Dewan ini diminta meluluskan kira-kira RM13.2 bilion sebagai perbekalan tambahan. Bukanlah amalan luar biasa bagi Kerajaan meminta bekalan tambahan. Akan tetapi, saya berharap tiap-tiap kali belanjawan dan perbekalan tambahan dikemukakan, ia hendaklah lebih mengutamakan pembelaan bagi golongan ramai yang susah dan miskin, bukannya golongan kecil yang kaya dan senang.
Walaupun ada slogan “rakyat diutamakan”, namun pada hakikatnya peruntukkan dan belanjawan dan perbekalan selalunya memberikan faedah lebih besar kepada yang kaya raya, terutama yang mempunyai hubungan rapat dengan pimpinan Kerajaan sebagai kroni ataupun kerabt. Inilah yang menjadi asas dasar Kerajaan sekarang.
SOAL IPP DAN SUBSIDI
Izinkan saya terlebih awal membuktikan ini dengan menimbulkan soal subsidi kepada IPP (Pembekal Kuasa Bebas). Saya sedar soal ini tidak berkaitan langsung dengan perbekalan tambahan. Aakan tetapi perkara ini relevan kerana B.11 menunjukkan bahawa faripada RM6 bilion, RM5.6 bilion ialah untuk menampung pembayaran tuntutan subsidi barangan petroleum tahun 2011.
Berhubung IPP, walaupun perkara ini sering ditimbulkan, namun saya merasa perlu menegaskannya lagi kerana sangat penting. Pada masa ini terdapat 14 buah IPP, Sejak dimulakan, mereka mendapat hasil (revenue) sebanyak RM107 bilion. Kerajaan meminta mereka memberi sumbangan hanya 1 peratus. Jumlah yang terkumpul daripada ini ialah sebanyak RM929 juta. Untuk apa dan siapa ini digunakan saya tidak mengetahui
Membincang tentang IPP ini saa bergantung kepada artikel dan temuramah oleh Tan Sri Ani Arope. Beliau pernah menjadi Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB) waktu itu, akan tetapi telah meletakkan jawatan kira-kira 18 tahun dulu. Sebabnya beliau tidak bersetuju dengan Perjanjian Pembelian Kuasa Elektrik (PPA) yang dianggap sebagai berat sebelah dan terlalu menguntungkan pihak IPP dan merugikan TNB.
Beliau pernah mengatakan bahawa TNB dipaksa menandatangani PPA ini oleh EPU (Economic Planning Unit) yang dipanggilnya “Economic Plundering Unit”. Beliau menyalahkan Kerajaan. Sebenarnya, saya percaya beliau mengetahui sangat-sangat yang memaksakannya itu tidak lain tidak bukan ialah YAB Perdana Menteri waktu itu (Tun Dr Mahathir Mohamad).
PPA yang mula-mula sekali ditandatangani ialah dengan Syarikat Berhad Yeoh Tiong Lay (YTL) pada 31 Mac 1993. Selepas itu empat buah lagi syarikat menandatangani perjanjian yang serupa, iaitu Segari Energy Ventures Bhd, Port Dickson Power Bhd, Powertek Bhd dan Genting Sanyen Power Sdn Bhd.
Pada tahun 1955, berikutan tandatangan perjanjian ini, kelima-lima IPP membekalkan 30.99 peratus tenaga elektrik kepada grid tenaga kebangsaan. Mengikut Ani Arope, “Hasilnya, Perdana Menteri memecahkan monopoli TNB dalam penghasilan tenaga dan menggantikannya dengan program IPP. Hampir semua korporat yang ada pertalian politik, bergegas untuk membida lesen IPP.”
Keuntungan IPP besar dan terjamin. Kata Ani Arope, “Lima IPP terawal yang membentuk konsorium membida kontrak IPP mendapat pulangan terjamin 20 peratus setiap tahun selama 21 tahun. Generasi kedua yang membida kontrak IPP bermula pada 2001 mendapat kadar kontrak lebih rendah.” Hanya 30 peratus daripada projek IPP itu dibuka kepada syarikat pemilikan Bumiputera.
Kontrak IPP sangat lumayan. Ia diberi tanpa terbuka. Walaupun kira-kira 150 pemohon diterima oleh Unit Perancang Ekonomi waktu itu, hanya sebilangan kecil yang berjaya. Ani Arope menjelaskan, “Pengalaman dalam sektor kuasa bukan syarat kelayakan, tetapi pertalian politik dengan pemerintah adalah kriteria penting.
“Taikun seperti Yeoh Tiong Lay (YTL), Ananda Krishnan (Maxis), Lim Goh Tong (Genting) dan Syed Mokhtar Al-Bukhary antara mereka yang mengejar kontrak lumayan itu dan mendapat manfaat dari hubungan baik mereka dengan Dr Mahathir Mohamad.”
IPP mendapat subsidi gas yang banyak. Dari 1997 hungga 2010 Petronas memberi subsidi gas terkumpul bernilai sebanyak RM116.4 bilion. Sebahagian terbesar dinikmati oleh IPP, iaitu sebanyak RM49.3 bilion (42.3 peratus).
Berasaskan PPA yang ditandatangani, TNB harus membeli tenaga dengan harga yang tinggi daripada IPP tidak kira berapa harga pasaran. IPP sentiasa mendapat faedah dan keuntungan daripada kedua-dua Petronas dan TNB. Sebaliknya TNB menadapat keuntungan yang kecil bahkan ada kalanya menanggung beban hutang.
Begitu juga oleh kerana PPA, subsidi tinggi yang diperolehi IPP tidak boleh diturunkan. Sebaliknya subsidi yang melibatkan penghidupan rakyat ramai dengan mudah ditarik balik. Misalnya, apabila subsidi petroleum mulai ditarik, sedikit demi sedikit harga minyak Ron 95 dinaikkan. Akibatnya, harga keperluan harian rakyat juga meningkat. Beban hidup semakin berat.
Kadungan PPA ini rahsia dan tidak pernah dibuka kepada umum. Keuntungan dan subsidi kepada IPPlah yang sepatutnya diturunkan. Bukannya subsidi yang meringankan kehidupan rakyat yang ditarik. Saya ingin menyertai desakan yang dibuat oleh banyak pihak daripada parti pembangkang supaya PPA itu diumumkan dan dipinda. Saya juga menggesa supaya subsidi kepada IPP itu dikurangkan, bahkan ditarik balik sepenuhnya, supaya ia dapat digunakan untuk kebajikan rakyat ramai, khususnya yang miskin.
Saya sedar bahawa baru-baru ini Kerajaan berjanji membentuk jawatankuasa kabinet untuk mengkaji PPA dengan tujuan membuat perubahan. Akan tetapi, beberapa hari selepas pengumuman ini, Menteri Kewangan ke-2 menyatakan bahawa tidak ada tempoh waktu yang ditetapkan. Saya mendesak supaya tempoh yang munasabah ditetapkan bagi jawatankuasa itu mengemukakan kesimpulannya.
Seandainya PPA tidak dapat diubah oleh Kerajaan, Ani Arope mengemukakan satu cadangan. Saya petik kata-katanya yang berbunyi demikian: “Memandangkan Kerajaan yang korup dan tidak cekap tidak berani bersuara terhadap IPP untuk merunding semula perjajian, kenapa tidak gunakan Cukai Luar Biasa yang sah dari segi undang-undang? Hasil cukai itu boleh digunakan untuk kenaikan tarif …..”
Seterusnya beliau berkata, “Mungkin kerajaan sedia ada adalah kaki buli yang hanya tahu membuli rakyat tetapi tidak berani mengusik IPP yang kebal, yang masih ketawa mengira wang sesama sendiri, dan pada masa sama terus menikmati subsidi percuma.”
MEMBELA GOLONGAN SUSAH
Daripada contoh hasil yang diperolehi IPP dan pembayaran subsidi kepadanya, kita lihat dengan jelas bahawa sumber kekayaan negara banyak memberikan faedah besar kepada golongan terkaya, khususnya kroni dan kerabat pemimpin politik yang berkuasa. Kita lihat juga lebih banyak pendapatan negara dibelanjakan, bahkan kadang-kadang dibazirkan, untuk projek-projek mega dan mewah yang tidak banyak memberikan faedah kepada golongan termiskin.
Saya merasa gembira sedikit melihat bahawa B21: Kementerian Pertanian dan Asas Tani mendapat bekalan tambahan kira-kira RM1.3 bilion (iaitu jumlah ketiga terbesar). Begitu juga dengan B20: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, yang mendapat tambahan RM786 juta (iaitu jumlah kelima terbesar).
Namun begitu, saya masih kurang puas hati dari dua segi. Pertama, peruntukan bagi pertanian dan perladangan dalam belanjawan 2011 dan juga perbekalan tambahan ini masih belum memuaskan bagi manaikkan taraf sosio-ekonomi golongan rakyat yang susah dan kawasan/wilayah yang mundur. Saya harap untuk belanjawan tahun depan, keadaan ini dapat deperbaiki.
Keduanya, jikalau dihalusi semua item perbelanjaan di bawah B20 dan B21, kita dapati bahawa kebanyakannya bukanlah perbelanjaan yang secara langsung untuk dan boleh meningkatkan taraf ekonomi golongan dan kawasan yang saya sebutkan tadi. Sebagai contoh, di bawah B21, RM488 juta ialah bagi keperluan peruntukan pembayaran beras subsidi, dan RM400 juta untuk menjamin bekalan makanan negara mencukupi. Seterusya di bawah B20 pula, RM700 juta adalah untuk Skim Penstabilan Harga Minyak Masak.
Saya berpendapat bahawa salah satu contoh terbaik projek bagi menaikkan taraf sosio-ekonomi terutama di kalangan penduduk desa yang miskin dan ketiadaan tanah ialah Rancangan Felda. Benarkan saya mengemukakan rancangan ini sebagai contoh, walaupun ia juga tidak terlibat dengan tambahan perbelanjaan ini.
Memang benar pada peringkat permulaan rancangan ini terdapat beberapa masalah yang membebankan peneroka Felda. Antaranya: peneroka terbaban dengan hutang, yang berpunca dari bantuan hutang semasa kebun belum menghasilkan, dan untuk membeli semaian atau baja serta membina rumah.
Apabila tanah sudah berhasil, timbul masalah penipuan tentang kepekatan (density) susu getah yang menjejas pendapatan. Kemudian, hutang di kedai membeli barang keperluan ditolak tiap-tiap bulan dari pendapatan jualan susu getah. Akibatnya, hanya sedikit saja pendapatan yang boleh dibawa balik.
Namun demikian peneroka masih merasa berpuas hati juga. Mereka gembira ada tanah yang dikerjakan dan boleh dimiliki sendiri setelah hutang langsai dibayar. Akan tetapi, sangat malang sekali rancangan sangat baik yang diasaskan oleh Tun Razak ini kini sudah diselewengkan oleh Tun Mahathir dan dilanjutkan oleh PM Najib sekarang. Dasar Felda sudah lari daripada tujuan asalnya.
Seperti kita ketahui Felda merupakan idea Tun Abdul Razak pada tahun 1956, yang dilaksanakan secara aktif bermula Julai 1958. Sebagai sebuah agensi Kerajaan, tujuannya ialah untuk membuka tanah rancangan baru bagi golongan miskin tidak bertanah dari desa. Tujuan Felda ialah untuk menghapuskan kemiskinan.
Di bawah rancangan ini setiap orang yang dipindahkan diberi 10 ekar tanah. Mula-mula sebahagian besar tanah itu ditanam dengan getah untuk diusahakan sendiri. Mereka mendirikan rumah untuk memungkinkan keluarga mereka tinggal bersama dan memulakan kehidupan baru. Mereka berubah dari petani tidak bertanah menjadi petani yang berpotensi memiliki tanah.
Dalam ucapannya di Parlimen pada 27 April 1960, Tun Razak menegaskan semua tanah Kerajaan yang diserahkan kepada Felda dilarang untuk diserahkan kepada mana-mana syarikat atau anak syarikat. Akan tetapi, pada tahun 1990, Tun Dr Mahathir menyelewengkan dasar yang diturunkan oleh Tun Razak. Dr Mahathir mahukan Felda diusahakan atas asas skala besar dan komersil.
Tun Mahathir memulakan rancangan bagi peneroka menyerahkan tanah milik mereka kepada Felda untuk dijadikan ladang di bawah Felda Plantations. Sekarang Felda Plantations seluas kira-kira 800,000 ekar dan merupakan ladang terbesar di dunia. Akan tetapi tidak semua peneroka Felda menyerahkan milik mereka untuk dijadikan sebahagian dari ladang, walaupun jumlahnya merupakan minoriti.
Pada masa sama Felda tidak lagi mengambil peneroka baru. Tidak ada peluang bagi keturunan kedua Felda mendapat tanah. Ramai mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pendidikan dan/atau mendapat pekerjaan di luar menjadi penganggur. Pelbagai masalah sosial dan jenayah meluas di kalangan mereka.
Hakikatnya menunjukkan bahawa kini, dalam keadaan harga getah dan kelapa sawit naik tinggi, pendapatan peneroka yang masih mengusahakan tanah sendiri adalah dua tiga kali ganda pendapatan mereka yang menyertai Felda Plantations. Peserta ladang itu diberikan pendapatan hanya sebanyak sehingga RM1500 saja sebulan. Sekali-sekala pada hari-hari kebesaran, seperti hariraya, mereka dihadiahkan dengan imbuhan.
Sebaliknya, peneroka yang menyertai Felda Plantations sebagai pemegang saham ini dibebankan pula dengan pelbagai jenis hutang. Apabila tanah mereka hendak ditanam semula oleh Syarikat, mereka dibebankan dengan hutang. Apabila mereka hendak mendirikan rumah baru yang lebih indah, biasanya mereka dibebankan dengan hutang.
Akhirnya ada peneroka yang menanggung hutang sampai RM70 hingga RM120 ribu. Mereka kebanyakan sudah tua dan mungkin akan terpaksa membawa hutang tersebut bersama ke dalam kubur. Atau adakah hutang ini akan menjadi bebanan anak cucu peneroka tersebut?
Selain itu, selama berpuluh tahun ramai peneroka telah ditipu oleh Felda dengan membayar peratusan perahan yang lebih kecil dari sewajarnya. Mereka mendapat perahan sebanyak 17-18 peratus saja, walhal yang sepatutnya ialah kira-kira 30 peratus. Akibatnya mereka rugi sehingga RM1000 sebulan.
Ramai peneroka sekarang mulai berani menyaman Felda ke mahkamah berhubung masalah penipuan ini. Tidak lama dulu, peneroka di Kemahang 3 Kelantan telah memenangi kes dan dianugerahkan RM11 juta oleh Mahkamah Persekutuan. Sekarang di Felda Maokil, Johor, di Serting 1 dan 2, dan di kawasan Jengka, masing-masing melibatkan seramai 650 orang, 766 dan 700 orang peneroka sudah membawa kes mereka ke mahkamah.
Selain itu penipuan berlaku juga berhubung dengan Kadar Perahan Gred (KPG) bagi kelapa sawit dan Kadar Getah Kering (KGK) bagi getah. Sehubungan KPG, buah-buah yang dikatakan “muda” biasanya ditolak oleh kilang, akan tetapi diproses sama juga. Hasil pendapatan diripadanya ditolak. Anggaran yang dibuat menunjukkan akibatnnya peneroka kerugian tidak kurang daripada RM20,000. Kajian di makmal menunjukkan bahawa buah yang dikatakan muda itu sebenarnya boleh mendatangkan perahan antara 19-21 peratus.
Mengenai KGK pula, kajian makmal menunjukkan bahawa getah Felda biasanya boleh mencapai kadar kekeringan 62 peratus. Akan tetapi kilang-kilang getah Felda biasanya membayar hanya berdasarkan kadar kering kira-kira 45 peratus yang mereka tetapkan. Sudah tentulah ini banyak menjejaskan pendapatan peneroka. Oleh kerana itu golongan peneroka sedang mengumpul maklumat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Felda berhubung masalah KPG dan KGK ini.
Sebelum Felda Planations ditubuhkan dan semasa diselenggarakan oleh professional, Felda telah berjaya menambah rezabnya sampai RM10 bilion. Akan tetapi selepas itu, manakala Felda dikelolakan di bawah tokoh-tokoh politik, wang rezabnya merosot daripada RM4.3 bilion kepada RM1.3 bilion. Usaha Felda Ventures di luar negara menghadapi kerugian besar. Sekarang Felda berhutang RM6 bilion pula dengan KWSP, iaitu kumpulan wang pekerja.
Selanjutnya, dengan pembukaan rancangan Felda, orang miskin tidak bertanah menjadi pemilik tanah. Akan tetapi selepas Felda Plantations didirikan, peneroka yang memiliki tanah berubah menjadi penorak yang tidak lagi mempunyai tanah. Syarikat Felda Plantation dan anakanak syarikat mendapat untung besar. Akan tetapi peneroka yang menyerahkan milik mereka berpendapatan kecil dan berhuang banyak.
BEBERAPA ITAM KHUSUS
Sekarang saya hendak mengemukakan beberapa item khusus, antaranya:
a) Untuk Pilihanraya: Awal-awal tadi saya menyebutkan kemungkinan bekalan tambahan ini untuk kegunaan Pilihanraya. Kelihatan item-item di bawah mencerminkan maksud tersebut, iaitu:
* B48: Kementerian Pembangunan Wanita - R
* B.22: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (i), Kenaikan Kadar
Elaun Bulanan JKKK/JKKKP -
* B.41: Kementerian Pelajaran (i), Bantuan Sekolah Agama Rakyat (SAR) -
* B06: Jabatan Perdana Menteri (ii): Elaun Imam dan Insentif Guru Takmir -
(iv) Penubuhan Government Integrated Radio Network - RM35,000,000
Saya berharap pertama sekali bagi peruntukan B48, walaupun ia mungkin nanti igunakan untuk membeli undi, namun ia haruslah diberi sebelum, semasa ataupun selepas pilihnraya kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.
b) Untuk Emolumen: Dalam bekalan tambahan tahun lalu kita melihat peruntukan yang besar bagi Emolumen untuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihaatan. Kali ini juga kita dapati sekali lagi peruntukan yang besar juga.
* B.41: Kementerian Pelajaran (i)
* B.42: Kementerian Kesihatan R
Nota: Berhubung emolumen Kementerian Pelajaran, mungkin sebahagiannya akan diberi untuk kenakan gaji. Mengapakan kenaikan gaji guru yang diumumkan baru-baru ini terbatas kepada mereka yang mempunyai ijazah dan diploma saja. Ini melibatkan hanya sebilangan kecil. Bagaimana dengan guru-guru lain?
c) Belanja Besar Untuk Persidangan:
B.13: Kementerian Luar Negeri (i), Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) 2011 -
Nota: Apakah perbelanjaan yang ditanggung? Apa faedah diperolehi daripadnya?
B.24: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (i), Membiayai
penglibatan delegasi dalam Mesyuarat Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-
Pacific (TPP)
Nota: Berapa orang pegawai terelibat? Berapa lama mesyuarat itu?
d) Berhubung Kapalselam Scorpene, B.60: Kementerian Pertahanan,
(i) Membayar kontrak senggaraan dua buah kapal RM417,641,000
Nota: Selama berapa lama? Kenapa naik empat kali ganda daipada anggaran asal?
(ii) Bayaran Pendahuluan untuk melaksanakan sewaan Sistem Submarine Escape Rescue Intervention (SMER-1 bagi kapal selam TLDM RM56,160,000
Nota: Jika ini pendahuluan, berapa bayaran seluruhnya? Berapa lama?
Sekian, terima kasih.
5 Julai 2011
Nota: Ini merupakan naskah asal yang disediakan untuk perbahasan. Apa yang telah diucapkan berlainan sedikit, oleh kerana naskah asal ini tidak dibaca sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment