Thursday, May 27, 2010

UCAPAN PERASMIAN KONGRES WANITA DAN ANGKATAN MUDA

Saya memanjatkan setinggi-tingi kesyukuran ke hadrat Allah (swt) atas limpah kurniaNya yang memungkinkan kita bertemu sekali lagi dalam Kongres ke- Parti Keadilan Rakyat. Kali ini kita berhimpun di Kota Bharu, pusat kerajaan negeri yang paling teguh dan paling lama dikuasai oleh Pari Islam Semalaysia (PAS).

Marilah kita mendoakan semoga negeri Kelantan ini lebih lama dan maju lagi di bawah pemerintahan PAS. Ia boleh menjadi ilham serta pendorong kepada kita semua dalam KEADILAN dan seterusnya PAKATAN untuk berusaha dengan penuh azam serta iltizam bagi kita akhirnya sampai ke Putrajaya., Insha Allah..
BERJUANG DAN BERKORBAN
Selepas kemenangan besar dalam pilihanraya umum ke-12 pada 8hb Mac 2008, ramai dari kalangan kita begitu ghairah dan yakin sekali Putrajaya boleh ditawan dalam PRU ke-13 akan datang. Kita doakanlah semoga ini akan menjadi kenyataan. Namun kita harus ingat bahawa jalan ke Putrajaya bukannya mudah. Ia berliku-liku, turun naik, penuh dengan duri dan ranjau
Tidak apa salahnya kita mempunyai sikap yang optimis. Tidak ada salahnya kita mengharapkan kemenangan.Akan tetapi sikap serta harapan ini perlu diperkukuh dengan usaha yang gigih untuk memperkuatkan Parti tanpa mengenal penat lelah, berkorbanan apa saja sepanjang masa, setia kepada perjuangan dan berdisiplin kuat.

Kita harus sedari bahawa kemenangan tidak mudah tiba dengan bergolek. Untuk memastikan kemenangan, setiap anggota Parti perlu berusaha menguatkan Parti. Kita harus membanyakkan anggota, memantapkan organisasi dan menguatkan pimpinan– dari Ranting dan Cabang, membawa ke Negeri dan Pusat. Untuk memastikan ini setiap anggota dan Parti sendiri mesti menghormati dan mempunyai disiplin yang kuat.

Selain dari kemantapan dari segi organisasi, yang diperkukuh dengan disiplin yang kuat, maka perlu pula perpaduan dari segi politik. Ini bererti sikap serta tindakan anggota serta pemimpin haruslah bersepadu. Tidak bersimpang siur dan bercanggah di antara satu sama lain. Hal ini terjamin sekiranya wujud pemahaman dan penghayatan yang mendalam serta pegangan yang kuat terhadap prinsip perjuangan serta dasar-dasar Parti.

Apabila organisasi mantap dan prinsip serta dasar dipegang secara bersepadu, maka akan lebih berkesanlah usaha serta kerja yang boleh dan harus dijalankan di kalangan rakyat banyak. Agar berkesan, kita perlu menjadi pembantu, jurubicara dan pembela akyat dengan ertikata sebenar-benarnya. Kita harus berusaha sungguh-sungguh supaya disertai dan dihormati oleh rakyat yang menganggap kita sebagai sebahagian dari mereka.

Kita mesti dilihat dan diterima oleh rakyat sebagai pejuang tulen untuk kebajikan, kebahagiaan dan kesejahteraan bagi mereka dan anak cucu mereka. Ini memang lebih mudah dicakap dari diperbuat. Percayalah kita boleh melakukannya jika bersedia untuk berkorban – masa, tenaga, wang dan bahkan nyawa juga sekiranya perlu.

Seperti yang sering saya ulang-katakan: tiada kemenangan tanpa perjuangan, tiada perjuangan tanpa pengorbanan. Jikalau kita inginkan kemenangan sehingga boleh membawa kita ke Putrajaya, maka kita perlukan perjuangan serta pengorbanan.

PROSES PENYUCIAN PARTI

Akhir-akhir ini kita melihat beberapa berita media yang membesarkan laporan tentang beberapa kerat anggota Parlimen dan juga apa yang didakwa sebagai “pemimpin Parti” melakukan “lompat katak” dengan tiada prinsip sama sekali. Kita ketahui ramai dari mereka bukanlah seperti yang didakwakan. Selain itu bilangan yang keluar itu tidaklah seramai yang dibesar-besarkan.

Kita akui di antara mereka yang keluar itu memang ada sebilangan kecil yang merasa kecewa dengan Parti. Tidak dinafikan juga bahawa sedikit sebanyak berita-berita besar dalam media mempunyai kesan negatif juga. Oleh itu, kita perlu mengkaji punca-punca kekecewaan tersebut dan berusaha mengatasinya. Jika didapati benar dan berasas, kita harus berusaha untuk mengatasinya. Kita tidak harus takut bermuhasabah diri dan kita mesti berani membuat pembetulan.

Akan tetapi, perlu ditegaskan kebanyakan mereka yang melompat mempunyai masalah pribadi. Ada yang terbelenggu oleh masalah kewangan, ada yang marah kerana tidak mendapat apa yang mereka mahu dari Parti ataupun kerajaan yang dipimpin Parti. Ada pula yang tidak dapat bekerjasama dengan anggota dan pimpinan Parti di peringkat Ranting dan Cabang. Selain itu ada pula yang gagal menjalankan tugas sebagai “wakil rakyat” dan sebagainya. Mereka mudah dibeli.

Ada rakan-rakan kita yang merasa bimbang dengan peristiwa “lompat katak” itu. Kita tidak perlu bimbang sangat dan harus menghadapinya dengan sikap positif. Tiap-tiap bulan Parti menerima sekitar 5 ribu permohonan anggota baru. Beberapa bulan lalu, dalam tempoh tiga bulan sebanyak kira-kira 50 ribu permohonan. Selain itu, kita harus menimba ilham dari sejarah, kita harus dimotivasikan oleh keadaan sekarang dan kemungkinan masa hadapan yang mencabar tetapi cerah.

Memang diakui pada jangka pendek ada sedikit kesan buruk dari peristiwa “lompat katak” ini. Namun saya percaya dalam jangka panjang ia adalah baik bagi Parti dan perjuangan suci kita. Saya selalu mengatakan ini satu proses yang positif, iaitu sebagai proses penucian (cleansing), walaupun bukan akibat dari tindakan Parti sendiri pada permulaannya. Mulai sekarang kita harus tegas dan tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas anasir-anasir yang merosakkan Parti.

Sebagai mana yang disebut oleh teman pemimpin dari sebuah parti kawan, apabila sampah sarap sudah berlalu, sungai akan lebih bersih. Saya sendiri memandangnya begini: Umpamakanlah Parti ini sebagai mempunyai tompok-tompok kekotoran. Bukankah apabila kotoran dari tubuh dapat dibersihkan, kulit menjadi cerah dan badan menjadi sihat?

Cerita “lompat katak” ini bukan berlaku pada Parti kita saja. Dari segi sejarah, kita lihat pada peringkat-peringkat tertentu, terutama permulaannya, PAS menglami ramai juga pemimpin yang keluar parti. Antara lain, Yang Dipertuanya (Asri Muda), Setiausaha Agungnya (Othman Abdullah) dan kemudian Naib Yang Dipertua (Nakhaie Ahmad) meningalkan PAS.. Umno dengan gembira mengisytiharkan Pas akan gulung tikar. Apa yang berlaku? PAS menjadi bertambah kuat.
Begitu juga dengan DAP. Mula-mula melompat Goh Hock Guan, yang merupakan Setiausaha Agung (iaitu jawatan terkuat dalam DAP) ketika itu. Beliau kemudian dituruti pula oleh Ricard Ho (Timbalan Pengerusi) dan agak lama selepas itu oleh Lee Lam Thye, seorang pemimpin yang popular. MCA segera mengumumkan DAP akan berkubur. Seperti kita lihat DAP menjadi bertambah kuat. Yang berpecah-belah dan hendak berkubur sekarang ialah MCA.

Jangan pula kita sangka tidak ada apa-apa yang pernah berlaku dalam Umno. Sebenarnya apa yang mereka alami lebih teruk lagi. Selepas Sdr Anwar Ibrahim disingkir dan diaibkan, berpuluh-puluh ribu ahli meninggalkan Umno untuk memasuki PAS dan KEADILAN. Sehingga sekarang sebahagian besar masih setia kepada kedua-dua parti.

Sebelum itu akibat beberapa tindakan Dr Mahathir yang memecah-belah Umno dan memimpin secara kuku besi, Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn (dua orang bekas Presiden Umno dan mantan Perdana Menteri) telah keluar dari Umno. Mereka tidak menjilat air ludah, bahkan mati di luar parti bobrok tersebut. Ini berbeza dengan tindakan Dr Mahathir yang telah menjadi “katak lompat” sekejap saja.

Ada perbezaan besar antara lompatan keluar parti dari PAS dan DAP dengan lompatan dari Umno. Peristiwa melompat dari Umno tidak menjadikannya lebih kuat akan tetapi lebih lemah. Bahkan akibatnya Umno baru menjadi buruk. Umno yang satu masa dulu hebat dan gah, sekarang ini menjadi tambah lesu dan semakin tidak relevan.

Saya yakin dan percaya, seperti PAS dan DAP, KEADILAN selepas ini akan menjadi lebih kuat dan gagah lagi. Kuat dan gagah untuk menempuh dan merempuh segala duri dan ranjau untuk menuju ke puncak kemenangan dan kejayaan.

Kita tidak harus mengambil sikap bahawa peristiwa “katak lompat” ini saja sudah cukup untuk menguatkan Parti kita. KEADILAN akan menjadi benar-benar kuat dan mantap hanya sekiranya kita mempunyai ramai pemimpin dan anggota yang berpegang teguh kepada "ideologi” atau dasar perjuangan Parti. Kita perlu bergerak cergas dalam Parti dan di kalangan massa rakyat; jikalau tidak boleh setiap minit, setiap jam dan setiap hari, sekurang-kurangnya setiap minggu dan setiap bulan berterusan. Jangan hanya menunggu MATC atau Kongres dan pilihanraya saja.

MENJANA PEMIMPIN-KADER

Kita memerlukan bukan semata-mata anggota yang ramai. Kita memerlukan juga keseimbangan antara kuantiti dengan kualiti keanggotaan. Kita memerlukan anggota yang berkualiti dari segi disiplin, pengetahuan politik dan keaktifan bergerak. Kita memerlukan anggota yang faham, menghayati dan berpegang teguh kepada asas-asas perjuangan Parti, sehingga mereka tidak hilang punca walaupun dalam keadaan keseorangan.

Kita perlu memberikan kursus dan latihan kepada anggota dari peringkat awal mereka memasuki Parti. Pada peringkat ini, dalam kumpulan agak besar, mereka perlu diberikan pengenalan ringkas tentang sejarah perjuangan, susunan organisasi dan dasar perjuangan Parti. Rancangan ini ada akan tetapi nampaknya masih belum dijalankan secara sungguh-sunggguh. Saya ingin menggesa agar Wanita dan Angkatan Muda segera merancang dan melaksanakannya.
Selepas peringkat ini perlu dikenalpasti aktivis serta pimpinan kecil Parti yang boleh dipilih untuk menghadiri kursus dan latihan yang lebih intensif dalam kelompok lebih kecil. Mereka ini kemudiannya boleh ditapis lagi untuk memberikan kursus serta latihan lanjutan. Bahkan kursus dan latihan, akan tetapi lebih dalam bentuk perbincangan dan tukar-menukar pandangan serta pengalaman, perlu juga diadakan selalu di peringkat pimpinan tertinggi. Pemimpin tidak boleh mengambil sikap sudah tahu semua.

Kita memerlukan pemimpin aktif, lebih aktif dari anggota biasa, yang tidak mengenal penat lelah. Sewajarnya tidak harus ada tempat bagi mereka yang bergelar pemimpin atau berjawatan tinggi dalam hierarki Parti akan tetapi merupakan tidak lebih dari tok tonggok saja. Oleh kerana akar umbi merupakan asas kekuatan yang sebenar Parti, maka pimpinan terutama sekali di peringkat Ranting dan Cabang hendaklah kukuh dan berkesan.

Di peringkat Cabang kita mahukan pemimpin yang tidak menyekat kemasukan anggota-anggota baru serta menahan perkembangan Parti semata-mata kerana hendak menjaga kedudukan masing-masing. Kita mahukan pemimpin yang boleh memberi pimpinan dari segi idea serta kerja dan mampu menyatu-padukan Parti. Mereka hendaklah senantiasa bersedia bertindak cepat dan tegas, tidak sambil lewa saja, bila-bila masa diperlukan demi kepentingan Parti dan rakyat.

Kita mahukan pemimpin yang sanggup memberikan khidmat serta pimpinan untuk membela kepentingan serta kebajikan rakyat. Untuk berbuat demikian mereka perlu sentiasa mendampingi, menghormati dan belajar dari rakyat dengan sifat rendah diri. Kita juga mahukan pemimpin yang mempunyai pandangan jauh dan komitmen kuat untuk memastikan matlamat perjuangan Parti akhirnya tercapai.

Pokoknya, kita memerlukan sekumpulan pemimpin yang sekaligus merupakan Kader Parti yang kuat, aktif dan komited.. Kader boleh diandaikan sebagai intipati sesebuah parti. Mereka dihasilkan dari proses tapisan yang halus dan rapi. Proses ini dilakukan melalui latihan serta didikan dalam bidang kepimpinanan serta pengorganisasian Parti. Tidak itu saja. Tapisan juga dilakukan melalui proses ujian dalam bidang kerja massa, iatu kerja di kalangan rakyat untuk menyusun dan memperkasakan mereka supaya berupaya memperjuangkan nasib sendiri.

Parti kurang mengadakan kursus dan latihan. Sedikit yang ada itupun lebih banyak bertumpu kepada yang melibatkan kerja-kerja menghadapi pilihanraya dan juga untuk sedikit-sedikit meningkatkan taraf kecekapan anggota dan pimpinan. Tidak dinafikan kursus dan latihan seperti ini memang berguna. Ia perlu diteruskan.

Akan tetapi di samping itu, dan mungkin jauh lebih penting, ialah untuk mengadakan kursus dan latihan yang melibatkan pemahaman serta penghayatan teori dan praktis. Dari segi teori seorang Kader perlu dilengkapi ilmu mengenai perubahan masyarakat dan sejarah perjuangan rakyat dan Parti. Mereka juga perlu ditingkatkan dengan kebolehn menganalisis serta memahami dengan mendalam tentang proses dan masalah politik negara dan antarabangsa.
Sudah tentulah, Kader harus memahami dan menghayati dasar perjuangan Parti dan perlu mempunyai semangat serta komitmen yang mendalam dalam perjuangan untuk membela rakyat ramai.

Dari segi praktis atau amalan pula, Kader harus dilatih dan diberikan panduan, ilmu serta alat bagi membantu mereka mengendali Parti dengan baik dan cara mana hendak menangani dengan efisien sebarang masalah yang dihadapi. Pada peringkat permulaan, calon Kader harus dihantar ke padang untuk melakukan tugas tententu bagi menyusun dan memperkasakan rakyat. Cara mereka menjalankan tugas mesti sentiasa dipantau, dari peringkat ke peringkat lebih tinggi dan lebih sulit.

Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN perlu mengadakan kursus dan latihan yang lebih sering dan tersusun. Ini boleh diadakan secara persendirian ataupun lebih baik lagi dengan kerjasama Biro Latihan. Sekarang ini Parti mempunyai sebuah Pusat yang boleh kerap digunakan untuk mengadakan kursus dan latihan.

Masalah besar ialah kewangan bagi mengongkosi kursus dan latihan itu. Ini perlu diusahakan dan Parti hendaklah memberikan perhatian berat kepada soal ini, kerana ianya penting sekali dalam proses memperkuatkan Parti. Ramai pemberi kursus dan latihan boleh didapati dari dalam dan luar Parti. Saya sendiri ingin menawarkan diri sekiranya diperlukan untuk memberi kursus dan latihan yang difikirkan sesuai.

PANDUAN IDEOLOGI

Satu faktor yang penting bagi menentukkan isi kursus atau latihan dan boleh menentukan kualiti anggota serta pimpinan dan memantapkan perpaduan organisasi dan politik Parti ialah Ideologi. Ideologi merupakan asas falasafah yang menjadi pegangan atau, jika saya dibenarkan menggunakan istilah ini, iktikad politik anggota-anggota sesebuah parti. Ideologi selalunya menjadi asas panduan bagi semua pendirian serta tindakan parti tersebut.

Memang diakui Parti kita belum lagi mempunyai apa yang boleh diangap sebagai ideologi jelas, yang menjadi pegangan bersama semua anggota. Salah satu sebabnya ialah kerana KEADILAN merupakan apa yang selalu disifatkan sebagai “rainbow parti” (atau parti pelangi). Ertinya ianya mengandungi kumpulan-kumpulan anggota yang mempunyai warna politik yang beraneka.

Parti kita mengandungi anggota-anggota yang sebelum menjadi anggota KEADILAN telahpun mempunyai latar belakang ideologi berlainan. Ada di antara mereka yang tidak mudah hendak berubah. Namun ramai juga yang tidak mempunyai apa-apa latar belakang tersebut. Mereka ini merupakan kain putih yang lebih mudah dicorakkan. Ini bergantung kepad kursus dan latihan yang diberikan.

Dalam keadaan sekarang, yang menjadi pegangan asas anggota-anggota KEADILAN dan yang harus membantu membina perpaduan politik kita ialah Dasar Perjuangan Parti. Dasar ini jelas disenaraikan dalam Fasal 5 Perlembagaan Parti. Ini terdapat dalam Dasar perjuangan ini selanjutnya dihuraikan dalam beberapa ucapan dan kenyataan yang oleh pimpinan utama Parti dari semasa ke semasa.

Kita dapat merumus dan meringkaskanintipati dari semua dasar, ucapan dan kenyataan tersebut sebagai berikut, iaitu:

Keadilan untuk semua;
Kepedulian rakyat;
Perpaduan negara-bangsa; dan
Ketinggian moral serta etika.
Keempat-empat perkara ini menjadi panduan dan pegangan pokok bagi anggota-anggota dan dan juga matlamat yang hendak dicapai dalam masyarakat hasil perjuangan Parti. Izinkan saya menghuraikannya secara ringkas saja satu demi satu.

a) Keadilan Untuk Semua:

Keadilan yang dimaksudan di sini bukan saja layanan sama dan saksama dari segi undang-undang terutama di dalam mahkamah. Perkara ini memang dijamin oleh Fasal 8 (1), Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun begitu, kita dapati pada amalannya terdapat layanan dan tidak adil dan tidak saksama di antara mereka yang berlainan darjat atau mempunyai corak perhubungan yang berbeza dengan golongan berkuasa. Ini berakibat dari Mahkamah kini sering dan mudah dipengaruhi oleh campur tangan atau tekanan dari tokoh atau golongan yang mempunyai memonopoli kuasa.
Perlu ditegaskan bahawa selain dari segi undang-undang serta kehakiman, keadilan perlu wujuddan diwujud supaya semua rakyat mendapat peluang serta layanan sama dan saksama dalam bidang-bidang lain, misalnya, ekonomi, politik, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya. Pada hakikatnya, kita dapati dari dasar dan perlaksanaan, terdapat banyak berlaku ketidakadilan dan ketidaksaksamaan dalam bidang-bidang tersebut.

Perkara ini boleh timbul oleh kerana perbezaan layanan dan kadang-kadang diskriminasi yang berpunca dari perbezaan etnik, martabat, gender dan juga hubungan politik. Pada hak, Perlembagaan Persekutuan pada Fasal 8 (2 dan 3) tidak membenarkan sebarang amalan diskriminasi.

Saya akui keadaan dan amalan diskriminasi di negara kita tidaklah seserius yang terdapat di beberapa negara lain. Namun tidak boleh dinafikan ia wujud dalam pelbagai bidang. Tidak ada asas yang kekuh mengapa harus dilanjutkan secara berterusan. Saya percaya perkara ini perlu ditinjau dan diulangkaji dari semasa ke semasa mengikut perubahan masa dan keadaan.

Berdasarkan prinsip keadilan untuk semua ini, Ketua Umum Parti Sdr Anwar Ibrahim telah mengajukan supaya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dirombak dan digantikan dengan Agenda Ekonomi Malaysia (AEM). Tanpa mengkaji alternatif yang ditawarkan dalam AEG ini, beberapa golongan Umno dan Ngo yang berpendirian perkauman sempit terus menuduh Anwar hendak menjual kepentingan Melayu. Ini fitnah yang melulu.

DEB, sebagaimana juga dengan konsep “hak istimewa orang Melayu” diperalatkan oleh Umno-Bn untuk mengaya dan menambah-kayakan segolongan kecil pemimpin sert kroni pemimpin. Mereka berbuat demikian dengan menggunakan nama Melayu. (Sebenarnya “hak istimewa” tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, yang wujud ialah “kedudukan istimewa” orang Melayu).

Walaupun ada janji dan tindakan yang pihak Umno dakwa untuk membela nasib orang Melayu, namun apa yang dilakukan untuk faedah dan kebajikan orang Melayu terbanyak masih belum memuaskan. Segolongan kecil ahli profesional dan korporat telah muncul. Segelintir dari mereka sudah menjadi kaya raya. Memang ini mungkin boleh dianggap sebagai satu kejayaan.

Namun walaupun dengan adanya DEB, “hak istimewa” dan “ketuanan” Melayu, bilangan serta jumlah kekayaan golongan bukan Bumipurta jauh lebih besar dari Bumiputra. Sebaliknya, golongan Bumiputra yang miskin dan berpendapatan kecil pula jauh lebih ramai dan tinggi peratusnya dari bukan Bumiputera. Perlu ditegaskan kita tidak menyekat sesiapa mencari kekayaan, asal saja dengan cara halal dan tidak menindas orang lain. Akan tetapi bukan ini yang kita utamakan.

b) Kepedulian Rakyat:

Kita mahu membela nasib semua golongan rakyat; kita ingin melakukan keadilan untuk semua. Selaras dengan dasar yang digariskan dalam AEM, kita ingin menekankan serta mengutamakan kepentingan, faedah dan kebajikan bagi golongan miskin serta berpendapatan rendah. Kita tidak mahu mengira sangat apakah latar balakang kaum atau kepercayaan mereka.

Kita tidak takut mengambil sikap yang tidak perkauman ini. Sebabnya mudah saja. Mengikut angka rasmi, kira-kira 58 peratus dari isi keluarga di negara ini berpendapatan kurang dari Rm2000 sebulan. Bererti, sekiranya pukul rata ada tiga orang dalam setiap keluarga bekerja, maka tiap-tiap seorang dikira berpendapatan kurang dari Rm700 seorang, iaitu di bawah garis kemiskinan yang ditentukan oleh kerajaan. Bahkan, walaupun jiklau hanya dua orang yang bekerja, pendapatan Rm1000 seorang adalah kurang dari gaji minima yang dicadangkan oleh KEADILAN.

Didapati bahawa kira-kira 58 peratus dari isi keluarga di seluruh negara berpendaptan kurang dari Rm2000 sebulan. Kira-kira 70 peratus dsri mereka ini terdiri dari Melayu/ Bumiputera. Kebanyakan mereka tinggal di desa atau kawasan pedalaman. Kadar peratusan yang lebih kurang sama juga terdapat di kalangan golongan miskin di seluruh negara. Bahkan kadar peratusan bagi Bumiputra dalam kumpulan miskin tegar adalah jauh lebih tinggi lagi dari itu.

Jikalau golongan utama yang hendak dibantu ialah golongan miskin atau berpendapatan rendah, maka dengan sendirinya mereka yang paling ramai boleh mendapat faedah darinya ialah orang Melayu/Bumiputera juga. Pada masa yang sama, dengan pendekatan terbuka serta tidak perkauman, golongan bukan Melayu yang miskin dan berpendapatan rendah juga turut diambil kira. Mereka pasti akan merasa terbela dan tidak diabaikan.

Pendekatan perkauman untuk mengutamakan Melayu/Bumiputera saja akhirnya lebih menguntungkan segelintir mereka yang kaya raya tetapi tidak menjamin kebajikan ramai mereka yang miskin. Hakikat ini dapat kita lihat berlaku dalam negara sekarang. Pada masa yang sama, ia boleh menimbulkan kekeciwaan di kalangan bukan Melayu/ Bumiputera. Rasa tidak puas hati boleh menimbulkan konflik yang pada jangka jangka panjang tidak akan membantu proses persefahaman dan perpaduan antara kaum.

Mengikut dasar AEM, bukan hanya pendekatan bukan perkauman berasaskan prinsip keadilan untuk semua saja yang ditekankan. Tidak kurang pentingnya ialah melaksanakan prinsip kepedulian rakyat. Dengan ini bererti nasib golongan miskin serta berpendapatan rendah hendaklah lebih diambil peduli, khususnya oelh pemerintah, dari golongan kaya raya yang menjadi pucuk pimpinan negara dan juga ramai kroni dan suku-sakat mereka.

Oleh kerana itu, untuk membantu, menolong dan membela golongan miskin serta berpendapatan rendah, yang majoritinya terdiri dari Melayu/Bumiputera, perlu wujud keazaman politik untuk mengubah, bahkan menebalikknan, keadaan. Dalam keadaan yang hendak diterbalikkan ini, perlulah dalam dasar dan perlaksanaan di semua bidang – misalnya ekonomi, pendidikan, kesihatan, perumahan dll. - diambil peduli atau diambil berat nasib golongan miskin serta berpendapatan rendah itu.

Untuk mencapai matlamat ini beberapa hal boleh dilakukan. Antaranya ialah: (a) memastikan sumber kekayaan negara, umpamanya tanah serta kayu-kayan, hendaklah diagihkan lebih kepada golongan miskin serta berpendapatan rendah secara sendirian dan melalui syarikat ataupun kooperatif , (b) memastikan pengagihan kekayaan negara yang lebih adil dengan menaikkan gaji atau upahan bagi golongan miskin serta berpendapatan rendah dan mengawal kenaikan harga barang-barang keperluan, dan (c) memberi peruntunkan yang jauh labih besar bagi menyediakan kemudahan sosial seperti pendidikan, kesihat dan perumahan yang mudah serta murah untuk golongan miskin serta berpendapatan rendah.
.
c) Perpaduan Negara-Bangsa:

Akibat dari pelbagai dasar penjajahan, masyarakat negara kita bersifat majmuk, terdiri dari pelbagai kaum. Kaum-kaum yang berasal dari negara-negara berlainan membawa bersama mereka bahasa, budaya serta kepercayaan yang memisahkan. Mereka dipisahkan pula lagi dalam aktiviti dan sektor ekonomi atau pekerjaan di dalam kawasan yang berasingan. Mereka juga tidak disatukan dalam sistem atau insitusi yang berkaitan dengan pemerintahan dan pendidikan, umpamanya.

Garis-garis pemisahan kaum ini masih wujud kini, walaupun terdapat banyak perubahan yang positif. Misalnya, golongan anak muda yang boleh bertutur dalam bahasa Malaysia lebih ramai. Akan tetapi, soal bahasa yang sepatutnya boleh memudahkan perhubungan dan persefahaman, acapkali menjadi punca pertikaian dan ketegangan pula. Terdapat lebih banyak interaksi yang melibatkan pasaran dan tempat pekerjaan yang sama. Akan tetapi masih kuat juga rasa saling diketepikan atau didiskriminasi (misalnya dalam bidang perniagaan yang didominasi Cina dan pentadbiran yang dikuasai Melayu).

Golongan pertengahan semakin besar. Mereka mempunyai sikap dan cara hidup yang bertambah serupa di antara satu sama lain. Sepatutnya ini boleh menggalak dan memberikan asas persefahaman yang kuat bagi menjana perpaduan nasional. Akan tetapi malangnya kita dapati di kalangan golongan pertengahan inilah paling banyak bibit-bibit persaingan dan perselisihan yang boleh menyebabkan pertentangan kaum.

Setelah lebih 50 tahun Merdeka, agenda perpaduan negara masih lagi samar-samar dan jauh dari berjaya. Alhamdulillah tidak berlaku pergauhan kaum yang mengancam. Akan tetapi ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa punca-punca perpecahan bertambah kuat dan ketara. Sebelum Pilihanraya ke-12 pada 8 Mac 2008, memang selalulah parti-parti pemerintah, terutama sekali Umno menggunakan isu kaum untuk menakut-nakutkan rakyat bagi mendapatkan sokongan.

Selepas pilihanraya tersebut, para pemimpin utama Umno dan kerajaan, jikalau tidak menggalakkan sekurang-kurangnya tidak menyekat golongan perkauman dan jumud di kalangan mereka menimbulkan isu-isu lain. Maka diperalatkanlah isu pemberian tanah, isu pembukaan ladang khinzir, isu raja, isu Allah, isu DEB untuk menarik kembali sokongan Melayu/ Bumiputera kepada Umno-BN yang temakin terjejas ekoran kejayaan Pakatan menafikan mereka majoriti dua-pertiga dalam Parlimen.

Ramai pemimpin Umno di pelbagai peringkat dan kawasan menggunakan media yang mereka kuasai untk menyebarkan dakyah dan fitnah bahawa kerajaan, pemimpin dan PAKATAN kononnya “menggadai orang Melayu”, “membela kepentingan Cina”, “diperalatkan oleh DAP” dan mamcam-macam lagi. Mereka mengadakan tunjuk perasaan yang semacam digalakkan kerana biasanya tidak dikenakan tindakan polis.

Gerakan yang dipelopori anggota-anggota Umno ini tidak mendapat sokongan. Lalu timbul pula badan-badan yang menggelar diri sebagai Ngo, yang menjeritkan suara sumbang bercorak perkauman sempit dan sudah ketinggalan zaman. Badan ini mendakwa diri mereka bebas, akan tetapi jelas tanpa bersuluh bahawa mereka melanjutkan agenda dan usaha menggunakan isu-isu perkauman yang boleh menarik pengundi-pengundi Melayu kepada Umno. Ramai pemimpin dan ahli badan ini dikenali sebagai ahli Umno.

Nyata sekali bahawa dasar “pecah-pecah dan perintah” yang luas digunakan oleh pihak penjajah dulu terus digunakan oleh para pemimpin Umno sekarang untuk mengembalikan kekuatan diri serta parti mereka. Mereka meneriakkan slogan “1Malaysia”. Akan tetapi dalam masa yang sama mereka membenar dan menggalakkan media milik mereka membakar api perkauman. Api ini dibakar juga oleh ahli-ahli Umno, dengan bantuan pegawai-pegawai cawangan khas, dalam pilihan-pilihan raya kebelakangan ini.

Teriakan slogan ini juga berbunyi sebagai tong kosong oleh kerana perpaduan dan integrasi wilayah pun tidak wujud. Bagaimanakah dalam negara yang satu boleh wujud sekatan-sekatan imigresen dan pengharaman sesetengah warga negara untuk memasuki wilayah negerinya? Mengapakah wujud peraturan yang boleh membenarkan seseorang warga negara diharamkan masuk dan dihalau keluar? Kita lihat bahawa Sabah dan Sarawak seolah-olah masih belum terangkum sepenuhnya ke dalam entiti yang digelar Malaysia. Di manakah terletaknya “1Malaysia”? Nyatalah cakap tidak serupa bikin.

d) Ketinggian Moral dan Etika:

Sekarang ini begitu banyak sekali bukti yang kita dengar dan lihat mengenai berbagai-bagai masalah sosial yang membuktikan keruntuhan moral dan etika meluas berlaku dalam masyarakat. Peningkatan bermacam-macam maksiat dan jenayah sangat membimbang bahkan mengerikan. Sebut apa saja: dari ragut, rompak, bunuh, culik kanak-kanak, membawa kepada pengambilan dadah, bersekedudukan, seks luar nikah, rogol dan buang atau bunuh bayi, sehinggalah kepada penipuan dan korupsi. Semua ada.

Kita perlu sebut juga tentang hal-hal seperti penyelewengan pemerintahan, gila kuasa sesetengah pemimpin, dan penghakisan wibawa serta keyakinan terhadap institusi-institusi penting seperti mahkamah, polis, SPRM, SPR dan media. Mereka ini sering dianggap sebagai tidak profesional, berat sebelah dan semakin bergelumang dengan pelbagai jenis korupsi.

Sesetengah orang menuding jari ke arah anak-anak muda saja sebagai yang terlibat dengan maksiat dan jenayah. Ini mungkin kerana mereka melihat hanya sebahagian daripadanya saja. Pada hal mengikut hakikatnya, manakala kita lihat keadaan secara keseluruhan, didapati tidak kurang pula orang dewasa bahkan orang tua yang tercebur ke dalam segala maksiat dan jenayah ini. Yang menyedihkan ialah mengikut laporan media dan polis, sebahagian besar dari mereka yang terjerumus ke dalam lembah maksiat dan jenayah ini ialah orang Melayu yang kita tahu rata-rata beragama Islam.

Kedengaran bermacam-macam janji para pemimpin besar pemerintah untuk menghapus atau sekurang-kurangnya mengawal pelbagai jenis jenyayah dan maksiat, yang sudah tentu membimbangkan mereka juga. Malangnya janji-janji lebih merupaka retorika belaka tanpa disusuli dengan tindakan tegas dan berkesan. Cuba kita ambil satu contoh saja, iaitu rasuah atau korupsi.

Rasuah atau korupsi merupakan penyakit kronik di kalangan pelbagai golongan dan lapisan masyarakat, dari polis, pegawai tinggi kerajaan sehinggalah kepada pemimpin besar politik. Penyakit ini boleh menjejas keutuhan ekonomi serta politik negara dan menyulitkan kehidupan rakyat. Masalah korupsi yang kita hadapi masih serius; ironinya ialah semakin nyaring suara pemimpin hendak menghapuskannya, semakin parah ia menjadi.

Seperti di banyak negara lain, di negara kita ini semakin tinggi kedudukan serta kuasa seseorang, semakin besar serta teruk korupsi mereka. Perbuatan mereka yang tidak bermoral dan tidak beretika ini susah dikesan, oleh kerana mereka berjaya menjadikan amalan korupsi itu suatu seni yang tersembunyi. Jikalau dapat dikesan pun, jarang badan-badan berkenaan berani atau berupaya mengambil tindakan. Itulah sebabnya ikan-ikan seluang selalu diperangkap, akan tetapi ikan-ikan jerung yang ganas lepas bebas.

Sebenarnya, bukan saja penerima bahkan pemberi rasuah harus diambil tindakan. Andainya tindakan tegas dan telus tidak diambil terhadap ikan-akan jerung itu, selagi itulah rasuah bewaran tidak akan dapat diatasi. Begitu juga selagi tidak ditanam sikap menganggap korupsi itu sebagai najis yang jijik dan patut dibersihkan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara, selama itulah ia tidak akan dapat dibasmi dengan penuh kejayaan.

Faktor yang paling mempersulitkan usaha hendak menghapuskan korupsi adalah: antara mereka yang paling korup ialah pucuk pimpinan pemerintah yang sentiasa beretorika hendak menghapuskannya. Siapakah yang mampu dan berani bertindak terhadap mereka? Adakah mungkin timbul sendiri di kalangan mereka keinsafan dan kesedaran terhadap nilai-nilai moral dan etika yang diajar oleh setiap agama? Adakah boleh diharapkan agar mereka membersihkan diri dari amalan rasuah dan korupsi?

Akirnya, perang menentang korupsi dan rasuah itu mesti dipimpin oleh tokoh-tokoh kuat beragama dan mempunyai nilai serta etika yang luhur. Begitu juga dengan syarat untuk memerangi semua atau kebanyakan dari maksiat dan jenayah yang melanda masyarakat hari ini. Maka itulah perlu perubahan kuasa dan pimpinan kerajaan yang mengganti mereka yang tidak mempunyai nilai moral dan etika yang tinggi. Kita memerlukan pimpinan negara yang berpegang teguh kepada ajaran “amar maaruf nahi munkar”.

CABARAN UNTUK WANITA DAN AMK

Wanita dan Angkatan Muda merupakan sayap-sayap penting bagi KEADILAN. Kedua-dua sayap ini harus kuat dan kukuh supaya Parti boleh dibawa dengan jayanya menuju lemuncak kemenangan untuk menegakkan keadilan. Matlamat menegakkan keadilan dan menentang kezaliman memang menjadi perjuangan rakyat sepanjang zaman. Ia juga selaras dengan prinsip yang terdapat pada agama-agama besar. Islam mengajar penganutnya mentaati seruan “menegakkan keadilan dan ihsan” (InnalLaha ya’muruna bil adl wal ihsan).

Dalam perjalanan untuk menuju kemenangan ini banyak masalah luaran dan dalam yang kita harus hadapi.

Dari luar kita diserang bertubi-tubi oleh para pemimpin Umno-Bn. Tanpa segan silu dan tanpa merasa bersalah, mereka memperalatkan kuasa ekonomi serta politik yang mereka monopoli untuk menyerang kita. Mereka salahguna segala jentera serta jabatan di bawah kekuasaan dan pengaruh mereka. Seterusnya, mereka memperalatkan juga sepenuh-penuhnya media cetak serta elektronik di bawah pengaruh mereka. Tujuan mereka untuk memburuk-burukkan dan menabur fitnah terhadap kerajaan pimpinan kita, parti kita, pemimpin kita dan perjuangan kita. Mereka bermimpi hendak menumpaskan kita.

Dari segi dalaman pula kita sendiri mempunyai beberapa masalah dan kelemahan. Sebahagian organisasi kita belum mantap, sesetengah pimpinan dan wakil rakyat kurang turun padang. Seterusnya ramai anggota bahkan “pimpinan” tidak menghormati atau mematuhi disiplin. Parti kurang mengadakan bengkel serta latihan untuk menguatkan perpaduan organisasi serta politik Parti dan menimbulkan kader. Segala masalah dan kelemahan perlu segera dikenalpasti dan diatasi.

Wanita dan Angkatan Muda harus lebih aktif lagi memberikan penerangan kepada semua anggota tentang pelbagai isu yang melibatkan Parti, rakyat dan negara. Saudara saudari perlu cekap menangkis segala propaganda hitam dari parti lawan. Saudara saudari perlu meningkatkan bengkel dan latihan untuk mengeluarkan lebih ramai kader. Lebih penting lagi, Wanita dan Angkatan Muda perlu merancangkan dan menjalankan pelbagai kegiatan yang harus dilakukan di kalangan masyarakat, terutama yang miskin serta bependapatan rendah untuk membantu dan memperkasakan mereka. Golongan professional dan pelajar juga hendaklah dirapati dan jika perlu disusun.

Setiap pemimpin dan seberapa ramai anggota Wanita dan AMK hendaklah mengetahui dan menghayati dasar perjuangan Parti. Segala kegiatan dan tindakan Parti hendaklah berlandaskan dasar perjuangan tersebut. Segala langkah yang perlu hendaklah diambil bagi meningkatkan taraf pemimpin dan mengeluarkan segolongan kader yang sentiasa boleh bergerak di barisan hadapan Parti. Seterusnya, semua pemimpin dan kader Parti seboleh-bolehnya hendaklah mengkebalkan diri dengan nilai moral dan etika yang luhur, berlandaskan agama atau kepercayaaan masing-masing. Saudari serta saudara harus dihormati dan menjadi contoh yang baik dalam Parti dan di kalangan masyarakat.

Wanita dan AMK perlu menjalankan segala usaha supaya anggota bermutu tinggi, pemimpin serta kader dihormati dan dicontohi, Parti kuat dan mantap. Apabila dalaman Parti sudah diperkukuhkan, sudah tentulah lebih mudah dan berkesan untuk kita menangkis dan menepis segala serangan dan cabaran dari luar. Oleh kerana Wanita dan Angkatan Muda merupakan sayap yang penting dan besar peranannya, maka usaha-usaha untuk memperkasakan Parti hendaklah segera dipelopori dan dilaksanakan berpanjangan olehnya. Seubungan ini tindakan tegas dan berani mesti diambil terhadap anasir-anasir perosak dalam Wanita dan AMK.

Saya sudah sampai kepada penghujung ucapan. Baiklah saya akhirinya dengan tiga rangkap pantun yang sempat saya cipta, seperti berikut:

Dari Perlis hingga ke Sabah,
Bumi dipijak langit dijunjung;
Mari bergerak dengan tabah,
Berasas Dasar yang kita sanjung
Wakil Parti seluruh negara,
Datang berkongres di negeri Kelantan;
Ayuh saudari serta saudara,
Bina KEADILAN serta PAKATAN.
Wanita serta Angkatan Muda
Sayap Parti gagah perkasa
Di mana saja kita berada
Perjuang keadilan setiap masa.

Akhirul kalam, dengan ucapan Bismillahir Rahmanir Rahim, saya rasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Reformasi!
Hidup Keadilan!
Hidup Rakyat!
Kota Bharu
27hb Mei 2010

No comments:

Post a Comment