Friday, December 17, 2010

UCAPAN DR SYED HUSIN ALI MEMBAHAS BELANJAWAN DALAM SIDANG SENAT MULAI 13 DISEMBER 2010

(Di bawah ini ialah ucapan sebagaimana ditulis sepenuhnya. Oleh kerana Speaker bataskan waktu kepada setengah jam saja, yang diucapkan adalah jauh lebih pendek)

Ada beberapa perkara pokok yang ketara dalam Belanjawan 2011 beserta Model Ekonomi Baru (MEB) yang dianggap sebagai asasnya. Antaranya ialah:

(i) kadar defisit masih tinggi;

(ii) kadar perbelanjaan untuk pengurusan bertambah dan untuk pembangunan berkurangan, berbanding dengan tahun-tahun lalu;

(iii) mengulangi penekanan kepada pembinaan projek-projek mega;

(iv) meneruskan ekuiti saham 30 peratus untuk Bumiputera, dan

(v) lebih bergantung kepada falsafah liberalisasi atau pasaran bebas untuk pembangunan sosio-ekonomi.

DEFISIT BERTERUSAN

Defisit dalam belanjawan berterusan lebih 10 tahun sehingga Belanjawan 2010. Rata-rata ia dalam lingkungan 5 peratus, walaupun ada kalanya sampai mencapai 7 peratus. Bagi belanjawan 2011 dijangkakan 5.4 peratus. Biasanya, mengikut pengurusan belanjawan yang baik, prinsipnya ialah melaksana belanjawan defisit dalam keadaan ekonomi menguncup, dengan tujuan mengembangkan ekonomi. Sebaliknya melaksanakan belanjawan lebihan (surplus) dalam keadaan ekonomi yang mengembang. Akan tetapi, nampaknya negara ini melaksanakan belanjawan defisit berterusan, tidak kira ekonomi mengembang atau menguncup.

Sebenarnya, tidak menjadi masalah sekiranya defisit dalam belanjawan digunakan untuk menambah perbelanjaan kepada golongan miskin dan kawasan mundur, untuk menaikkan taraf hidup dan meningkatkan pendapatan mereka. Akan tetapi, sebaliknya sudah menjadi “pattern” perbelanjaan adalah lebih besar untuk projek-projek mega yang menambah-kayakan lagi segelintir golongan korporat-kontraktor, terutama sekali yang menjadi kroni pemimpin-pemimpin besar Kerajaan. Perbelanjaan jauh lebih kecil bagi menaikkan taraf hidup dan pendapatan rakyat, terutama yang termiskin di kawasan-kawasan termundur.

Usaha berkesan hendaklah dilakukan untuk mengurangkan defisit. Pada pandangan saya ini boleh dilakukan dengan menbambil beberapa langkah, antaranya:

(i) Sekat atau kurangkan pembaziran (satu contoh ketara ialah sewa dan “maintenance” sebanyak Rm26,000 setiap hari atau Rm9.4 juta bagi Seri Perdana dan Seri Setia;

(ii) Potong sesetengah perbelanjaan untuk pertahanan, misalnya rancangan hendak membeli jet pejuang yang baru. pada 19 April tahun ini kontrak bernilai Rm10.4 bilion telah ditandatangani untuk membeli pelbagai alat senjata perang. Dalam 10 tahun yang lalu lebih dari RM100 billion dibelanjakan untuk tujuan ini.

(iii) Kurangkan dan akhirnya hapus subsidi kepada IPP yang sekarang ini berjumlah Rm15 bilion setahun;

(iv) Turunkan bayaran konsesi tol. Kerjaan kena membayar gantirugi Rm5 bilion akibat tidak menaikkan kadar tol selama lima tahun dan ada sebanyak RM2.5 bilion pampasan yang belum dilangsaikan. Jadi untuk bayaran pampasan saja berjumlah Rm7.5 bilion.

Selain itu, Kerajaan boleh menambah pendapatan atau hasil dengan mengenakan cukai harta warisan (inheritance tax). Kini terdapat jurang pendapatan/ kekayaan yang lebar dalam masyarakat. Salah satu sebabnya ialah wujud berbazaan semasa lahir; ada yang lahir dalam mahligai dan ada yang lahir dalam gobok buruk. Cukai warisan ini boleh merapatkan jurang ini.

PEMBAHAGIAN PERBELANJAAN

Jumlah Belanjawan bagi tahun 2011 ialah RM213.99 bilion, iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding dengan 2010. Sejumlah RM162.81 bilion atau 76.1 peratus ialah untuk Perbelanjaan Mengurus dan RM51.18 bilion atau 23.9 peratus untuk Perbelanjaan Pembangunan. Jikalau dilihat trend secara umum, kelihatan kadar belanja mengurus meningkat manakala kadar belanja membangun menurun.

Ada dua persoalan di sini. Pertama, bukankah lebih baik sekiranya kadar Perbelanjaan Pembangunan ditambah, terutama sekali untuk memberi tumpuan yang lebih besar kepada kawasan mundur dan golongan miskin? Kedua, Adakah dalam belanja untuk pembangunan bagi 2011, peruntukan bagi kawasan mundur dan golongan miskin bertambah besar, sebagaimana sepatutnya? Perkara ini akan dihuraikan lebih lanjut kemudian.

PROJEK-PROJEK GERGASI

Apabila Tun Abdullah Badawi mula mengambil teraju kerajaan, beliau mengumumkan akan berhenti melaksana projek-projek mega. Akan tetapi, sebelum bersara beliau mengumumkan beberapa projek besar di bawah rancangan Koridor. Kini PM Najib meneruskannya. Seterusnya, sebagaimana yang diucapkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Kerajaan akan menggiatkan lagi Inisiatif Projek Perkongsian Kerajaan-Swasta atau PPP. Ini akan melibatkan kos pelaburan swasta Rm12.5 bilion. Antaranya ialah pembinaan beberapa lebuhraya bertingkat.

Paling menjolok sekali ialah projek membangunkan Wawasan Merdeka, yang berupa bangunan lebih tinggi dari bangunan berkembar KLCC. Tingginya lebih 100 tingkat dan harganya dianggarkan Rm5.3 bilion. Jumlah ini mungkin bertambah lagi semasa proses pembangunan, sebagaimana sering berlaku. Walau apapun ini melibatkan wang rakyat.

Projek ini jelas merupakan projek membazir. Ia tidak harus diteruskan oleh kerana sebab-sebab berikut:

(i) Pihak Kerajaan berkali-kali menegaskan bahawa projek ini akan diongkosi oleh PNB, bukan Kerajaan. Anehnya ia dimasukkan di dalam ucapan belanjawan Menteri Kewangan. Bagaimanakah inisiatif sektor swasta yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan dimasukkan ke dalam Belanjawan? Bajet ialah pelan fiscal tentang bagaimana kerajaan berancang untuk menambah pendapatan yang boleh dibelanjakan untuk memenuhi keperluan pertumbuhan dan pembangunan. Ia seharusnya mencerminkan pilihan kolektif masyarakat dan warganegara.

(ii) Dikatakan projek ini boleh mempunyai kesan “multiplier” (berganda) ke atas pendapatan dan pekerjaan. Ini benar secara terbatas. Ada kemungkinan beberapa kontraktor kroni akan mendapat untung besar, dan kantung pilihanraya Umno boleh diisi. Tetapi yang mungkin banyak berlaku ialah: korupsi besar-besaran; ketirisan kewangan akibat import bahan-bahan pembinaan; bayaran tinggi kepada jururunding asing; lebih banyak penggunaan pekerja asing dan pengiriman wang keluar oleh mereka.

(iii) Ia akan menimbulkan pelbagai kibat sosial yang buruk ke atas tengah-tengah kota Kuala Lumpur, seperti kesesakan lalulintas dan pencemaran udara. Masalah-masalah ini memang sudah serius pun dan masih gagal dibendung, apatah lagi untuk diatasi.

(iv) Kuala Lumpur sudah mempunyai ruang pejabat dan tempat perniagaan terlalu melebihi. Tiada jaminan bangunan mega ini akan dapat diisi walaupun separuh. Menara berkembar boleh dipenuhkan oleh pejabat-pejabat Petronas, kerana syarikat minyak itu mampu membayar. Adakah PNB mempunyai kemampuan yang sama? Apa yang pasti berlaku ialah projek ini boleh memberi kesan negatif kepada jumlah dividen yang boleh diterima oleh pelabur-palabur kecil dalam PNB melalui ASB, ASN dan ASW. Dividen mereka tentu akan tambah merosot.

EKUITI 30 PERATUS

Manakala mula-mula PM Najib mengumumkan Model Ekonomi Barunya (MEB), salah satu perkara yang ditegaskan ialah rancangan untuk merombak dasar ekuiti saham sebanyak 30 peratus bagi Bumiputera, seperti terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam ucapannya sewaktu mengemukakan Rancangan Malaysia ke10, beliau menghuraikan dengan agak panjang lebar gagasannya tentang hal ini. Akan tetapi, rancangan atau gagasan ini mendapat tentangan hebat dari golongan keMelayuan sempit dari dalam dan luar Umno.

Sekarang kita lihat hal ini tidak disebut dalam Ucapan Belanjawan Perdana Menteri. Bahkan Bab 2 laporan NEAC yang beliau lancarkan baru-baru inipun tidak menyentuh perkara sama. Sebagaimana belanjawan kali ini mengulangi pendekatan lama untuk menumpu kepada pembangunan projek-projek mega, begitu juga kini Kerajaan sudah membuat keputusan mempertahankan ekuiti 30 peratus itu tanpa mengubahnya. Jadi tiada apa yang baru sangat dalam MEB itu.

Seperti kita ketahui, DEB mempunyai objektif dua serampang. Pertama ialah mengatasi kemiskinan di kalangan semua kaum. Kedua, menyusun semula masyarkat supaya diatasi pengenalan aktiviti dengan kaum. Aspek penting dari yang kedua ini ialah menambah penyeretaan Melayu/Bumiputera dan bidang-bidang perniagaan dan perindustrian. Inilah antara yang diutamakan oleh golongan yang memperjuangkan DEB itu. Peluang istimewa dalam keduadua bidang inilah yang memberi peluang kepada segelintir dari mereka untuk menjadi kaya-raya. Mereka menganggap mengubah DEB akan menjejaskan peluang istimewa mereka itu. Oleh itu mereka kaitkan dengan soal mempertahan Ketuanan Melayu.

DEB DAN SOAL KETUANAN MELAYU

Sehubungan ini perlu diingatkan bahawa Fasal 3 dalam Perlembagaan menyatakan kedudukan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Fasal 39 dan Fasal 71-72 menyatakan kedudukan kuasa, tugas serta keistimewaanYang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan dan Raja serta Yang Dipertua bagi Negeri-negeri. Fasal 152 menyatakan tentang kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Seterusnya, Fasal 153 pula menyatakan Yang di-Pertuan Agong “melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak”. Antara perkara yang meliputi kedudukan istimewa ini ialah: jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa, keistimewaan pendidikan atau latihan dan permit atau lesen perdagangan.

Saya hendak menegaskan di sini, supaya tiada kesangsian, bahawa Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat mendukung Perlembagaan Persekutuan. Pemimpin-pemimpin utama Parti-parti dalam Pakatan telah menandatangani dokumen bersama yang menekankan tentang hakikat Pakatan mendukung Perlembagaan Persekutuan, terutama berkaitan Agama Persekutuan, kedudukan Raja-raja, Bahasa Kebangsaan dan Kedudukan Istimewa Melayu.

Selanjutnya, Dasar Pakatan yang telah diterima dalam Konvensyen Pertamanya dalam pada 19 Disember 2009, di Bahagian 1.a. Ceraian i, ii dan iii dengan jelas dan tegas menyatakan dukungannya pada Perlembagaan Persekutuan terutama tentang kedudukan Agama, Raja, Bahasa dan Keistimewaan Melayu itu. Jadi jangan ada pihak yang hendak memfitnahkan KEADILAN dan PAKATAN menentang Perlembagaan.

Perlembagaan memang dokumen yang keramat. Akan tetapi tidak bererti ia tidak boleh dipinda oleh Parlimen. Antara 1957 hingga 2005 sebanyak 51 Pindaan Perlembagaan Persekutuan telah dilakukan. Seterusnya, sehingga 2001 sebanyak 171 Perkara-Perkara Perlembagaan yang dipinda telah dikuatkuasakan. Semua ini dilakukan di bawah kuasa Kerajaan Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional.

Jikalau Perlembagaan boleh dipinda mengapakah DEB tidak boleh diubah? Mengubah DEB tidak bererti merombak Perlembagaan. Bukankan DEB, objektifnya dan perlaksanaannya tidak merupakan sebahagian dari Perlembagaan Persekutuan? Kenapakah harus disumpah seranah mereka yang mempersoal atau mahu mengubah DEB supaya lebih sesuai dengan keadaan zaman?

TIADA DALAM PERLEMBAGAAN

Perlu juga ditegaskan bahawa Kontrak Sosial dan Ketuanan Melayu adalah konsep-konsep yang tidak wujud dalam Perlembagaan. Istilah kontrak sosial mula-mula diperkenalkan oleh Abdullah Ahmad (kini Tan Sri), seorang Setiausaha Politik Tun Abdul Razak kalau tidak salah pada tahun 1968. Tiada proses perundingan yang membawa kepada penggunaan istilah ini.

Ada tiga pihak utama yang berunding untuk mencipta Perlembgaan Persekutuan, iaitu Raja-raja, Umno-Perikatan dan British. Fasal-fasal yang disebut di atas adalah berdasarkan persetujuan yang mereka capai. Tidak pernah persetujuan ini disebut sebagai Kontrak Sosial. PUTERA-AMCJA telah mengemukakan “Manifesto Rakyat”, akan tetapi ini tidak diterima untuk dibincang.

Begitu dengan istilah Ketuanan Melayu. Tidak diketahui bila dan siapa memulakan penggunaannya. Semasa Umno mula-mula terlibat dengan perjuangan kemerdekaan, slogan yang sering mereka gunakan ialah Hidup Melayu. Masa itu tidak pernahpun digunakan Ketuanan Melayu. Istilah ini membawa erti Melayu itu dominan atau menjadi tuan dalam negara ini. Ia meletakkan taraf atau kedudukan orang Melayu itu lebih tinggi bahkan lebih berkuasa dari orang atau kaum lain. Jikalau yang satu tuan yang dominan, adakah yang lain itu hamba?

Kedudukan Raja termaktub dalam Perlembagaan. Dakwaan Ketuanan Melayu itu berkaitan dengan kedaulatan raja tidak mempunyai asas kerana tidak ada fasal atau ceraian dalam Perlembagaan Persekutuan yang merujuk kepada ini. Sekarang, Ketuanan Melayu seperti “hak istimewa” Melayu digunakan oleh segelintir orang Melayu saja untuk membolot kuasa dan harta bagi diri mereka. Dalam suasana terkini bagaimanakah ia dapat dipadankan (reconcile) dengan konsept 1Malaysia?

KETUANAN RAKYAT

Kami dari KEADILAN ingin menggantikan Ketuanan Melayu dengan Ketuanan Rakyat. Ketuanan Rakyat memberikan erti rakyat mempunyai hak serta kuasa untuk menentukan sistem, corak dan pimpinan sosio-politik negara sesuai dengan kehendak Perlembagaan. Pada masa sama ia menjunjung kedudukan dan kuasa Raja Berperlembagaan. Ketuanan Rakyat juga bermaksud menghormati hak rakyat terbanyak, terutama yang miskin dan berpendapatan rendah dari pelbagai kaum, untuk mendapat keadilan penuh dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Keadilan untuk semua ini secara automatis menjamin faedah lebih besar kepada orang Melayu/Bumiputera kerana mereka merupakan majoriti dari golongan yang paling terbiar, terpinggir dan termiskin kini. Dengan Ketuanan Rakyat golongan ini perlu mendapat keutamaan dibela dan diberi peruntukan lebih banyak bagi pembangunan serta kemajuan agar terjamin martabat mereka dapat dipertingkatkan. Jelas ia berbeza dengan Ketuanan Melayu yang berasaskan perkauman sempit, yang mengkesampingkan kaum lain, yang lebih bertujuan untuk memperkayakan segolongan kecil yang kaya, dan yang mempertentangkan tuan dengan hamba.

LIBERALISASI DAN MENDAYA SWASTA

PM Najib dan Kerajaan Umno-Bn sekarang ini sangat komited kepada falsafah liberalisasi dan amalan pasaran bebas yang memberikan peranan lebih luas kepada sektor swasta. Ini agak menghairankan dari dua segi.

Pertama, hampir seluruh dunia (terutama di Barat) sekarang ini mula meninggalkan liberalisasi. Ini termasuk Amerika Syarikat, negara kapitalis terulung, di mana ahli-ahli ekonomi neo-liberal dan neo-konservatif paling totokpun sudah mulai berubah fikiran. Mereka mula mengakui peranan Negara (State). Itu sebab Presiden Obama pun telah melaksanakan dasar campur-tangan negara dengan mengeluarkan berbilion-bilion untuk membantu syarikat-syarikat yang bermasalah dan cuba memulihkan negara dari malapetaka kemelesetan.

Kedua, walaupun PM Najib menekankan betapa pentingnya libealisasi dan pasaran bebas dilaksanakan, mereka mahu pula Negara memainkan peranan. RM67 bilion wang rangsangan telah disuntikkan untuk mengatasi kemelesetan. Ini memanglah tindakan lebih baik dari membiarkan saja mekanisme pasaran untuk memulihkan keadaan. Selain itu beliau beralah kepada golongan perkauman sempit untuk meneruskan ekuiti 30 peratus bagi Bumiputera. Sebenarnya jikalau Kerajaan benar-benar hendak membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah, yang kebanyakan Melayu, ia seharusnya mengurangkan pengaruh pasaran bebas atau liberalisasi dan melebihkaan peranan Negara.

Sebenarnya, bagi Malaysia sistem terbaik ialah yang mengimbangkan peranan di antara pasaran bebas dengan peranan Negara. Akan tetapi, PM Najib nampaknya berazam penuh untuk mengikuti jalan liberalisasi. Dengan ini, sektor swasta akan diberikan peranan lebih besar. Barangkali itu sebabnya Bab 2 Laporan NEAC tajuknya ialah ‘Transformasi Dalam Mendaya Semula Sektor Swasta’.

Dinyatakan dalam laporan ini, “Transformasi sektor swasta bergantung pada mengembalikan semula keyakinan ke atas Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan dari pelabur asing dan tempatan.” Sekarang ini trend umumnya ialah plaburan asing semakin merosot. Pada pertengahan tahun 1990an, jumlah pelaburan kira-kira 40 peratus dari KDNK. Pada tahun 2008 ia menurun kepda 20 peratus. Kini, kadar pelaburan sudah merosot kepada 10 peratus dari KDNK. Bukan saja pelaburan asing merosot, sebaliknya pula pelaburan tempatan yang keluar negara adalah besar. Pelabur tempatan pun merasa lebih selamat dan lebih beruntung untuk melabur di luar negara. Bahkan pada suatu ketika pelaburan ke luar ini digalakkan.

MENARIK PELABURAN

Perlu diingatkan bahawa tidak cukup untuk mengisytiharkan dasar liberalisasi saja untuk menarik pelaburan asing dan juga pelabur tempatan. Hal ini nampaknya disedari. Pada masa yang lalu Kerajaan telah mengenalpasti beberapa industri yang mempunyai teknologi dan nilai tambahan tinggi untuk dipromosi. Ini termasuk teknologi hijau, bioteknologi, ubat-ubatan (pharmaceutical), dan sektor-sektor kecil tertentu dalam industri elektroniks dan jentera elektrik (E & E). Masalahnya ialah suasana antarabangsa sekarang ini bertambah kompetitif. Kedudukan Malaysia untuk bersaing kelihatan tidak begitu kuat.

Selain itu ada bermacam-macam faktor yang diambil kira oleh pelabur asing sebelum melabur atau menambah pelaburan mereka dalam negara ini. Antaranya ialah: Kepercayaan tentang masa depan sosio-politik lebih stabil (dan debat yang bercorak perkauman sempit tidak membantu); Keyakinan terhadap sistem kehakiman yang boleh memberi keadilan sekiranya mereka merujuk apa-apa kes (malangnya ketika ini persepsi terhadap Mahkamah Malaysia adalah negatif); Suasana sosial yang aman serta tenteram (dan kadar jenayah masa ini tidak berapa membantu); Sistem jalur lebar yang luas dan lebih penting lagi cepat serta cekap (dalam hal ini banyak lagi yang perlu dibaiki).

Kita tidak harus terlalu ghairah untuk bergantung kepada modal asing bagi memaju dan membangun negara serta masyarakat. Usaha yang lebih berkesan hendaklah dijalankan bagi memobilisasi modal tempatan. Bergantung keterlaluan kepada liberlisasi dan peranan swasta untuk menarik pelaburan itu adalah kurang bijak. Sebabnya, dasar liberal boleh mengakibatkan banyak perkara yang tidak mendatangkan kebajikan kepada rakyat ramai.

Falsafah serta dasar liberal menggalakkan persaingan sepenuhnya. Yang lemah mesti bersaing dengan yang kuat. Jikalau diumpamakan dalam lumba lari, yang tempang atau cacat anggota mesti berlawan dengan yang sihat dan segar bugar. Dalam persaingan tidak adil ini sudah tentulah yang lemah dan cacat akan tertinggal lebih jauh.

AKIBAT LIBERALISASI - KETIDAKSEMBANGAN

Kerajaan mendakwa bahawa ia mahu melaksanakan strategi pembangunan ekonomi yang lebih inklusif. Tetapi pada hakikatnya perkara yang sebaliknya berlaku. Salah satu sebab utama masyarakat Malaysia semakin tidak seimbang dan jurang di antara yang kaya dan kuat dengan yang miskin serta lemah semakin melebar ialah kerana akibat dasar yang mirip kepada falsafah neoliberal yang diikutinya selama ini.

Ada trend lebih mengutamakan peranan sektor swasta yang sering lebih mengutamakan keuntungan besar bagi pemodal dari kebajikan bagi pekerja atau rakyat biasa. Pada masa sama ada trend mengurangkan pergantungan kepada sektor awam untuk menyediakan barang dan perkhidmatan sosial. Lebih banyak beban kewangan dipindahkan ke bahu orang awam. Lihat saja apa yang berlaku dalam bidang kesihatan dan juga pendidikan dengan berlakunya pengswastaan.

Ada juga trend kepada memindahkan strategi fiskal yang lebih menguntungkan golongan kaya dari golongan miskin. Cukai pendapatan perseorangan dan syarikat/korporat semakin dikurangkan dalam beberapa tahun yang lampau. Cukai korporat telah diturunkan dari 40 peratus pada pertengahan 1980an ke cuma 25 peratus sekarang. Kedua-dua cukai pendapatan ini berbentuk langsung dan progresif; ertinya ia didasarkan kepada kebolehan untuk membayar.

Sekarang ini, akibat berkurangnya pendapatan dari sumber cukai progresif tersebut, ada rancangan untuk menaikkan cukai yang regresif, mungkin dengan memperkenalkan GST. Sekiranya GST dilaksanakan semua rakyat, termasuk yang miskin dan berpendapatan rendah harus membayar cukai secara tidak langsung. Mereka terpaksa membayar cukai bagi semua barang keperluan yang dibeli. Jadi beban cukai akan lebih berat di atas bahu mereka. Secara perbandingan, sekarang ini hanya kira-kira 1.8 juta orang atau 15 peratus dari tenaga kerja saja yang membayar cukai, berdasarkan kebolehan mereka.

Seterusnya sekarang ini lebih banyak subsidi ditarik balik walaupun secara beransur-ansur. Subsidi minyak petrol, misalnya menguntungkan semua golongan – kaya dan miskin, berpendapatan rendah dan berpendapatan tinggi. Sekarang ini, apabila sebahagian subsidi ditarik balik dan harga minyak serta gas dinaikkan, yang paling teruk menanggung bebannya ialah golongan miskin dan susah. Beban ke atas mereka semakin teruk kerana akibat kenaikan harga minyak, barang-barang keprluan harian dan tambang kenderaan juga naik semakin tinggi.

Nampaknya Kerajaan tidak merasa perlu untuk memikirkan kaedah bagaimana hendak mengelak atau mengurangkan bebanan ini kepada golongan yang berpendapatan rendah dan miskin. Akan tetapi sebaliknya, subsidi kepada IPP (Independent Power Producers) yang diberikan kepada golongan kaya kroni tidak dikurangkan, apatah lagi dihapuskan. Dikatakan susbsidi untuk mereka sekarang ini kira-kira Rm15 bilion setahun. Tenaga Elektrik pun kerugian besar kerana terpaksa memberi sumber tenaga dari IPP dengan harga yang tinggi.

MASALAH KEMISKINAN

Masalah kemiskinan masih wujud dalam negara ini, bukan saja di desa bahkan juga di bandar. Masalah kemiskinan mutlak kelihatan nampak baik. Akan tetapi keadaan sebenar tidaklah sebaik yang ditunjukkan oleh statistik. Mengikut statistik, kadar kemiskinan kini cuma 3.8 peratus saja. Ini ialah kerana garis kemiskinan yang digunakan kini ialah kira-kira Rm770 sebulan. Memandang kos hidup sekarang, ini tidak realistik.

Jikalau garis kemiskinan dinaikkan kepada Rm12,000 tentu akan lebih ramai bilangan orang di bawahnya, yang dianggap miskin. Jadi kadar kemiskinan akan lebih tinggi lagi. Apatah lagi jikalau digunakan Rm1500 sebagai garis kemiskinan. Angka Kerajaan sendiri menunjukkan bahawa 40 peratus bilangan penduduk jatuh di bawah pendapatan Rm1500 ini. Sebenarnya masalah yang lebih serius ialah kemiskinan relatif. Ini diakibatkan oleh trend penumpuan kekayaan kepada sebilangan kecil yang kaya-raya saja dan menyebabkan jurang di antara yang paling kaya dengan yang paling miskin semakin lebar.

Di desa, sebahagian besar yang miskin atau berpendapatan rendah adalah petani-petani yang sebahagian besarnya terdiri dari orang Melayu. Di Semenanjung kawasan yang terdapat tinggi sekali kadar kemiskinannya ialah negeri-negeri yang penduduknya majoriti Melayu, seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Selain itu kita dapati, kadar kemiskinan adalah paling tinggi di Sabah dengan Sarawak tidak ketinggalan jauh. Sepatutnya jumlah yang besar diperuntukkan dari Belanjawan untuk mereka. Itu kalau kita benar-benar hendak menaikkan pendapatan dan taraf hidup orang Melayu/Bumiputera.

Akan tetapi malangnya kita lihat bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hanya diperutukkan Rm2,772,289,000 manakala Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diperuntukkan hanya Rm4,425,054,000. Jumlah kedua-duanya ialah kira-kira Rm7.2 billion. Bandingkan ini dengan peruntukan bagi membina MRT sebanyak Rm40 bilion di wilayah Kuala Lumpur dan sekitarnya. Selanjutnya, peruntukan bagi kedua-dua Kementerian ini, yang ada kaitan dengan desa dan pertanian, hanya kira-kira 0.4 peratus sahaja daripada keseluruhan peruntukan Belanjawan. Ini termasuk untuk pengurusan dan juga pembangunan.

KEMISKINAN BANDAR

Masalah kemiskinan tidak kurang seriusnya di bandar. Mengikut statistik rasmi yang telah digunakan oleh Menteri Sumber Manusia, pada tahun 2009 33.8 pertus dari 1,330,846 orang pekerja berpendapatan kurang dari Rm700 sebulan. Kadar teringgi sekali ialah: Sabah 63 peratus, Perlis 54.4 peratus dan Sarawak 48.1 peratus.Ertinya, mereka ini semua hidup dalam keadaan miskin mutlak. Sebahagian besar mereka adalah Melayu/Bumiputera. Mereka bekerja dengan Kerajaan, sebagai pekerja-pekerja peringkat rendah ataupun dalam perkhidmatan beruniform.

Golongan ini masih tidak terbela. Mereka tiada kesatuan pekerja ataupun kesatuan pekerja mereka lemah. Dalam Ucapan Belanjawan, PM Najib telah mengumumkan kenaikan gaji bagi posmen. Akan tetapi, gaji baru belum melepaskan mereka dari kongkongan kemiskinan. Pekerja-pekerja rendah dalam IMG dan pegawai- pegawai rendah Tentera, Polis, Kastam dan Imigresen sudah berkali-kali dijanjikan kenaikan

Gaji. Akan tetapi mereka masih menunggu. Mungkin ada silap mata nanti apabila Pilihanraya Umum sudah dekat.

SABAH DAN SARAWAK TERPINGGIR

Kita lihat bahawa dari segi kemiskinan desa dan bandar, kedudukan Sabah dan Sarawak adalah jauh lebih buruk dari kebanyakan negeri di Semenanjung. Peratus kemiskinan desa dan bandar di Sabah dan Sarawak melampaui negeri-negeri lain. Keadaan sosio-ekonomi kedua-dua negeri ini agak mundur. Masyarakat mereka di pedalaman, misalnya masyarakat Penan, adalah antara yang termiskin dan tercicir dalam dunia.

Tentu sekali negeri-negeri ini dan masyarakatnya yang terpinggir perlu dibela. Seharusnya peruntukan Belanjawan bagi mereka lebih lumayan. Akan tetapi sebaliknya Sabah dan Sarawak hanya mendapat peruntukan sebanyak Rm9.55 bilion, iaitu kira-kira 5 peratus saja daripada jumlah Belanjawan. Pada hal kedua-dua negeri ini menyumbang kira-kira 42 peratus dari pendapatan Negara.

PENDAPAN PERKAPITA – MALAYSIA TERCICIR

YAB PM menyatakan kebanggaannya bahawa pendapatan perkapita negara kita telah bertambah daripada 260 dolar Amerika di awal Merdeka kepada kira-kira 8,000 dolar Amerika hari ini. Melihat sekali imbas ini memanglah membanggakan. Akan tetapi sebaliknya, jikalau kita bandingkan pencapaian kita ini dengan beberapa buah negara lain kita nampak jelas keciciran.

Ketika Malaya (ketika itu) mencapai kemerdekaan, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan mempunyai pendapatan perkapita yang hampir sama parasnya dengan kita. Akan tetapi sekarang ini pendapatan perkapita Singapura melebihi tiga kali ganda Malaysia. Manakala Korea Selatan dan dan Taiwan pula, pendapatan perkapita mereka kini adalah melebihi dua kali ganda Malaysia. Pada hal sumber kekayaan kita banyak. Daripada hanya berbangga, lebih baik kita mengkaji apa telah berlaku. Dan apakah yang patut dilakukan untuk masa hadapan supaya jurang keciciran kita dapat dikecilkan.

MASALAH PENDIDIKAN TINGGI

Dalam belanjwan kali ini Kementerian Pelajaran diperuntukkan hampir Rm30 bilion, manaka Kementerian Pendidikan Tinggi Rm2.4 bilion. Saya telah banyak kali membincangkan masalah-masalah pendidikan, terutama sekali di peringkat Universiti. Saya tidak berhajat untuk mengulanginya. Akan tetapi kali ini saya hendak mengemukakan tiga masalah berkaitan pendidikan dan pengajian tinggi yang belum disentuh.

Guru-guru Bahasa Inggeris

Pertama, saya mengalu-alukan rancangan untuk mendapatkan guru-guru bagi mengajar Bahasa Inggeris. Bahkan saya mengharapkan akan diadakan juga rancangan untuk mengajar bahasa-bahasa lain yang penting dalam dunia, seperti Bahasa Arab, Bahasa Perancis dan Bahasa Cina. Adalah sangat baik jikalau pelajar-pelajar kita mendapat peluang untuk mempelajari dan berkebolehan menguasai pelbagai bahasa.

Berbalik kepada Bahasa Inggeris, tentulah ada di antara kita yang masih ingat bahawa dulupun ada rancangan mengambil guru-guru bahasa dengan tujuan mengajar Bahasa Inggeris di peringkat sekolah menengah. Akan tetapi rancangan ini gagal. Salah satu sebabnya ialah guru-guru tidak dipilih secara baik dan akhirnya kebanyakan mereka tidak menunjukkan minat atau dedikasi sepenuhnya. Ada pula yang tidak mempunyai latar belakang sebagai guru menganggapnya sebagai peluang untuk datang melancung saja.

Diharap pengalaman yang lalu akan menjadi pengajaran. Kajian harus dilakukan kenapa rancangan dulu gagal. Kita tidak harus mengulanginya.

Menambah Bilangan Pemegang Ph.D.

Kedua, rancangan untuk menambah bilangan pemegang ijazah Ph.D. terutama bagi mereka yang bekerja di lapangan akademik adalah sangat baik. Akan tetapi mesti diingati bahawa ijazah tinggi saja tidak cukup untuk mnjamin peningkatan mutu universiti yang semakin merosot sekarang. Selepas mendapat ijazah tersebut, mereka harus bekerja keras dengan penuh azam dan iltizam untuk mengajar, menyelidik dan menerbitkan tulisan yang bermutu.

Nampaknya, peruntukan Rm20 juta bagi membantu menambah bilangan yang mendapatkan Ph.D. itu terlalu kecil. Bergantung kepada bidang kajian – perubatan, kerjuruteraan, sains tulen, sains sosial dan sastera – perbelanjaan untuk mendapat Ph,D. di luar negara mungkin memakan belanja antara setengah hingga satu juta ringgit bagi seorang calon. Jadi berapa orangkah Ph. D. yang harap kita keluarkan dengan belanja sebegitu kecil?

Belajar di Luar Negara

Ketiga ialah masalah mengenai mutu-mutu Universiti-universiti luar negara di mana pelajar-pelajar pergi menuntut menuntut, sama ada dengan biasiswa atau scara persendirian. Ini melibatkan terutama sekali mereka dalam bidang kedoktoran dan juga kejuruteraan. Seharusnyalah pelajar-pelajar yang baik dan mendapat biasiswa memilih dan digalakkan untuk memilih universiti-universiti terkenal dan bermutu tinggi. Bahkan mungkin perlu dipastikan bahawa biasiswa diberi hanya kepada mereka yang berjaya mendapat tempat di universiti-universiti seumpama ini.

Sekarang ini kita dapati bahawa ramai pelajar menuntut di universiti-universiti luar negara yang tidak terkenal dan mutunya kadang-kadang dipersoalkan. Saya tidak tahu samada kajian yang teliti telah dilakukan ke atas sesetengah universiti yang menjadi pilihan pelajar di beberapa negara di Rusia. Adakah mutu sesetangahnya lebih tinggi atau lebih rendah dari universiti dalam negara kita sendiri?

Saya mendapat tahu bahawa di Indonesiapun, kebanyakan pelajar kita susah mendapat tempat di universiti-universiti ulung seperti Universitas Indonesia dan Universitas Gajah Mada. Jadi, mereka bertumpu ke beberapa universiti di wilayah.yang jauh, di mana mutu pengajiannya boleh dipertikaikan. Oleh itu, apabila pulang dengan ijazah. mereka sering menghadapi masalah semasa “housemanship”, umpamanya.

Sekiranya keadaan begitu rupa, lebih baiklah dibuka lebih banyak univesiti di dalam negara, di mana kita dapat dan harus mengambil berat untuk menjaga mutunya. Yang dihantar ke luar negara hendaklah terbtas hanya kepada mereka yang dipilih memasuki universiti-universiti yang terkenal kerana mutu tingginya. Dengan demikian, apabila pulang, mereka boleh membantu menaikkan taraf profession dalam negara.

Penjualan Ijazah Palsu

Keempat ialah masalah pengeluaran ijazah palsu. Tidak berapa lama dulu sering sekali kita melihat iklan melalui internet khususnya tentang tawaran untuk mendapat ijazah Master dan Kedoktoran dalam masa yang cepat, kadang-kadang dalam masa beberapa bulan saja.. Walaupun sekarang ini iklan tersebut sudah berkurangan, namun amalan ini didapati masih meluas. Dengan mudahnya, ini ialah cara untuk mendapatkan ijazah lanjutan dengan membelinya.

Memang ramai juga yang diketahui membeli ijazah-ijazah palsu tersebut. Sebenarnya ia merupakan sebagai satu penipuan. Bukan saja akibatnya menurunkan martabat ijazah dan ilmu, bahkan ia boleh menjadi punca kepada berlaku atau meluasnya penipuan yang lain. Yang teruknya ialah apabila mereka yang mempunyai ijazah palsu ini diberikan jawatan dalam jabatan-jabatan atau insistitusi-institusi tertentu, misalnya dalam bidang pendidikan tinggi juga.

Pihak Kerajaan hendaklah memantau dengan teliti badan-badan atau pusat-pusat yang menjual ijazah-ijazah palsu ini dan berusaha untuk menutupnya. Hukuman hendaklah dikenakan ke atas mereka yang didapati terlibat dengan menjua dan membeli membeli ijazah palsu trsebut. Hanya dengan jalan ini baru amalan ini dapat disekat dari berkembang.

Benih Amalan Korupsi

Kelima ialah masalah rasuah yang diamalkan atau digalakkan oleh pihak-pihak tertentu di peringkat Universiti. Sekarang ini pilihanraya untuk memilih wakil-wakil pelajar di universiti dipandang serta diikuti teliti oleh pihak-pihak luar. Pihak-pihak luar ini selalunya terdiri dari parti-parti politik. Ini tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalah ialah apabila mereka melakukan perkara-perkara yang tidak sihat untuk memastikan calon-calon yang menyokong parti mereka mencapai kemenangan.

Saya mendapat tahu bahawa parti-parti dalam Kerajaan ada yang memberi sokongan kewangan kepada calon-calon yang disokong. Selain itu, calon-calon ataupun pekajar-pelajar yang berkebolehan serta mempunyai sifat-sifat kepimpinan, akan tetapi tidak rapat dengan parti tersebut akan diberi insentif supaya mengubah pendirian mereka. Antara lain mereka sereing dijemput untuk menyertai jamuan dengan pemimpin atau menteri, dan kadang-kadang dihantar untuk melancong ke luar Negara.

Perbuatan cuba merasuah mahasiswa atau pemimpin mahasiswa tidak harus dilakukan oleh mana-mana pihak, sama ada parti dalam Kerajaan ataupun parti luar Kerajaan. Ini sangat bahaya. Sekiranya benih korupsi mula bercambah di kalangan pelajar-pelajar di peringkat universiti, maka apabila mereka keluar dan menjawat jawatan sebagai pemimpin dalam masyarakat, pentadbiran ataupun parti politik, mereka akan meneruskan amalan korupsi yang jijik itu.

Saya ingin menggesa sekuat-kuatnya supaya pihak universiti membasmi amalan buruk dan bahaya ini. Akan tetapi ini hanya boleh berlaku sekiranya pimpinan akademik dan pentadbiran di universiti itu sendiri adalah bebas dari perbuatan dan amalan serupa. Jikalau seseorang Naib Canselor, umpamanya, terlalu rapat dengan pemimpin politik dan Kerajaan dan bergantung kuat untuk jawatannya kepada Menteri, tentulah tidak mungkin beliau akan dapat mengikis masalah yang saya timbulkan ini.

TRANSFORMASI KERAJAAN

Banyak perkara yang boleh dibicarakan di bawah tajuk ini. Akan tetapi saya akan menyentuk hanya kepada dua perkara berikut:

Skim Bukan Gunasama

Perkara pertama ialah apa yang dikenali sebagai skim “closed service” atau skim bukan gunasama. Ini bererti bahawa seseorang yang dilantik kepada sesuatu jawatan dalam jabatan atau perkhidmatan tidak berpeluang untuk berpindah atau dipindahkan kepada jabatan atau perkhidmatan lain. Berapa ramaikah yang terlibat dengan skim ini?

Mereka tidak diberitahu apabila diambil bekerja bahawa mereka memasuku perkhidmatan tertutup. Akibarnya mereka tidak berpeluang untuk naik pangkat. Ada kemunkinan akan timbul akibat buruk. Apabila sudah lama sangat di jawatan atau jabatan yang sama, pegawaipegawai boleh kehilangan inisiatif. Bahkan boleh timbul juga amalan rasuah apabila peluang untuk kenaikan gaji terbatas. Selanjutnya, mereka yang punyai dedikasi dan berkebolehan tidak berpeluang untuk berkhidmat secara lebih produktif di jabatan aatau jawatan lain.

Waktu menjawab satu soalan mengenai perkara ini dalam Parlimen, Perdana Menteri pernah berjanji akan mengkaji perkara ini. Akan tetapi, sehingga kini tiadapun kajian dilakukan. Saya harap, perkhidmatan awam akan menimbangkan mereka yang ingin berpindah ke jabatan atau jawatan lain, terutama sekali jikalau mereka mempunyai kebolehan dan kecekapan yang istimewa.

Hubungan Antara Pusat Dengan Negeri

Kedua ialah perkara yang sudah menjadi lebih penting dan kadang-kadang lebih serius sekarang ini, iaitu perhubungan di antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri. Corak serta proses perhubungan ini dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan dari segi hak dan tanggungjawab. Sepatutnya hubungannya baik dan stabil. Akan tetapi sekarang ini kita dapati banyak masalah dan ketegangan timbul di antara Pusat dengan Negeri, terutama sekali dengan negeri-negeri yang sekarang ini dikuasai oleh PAKATAN.

Salah satu punca darinya ialah keinginan dan rancangan Umno-Barisan yang mengusasi Pusat hendak merampas semula Negeri-negeri yang telah jatuh kepada PAKATAN. Ini ketara sekali berlakunya di Selangor. Perhubungan UmnoBn negeri ini, yang diketuai oleh Perdana Menteri sendiri, nampaknya berazam ghairah sekali hendak menjatuhkan Kerajaan Negeri Selangor sekarang. Bermacam-macam propaganda dan tindakan dilakukan untuk memburukkan Menteri Besar dan Kerajaan pimpinannya.

Tindakan-tindakan parti politik ini boleh difahami. Akan tetapi, ia sepatutnya tidak harus melibatkan kuasa Kerajaan Pusat. Dari segi pentadbiran, pegawai-pegawai Pusat yang bertugas di Negeri semacam diarahkan supaya jangan memberikan kerjasama yang penuh kepada Kerajaan Negeri. Jabatan seperti polis dan SPRM begitu cepat dan cekap sekali bertindak untuk menyiasat dan mendakwa manakala ada aduan yang dibuat terhadap MB dan para pemimpin negeri yang lain.

Dari segi kewangan pula, didapati banyak peruntukan kewangan bagi Negeri di lambat-lambat atau disekat-sekat. Sesetengah peruntukan yang biasa sepatutnya disalurkan kepada Negeri untuk diuruskannya, disalurkan pula kepada Jabatan Persekutuan supaya diuruskannya. Ini tidak seharusnya berlaku. Sumbangan negeri Selangor ke Pusat adalah besar, kira-kira Rm17 bilion, manakala peruntukan Pusat ke Negeri Selangor hanya kira-kira setengah billion saja. Sepatutnya jentera Kerajaan tidak dilibatkan dengan rancangan politik parti pemerintah untuk menjatuhkan MB dan Negeri Selangor..

Sekarang ini timbul ketegangan akibat pertikaian dalam soal air. Dari awal Kerajaan Selangor mengambil sikap untk berbincang dengan pihak Syarikat Syabas untuk menusun semula (restructure) soal bekalan air. Pihak Syabas mula-mula bersetuju untuk berunding. Bahkan Kementerian yang berkenaan juga mengambil sikap yang serupa. Akan tetapi apabila timbul tekanan dari pemimpin-pemimpin Kerajaan Pusat, mereka berundur. Melalui Syabas dan Kementerian, Pusat cuba hendak menggagalkan rancangan Kerajaan Selangor meneruskan rancangannya memberikan air percuma kepada rakyat.

Syabas selama ini telah menggunakan saluran paipmilik Selangor yang bernilai berbilion ringgit tanpa membayar apa-apa. Kerajaan Pusat berancang hendak menaikkan harga air tahun depan dengan sebanyak 31 peratus. Syarikat Syabas menanggung kerugian beratus juta. Akan tetapi, CEOnya menerima pendapatan Rm425,000 sebulan atau Rm5.1 juta setahun. Apabila beribu-ribu rakyat bangkit menunjuk perasaan, barulah pihak kementerikan berkenaan mengambil sikap yang lebih lunak.

Saya berharap kedua-dua Kerajaan Pusat dan Negeri meneruskan usaha perundingan supaya keputusan yang menguntungkan rakyat dan kedua-dua Kerajaan dapat dicapai. Tidak ada gunanya pertikaian dan ketegangan dilanjutkan, kerana akhirnya ia akan merugikan rakyat saja.

*****

1 comment:

  1. Salam Dr.

    Saya tertarik dengan hujah2 yang Dr tulis di dalam twitter dan blog Dr. saya setuju dengan hampir kesemua hujah yang Dr tulis terutamanya berkenaan hal ketuanan Melayu. Saya kadang2 kecewa dengan cara pemimpin sekarang menggunakan perkara ini untuk kelebihan politik mereka.

    Tapi, dengan keadaan kaum Melayu sekarang, saya rasa mereka masih memerlukan bantuan tetapi pada masa yang sama sedikit kesedaran harus disuntik. Sedikit cadangan dari saya, kuota baru yang adil menggunakan sistem nisbah penduduk mengikut kaum. Pada pendapat saya, sistem yang digunakan sekarang tidak kompetitif dan tidak adil.

    saya juga turut bersetuju dengan cadangan Dr untuk mengkaji semula skim pelajar cemerlang yang diberikan kerajaan kepada pelajar malaysia. Melalui ranking terbaru yang dikeluarkan Times, banyak universiti yang mempunyai populasi pelajar malaysia yang tinggi tidak berada pada tahap yang disangka. saya setuju dengan cadangan Dr agar lebih banyak pelaburan dibuat oleh kerajaan bagi meningkatkan standard pengajian tinggi di malaysia. Ini termasuk menambah lagi peruntukan bagi penuntut PhD. Daripada kita habiskan duit hantar pelajar jauh2 ke universiti yang tak seberapa, baik kita hantar pelajar kita ke Singapura yang terbukti mempunyai antara universiti yang terbaik di dunia.

    ReplyDelete