jadi maknanya kuasa menteri di situ adalah besar.
Keduanya, lima daripada 23 atau sehingga 29 anggota Majlis adalah wakil pekerja, lima wakil majikan dan lima lagi dari perjawatan am. Yang jadi perkara masalah ialah dua. Pertama, bagi pekerja atau majikan, tidak disebut sama ada akan dirujuk kepada mereka untuk memilih wakilnya dan tidak disebut juga sama ada wakil-wakil pekerja dan majikan boleh dipilih oleh pekerja sendiri. Misalnya memberi nama kepada menteri dan dilantik.
1950
Yang Keduanya ialah bagi yang menjadi pengawai kerajaan , mereka juga mempunyai undi. Saya rasa adalah susah untuk pengawai kerajaan bersifat neutral dalam hal seperti ini kerana bila mengundi , terutama sekali bila pengundian itu adalah secara terbuka , tentulah kelihatan untuk siapa mereka mengundi. Mereka tentu tidak mahu kelihatan untuk mengundi kepada pihak bertentangan dengan kerajaan.
Satu lagi ialah kita dapati bahawa Majlis ini sebenarnya tidak mempunyai kuasa yang besar. Betul seperti tajuk rang undang-undang ini , rang ini ialah bagi Majlis Perundingan Gaji Negara. Nampaknya ia hanya akan merundingkan kemungkinan kenaikan gaji dan kemudian membuat keputusan dan membuat syor. Syor itu dikemukan kepada Menteri. Menteri boleh menentukan sama ada terima syor itu atau suruh kaji balik. Kemudian dipulangkan kepada mereka untuj dikaji balik. Bila mereka sudah kaji ada syor baru , dikemukan semula dan pada waktu itu , kali yang kedua ini Menteri boleh menentukan sama ada hendak menerima syor itu ataupun terus tolak.
Sehubungan dengan ini sebenarnya kita dapati bahawa ada fasal 23 (2) yang menyatakan Menteri boleh apabila diarahkan oleh kerajaan melalui pemberitahuan dalam warta meminda ataupun membatalkan perintah gaji minimum.
Jadi , akhirnya Menteri boleh buat keputusan atas arahan kerajaan. Okey , kita akan mengatakan itu memang hak kerajaan untuk melakukannya. Tetapi saya hendak mengingatkan bahawa tadi Menteri telah menyatakan bahawa sekurang-kurangnya dalam 70 peratus daripada negara yang melaksanakan gaji minimum ini , kerajaannya lah yang menentukan gaji minimum itu. Jadi , kerajaan sebagai penentu gaji minimum itu.
Bukan sahaja ini menimbulkan soal Majlis itu tidak efektif. Ia juga menunjakkan sebenarnya Majlis tidak mempunyai taring untuk melaksanakan apa-apa keputusannya dan ini merupakan lanjutan atau ulangan daripada apa yang pernah berlaku. Tadi ada disebutkan mengenai kenaikan gaji bagi pengawal-pengawal keselamatan. Ditangguhkan , diberi sebab mengapa ditangguhkan. Jadi , ertinya keputusan dibuat misalnya melalui perundangan tetapi pelaksanaan tidak dilakukannya. Begitu juga saya bimbang nanti keputusan dibuat oleh Majlis ini tetapi tidak ada pelaksanaan sewajarnya mengikut masa dan waktu tertentu dan dilengah-lengahkan. Kalau dilaksanakan bernasib baiklah , kalau tidak mungkin ditolak semula ataupun tidak dilaksanakan sama sekali keputusan yang telah dibuat itu.
Akhir sekali Tuan Yang Di-Pertua , saya ingin menyebut semula fasal 31 iaitu tentang waran geledah yang dikeluarkan oleh akta ini adalah sah dan boleh dikuatkuasakan walau apa pun kecacatan , kesilapan dan peninggalan dalamnya. Perkara ini memang telah saya timbulkan dalam rang undang-undang yang lebih awal dan telah ditegaskan lebih kuat lagi oleh Tuan Yang Dipertua. Jadi , oleh kerana nampaknya ini ulangan sekali lagi tentang perkara yang sama , saya harap dapat disampaikan melalui Tuan Yang Dipertua kepada pihak kerajaan supaya menimbang semula sama ada hendak digunakan ayat-ayat seperti ini dalam akta-akta ataupun rang undang-undang akan datang. Sekian , terima kasih.
Timbalan Yang Di-pertua : Terima kasih Yang Berhormat . Silakan Yang Berhormat Tuan Mohd. Khalid Bin Ahmad.
No comments:
Post a Comment