TUJUAN RMK10
Dalam ucapan hari ini saya bertujuan untuk memberikan pandangan khususnya tentang beberapa aspek lima strategi RMK10 seperti yang terkandung dalam ucapan YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak dalam sidang Dewan Rakyat pada 10 Jun 2010 sewaktu melancarkan RMK10.
Saya mengemukan pandangan terutama tentang perkara-perkara yang kurang atau tidak saya setujui terhadap ucapan tersebut. Sesuai dengan tujuan untuk mengkritik secara membina, saya akan cuba mengemukakan cadangan-cadangan alternatif. Harap mendapat pertimbangan sewajarnya.
Sebagaimana yang dijelaskan oleh PM Najib, tujuan RMK10 ialah “untuk menjayakan pelan transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi dan maju, berdaya tahan dan berdaya saing, demi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia”. Ini bukannya tujuan baru, bahkan pada asasnya telah disuarakan melalui pelbagai rancangan dan dasar Kerajaan dari semasa ke semasa sejak Merdeka lagi.
Saya kira antara rancangan dan dasar terpenting ialah: Rancangan Pembangunan Kampung, Dasar Ekonomi Baru dan Wawasan 2020. Transformasi yang ditekankan dalam RMK10, berasaskan beberapa prinsip yang diwar-warkan sebagai Dasar Baru Ekonomi, merupakan lanjutan daripada bermacam-macam rancangan dan dasar lalu.
Berhubung tujuan meningkatkan pendapatan negara, RMK10 mensasarkan matlamat untuk meningkatkan pendapat per-kapita kasar dari RM26,420 (USD8,260) pada 2010 ke RM38,850 (USD12,140) pada 2015. Bagaimana peningkatan ini akan dicapai tidak begitu jelas atau meyakinkan dalam ucapan PM itu. Yang jelas bagi saya adalah dua perkara yang saya terangkan di bawah.
Pertama, apabila Malaya mendapat Merdeka, pendapatan perkapita negara lebih kurang sama rendah dengan Singapura, Taiwan dan Korea Selatan. Akan tetapi, sekarang Malaysia ketinggalan jauh di belakang. Kini pendapatan perkapita Singapura kira-kira tiga kali ganda Malaysia, dan pendapatan perkapita Taiwan dan Korea Selatan pula di sekitar dua kali ganda. Walaupun sekiranya Malaysia berjaya mencapai pendapatan perkapita seperti disasarkan, ia masih ketinggalan juga.
Kedua, semua rancangan dan dasar Kerjaan Umno-Bn menekankan tentang perlunya meningkatkan pendapatan serta taraf hidup masyarakat Melayu. Walaupun diakui bahawa pendapatan mereka sudah meningkat, kadar kemiskinan dikurangkan, bilangan profesional bertambah, namun ada dua hal yang menjolok mata.
1) Setelah Merdeka hampir 55 tahun golongan kaya Melayu di negara ini masih kecil. Lihat saja senarai 100 orang terkaya mengikut majalah Forbes. Kurang dari 10 orang adalah Melayu, dan yang paling kaya di kalangan mereka ialah keluarga dan kroni PM-PM dulu dan sekarang. Kenapakah bilangan terkaya Melayu paling kecil, malah lebih kecil dari golongan India pun.
2) Ini lebih parah. Daripada lapisan 40 peratus berpendapatan paling rendah, 73-75 peratus adalah terdiri dan kaum Melayu. Keadaannya serupa dengan golongan miskin; peratusan lebih kurang sama darinya adalah orang Melayu juga. Adakah ini bererti rakyat Melayu masih belum cukup terbela di bawah pemerintahan Umno-Bn sekarang?
Mengikut angka rasmi Kerajaan, kadar kemiskinan pada tahun 2009 ialah 3.8%, iaitu lebih dari 2.8% yang disasarkan. Sebenarnya peratusan ini kecil oleh kerana pendapatan yang diambil sebagai garis kemiskinan adalah di sekitar RM750-800. Mengikut angka Kerajaan, 40% lapisan terbawah itu berpendapatan perkapita RM3000 seisi rumah. Ini bererti pendapatan setiap orang ialah RM1000.
Sekiranya pendapatan perkapita RM1000 ini daiambil sebagai garis kemiskinan, tentulah kadar kemiskinan lebih tinggi lagi. Adalah menarik bahawa semasa YB Tan Sri Amirsham menjadi Menteri, beliau telah memberitahu Dewan Rakyat pada 24 Jun bahawa kadar kemiskinan sebenarnya ialah pada tahap 24.3% sekiranya PGK dinaikkan kepada RM1500 sebulan.
Angka rasmi kerajaan menunjukkan kadar kemiskinan mutlak (absolute poverty) adalah kecil dan menggembirakan sebagai satu pencapaian. Akan tetapi saya ingin menegaskan bahawa perkembangan lebih serius dan membimbangkan ialah kemiskinan perbandingan (relative poverty). Ini terbukti bukan saja dari segi angkali Gini bahkan juga boleh dilihat dengan mata kasar. Jurang antara golongan kaya-berada dengan golongan miskin-takberada tambah melebar, serta antara kalangan golongan etnik dan juga antara bandar dengan desa.
Dalam pembentangannya, PM Najib menyatakan keprihatinannya tentang masyarakat desa, terutama di pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak. Mereka masih terbiar, berpendapatan rendah, tidak mempunyai kemudahan sosial, seperti bekalan air dan api yang cukup, dan anak-anak terpaksa merentasi jalan berlumpur dengan berkaki ayam untuk ke sekolah.
Bahkan keadaan ini didapati juga di negeri-negeri tempat bertumpunya orang Melayu, seperti di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Di negeri Pulau Pinang pun orang Melayu sudah lama terpinggir. Mereka menjual tanah untuk memberi laluan kepada pelbagai projek pembangunan dan terpaksa berpindah ke seberang untuk mencari rumah lebih murah dan kos hidup lebih rendah.
Kenapa baru sekarang disuarakan masalah-masalah rakyat miskin dan terpinggir ini? Memang benar biar lambat asal selamat. Tetapi, pada hakikatnya, selama Umno-Bn memerintah berkali-kali diadakan seminar dan dialog, disuarakan pendapat pemimpin masyarakat dan ditulis oleh pakar pelbagai buku serta rencana oleh penganalisa, dibuat janji oleh pemimpin-pemimpin Umno, tentang masalah rakyat di Pulau Pinang itu.
Namun begitu, keadaan Melayu di sana tidak diselesaikan. Sekarang dipersalahkan pula kerajaan Pakatan atas dasar perkauman. Perlu ditegaskan soal kemiskinan ini bukan soal kaum. Ia wujud dan menjejaskan penghidupan di kalangan semua kaum. Kebetulannya antara mereka yang miskin dan berpendapatan rendah, yang masih terpinggi dan terbiar, bilangan besarnya terdiri dari orang Melayu. Oleh itu pendekatan bagi mengatasi masalah ini perlulah tidak bersifat perkauman.
STRATEGI PERTAMA: FALSAFAH PEMBANGUNAN RMK10
RMK10 menyenaraikan lima strategi untuk perubahan dan pembangunan. Strategi pertama ada kaitannya dengan soal falsafah atau pendekatan yang mengasaskan pembangunan serta transformasi yang dirancangkan oleh kerajaan Umno-Bn pimpinan PM Najib yang hendak dicapai.
Walaupun tidak disebut dengan terus terang, namun jelas tanpa bersuluh bahawa falsafah atau lebih tepat sistem yang mendasari pendekatan pembangunan di negara ini sejak Merdeka ialah kapitalisme. Ada dua sifat kapitalisme yang penting perlu kita ketahui.
Pertama, yang memainkan peranan terbesar ialah modal, yang menjadi asas serta punca untuk kekayaan. Golongan yang mempunyai modal boleh menguasai mereka yang tidak mempunyainya, terutama pekerja. Sekarang ini, golongan yang berpendapatan paling tinggi terdiri dari mereka yang mempunyai modal dan mempunyai pendidikan atau kepakaran khusus serta bermutu, yang biasanya memerlukan modal untuk memperolehinya.
Kedua, berkaitan rapat dengan sistem kapitalisme itu adalah sistem pasaran ataupun perusahaan bebas (free enterprise/market). Bahkan kedua-dua istilah itu kadangkala digunakan secara tukar-ganti. Dalam dunia sekarang, sistem pasaran ini dikuatkan lagi oleh proses Globalisasi, yang dianggap oleh banyak pihak sebagai suatu jenis penjajahan baru.
Kita mengetahui bahawa sejak Merdeka, para pemimpin utama negara ini berpegang teguh kepada ekonomi berasaskan pasaran bebas. PM Najib pula kini melaksanakan dasar liberalisasi. Ini boleh memperkukuhkan lagi sistem pasaran bebas itu. Pasaran bebas yang tidak terkawal menggalakkan persaingan di kalangan semua tidak kira mereka kuat atau lemah. Sudah tentulah dalam apa-apa persaingan yang lemah akan kalah.
Dalam konteks ekonomi, yang menguasai modal, teknologi dan ilmu dengan mudah boleh mengalahkan golongan yang tidak mempunyai ataupun kekurangannya. Golongan miskin, yang kebanyakannya orang Melayu, tentulah akan menghadapi pelbagai kesulitan apabila menghadapi golongan kaya, yang kebetulan pada masa ini majoritinya ialah bukan Melayu.
Untuk memperkuatkan kedudukan golongan miskin atau susah itu, maka memang perlulah peranan ataupun campur tangan pemerintah (state intervention). Bermula dengan pemerintahan Tun Razak, kita dapati campur tangan pemerintah itu memainkan peranan besar, melalui rancangan pembangunan luar bandar. Bahkan, melalui badan-badan kemajuan negeri semacam telah digalakkan apa yang sering dianggap sebagai kapitalisme negara (state capitalism).
Di bawah pemerintahan Dr Mahathir, kita melihat peranan negara masih dilaksanakan. Akan tetapi orientasinya mulai berubah. Ia bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan korporat-korporat Melayu (kebanyakannya kroni atau suku-sakat pemimpin) khususnya dalam bidang industri, perdagangan dan pembinaan supaya tercapai keseimbangan di antara peranan Melayu dengan bukan Melayu dalam bidang-bidang tersebut.
Pada masa yang sama, campur tangan negara untuk membantu bidang pertanian, di mana ramai golongan miskin Melayu bertumpu diabaikan. Dasar dan pendekatan seperti ini bukan saja melemahkan orang Melayu bahkan boleh membunuh mereka yang miskin. Walaupun selepas itu secara sedar ada percubaan untuk membantu semula golongan yang terlibat dengan pertanian namun usaha dan belanja untuknya tidak memadai dan oleh itu pencapaiannya tidak memuaskan sama sekali.
Mengikut dasar-dasar liberalisasi yang telah diumum oleh PM Najib dan dilaksanakan oleh Kerajaan, kelihatan tanda-tanda bahawa sistem pasaran bebas itu akan diperkuatkan lagi. Ini jelas juga dibayangkan, apabila PM Najib dalam ucapannya, menegaskan bahawa di bawah RMK10 peranan sektor swasta (yang rapat kaitannya dengan pasaran bebas) akan memainkan peranan lebih besar serta lebih penting dari peranan sektor awam (atau negara) untuk mencapai transformasi yang dirancangkannya.
Sebagaimana yang dijelaskan lebih awal, sistem pasaran bebas yang dikaitkan dengan dasar liberalisasi akan menguatkan lagi golongan yang kuat dan melemahkan lagi golongan yang yang lemah. Kita tidak mahu akhirnya yang akan berlaku ialah: yang kaya bertambah kaya dan yang miskin papa kedana. Memang benar pihak Kerajaan bisa berhujah bahawa nasib golongan miskin dan berpendapatan rendah akan terbela, berdasarkan apa yang dikenali sebagai NKRA.
NKRA merupakan langkah transformasi Kerajaan yang dimulakan dengan enam bidang keutamaan nasional. Kita dapati antaranya ialah: “meningkat taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkat infrastruktur asas luar bandar dan menambah baik sistem pengangkutan bandar”. Sungguhpun ini merupakan langkah-langkah yang boleh dipuji N
namun ia tidak pasti boleh menjamin traraf hidup dan mutu kebajikan rakyat miskin dan berpendapatan rendah akan terjamin sepenuhnya.
Ucapan PM Najib tidak membayangkan berapa banyakkah peruntukan bagi melaksanakan tiga bidang NKRA yang tersebut ini. Walau apapun nanti jumlah peruntukannya, kita berasa bimbang. Dalam keadan sistem pasaran dan dasar liberalisasi bebas yang bertambah kuat dan dengan adanya pemimpin beserta kroni mereka yang rakus melakukan “rent seeking”, akhirnya perbelanjaan-perbelanjaan akan diberikan sebahagian besarnya tumpah kepada korporat dan kontraktor kroni itu tadi.
Dalam peringkat pembangunan sekarang ini, nyata sekali kita tidak bergantung sepenuhnya kepada pasaran bebas dan liberalisasi sepenuhnya. Kita tahu golongan lemah yang miskin serta berpendapatan rendah yang akan tambah menderita. Mereka ini dari semua kaum, walaupun majoritinya Melayu. Untuk mengatasi ini perlu ditekankan juga peranan atau campurtangan negara atau lebih tepat lagi pemerintah.
Peranan pemerintah itu ada dua jenisnya. Satu ialah peranan pemerintah yang ditujukan terutama sekali untuk menaikkan taraf sosio-ekonomi golongan miskin dan lain yang berpendapatan rendah. Satu lagi ialah peranan pemerintah yang bertujuan untuk membuka ruang serta peluang lebih luas bagi segelintir golongan kaya dan istimewa. Ini boleh mengakibatkan yang kaya menjadi bertambah kaya dan yang istimewa boleh mendapat lebih banyak keistimewaan.
Saya berpendapat pendekatan sebaik-baiknya melakukan transformasi seluruh sistem ekonomi yang mengutamakan kepentingan serta kebajikan golongan-golongan miskin, terpinggir dan berpendapatan rendah. Sistem yang baru hendaklah benar-benar menyebelah kepada pembelaan golongan susah atau miskin dan bukannya golongan senang atau kaya raya.
Kita mesti terbalikkan keadaan: dari sistem yang memberi keuntungan kepada segolongan kecil elit ekonomi serta politik, seperti sekarang ini, kepada yang memberi kebajikan kepada rakyat ramai di lapisan bawahan.
Di antara langkah-langkah segera yang boleh dilakukan ialah:
(1) Memberikan bantuan berbentuk tunai kepada golongan miskin tegar, terutama orang tua dan ibu tunggal, untuk membantu mereka terlepas dari cengkaman kemiskinan tersebut. Peruntukan itu hendaklah diteruskan sehingga mereka mendapat latihan untuk membantu mereka bekerja sendiri;
.
(2) Menyediakan peruntukan modal dan kredit mikro berlipat ganda kepada golongan miskin di desa dan bandar supaya mereka boleh melaksanakan pekerjaan yang produktif;
(3) Memberi tanah atau milik tanah kepada mereka yang tiada atau kekurangan tanah dan bekerja di atasnya; sehubungan ini Rancangan Felda hendaklah dikembalikan kepada bentuk asal seperti yang dimulakan oleh Tun Razak;
(4) Membina lebih banyak kemudahan sosial yang murah serta mudah, terutama sekali yang berkaitan dengan pendidikan , kesihatan, perumahan, pengangkutan dll untuk kawasan miskin di desa dan juga di bandar.
STRATEGI KE2: PERSEKITARAN KONDUSIF
Strategi kedua RMK10 ialah mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi. Saya ingin membincangkan secara kritikal beberapa aspek dari strategi ini dan langkah-langkah yang hendak diambil Kerajaan.
Pendekatan yang diutamakan untuk mencapai pendapatan tinggi ialah mengamalkan strategi pengkhususan. Untuk tujuan ini dikemukakan 12 NKEA, iaitu bidang ekonomi yang dijangka boleh menjana pendapatan tinggi. Saya tidak mempunyai masalah dengan ini. Akan tetapi yang menjadi persoalan ialah kenyataan “Rancangan ini memerlukan lonjakan ketara dalam kerancakan aktiviti pelaburan dengan diterajui pelaburan swasta yang lebih cergas”.
Sekarang ini Malaysia bergantung banyak kepada pelaburan asing, yang semakin merosot. Kemerosotan ini bukan saja disebabkan oleh keadaan ekonomi dunia sekarang. Bahkan ia disebabkan juga oleh beberapa kelemahan dalam suasana ekonomi yang dianggap menimbulkan isu kaum dalam kerjasama modal, kelewatan proses meluluskan projek, korupsi meluas, sistem kehakiman tidak bebas, campurtangan politik berlebihan dan macam-macam lagi.
Memang tidak begitu baik dan selamat untuk terlalu bergantung kepada modal asing. Usaha yang lebih besar perlu dilakukan untuk menggerak dan menarik pelaburan tempatan. Jika kita lihat pembangunan ekonomi di Jepun dan Korea pada peringkat permulaan, kita dapati mereka bergantung kepada modal tempatan dan ini telah membawa kejayaan besar.
Sekarang banyak sekali modal tempatan yang dilabur di luar negara. Ini disebabkan dua perkara besar. Pertama, terutama di bawah pemerintahan Dr Mahathir memang ada usaha untuk menggalak pemodal tempatan melabur di beberapa buah negara yang dianggap mundur, antaranya di Afrika. Kedua, semakin ramai pemodal tempatan merasakan suasana lebih baik dan keuntungan lebih besar apabila melabur di luar negara.
Saya ingin menggesa supaya usaha yang gigih dijalankan untuk menarik pulang modal yang dilabur di luar negara ini. Cara terbaiknya ialah untuk membina suasana ekonomi dan politik yang lebih menarik kepada pemodal-pemodal ini. Hal ini penting dilakukan sekiranya Kerajaan benar-benar mahu menggalakkan perkongsian Awam-Swasta.
Sehubungan ini 52 projek berimpak tinggi bernilai Rm63 bilion telah dikenapasti. Antaranya ialah: tujuh projek lebuhraya beranggaran RM19 bilion, dua projek loji jana kuasa elektrik bernilai Rm7 bilion; pembangunan tanah Lembaga Getah di Sungai Buluh yang dianggarkan Rm10 bilion. Kerjasama antara Awam-Swasta akan digalakkan untuk projek-projek yang besar serta mahal ini.
Untuk menggalak pelaburan swasta, Kerajaan akan menyediakan dana sebanyak Rm20 bilion melalui Dana Mudahcara. Nampaknya PM Najib optimis bahawa dalam tempoh RMK10, sebanyak Rm200 bilion akan dapat ditarik dari swasta. Atas atas apa angka ini
ditentukan dan bagaimana cara-caranya wang sebanyak itu dapat ditarik tidaklah diterangkan.
Beberapa soalan pokok timbul dari rancangan menggalakkan projek-projek Awam-Swasta yang tersebut di atas. Pertama, selain pekerjaan (yang mungkin banyak diambil oleh pekerja migrant), apakah keuntungan yang akan diperolehi rakyat berpendapatan rendah?
Kedua, bagaimanakah pemilihan golongan kontraktor dilakukan? Bagaimana hendak memastikan mereka ini tidak cuba mengaut keuntungan mega melalui amalan “rent seeking”? Adakah prosesnya telus dan bagaimana hendak menjamin ketelusan itu?
Ketiga, sejauh manakah projek-projek ini akan menjana pembangunan ekonomi? Bagaimanakah hendak dipastikan ia tidak menjadi projek yang didorong dan digunakan untuk mengisi kantung parti pemerintah bagi menghadapi pilihanraya dan juga untuk menguatkan kedudukan kewangan serta kesetiaan pemimpin tertentu?
Dalam ucapannya PM Najib menyebut tentang perlunya mempereratkan hubungan perdagangan dengan negara-negara lain dan membangunkan pasaran serantau melalui perjanjian perdagangan. Sehubungan ini saya ingin mendapat tahu sejauh manakah perkembangan perundingan untuk memeterai perjanjian FTA. Nampaknya perundingan seolah-olah dalam keadaan tersangkut.
Saya harap Kerajaan akan berhati-hati menangani FTA ini, kerana jikalau tidak kita boleh terperangkap dalam satu proses globalisasi yang merugikan. Ia akan lebih menguntungkan Amerika Syarikat sebagai negara maju serta kuat dan merugikan Malaysia, yang secara perbandingannya adalah mundur dan lemah.
Kita tidak mahu timbul keadaan di mana yang untung ialah pemodal besar antarabangsa dan pemodal tempatan yang bersekongkol dengannya. Sebaliknya golongan berpendapatan rendah, terutama petani dan pekerja dan negara kita sendiri kerugian.
PM Najib nampaknya begitu yakin Malaysia mempunyai daya persaingan yang kuat. Keyakinan ini berdasarkan laporan Bank Dunia . Laporan ini meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-23 teratas antara 183 negara di dunia dalam kecekapan urusan menjalankan perniagaan. Beliau percaya “Negara mampu berada di kedudukan antara negara ke-10 teratas menjelang 2015”.
Saya bimbang kepercayaan atau keyakinan PM Najib akan merupakan harapan kosong pula nanti. Ini ialah kerana dua badan yang lain menunjukkan kedudukan yang berlainan bagi Malaysia.
World Economic Forum, yang menerbitkan kedudukan 134 buah negara, menunjukkan bahawa Malaysia menduduki tempat ke-19. Dua tahun kemudian ia merosot ke tampat ke-21. Terkini, ia merosot lagi kepada kedudukan ke-24. Seterusnya, Doing Business Report menunjukkan bahawa pada tahun 2010 kedudukan Malaysia ialah di tempat ke-23, iaitu jatuh dua anak tangga dibandingkan dengan tahun sebelumnya..
Selanjutnya, di bawah strategi kedua ini diberikan tumpuan kepada empat perkara lain, iaitu: penyediaan infrastruktur bertaraf dunia, pembentukan dasar baru tenaga, pembangunan kluster dan pembangunan SME.
Berkaitan infrastruktur, selain dari melaksanakan projek jalur lebar berkelajuan tinggi akan dibina juga rangkaian pengangkutan yang luas dan efisien. Kita sudah mempunyai lebuhraya di Pantai Barat. Kontrak pembinaan lebuhraya dan konsesi pengutipan tol telah diberikan kepada tokoh-tokoh dan syarikat-syarikat kroni. Tol sudah lama membebankan rakyat dan menjamin keuntungan besar kepada pihak-pihak yang mendapat konsesi.
Sekarang, di bawah RMK10 akan dibina pula lebuhraya Pantai Timur dari Kuantan ke Kuala Trengganu, Kuala Lipis ke Cameron Highlands, dari Jerantut ke Sungai Lembing. Dirancang juga lebuhraya dari Gemas ke Johor Bahru. Pihak-pihak tertentu akan berbangga dengan rangkaian lebuhraya yang hebat. Sekali lagi tokoh dan syarikat kroni sudah pasti akan meraih keuntungan besar. Kantung politik parti-parti tertentu akan penuh diisi.
Akan tetapi, apakah pembangunan yang akan dicapai di negeri-negeri yang mendapat lebuhraya itu? Bagimana dan sejauh manakah taraf hidup rakyat desa yang kebanyakannya Melayu itu akan meningkat? Kenapakah sebahagian daripada wang yang dibelanjakan untuk projek-projek besar tidak boleh diagihkan untuk mengatasi masalah perumahan rakyat miskin, misalnya.
Berhubung dasar tenaga baru, antara lain ada dua perkara penting yang hendak dilaksanakan. Pertama ialah melakukan apa yang disebut sebagai “merasionalkan harga tenaga”. Perkara ini baru saja dilakukan, pada peringkat permulaannya, menarik balik sebahagian dari subsidi dan dengan demikian menyebabkan kenaikkan harga minyak petrol, diesel dan gas.
Sesuai dengan falsafah dan pendekatannya, Kerajaan dengan mudah saja bertindak sehingga menimbulkan kesulitan kepada golongan rakyat berpendapatan rendah. Kenaikan bahan-bahan ini yang berlaku bersama-sama kenaikan 25 sen harga gula sudah pasti akan mengakibatkan barang-barang lain, termasuk barang-barang keperluan harian naik harga. Kerajaan akan gagal mengawalnya kerana tiada mekanisme yang berkesan.
Sudah tentu kesan dan beban kenaikan harga ini paling berat ke atas golongan yang berpendapatan atau bergaji rendah, terutama petani, pekerja, kakitangan rendah kerajaan, peniaga-peniaga kecil swasta dan sebagainya. Kebanykan mereka ini tergolong dalam lapisan pendapatan paling rendah, iaitu di bawah Rm3000 sekeluarga dengan mempunyai tiga orang yang bekerja. Pendapatan mereka tidak naik, akan tetapi hanya harga barang keperluan saja yang naik.
Sebaliknya, golongan yang kaya-raya tidak dikenakan pemotongan subsidi ini. Contoh paling menonjol ialah pemilik-pemilik syarikat IPP. Secara keseluruhan mereka, yang kebanyakannya kroni, menerima subsidi berjumlah melebihi Rm19 bilion. IPP mendapat keuntungan paling besar oleh kerana mereka mengeluarkan kuasa elektrik yang harus dibayar dengan harga lebih tinggi dari harga keluaran Lembaga Elektrik sendiri.
Aspek kedua ialah mempelbagaikan sumber tenaga. Tenaga nuklear ditimbangkan sebagai sumber baru. Perlu ditegaskan bahawa tenaga nuklear tidak murah, tidak selamat dan tidak bersih. Ada yang mengatakan tenaga nuklear lebih murah dari elektrik. Sebenarnya, harga pengurusan keselamatan, alam sekitar dan sisa buangan, menjadikan kuasa nuklear jauh labih mahal dari yang lain.
Tenaga nuclear tidak selamat kerana “accident” mudah berlaku dan banyak telah berlaku di pusat nuklear (nuclear plant) yang wujud. Kecelakaan di Chernobyl mengakibatkan malapetaka yang besar ke atas nyawa dan kesihatan manusia. Di Jepun, yang dianggap memunyai teknologi tinggi, malapetaka besar telah berlaku di Tokaimura pada tahun 1999. Di Perancis, dalam tahun 2008 saja sejumlah 115 “masalah kecil” telah timbul. Segala masalah ini mengancam keselamatan dan mencemarkan persekitaran.
Di Malaysia selalu saja kita mendengar tentang bangunan retak atau bocor, stadium bahkan istana sedang dibina runtuh. Fikirkanlah akibatnya ke atas keselamatan orang awam jika berlaku “accident” yang boleh merebakkan bahan-bahan radioaktif. Bahan ini diradiasi ke merata tempat kediaman ramai manusia. Kandungannya boleh terus berbahaya selama beratus tahun, misalnya strontium (120 tahun) dan cesium (300 tahun).
Mengenai pembangunan kluster pula bermaksud pembangunan ekonomi wilayah yang menumpu kepada sebilangan pusat bandar yang dibina berteraskan industri tinggi untuk menarik pelaburan dan kerja mahir. Tiada apa salahnya cuba melaksanakan ini. Syaratnya mesti ada peruntukan dan usaha cukup dan seimbang yang ditumpukan bagi pembangunan di luar kawasan kluster itu, terutama di kawasan desa dan pedalaman. Jikalau ini tidak dilakukan, akibatnya ialah jurang sosio-ekonomi antara wilayah akan menjadi bertambah lebar lagi.
STRATEGI KE3: PEMBANGUNAN SOSIO-EKONOMI
Mengikut strategi ketiga, RMK10 menegaskan pembangunan untuk Bumiputra. Yang mula-mula diutamakan ialah untuk “melaksanakan transformasi ….. bagi mewujudkan syarikat Bumiputera yang berdaya saing dan berdaya maju”. Aspek yang ditekankan ialah “meningkatkan keupayaan syarikat Bumiputra. Syarikat yang berpotensi akan diberikan sepenuh sokongan untuk mencapai tahap yang tinggi”. Menarik di sini ialah yang diutamakan ialah golongan peniaga bukannya petani.
RMK10 melanjutkan dasar lama mengikut DEB, iaitu untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus milik ekuiti korporat bagi Bumiputera. Sewaktu mengumumkan Dasar Baru Ekonomi, PM Najib memberikan gambaran seolah-olah dasar ekuiti Bumiputera ini bakal dirombak. Akan tetapi oleh kerana tekanan dan desakan dari cauvinis Melayu, seperti dalam Perkasa, beliau berpatah pulang kepada dasar lama.
Kemungkinan besar ialah dasar ini akan terus digunakan untuk mengayakan lagi mereka yang sudah kaya di kalangan kroni-kroni. Ia bukan saja tidak menguntungkan Bumiputra di lapisan bawahan yang miskin serta terpinggir. Bahkan ia boleh disalahgunakan pula oleh mereka yang mendapat atau diberikan ekuiti ini. Misalnya, di bawah DEB ekuiti berjumlah Rm54 bilion telah diberikan. Akan tetapi yang tinggal sekarang hanya Rm2 bilion. Yang lain lesap, mungkin habis terjual dengan keuntungan besar.
Dalam RMK10 ini tercatat hasrat untuk mempertingkatkan pemilikan hartanah Bumiputera. Kita tahu bahawa pada umumnya lebih dari tiga suku hartanah, pusat perdagangan dll dimiliki oleh bukan Melayu. Selama lebih 50 tahun perkara ini tidak diperbaiki. Hanya sekarang baru timbul rancangan hendak menambahkan milik Bumiputera. Tabung Pelaburan Amanah Hartanah akan dibentuk Tidak dinyatakan berapakah jumlah wang yang akan disuntikkan ke dalamnya.
Saya harap rancangan untuk menambah pemilikan bagi Bumiputera ini tidak akan merupakan satu retorika saja. Bagaimanakah rancangan untuk mencapainya. Adakah dengan membeli harta yang dimiliki oleh pemodal-pemodal besar bukan Bumiputera? Adakah mampu pemodal Bumiputera, walaupun dengan sokongan kuat Kerajaan melakukannya? Jikalaupun mampu, adakah pemilik yang ada sekarang ini bersedia untuk melepaskannya begitu saja?
Tanpa apa-apa rancangan ataupun perisytiharan, selama lebih 50 tahun Umno telah memberikan tanah kepada beberapa orang pemodal kroni bukan Bumiputera. Ini balasan kerana mereka sanggup memberi rasuah kepada pemimpin, menyumbang kepada dana parti, bahkan membereskan bayaran untuk membeli beberapa orang “katak lompat”.
Pulau diberikan untuk menjadi pusat pelancongan, puncak gunung dihadiahkan untuk menjadi kasino perjudian dan tanah luas diserahkan untuk pemajuan perumahan mewah terutama bagi golongan kaya. Amalan ini masih berlaku. Kepada kroni yang sama, misalnya, dijanjikan lesen perjudian dan tanah di tapak penjara lama di Jalan Pudu.
Sekarang kita mendengar rancangan melaksanakan dasar Keadilan Sosial. Sehubungan ini dijanjikan bantuan akan diberi kepada golongan miskin di kampung, ladang dan kawasan pedalaman. Pendapatan mereka akan ditingkatkan. Kemudahan sosial akan disediakan. Saya seorang paling gembira sekiranya semua ini dilaksanakan. Malangnya, selepas lebih 50 tahun semua ini tidak dilakukan dengan berkesan. Majlis dan upacara mengumumkannya hebat. Akan tetapi lazimnya cakap tidak serupa bikin.
Untuk membuktikan hal ini saya kemukakan tiga contoh yang ketara.
Pertama, soal Tanah Adat orang Asal/Asli di Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung. Tanah ini merupakan kawasan rayau atau pindah randah mereka, dan juga menjadi persekitaran bagi mereka mendapatkan makanan untuk hidup dan juga sedikit sebanyak hasil yang hutan yang boleh dijual. Hak mereka terhadap Tanah Adat ini masih belum diiktiraf secara rasmi. Sempadan milik mereka tidak pernah digazet.
Acapkali ketenangan hidup mereka dan sumber penghasilan mereka terancam oleh kerana apa yang dikatakan sebagai aktiviti ekonomi pembangunan. Pembalakan dilakukan dengan cara liar dan luas. Selain itu dibuka pula kawasan-kawasan untuk perladangan kelapa sawit dan sebagainya. Segala aktiviti ini mencerobohi kawasan kediaman serta rayauan mereka dan mengancam penghidupan mereka. Untuk terus hidup sesetengah mereka terdesak supaya berundur lebih jauh lagi ke dalam hutan.
Banyak syarikat yang melakukan aktiviti pembalakan dan perladangan itu mempunyai hubungan rapat dengan tokoh-tokoh politik yang berkuasa dan juga pegawai-pegawai kerajaan, terutama sekali polis. Di Sarawak banyak syarikat ini mempunyai kaitan dengan syarikat-syarikat Ketua Menteri serta keluarganya. Oleh itu acapkali apabila golongan orang Asal cuba menyekat pencerobohan dari syarikat-syarikat ini dan cuba mempertahan kediaman serta tanah mereka, mereka ditangkap dan disumbat ke dalam penjara, selalunya tanpa bicara. Bahkan ada juga kes kematian berlaku.
Bukan itu saja. Bahkan sebagaimana yang dilaporkan mengenai masyarakat Penan di Sarawak, ada anak-anak gadis dan juga isteri yang terpaksa menjadi mangsa seks pekerja dan pengusaha balak. Nyata sekali golongan masyarakat yang lemah ini tidak mendapat bantuan dan perlindungan dari Kerajaan atau pihak-pihak berkuasa yang lain. Bahkan banyak laporan bahawa ada tokoh politik, kakitangan kerajaan dan pegawai polis yang bersekongkol dengan syarikat-syarikat tersebut.
Kedua ialah Nasib Peneroka Bandar (yang sering dipanggil penduduk setinggan). Sebahagian besar peneroka Bandar merupakan golongan yang asal menerokai sesetengah kawasan bandar. Mereka sudah tinggal berpuluh tahun, ada yang lebih 100 tahun, di tanah kerjaan atau tanah milik persendirian orang lain. Sesetengah dari mereka ini digalakkan oleh Umno untuk pindah dari kampung ke bandar, terutama selepas Peristiwa 13 Mei 1969, dan membuka kawasan kediaman yang kemudiannya dianggap “haram”.
Berikutan tujuan Kerajaan hendak melancarkan projek-projek pembangunan, maka banyaklah usaha dilakukan untuk membersihkan kawasan “setinggan” serta melaksanakan rancangan “sifar setinggan”. Acapkali tindakan mengusir peneroka bandar dilakukan secara paksa; tanpa notis, tanpa pampasan, tanpa pemberian tanah atau tempat kediaman alternatif. Sebahagian besar ini terdiri dari golongan berpendapatan rendah dari semua kaum.
Telah berlaku bantahan dan perlawanan dari pihak peneroka Bandar yang mula menyusun dari mereka. Mereka menuntut supaya:
- Pengusiran paksa dan perobohan rumah secara paksa tidak dilakukan;
- Notis yang cukup mesti diberi sebelum tindakan perobohan diambil;
- Bayaran pampasan yang mencukupi harus dibincang dan disetujui terlebih dulu;
- Perlu diusahakan tapak tanah atau rumah siap alternatif yang tidak jauh sangat dari tempat asal peneroka yang terpaksa berpindah;
- Seboleh-bolehnya beri peneroka rumah yang dibangunkan di kawasan mereka diusir dan pastikan tiada rumah-rumah tersebut yang diberi kepada atau dibeli oleh pegawai kerjaan atau ahli politik yang berkepntingan;
- Beri kemudahan pinjaman bank, seharusnya tanpa faedah, kepada mereka yang hendak mendirikan rumah ganti.
Kerajaan seharusnya melaksanakan tuntutan-tuntan ini sekiranya benar-benar mahu menolong golongan miskin bandar di kawasan “setinggan”, yang di sesetengah negeri terdiri majoritinya dari Bumiputera.
Ketiga ialah Petani Felda. Seperti yang kita ketahui, rancangan Felda telah dimulakan oleh Tun Razak, PM kedua negara ini, untuk mengatasi masalah kemiskinan di kalangan penduduk kampung. Di bawah rancangan ini seseorang penduduk, yang dipilih dari kalangan mereka yang tiada atau kekurangan tanah, diberikan sehingga 10 ekar untuk dikerjakan dan mendirikan rumah. Mereka diberi kemudahan pinjaman untuk mengerjakan tanah, membeli benih serta baja dan kemudiannya menanam semula.
Dalam tahun 1990an, Felda Holdings telah ditubuhkan. Di bawahnya kini terdapat kira-kira 60 buah syarikat, yang terkenal di antaranya Felda Plantations, Syarikat Technoplant dan Felda Global Venture Holdings. Lebih separuh dari pemilik-pemilik tanah Felda yang asal telah dapat dipujuk dan ada juga yang semacam ditipu atau dipaksa untuk menyerahkan tanah milik mereka untuk disatu dan diusahakan sebagai estet di bawah Felda Plantations.
Mereka yang menyerahkan milik tanah mereka ini tidak perlu mengerjakannya. Mereka diberikan pendapaan sebanyak Rm1000-1500 sebulan. Akan tetapi mereka harus menanggung perbelanjaan sekiranya kebun hendak ditanam semula. Technoplant menyelenggara penanaman semula dan mengenakan kos menanam semula itu sebagai hutang yang perlu ditanggung oleh peneroka. Ini suatu perkara aneh.
Sekarang ini masih terdapat bantuan tanam semula yang diberikan kepada pekebun kecil. Kumpulan wang rancangan tanaman semula ini adalah dari kutipan cess dari jualan hasil pengeluaran mereka. Peneroka Felda berhak mendapat bantuan ini. Kenapakah hutang yang dibebankan ke atas peneroka itu tidak ditolak dari bantuan yang harus diberikan melalui rancangan tanaman semula?
Selain itu, apabila peneroka Felda hendak membaiki rumah lama ataupun mendirikan yang baru, biasanya kerja ini dilakukan oleh syarikat tertentu. Harga pembaikan atau pembinaan itu dicaj juga sebagai hutang ke atas peneroka Felda itu. Akibatnya, apabila seseorang peneroka berhutang untuk menanam semula dan menyelenggara rumah, beliau kadang-kadang terpaksa membeban hutang dari Rm60 hingga 100 ribu seorang. Kebanyakan mereka sudah tua. Mungkin mereka akan membawa hutang ke kubur dan bebannya terpaksa digalas pula oleh anak-anak mereka.
Hasil tanaman peneroka Felda yang dijual kepada kilang pembeli, biasanya dipotong atau ditahan sebahagiannya, kerana kononnya rosak atau tidak masak. Ada juga yang dikategori sebagai lebih rendah mutunya dan oleh itu dibeli dengan harga lebih murah. Mereka merasa tertipu. Sesetangah mereka telah mengambil tindakan undang-uandang dan menang, seperti di Kemahang, Kelantan. Ramai lagi sedang mengemukakan tindakan serupa ke mahkamah.
Anak-anak peneroka tidak ada hak untuk mewarisi tanah yang dimiliki oleh bapa mereka. Ramai di antara mereka yang tidak mempunyai pelajaran tinggi atau tidak dapat mencari pekerjaan di luar terpaksa tinggal di tanah rancangan. Sebahagian besar mereka menganggur. Bermacam-macam masalah sosial timbul. Mereka merupakan sebahagian besar anak muda Melayu yang terbiar dan tidak mendapat pembelaan dari kerajaan.
Pada masa ramai peneroka berhutang dan sebahagian anak mereka menganggur, syarikat-syarikat seperti Felda Holdings, Felda Plantations dan Technoplant mengaut untung yang besar. Sebahagian untung digunakan untuk membuka syarikat-syarikat di luar Negara. Akan tetapi, Felda Global Venture menanggung kerugian teruk akibat pelaborannya sebanyak USD500 juta di Amerika Syarikat.
Sebahagian digunakan untuk membayar elaun yang tinggi kepada pengurus-pengurus kanan dan pengarah syarikat-syarikat. Sebahagian lagi pula diberikan sebagai “hadiah” kepada peneroka-peneroka menjelang perayaan hariraya dan sebagainya. Selalunya “hadiah” ini seolah diberikan oleh syarikat atau atas keprihatinan PM sebagai orang yang bertanaggungjawab ke atas Felda seluruhnya. Sebenarnya, itu wang sumbangan dari tanah milik dan juga titik peluh peneroka, yang dipulangkan kepada mereka semula.
Ada juga wang yang digunakan untuk membina bagunan baru untuk pejabat Felda. Misalnya, ada bangunan berharga kira-kira Rm500 juta, walaupun pada mulanya diangggarkan Rm200 juta saja, yang sedang dibina. Terdapat juga rungutan sesetengah pihak bahawa kononnya sebahagian dari keuntungan peneroka ini dijadikan sumbangan pelbagai rupa kepada Umno. Perkara ini perlu disiasat untuk mencari kebenarannya.
Sebenarnya syarikat Felda Holdings mempunyai asset yang banyak. Ada satu anggaran bahawa jumlah nilainya di sekitar Rm7 bilion. Nampaknya ada sesuatu yang tidak kena dalam urusan kewangan syarikat Felda ini. Dalam Parlimen telah diakui oleh pihak Jabatan Perdana Menteri bahawa tunai simpanan Felda telah merosot dari Rm4.08 bilion pada tahun 2004 ke Rm1.35 bilion pada tahun 2009. Ini merupakan kemerosotan kira-kira Rm1.7 bilion ataupun 67 peratus.
Sekarang ada sebilangan peneroka bandar merasa diri mereka semacam sudah tertipu. Mereka tidak diberikan milik tanah. Mereka terpaksa membeban hutang yang besar. Mereka tidak diberikan pendapat mencukupi. Generasi anak mereka menghadapi pelbagai masalah ekonomi dan sosial. Sebahagian besar dari hasil tanah mereka dikaut sebagai keuntungan syarikat-syarikat yang menguasai tanah mereka. Syarikat ini pula menghadapi kerugian besar.
Peneroka Felda sudah mulai sedar dan bangkit. Umno merasa terancam kerana peneroka ini tidak boleh lagi dianggap sebagai “fixed deposit” mereka untuk pilihanraya. Itu sebab pihak berkuasa Umno dalam keadaan gusar derdesak untuk mengambil tindakan keras terhadap pihak-pihak yang mendedahkan apa sebenarnya berlaku dalam Felda. Tetapi kebenaran sudah tidak boleh disembunyikan lagi.
Tidak peliklah tindakan keras diambil ke atas Suara Keadilan kerana berita negatifnya mengenai Felda, yang dianggapnya menuju bankrup. Tidak hairanlah apabila saya pergi membuka tujuh buah ranting KEADILAN di Jalong, Negri Sembilan hujung minggu lalu, ramai polis mengawal. Mereka membuat sekatan jalan, memeriksa kad pengenalan dan mencatat nama yang datang. Sebelum itu berkali-kali mereka mendesak agar pihak penganjur membatalkan majlis itu.
STRATEGI KE4: MODAL INSAN BERMUTU
Strategi keempat RMK10 ialah untuk membangun dan mengekalkan Modal Insan yang bertaraf dunia. Memang diketahui modal insan yang bertaraf tinggu penting untuk menjana pembangunan dan menarik pelaburan. Bahkan pekerja yang lebih tinggi kemahirannya adalah faktor penting kepada kerjayaan usaha pembangunan dan menarik usahasama swasta dari dalam dan luar negara. Pergantungan kepada pekerja mendatang yang tidak mahir perlu dikawal.
Untuk meningkatkan kualiti pelajar, Kerajaan berancang untuk meningkatkan nisbah guru siswazah di sekolah rendah dari 28 peratus kepada 60 peratus. Tidak disebut berapa persen pula peningkatannya di sekolah menengah, jikalau akan dilaksanakan Walaupun ini pasti akan membantu, namun perlu diakui bahawa meningkatkan kuantiti guru siswazah saja tidak mencukupi.
Yang mungkin lebih penting ialah memastikan peningkatan kualiti mereka. Dimaksudkan dengan ini ialah bertambahnya mutu dedikasi dan komitmen mereka sebagai guru terhadap tugas serta profesion mereka. Ini memerlukan pelbagai insentif termasuk gaji dan elaun. Insentif yang sesuai sangat perlu bagi guru-guru yang ditugaskan di kawasan-kawasan desa dan pendalaman, misalnya.
Sekarang ini, kita dapati tanda-tanda jelas mengenai kemerosotan mutu pendidikan di sekolah. Guru-guru ramai yang kurang motivasi dan komitmen. Layanan dan pengiktirafan kepada guru dianggap kurang memuaskan. Penat jerih dan dedikasi mereka tidak dihargai sangat. Sistem pendidikan – termasuk kurikulum dan silabus sering berubah, biasanya sama sering dengan perubahan menteri.
Apa-apa perubahan dari membataskan bilangan matapelajaran yang boleh diambil untuk SPM kepada bahasa pengantar untuk Sains dan Mathematik harus difikir dengan teliti sebelum diumum untuk pelaksanaan. Malangnya, tendensinya ialah bagi setiap menteri yang baru membuat pengumuman dulu dan apabila timbul kontroversi barulah berjanji untuk membuat kajian yang sewajarnya.
Selain itu dengan pertukaran menteri selalu berlaku juga rancangan-rancangan jenis persekolahan untuk kononnya menaikkan mutu pendidikan. Satu ketika dulu heboh dibicarakan tentang Sekolah Bestari. Kemudian timbul pula Sekolah Kluster. Lepas itu diwujudkan pula Sekolah Berprestasi Tinggi. Mutu pelajaran tidak naik juga. Sekarang di bawah RMK diperkenalkan pula Sekolah Amanah untuk memudahkan “perkongsian awam-swasta dalam pengurusan sekolah-sekolah kerajaan yang terpilih”.
Bilakah perubahan-perubahan yang kelihatan ad-hoc ini akan berhenti? Sebenarnya, apa yang perlu dilakukan kini ialah mengkaji mendalam dan membuat teratur satu laporan serta rancangan bagi Sistem Pendidikan yang baru. Segala aspek harus dikaji: soal bahasa pengantar, soal integrasi sekolah-sekolah, soal silabus serta kurikulam, soal falasafah pendidikan, soal pendidikan dengan pembentukan negara-bangsa dan lain-lain.
Masalahnya ialah seringkali insan yang sudah dilatih dengan baik tidak dapat dipertahankan terus berkhidmat di tempat mereka ditempatkan. Ada yang patut bekerja dengan kerajaan berpindah ke swasta. Bahkan ada yang sepatutnya bekerja dalam negara memilih untuk berkhidmat di luar negara.
Rancangan hendak mengarusperdanakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional kita alu-alukan. Ini hendaklah dilakukan selepas dibuat kajian mendalam tentang jenis permintaan dalam pasaran pekerjaan dan jenis-jenis bantuan. Juga harus diberikan kepada lulusan-lulusan teknikal dan vokasional bantuan untuk memulakan pekerjaan atau perusahaan mereka. Selain itu ia harus disesuaikan dengan rancangan serta matlamat pembangunan negara seluruhnya, termasuk menyeimbangkan penyertaan dari segi kaum yang boleh membantu proses pembinaan perpaduan bangsa.
Masalah besar juga dihadapi di peringkat kolej universiti dan universiti. Mutu pendidikan di peringkat tinggi kini semakin menurun. Bilangan siswazah dari institusi ini yang lama menganggur tambah besar. Pada masa yang sama, ramai mereka yang mencapai kelulusan baik dan berpoensi besar berhijrah ke negara luar di mana mereka melihat bahawa “the grass is greener”.
Bercakap tentang mutu, kita melihatnya dari dua segi. Pertama ialah kualiti mahasiswa itu sendiri. Adakah sistem pendidikan di universiti sekarang ini betul-betul membuka minda dan meluaskan visi mereka dan adakah mereka dilatih dan diberi peluang untuk berfikir secara kritikal dan kreatif? Jawabnya tidak. Ini adalah akibat pelbagai sekatan dan akta yang dikenakan ke atas mereka sehingga tidak dapat sepenuhnya mencari, mengenal dan mengamalkan ilmu dengan baik.
Keduanya ialah sikap serta dedikasi para pensyarah sendiri. Di bawah RMK ini akan ditambah bilangan pensyarah yang mempunyai Ph.D. Malangnya ada mereka yang setelah mendapat ijazah tinggi ini tidak membaca, menyelidik dan menerbit lagi untuk menjadi para akademik bertaraf tinggi. Ada mereka yang hanya rajin menyelesaikan tesis, akan tetapi tidak mempnunyai dedikasi yang diperlukan. Di peringkat ini juga soal insentif, motivasi dan dedikasi penting.
Sehubungan semua ini terdapat juga pembentukan pusat-pusat pelajaran yang tidak dikawal oleh sesiapa sehingga boleh berlaku penipuan. Keadaan ini berlaku juga dengan pelbagai tawaran melalui internet terutamanya, mendapat ijazah dengan cepat dari pusat-pusat yang tidak dikenali. Ramai yang tertipu. Ada juga telah diberikan ijazah palsu. Gejala ini harus dipantau dikawal.
Ada beberapa langkah yang perlu diambil untuk menimbulkan suasana ilmu yang baik di universiti untuk memberikan stimulasi bagi menaikkan taraf serta mutu universiti itu supaya benar-benar boleh mencapai taraf dunia. Antaranya ialah:
- Menimbulkan suasa bebas bagi mencari dan menambah ilmu dan sehubungan ini menghapuskan peraturan-peraturan dan akta-akta yang mengekang dan menyekat mahasiswa dan pensyarah;
- Menggalakkan perkembangan minda yang kritikal dan kreatif, bukan di universiti saja, akan tetapi bermula dari persekolahan lagi, sesuai dengan kehendak kemajuan serta perkembangan ilmu serta teknologi;
- Sediakan kemudahan kewangan dan suasana bagi membuat penyelidikan berguna yang boleh membantu R & D yang boleh pembangunan negara dalam segala bidang;
- Pastikan kenaikan pangkat terutama ke Profesor dan Profesor kanan atas dasar merit, berkaitan aktiviti pengajaran, penyelidikan dan penerbitan, dan pastikan faktor hubungan politik dan peranan pentadbiran tidak diambil kira sangat;
- Bawa masuk para akedemik terkenal di merata dunia untuk berkhidmat di universiti-universiti tempatan sebagai pensyarah/professor lawatan atau kontrak;
- Lantik Naib Canselor atas dasar kelayakan dan kebolehan melalui proses yang dijalankan oleh “Search Committee” yang berwibawa dan seimbang, tanpa pengaruh dan campurtangan menteri atau parti politik;
- Berikan Autonomi yang lebih luas kepada universiti. dari segi kademik dan kewangan, dan sesuai dengan ini mesti dikaji kemungkinan dan kebaikan menubuhkan “Universiti Grants Commission” yang bertanggungjawab ke atas hal-hal yang berkaitan dengan pengagihan kewangan, pengawasan pentadbiran pertukaran jawatan ataau kenaikan pangkat di semua universiti.
- Buat kajian dan tapisan yang teliti sebelum membenarkan penubuhan sesebuah kolej universiti dan universiti, dan pastikan kolej universiti tidak akan menyamar atau meletakkan taraf dirinya sebagai universiti.
Kerajaan bercadang untuk membentuk “Talent Corporation” bagi mengenalpasti kekurangan kemahiran dan menarik modal insan berkemahiran yang diperlukan. Mungkin berasaskan ini, seorang Menteri telah mengumumkan, nampaknya tanpa memikirkan sepenuhnya segala implikasi, untuk memberikan PR kepada pelajar-pelajar asing di negara ini yang mencapai kecemerlangan tinggi.
Seperti diakui, pada masa ini terdapat lebih dari 700,000, ramai darinya Melayu, rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara. Antara mereka ini ramai juga yang berkelayakan serta berkebolehan tinggi dan boleh menyumbang kepada pembangunan negara. Usaha hendaklah dijalankan bagi mengenalpasti dan menarik mereka pulang. Selain itu kita dapati ramai pelajar cemerlang, kebanyakan bukan Melayu, yang ditarik keluar, ke Singapura khususnya, selepas lulus sekolah menengah. Kita seharusnya membendung tendensi ini supaya Negara tidak kerugian.
STRATEGI KE5: MEMPERTINGKAT KUALITI HIDUP
Terdapat beberapa rancangan mengikut RMK10 bagi meningkatkan kualiti hidup, terutama sekali untuk kawasan desa dan pedalaman. Saya akan membincangkan hanya tiga dari tujuh perkara yang dikemukakan di bawah strategi kelima ini.
Yang pertama ialah meningkatkan persediaan kemudahan asas. Usaha ini telah dimulakan dan dilaksanakan dengan hebat semasa Tun Razak menjadi TPM dan kemudian PM. Hakikat bahawa usaha-usaha ini perlu dikemuka semula menjadi bukti bahawa usaha-usaha yang diterokai oleh beliau itu gagal. RMK10 seolah-olah kelihatan terpaksa mendendangkan lagu lama.
Sebab utamanya ialah, khusus semasa dan selepas pemerintahan Dr Mahathir, yang paling dipentingkan ialah mengembangkan perindustrian dan perdagangan yang boleh menjana timbulnya golongan usahawan dan pemodal Bumiputera. Bersama-sama itu dilaksankan projek-projek mega untuk menggalak perkembangan kontrktor-kontraktor dan korporat-korporat kroni. Nasib golongan bawahan yang miskin dan berpendapatan rendah tidak dibela sewajarnya dan terabai.
Berapakah angggaran perbelanjaan untuk menjalankan usaha dan melaksanakan projek di bawah perkara ini tidak disebut? Kita lihat lebihkurang 50 peratus dari perbelanjaan pembangunan ialah untuk ekonomi. Berapakah yang akan digunakan untuk pengurusan? Dari bakinya berapa peratus pula yang akan digunakan untuk belanja pembangunan bagi menaikkan taraf hidup rakyat kampong dan pedalaman? Jika PM Najib dan kerajaannya betul-betul serius, sepatutnya beliau memperuntukkan sekurang-kurangnya separuh dari pebelanjaan ini untuk masyarakat yang masih mundur itu.
Yang kedua ialah memastikan rakyat sihat. Dijanjikan lebih banyak lagi hospital akan dibina. Beberapa buah hospital yang baru dibina sudah rosak sebelum dapat dipakai. Oleh kerana “rent seeking” harga meningkat lebih tinggi dari sewajarnya. Berapakah di antaranya akan dapat diakses oleh rakyat dari kampung dan pedalaman? Jikalaupun mereka dapat sampai ke hospital tersebut, mereka terpaksa menunggu berjam-jam sebelum dapat berjumpa dengan doktor.
Klinik-klinik kampung yang dulu dibuka di bawah Rancangan Pembangunan Kampung boleh dikatakan tidak berfungsi lagi. Banyak yang sudah ditutup. Sekarang Kerajaan, atau lebih tepat parti pemerintah, membuka Klinik 1Malaysia. Lima puluh lagi akan dibina dalam separuh penggal RMK10 nanti. Nampaknya kebanyakan klinik ini berpusat di bandar-bandar. Mengikut persatuan doktor-doktor yang professional, pegawai-pegawai perubatan yang ditempatkan di klinik tersebut tidak mempunyai kelayakan secukupnya, dan mereka tidak mempunyai bekalan alat dan ubatan yang seperlunya.
Yang ketiga ialah kemapanan alam sekitar. Semakin banyak projek-projek pembagunan dijalankan, semakin tercemar alam sekitar. Pembalakan tidak terkawal dan penarahan bukit untuk kemajuan perumahan mengakibatkan sungai menjadi kotor dan banjir lebih sering berlaku. Rakyat miskin bertambah derita,
Mereka yang bergantung kepada sungai untuk mambasuh badan serta pakaian dan air minum mendapati air sungai bukan saja kotor akan tetapi kurang selamat. Mereka menanggung beban segala banjir dan kotoran yang dikibatkan. Tetapi mereka biasanya tidak mendapat ganti rugi dari pemaju-pemaju yang meraih keuntungan besar dari projek-projek mereka.
Sekarang ini asap dari kilang dan kenderaan bermotor yang bertambah banyak mengakibatkan pencemaran udara dan juga bising. Ini juga merupakan salah satu faktor yang menamabah “kesan rumah hijau” dan pemanasan global yang semakin mengancam manusia di seluruh dunia.
Pembakaran terbuka terus berlaku dan tiap-tiap tahun rakyat menanggung akibat dari jerebu yang buruk, berpunca kabarnya dari pembakaran di negara tetangga. Nampaknya kerajaan tidak cukup mengambil tindakan untuk mengawal punca-punca pencemaran yang sudah dikenalpasti. Ia juga gagal menyelesaikan masalah jerebu yang melanda setiap tahun.
Banyak tanah lapang, lereng serta kemuncak bukit diasak dengan pembinaan rumah. Kawasan hijau yang boleh dijadikan taman rehat atau park sudah boleh dikatakan tidak ada lagi di bandar-bandar besar. Masanya sudah tiba, bahkan sudah lampau bagi mengutamakan manusia lebih dari keuntungan (people before profit). Sudah mulai ada tanda-tanda positif dalam RMK10. Akan tetapi tidak mencukupi. Saya harap ia tidak tinggal hanya sebagai retorik dan rancangan saja.
DR SYED HUSIN ALI
18 Julai 2010
No comments:
Post a Comment