Suara Merdeka Semangat Abadi
(kepada semua pencinta kebenaran dan keadilan)
“saya terkadang merasa belum tua lagi…akan tetapi, tidak bererti saya akan meninggalkan politik ataupun parti sepenuhnya…”
- Senator Dr. Syed Husin Ali
i.
matari september seribu sembilan ratus tiga puluh enam
di bumi Bandar Penggaram jagatraya berkisah cemburu dalam bahagia
kerna akhir disaksi teruji dek zaman
bakal melakar deru laju tapaknya seiring impiannya
sudah teruji merentas segala duri dan ranjau…
ketahuilah parti ini melangkah ke putrajaya dengan iringan setia
semangat rakyat abadi dari batu pahat,
banteras rasuah adalah prinsipnya
khianat hipokrasi adalah musuhnya
impian satupadu adalah juangnya
kanun kejam adalah lawannya.
semuanya demi harimuka masyarakat
segalanya untuk harapan baru rakyat
terimakasih syed husin ali
kini kami bisa jauhi amalan korup, pemerintahan bobrok dan tirani kukubesi
terimakasih syed husin ali
kini kami bisa kenali ajaran perubahan, erti pengorbanan dan janji reformasi
liku-liku juang jitu
simbol cabaran semangat
susuk sederhana konsisten tekad juang;
zahir perwatakan nyata sikap tegas
kepedulian hanya perjuangan rakyat
berkali-kali mengungkap kebencian pada kepura-puraan
nadanya pasti kritik, pasti pedas
“ilmuwan jangan menikus melukakan kerajaan
…biarlah dibersihkan air agar jernih”
gelora warna warna cabaran lalu mengheret
atma prihatin itu mengenal cabaran dan halangan
lalu terus langsung mengukir sejarah
lalu tekad ligat memperbetulkan arah
impiannya kemanusiaan, kesejahteraan
faedahnya untuk rakyat dan negara,
nusa dan bangsa
dari ancaman kapitalis, dari adu domba KKN
dari salahguna ISA, dari pilihkasih OSA, dari tekantikam Akta Percetakan.
Atau penindas rakyat,menara bazir billion ratusan tingkat
Atau kapal selam langsung enggan tenggelam
Atau sisa – sisa penjajahan minda salah urus tadbir salah pengkhianat main pasir.
ii
kami hayati gusar atma dalam coret cerita pendek
lintah dua serupa-takut tersisih-prasangka
kami dalami kritis rintih dalam wacana dedah realiti
tanah simpanan melayu perlu dibangun-menjana politik tidak perkauman
dari tajam pemikiranmu baru kami kenali
apa erti pembangunan-masyarakat dan pimpinan kampung
dari teguh prinsipmu, baru kami tekuni
orang melayu masalah dan masa depan
tidak lain bagi kemerdekaan rakyat kita
tidak lain buat keadilan rakyat Malaysia
beritakanlah rahsia buana siyasah agar kenal
tulisan pedomanmu, semangat tekadmu
(pasti takkan haus)
khabarkanlah jasa peta politik agar mesra
tunjang pengorbananmu, wawasan harapanmu
(pasti takkan pudar)
iii.
1974 – yang mengejut mengambil dari tidur dari rumah 6 tahun lama
1990 – yang memaksa letak jawatan kuliah gedung ilmu universiti malaya
2003 – yang melihat pembubaran-penggabungan parti asas papantanda putrajaya
2009 – yang diangkat wakili gema hujah dinding dewan negara
2010 – yang melihat langkah pergi sebenarnya lebih berani dalam rela
Apakah akan ada lagi Timbalan Presiden sebegitu ?
Apakah akan ada lagi Timbalan Presiden sepertimu ?
mengajar kita ranjau resah
senantiasa ceramah membawa agenda
mendidik kita duri gelisah
selalu ditinta tegur nasihat
walau jatuh akan kita bangkit laju
walau usir namun kita paling semula
takkan tewas, serah atau pasrah kecundang
ini suara merdeka yang bebas
melawan dalang dan tirani
melawan kepalsuan dan penindasan
segala rejim dan segala barisan
ini suara merdeka semangat abadi
hapuskan kezaliman dan kebiadapan,
penipuan dan penindasan
ini gema suara merdeka yang benar
segera ke hadapan
dengan cogankata lantang serta sepanduk bantahan
bangkit melangkah laju maju
bersama lafaz protes sumpah amanah
tahanlah tanpa bicara sekali lagi
walau di Balai Jalan Bandar
atau jeriji besi penjara Kamunting
kiranya dikirim ugutan, diseksa, diaibkan
akan ditulis lagi dua wajah tahanan tanpa bicara perihal fitnah
akan diutus lagi warkah terbuka airmata tabah sabariah abdullah.
iv.
AMK sedia
hadir, tempur penuhi padang kelab selangor, panjat mimbar masjid negara
mana-mana
atau Wanita Srikandi terus
berarak dari baling dan tasik utara
bila-bila
halangilah, selindungilah
seorang mirzan, seorang tajuddin
sepuluh che Mahathir, beratus king ghazali
dengan syed husin ali kita akan mara demonstrasi
dengan syed husin ali kita akan segera berani
kerna semua wanita pagi ini
kerna semua amk kongres ini
akan lahirlah nanti
SEJUTA LAGI SYED HUSIN ALI BERANI
sejarah kezaliman, sejarah penipuan PASTI DITUMPASKAN
zaman segala era menteri perdana bersilih,
pemimpin sering datang-pergi
namun insan syed husin ali terus relevan kekal
dekad segala dasar-rancangan dibentang-dimansuh
pusingan pilihan raya-manifesto berlalu-berganti
namun tokoh syed husin ali terus tampak kental
SEMUANYA demi generasi jiwa merdeka mukahari
v.
dan mengutip titipanmu, kami kembalikan dedikasi
untuk semua pejuang keadilan, demokrasi, kebenaran,
kebebasan dan perpaduan di negara ini sepanjang zaman
insya Allah, akan terpahat selama-selamanya.
jasa dibalas pahala, budi dibalas doa
mari kita nanti kemana gelanggang baru menunggu pidato tajam
jejak tekad membersihkan air agar jernih.
sungguh ikrar kami menyambut seruan-amanahmu
sungguh azam kami mengingati luahan-pesananmu
maka ayuhlah ! Marilah pemuda wanita sekalian bangsa Malaysia
kita bawa tekad teguh berani itu
kita tampil genggam sumpah ruang ini
sehingga mereka jatuh tumpas dan tewas
tamatlah, noktahlah SEMUA KISAH LUKA
SELAMA-LAMANYA…
Amatilah wahai srikandi wanita
Amatilah wahai angkatan muda…
salut untukmu, SALUT SELAMANYA.
karya
ROZAN AZEN MAT RASIP
Angkatan Muda Keadilan BATU
damansara-kota bharu-petaling jaya-sentul
18-26 November 2010
(puisi ini dikarang khas sebagai penghormatan kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Senator Dr. Syed Husin Ali, dan telah pertama kali dideklamasikan khas oleh penulis bersama Sdri. Anizan Othman Srikandi Selangor semasa Perasmian Kongres Tahunan AMK & Wanita PKR Ke-7 di Dewan Sivik, MPPJ pada 26 November 2010)
No comments:
Post a Comment