1. Hari ini ialah hari terakhir saya membahaskan Belanjawan, kerana
minggu depan akan tamatlah perkhidmatan saya dalam Dewan Negara yang mulia ini.
Sebelum saya memulakan bahasan, izinkan saya merakamkan dulu dua perkara.
2.
Pertama, dalam ucapan saya yang
pertama dalam Dewan ini kira-kira enam tahun lalu, saya telah menekankan betapa
pentingnya diadakan reformasi atau perubahan dalam Dewan ini. Saya tidak
berhajat untuk mengulangi kesemua butirannya, akan tetapi saya hanya ingin
mengingatkan satu perkara yang berkaitan dengan keanggotaan Dewan Negara.
3.
Saya telah mengesyorkan agar anggota
Dewan yang mewakili tiap-tiap negeri ditambah kepada tiga orang, terdiri
daripada dua orang yang dipilih oleh pengundi yang layak dalam setiap negeri
dan seorang yang dilantik oleh Dewan Undangan Negeri itu. Perubahan ini
bertujuan untuk lebih mengimbangkan bilangan anggota yang mewakili semua negeri
dengan yang dilantik oleh DYMM Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana
Menteri. Perlembagaan Persekutuan membenarkan perubahan seperti ini dibuat.
4.
Sebenarnya reformasi Parlimen
diperlukan secara keseluruhannya, bukan saja untuk Dewan Negara, bahkan
meliputi juga untuk Dewan Rakyat. Yang Dipertua Dewan Rakyat pernah menyatakan
bahawa Reformasi Parlimen adalah perlu. Saya ingin menggesa supaya bentuk reform
ini dikaji dan dilaksanakan seberapa segera.
5.
Kedua, kita semua maklum bahawa
setiap anggota Parlimen diberikan satu AP bagi satu penggal. Dari mula saya
telah menulis surat kepada pihak berkenaan dan juga kepada pihak pengurusan
Dewan Negara menyatakan saya menolaknya. Saya anggap ia bertentangan dengan
prinsip saya tidak bersetuju dengan sistem AP yang selalunya diberikan kepada
kroni-kroni dan pihak lain yang terpilih.
6.
Saya memohon agar AP yang
diperuntukkan bagi saya itu digunakan untuk diberi kepada pegawai yang
berkhidmat dalam Parlimen, dipilih atas dasar kecemerlangan perkhidmatannya.
Saya memohon agar perkara ini dapat dipertimbang untuk pelaksanaan.
PERMULAAN:
MENENTANG GST
7.
Sekarang saya mulakan membahas
Belanjawan 2016 ini. Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri waktu
membentangkan belanjawan memulakannya dengan membicara tentang GST. Beliau
mendakwa Kerajaan telah mengambil tindakan bijak memperkenalkan GST, kerana
jikalau tidak defisit yang ditanggung Kerajaan akan lebih besar lagi.
8.
Beliau mendakwa lagi kononnya kami
dari Pakatan Harapan juga sudah menyedari tentang kebaikan GST itu dengan
menyokongnya dalam Belanjawan Alternatif Pakatan. Dakwaan ini sebenarnya
dongeng Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan semata-mata. Nampaknya beliau mempercayai
dongeng sendiri dan mahu meyakinkan pak-pak turutnya.
9.
Sebenarnya, jikalau YAB Menteri
Kewangan telah membaca Belanjawan Alternatif kami, beliau tidak memahami
ataupun memilih untuk tidak mahu memahaminya.
Kami dengan jelas menuntut dilaksanakan kadar sifar bagi semua barang.
Ertinya kami menolak kadar sifar bagi sebilangan barang saja, sebagaimana
dilakukan oleh Kerajaan. Lebih tegas lagi kami tetap menentang GST dan tidak
mahu ia dilaksanakan.
10. Kenapa?
Sebagaimana yang selalu kami tekankan, GST ini merupakan bentuk cukai yang
regresif. Sama banyak kadarnya dikenakan ke atas yang miskin dengan yang kaya,
yang susah dengan yang senang. Akan tetapi sudah tentulah beban sebenarnya lebih
berat ke atas mereka yang miskin dan susah. Sekiranya kadar GST ini dinaikkan
lagi, dan ini mungkin berlaku satu masa nanti, tentulah bebanannya lebih berat lagi
ke atas golongan lemah ini.
11. Tak
payahlah kita ulang-ulang bahawa akibat daripada GST, rakyat miskin dan susah
semakin menderita kerana beban harga barang keperluan bertambah meningkat.
Keadaan ini ditambah pula dengan harga minyak yang tinggi, walaupun harganya di
pasaran dunia semakin rendah, dan juga nilai ringgit yang kian merosot sehingga
mengakibatkan barang-barang import yang diperlukan rakyat ramai bertambah naik
harganya. Selain itu kadar tol dan tambang ERL dan LRT semakin meningkat.
12. Itu sebabnya golongan miskin dan susah di
bandar dan lebih-lebih lagi di desa merintih dan bahkan menentang keadaan harga
barang keperluan yang bertambah tinggi, sehingga kadang-kadang di luar kemampuan
mereka. Tidak kurang pula peniaga-peniaga kecil serta sederhana yang
menentangnya. Ada pula perniagaan yang dilaporkan terpaksa ditutup dan ada juga
peniaga yang membunuh diri.
13. Tentu
ada yang dari sebelah sana akan bertanya secara sinis: Jikalau awak menolak GST
bagaimanakah hendak menangani masalah defisit
yang besar? Jawabnya mudah. Kita perlu melaksanakan cukai-cukai yang berbentuk
progresif, yang lebih berat bebanannya ke atas golongan kaya dan senang. Kita
boleh meneruskan cukai SST (cukai jualan dan perkhidmatan).
14. Selain
itu kita boleh memperkenalkan, dengan izin, Profit Gains Tax (cukai atas laba
dari harta). Lebih penting lagi kita perlu berazam mengatasi masalah korupsi
dan pembaziran, untuk menyelamatkan berbilion-bilion ringgit wang rakyat. Semua
ini boleh dilaksanakan untuk mengutip lebih banyak lagi daripada cukai GST
tanpa membebani golongan miskin dan susah.
1MDB
DAN DERMA 2.6 BILLION
15. Begitu
banyak persoalan ditimbulkan oleh pelbagai pihak di dalam dan di luar negara
mengenai 1MDB dan wang sebanyak RM2.6 bilion yang telah dimasukkan ke dalam
akaun pribadi Perdana Mentri Najib Razak. Akan tetapi, tidak sepatahpun
disentuh mengenai perkara ini dalam Ucapan Belanjawan Menteri Kewangan merangkap
Perdana Mentri.
16. Ada
pihak yang menyatakan bahawa kedua-dua perkara ini tidak ada kaitannya dengan
belanjawan. Mengapa tidak? Bukankah modal permulaan 1MDB sebanyak RM1 juta
telah disediakan oleh Kerajaan? Bukakankan Perdana Menteri sendiri adalah
Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB? Bukankah 1 MDB mempunyai hutang yang banyak
dan perlu dijelaskan dengan terang sama
ada wujud atau tidak wang kerajaan, atau lebih tepat wang rakyat, yang digunakan
untuk melunaskan sebahagian daripada hutang itu?
17. Mengenai
wang RM2.6 bilion itu, mula-mulanya akhbar dan media internet luar negara yang
berwibawa mendakwa bahawa wang yang banyak itu berpunca daripada 1MDB. Bahkan
didakwa juga bahawa wang hampir sebanyak itu juga telah disalurkan kepada
seorang pedagang Cina yang mempunyai
hubungan rapat dengan keluarga Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, iaitu
Jho Low. Beliau sekarang di luar negara dan tidak diketahui di mana, walaupun
baru-baru ini diberitakan beliau telah dapat di”interview” oleh SPRM.
18. Buat
beberapa waktu wang RM2.6 bilion tidak dijelaskan oleh Perdana Menteri
merangkap Menteri Kewangan dari mana datangnya. Selepas kira-kira sebulan
baharulah dinyatakan ia merupakan derma daripada seorang kaya dari Timur Tengah.
Derma itu dikatakan untuk parti pemerintah, sudah tentulah UMNO, akan tetapi
tidak diketahui siapa dan untuk tujuan apa wang sebanyak itu diberi. Jikalau
untuk parti, mengapakah wang dimasukkan ke dalam akaun pribadi Najib Abdul
Razak?
19. Tambahan
kepada RM2.6 bilion ini, wang sebanyak RM42 juta daripada SRC International
telah juga dimasukkan melalui syarikat Ihsan Perdana ke dalam akaun pribadi
Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri. Berhubung semua peristiwa ini bukan
saja Jho Low, akan tetapi empat orang pegawai Bank Negara dan SRC telah
menghilankan diri, mungkin ke luar negara. Kenapa dan daripada apa mereka lari?
Jikalau tiada kesalahan yang mereka lakukan, takkanlah mereka menghilangkan
diri. Lagi pula tentu mereka mempunyai sumber yang banyak untuk menanggung
mereka di tempat pelarian. Dari mana datangnya?
20. Selain
itu khabarnya sebelum sempat pendakwaan mahkamah terhadap salah laku oleh
pembesar tertentu yang terlibat, beberapa tindakanan diambil untuk memastikan
dakwaan ini dapat digagalkan. Peguam Negara dilucutkan daripada jawatannya dan
digantikan dengan seorang kroni, perombakan kabinet dibuat dan empat orang ahli
Jawatankuasa Akaun, yang sedang menjalankan siasatan diangkat menjadi Menteri
dan Timbalan Menteri, dan dengan demikian kerja jawatankuasa ini terbantut. Dua
orang pegawai SPRM yang sedang melakukan siasastan dipindahkan sekejap ke
Jabatan Perdana Menteri. Seorang timbalan pengarah Cawangan Khas juga
dipindahkan. Sekarang ini timbul pula skandal baru berkaitan pembunuhan kejam Kevin
Morais, yang dituduh melibatkan pihak tertinggi yang sama.
21. Kesemua
persoalan ini perlu disiasat. Lebih-lebih lagi dengan wang RM2.6 bilion yang
dikatakan derma yang dimasukkan ke dalam akaun pribadi Perdana Menteri
merangkap Menteri Kewangan itu. Dimanakah wang itu sekarang? Di Kuala Lumpur? Di Singapura?
Di Cayman Islands? Atau di mana? Soalan ini belum terjawab. Jikalau sebahagian
daripadanya telah digunakan, untuk apakah ia digunakan? Kesemua ini bukanlah
persoalan yang baru, bahkan telah dikemukakan berulang-ulang oleh pelbagai
pihak.
22. Baru-baru
ini Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan berjanji akan memberi penjelasan
tentang wang RM2.6 bilion itu pada hari akihir sidang Dewan Rakyat. Akan
tetapi, pada saat akhir beliau kecut dan Timbalan Perdana Menteri dibenarkan
menjawab bagi pihaknya. Malangnya TPM berucap hanya selama tiga minit dan tidak
memberi jawapan seperlunya. Memang benar kerajaan membenarkan parti-parti
politik menerima wang derma untuk kegiatannya. Akan tetapi mereka diperlukan
memberi akaun lengkap yang telah diaudit. Adakah PM Najib Tun Razak atau UMNO
telah berbuat demikian?
23. Soal
wang “derma” sebanyak RM2.6 bilion dan RM42 juta itu perlu dijawab secara jelas, muktamad dan
bertanggungjawab. Saya berpendapat ketika terbaik sekali untuk memberi jawapan
ini ialah semasa Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri membentangkan
ucapan belanjawan. Mengapa hendak bersembunyi? Bukankah tidak bijak hendak
menutup bangkai gajah besar dengan nyiru kecil? Semua yang terlibat hendaklah disiasat
dan dihadapkan ke mahkamah. Jika sabit
bersalah, mereka hendaklah dihukum dengan setimpal, tidak kira apa kedudukan
atau pangkatnya.
PERUNTUKAN
BERAT SEBELAH
24. Pengurusan dan Pembangunan: Mengikut
Belanjawan 2016, jumlah peruntukan seluruhnya ialah sebanyak RM267.2 berbanding
dengan RM260.7 peruntukan dipinda 2015. Daripada jumlah tersebut RM215.2 bilion
ialah untuk perbelanjaan Pengurusan, manakala RM52 bilion ialah untuk
Pembangunan. Ertinya, cuma kira-kira 19 peratus daripada seluruh Belanjawan 2016
diperuntukkan bagi Pembangunan dan lebih kurang 81 peratus untuk Pengurusan.
25. Kadar
peruntukan Belanjawan 2016 seluruh
negara bagi Pembangunan ini tersangat rendah, berbanding dengan Belanjawan 2016 Negeri Selangor, yang memperuntuk lebih
kurang sama banyak di antara Pengurusan dengan Pembangunan. Sebagai negara
membangun yang ingin mencapai taraf negara maju menjelang 2020, sepatutnya
kadar yang lebih tinggi diperuntukkan bagi Pembangunan dalam Belanjawan 2016.
26. Defisit: Selama 18
tahun, semenjak Anwar Ibrahim disingkir daripada jawatannya sebagai Timbalan
Perdana Menteri dan Mentri Kewangan, Belanjawan Negara mencatatkan defisit.
Sepatutnya dalam keadaan ekonomi negara yang baik boleh dicapai belanjawan
lebihan (surplus) dan dalam ekonomi negara buruk barulah dikemukakan belanjawan
defisit. Akan tetapi selama 18 tahun
lalu, setiap belanjawan yang dibentang menunjukkan defisit saja.
27. Menteri
Kewangan dalam ucapannya membentang Belanjawan 2016 menyatakan kegembirannya
kerana mencatat defisit sebanyak 3.1 peratus. Malangnya angka ini boleh dikatakan palsu. Kenapa?
Sebabnya ialah di setiap tahun kita melihat bekalan tambahan dikemukakan, bukan
saja sekali bahkan dua kali. Saya percaya dalam 2016 nanti tentu akan
dikemukakan bekalan tambahan. Bermakna jumlah dan kadar defisit akan bertambah
lagi.
28. Pemotongan Peruntukan: Kita lihat tadi
bahawa belanjawan 2016 lebih sedikit saja daripada belanjawan 2016. Akan tetapi
peruntukan bagi kementerian-kementrian tidak selaras, ada yang mendapat
tambahan besar dan ada pula yang dipotong dengan banyak. Di antara kementrian
yang mendapat peruntukan lebih besar ialah: Kementrian Teknologi dan Innovasi;
Kementrian Wilayah Persekutuan; dan Kementrian Kommunikasi dan Multimedia.
Segala penambahan tidaklah begitu besar, dalam kira-kira 10 peratus.
29. Antara
Kementrian yang dipotong peruntukannya ialah: Kementrian Perusahaan dan
Perladangan; Kementrian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi danPenggunaan;
Kementrian Pengangkutan; Kementrian Tenaga Teknologi Hijau dan Air; Kementrian
Pelancongan dan Kebudayaan; Kementrian Kesihatan; Kementrian Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementrian Sumber Manusia; Kementrian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementrian Dalam Negeri; dan
Kementrian Pendidikan Tinggi. Secara perbanding pemotongan bagi kementrian ini
lebih besar jumlah serta kadarnya daripada penambahan yang diperolehi
kementrian-kementrian yang disebutkan tadi.
30. Ada
beberapa jabatan yang juga dipotong peruntukannya dengan banyak. Antaranya
ialah: SPRM sebanyak RM42.5 juta aratu 14.4 peratus; Institut Integriti
sebanyak RM5.7 juta atau 48.7 peratus dan Suhakam sebanyak RM5.4 juta atau 49.9
peratus. Saya ingin tahu: apakah asas pemotongan peruntukan bagi
kementrian-kementrian dan jabatan-jabatan tersebut? Nampaknya semua jabatan dan
sebahagian besar kementrian yang dipotong peruntukan itu adalah penting-belaka
bagi memperbaiki kebajikan rakyat dan bagi melawan korupsi serta mempertahan
hak asasi. Saya ingin bertanya: Apakah keutamaan Kerajaan Umno-Bn?
31. Peruntukan Rendah Untuk Pertanian dan
Desa: Saya
telah berulangkali menyatakan tidak puas hati oleh kerana peruntukan belanjawan
untk pertanian dan masyarakat tani yang secara perbandingannya adalah kecil.
Jumlah peruntukan bagi Kementrian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementrian
Pertanian dan Industri Asas Tani, dan Kementrian Perladangan dan Kommoditi
ialah RM16.9 bilion pada 2016. Jumlah
ini lebih kecil berbanding RM18.3 bilion untuk 2015. Sudahlah peruntukannya
kecil, bertambah merosot pula. Golongan petani di desa dan apatah lagi kawasan
pendalaman adalah antara yang paling ramai termiskin. Majoriti mereka terdiri
daripada golongan Melayu dan Bumiputra. Tidakkah kita mahu memberikan keutamaan
kepada mereka?
32. Kenapakah
peruntukan bagi Jabatan Perdana Menteri lebih besar daripada seluruh peruntukan
bagi ketiga-tiga kementrian ini. Saya mohon mendapat perincian perbelanjaan
bagi tiap-tiap item (mengikut tajuknya) daripada jumlah besar peruntukan
Jabatan Perdana Mentri itu. Adakah yang diberi untuk pebangunan masyakat desa
dan pedalaman? Kalau ada kenapakah tidak di masukkan di bawah salah satu
daripada tiga kementrian yang disebutkan di atas?
33. Masyarakat
desa dan pedalaman menumpu kepada aktiviti pertanian, terutama sekali bersawah
padi, mengusahakan kebun kecil getah, kelapa sawit dan buah-buahan. Kini hasil
pertanian semakin kecil dari segi KDNK. Tanah semakin kurang dikerjakan. Bahkan
kita lihat lebih banyak kawasan tanah terbiar. Seterusnya harga keluaran
pertanian tidak stabil bahkan turun naik mengikut pasaran antarabangsa, dan ada
kala harganya tersangat rendah.
34. Padi
terutama sekali memberikan pendapatan yang kecil bagi petani. Kebanyakan sawah
dikerjakan hanya sekali semusim. Perlu diberikan bantuan dan galakan supaya
pewawah mengerjakannya bukan sekali akan tetapi dua kali, seperti dilakukan
oleh kebanyakan sawah yang dikerjakan pesawah Cina di Tanjung Karang. Selain
itu perlulah kerajaan memberi bantuan teknologi dan baja supaya para pewawah
boleh meningkatkan produktiviti mereka.
35. Tidak
begitu bijak sekiranya harga beras dinaikkan untuk menambah pendapatan petani
padi, kerana ia akan mengakibatkan beban yang lebih berat kepada golongan miskin
dan berpendapatan rendah di desa dan juga di bandar. Oleh kerana itu subsidi
atau bantuan pendapatan hendaklah diberikan terus kepada petani-petani padi
sendiri dan jangan kepada kilang-kilang dan syarikat-syarikat yang dimiliki
golongan berada dan kroni-kroni besar yang menguasai industri pertanian padi.
36. Apakah
yang boleh dibuat untuk memperbaiki harga buah-buahan waktu musim jelak yang
berlebihan. Saya fikir usaha hendaklah dijalankan oleh lembaga atau syarikat
koperasi yang disokong kuat oleh pemerintah. Lembaga dan syarikat ini boleh
diberikan tanggungjawab untuk membeli buahan supaya tidak berlambak tidak laku,
dengan mengetinnya atau menjualnya ke luar negara. Sekarang ini ada buahan yang
dijual melalui Singapura terutama sekali. Syarikat dan koperasi negara kita sendiri harus
mengambil alih urusan penjualan ini.
37. Mengenai
harga getah dan kelapa sawit yang tidak stabil dan menjejas pendapatan
pekebun-pekebun kecil akbibat pengaruh pasaran dunia, usaha hendaklah
dijalankan supaya kesan buruk pasaran dunia itu tidak sampai menjejas pekebun-pekebun
kecil. Satu caranya ialah dengan membentuk lembaga penimbal yang boleh
menyimpan stok untuk menstabilkan harga. Pada masa harga pasaran dunia turun,
lembaga ini hendaklah membeli getah dan kelapa sawit dengan harga lebih baik
dan menyimpan bahan-bahan itu di pusat penimbal. Kemudian, manakala harga di
pasaran dunia meningkat tinggi, maka dilepaskan sedikit stok itu supaya dengan
bekalan bertambah harga akan dapat diturunkan. Dengan demikian pendapatan pekebun-pekebun
kecil dapat dilindungi daripada akbibat pasaran dunia yang tidak stabil.
38. Di negara
ini kita sudah lama dan masih banyak bergantung kepada import bahan-bahan
pertanian yang diperlukan. Misalnya, sekarang ini negara kita mengeluarkan hanya
70-75 peratus daripada seluruh keperluan
beras negara. Kerajan merancang dan menjangkakan kita akan mencapai tahap sara
diri (self-sufficiency) pada 2020. Memandangkan apa yang sedang berlaku dalam
usaha pertanian padi kini, saya kurang yakin matlamat ini akan dicapai.
39. Kekurangan
bekalan daging lebih teruk. Kita memerlukan 200,000 hingga 250,000 ton metrik daging. Akan tetapi
seluruh negara berupaya mengeluarkan hanya kira-kira 50 ton metrik. Banyak yang
kita perlukan, bukan saja daging akan tetapi juga susu, mentega dan
buah-buahan. Seharusnya pemerintah
menggalakkan industri menternak lembu dan usaha mengeluarkan susu dan mentega.
Akan tetapi hendaklah diadakan pengawalan dan pemantauan yang ketat supaya
tidak berulang pengalaman buruk menyalah gunakan berjuta-juta ringgit untuk
kepentingan diri dan keluarga.
40. Ada
dua sebab besar mengapa perlu dicapai tahap sara diri dalam pengeluaran beras,
daging dan susu itu. Dari segi keselamatan, adalah tidak selamat untuk sesebuah
negara bergantung banyak kepada import dari negara lain kerana ini boleh
menimbulkan masalah besar, tertutama sekali dalam keadaan bergolak atau tidak
aman. Dari segi ekonomi pula, ia mengakibatkan pengaliran keluar wang yang
banyak, yang boleh menjejas ekonomi negara. Tambahan lagi manakala nilai wang
negara merosot turun, seperti yang berlaku sekarang ini, harga harang import naik,
dan ini lebih berat membebankan rakyat berpendapatan rendah.
MASALAH
PENDIDIKAN
41. Sistem
pendidikan kebangsaan sekarang ini sedang menghadapi krisis yang serius.
Mutunya semakin menurun dan taraf pengajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik khususnya semakin merosot.
Kepercayaan terhadap sekolah kebangsaan semakin berkurang, terutama
sekali dalam kalangan masyarakat Cina, di mana kira-kira 93 peratus murid-murid
Cina pergi ke sekolah beraliran bahasa Cina. Selain itu desakan bertambah kuat,
terutama dari kalangan golongan masyarakat atasan dan juga pertengahan, supaya
pendidikan beraliran bahasa Inggeris diperkenalkan semula.
42. Masyarakat
Cina lebih mempercayai pendidikaan aliran Cina kerana menganggap mutu
pelajarannya, terutama dalam bidang Sains dan Metematik, dan taraf disiplin murid-muridnya
adalah lebih baik di sekolah jenis kebangsaan(Cina) daripada sekolah
kebangsaan. Golongan yang mendesak supaya diperkenalkan semula pendidikan
beraliran Inggeris berbuat demikian kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap
pendidikan kebangsaan. Mereka menganggap bahwa pendidikan kebangsaan dalam
bahasa Malaysia tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi dan sudah tentu akan
gagal memberikan jaminan masa depan yang baik bagi anak cucu mereka.
43. Usaha-usaha
yang komited serta gigih hendaklah dijalankan bagi menaikkan lagi mutu pedidikan
serta disiplin dalam sistem pendidikan kebangsaan. Sekiranya mutu pendidikannya
lebih tinggi, terutama dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, dan mutu
disiplin lebih baik, saya percaya lebih ramai ibubapa golongan Cina bertambah
percaya untuk menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.
44. Adalah
diakui bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa yang berguna untuk
mencapai kemajuan. Akan tetapi kita mesti ingat bahawa negara-negara China,
Jepun dan Korea Selatan telah mencapai kemajuan yang hebat dari segi ekonomi
dan bidang-bidang yang lain walaupun mereka tidak mengadakan aliran pendidikan dalam
bahasa Inggeris. Mereka tetap
mengutamakan bahasa sendiri sebagai bahasa pengantar. Namun mereka berusaha hanya
untuk memberi peluang serta galakan mempelajari bahasa Inggeris kepada yang perlu
mendapatkannya untuk mencapai kemajuan, terutama di peringkat antarabangsa.
45. Saya
percaya tidak ada gunanya melayan mereka yang hendak menghidupkan semula
pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Ini bukan caranya untuk
membaiki bahasa Inggeris murid-murid. Lebih-lebih lagi saya berpendapat tidak
perlu diperkenalkan semula pendidikan beraliran Inggeris. Yang perlu ialah untuk
mengajar bahasa Inggerissebagai satu mata pelajaran. Bahkan juga bahasa-bahasa
lain seperti bahasa Arab, Perancis, Jerman dan Jepun. Peluang mempelajari
bahasa-bahasa ini hendaklah disediakan dengan baik di peringkat menengah atas
dan universiti.
46. Selain
itu sekolah-sekolah kebangsaan hendaklah mewajibkan murid-murid mempelajari
satu bahasa tempatan yang lain, iaitu selain daripada bahasa ibunda.
Murid-murid Melayu hendaklah belajar bahasa Cina atau Tamil, murid-murid Cina hendaklah
belajar bahasa Tamil dan murid-murid India haruslah mempelajari bahasa Cina.
Ini dilakukan mulai peringkat rendah sehingga menenagah bawah. Pengetahuan
bahasa-bahasa yang digunakan dalam negara ini sudah pasti membantu proses
saling faham-memahami yang boleh memperkukuh integrasi negara dan perpaduan
bangsa.
47. Di
samping bahasa-bahasa ini diajar, kerajaan serta masyarakat mesti berusaha
menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan kukuh dan dihormati. Seperti dikatakan
tadi, mutu sekolah-sekolah kebangsaan perlu diperbaiki sehingga menimbulkan
keyakinan dalam kalangan ibubapa serta murid terhadapnya. Selain itu, rakyat
negara ini mesti menunjukkan kepercayaan mereka terhadap bahasa kebangsaan
dengan sering menggunakannya.
48. Malang
sekali pada masa ini golongan atasan yang berkuasa dan juga sesetengah mereka
yang berjawatan tinggi dalam ekonomi dan pentadbiran tidak menunjukkan hormat
yang sewajarnya terhadap bahasa kebangsaan kita. Mereka lebih suka menggunakan
bahasa Ingeris dalam mesyuarat, menyampaikan ucapan dan bercakap melalui
television dengan menggunakan bahasa Inggeris. Pada hal suasananya adalah lebih
sesuai untuk menggunakan bahasa Melayu. Ini menimbulkan keadaan di mana bahasa
yang disebut dalam perlembagaan sebagai Bahasa Kebangsaan itu tidak dihormati.
Seharusnyalah mereka yang berkuasa dan berpangkat ini menunjukkan teladan yang
positif.
PERKONGSIAN
TRANS-PACIFIC (TPP)
49. Akhir
sekali, izinkan saya membincang soal TPPA atau Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik.
50. Lebih
setahun lalu, Mentri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berjanji di dewan
mulia ini untuk memberi taklimat khas kepada ahli –ahli Senat. Setahu saya
sehingga kini janji itu tidak dipenuhi. Sekarang Malaysia sudah menyatakan
persetujuan dengan TPPA ini. Mentri menegaskan perjanjian ini hanya
ditandatangani selepas Parlimen meluluskannya. Ini merupakan kenyataan kosong kerana beliau
mengetahui pak-pak turut kerajaan dalam Parlimen pasti akan meluluskannya
dengan mudah.
51. Berkali-kali
ahli-ahli Parlimen dan juga masyarakat yang prihatin di luar sana meminta
supaya kandungan perjanjian itu jangan dirahsiakan, kerana di Amerika Syarikat
pihak korporat besar sentiasa diberikan maklumat tentang perkembangan
perundingan TPP ini. Hanya baru-baru ini kita di sini mendapat akses kepada
perjanjian tersebut. Itupun bukan atas inisiatif pihak kerjaan atau kementrian
sendiri. Apa yang berlaku ialah sebuah mahkamah di New Zealand memutuskan
supaya perjanjian itu dimaklumkan kepada umum. Perjanjian telah dimuatnaik
dalam internet di New Zealand. Kita di sini mendapakannya daripada laman web
mereka.
52. Sekarang
ini apa yang dibimbangi dulu tentang keburukan perjanjian ini sudah menjadi
nyata. TPPA adalah salah satu daripada tiga T yang diperkenalkan oleh Amerika
Syarikat untuk memastikan ia dapat
menguasai ekonomi dan perdagangan dunia, dan sekaligus mendominasi keselamatan
dan politik global. Dua T yang lain ialah TTIP (Trans-Atlantic Investment
Partnership) dan TIM (Trade in Services Agreement). Kedua-dua T ini masih belum
mendapat persetujuan lagi. Beberapa buah negara di Eropa memberitahu bahawa
mereka kecewa TPPA begitu cepat dipersetujui walaupun tidak memberi keuntungan
besar kepada penanda-penanda tangannya selain AS.
53. TPP
sebenarnya bukan perjanjian perdagagan kerana hanya kira-kira setengah dozen
daripada semua bahagian perjanjian itu melibatkan soal perdagangan. Lebih
banyak lagi perkara lain. Banyak pihak mempercayai ia bertujuan untuk menyekat
pengaruh perkembangan ekonomi negara Tiongkok demi mempertahan kepentingan serta
hegemoni kekuasaan ekonomi dan politik AS. Dijangka yang paling untung daripada
perjanjian ini ialah AS dan korporat-korporat meganya, manakala yang paling
rugi sekali ialah rakyat serta negara-negara membangun, yang menjadi anggota
TPPA itu. Ini termasuklah Malaysia.
54. Di
sini saya cuba terangkan hanya tiga dari lebih banyak kerugian yang bakal
ditanggung oleh negara dan rakyat Malaysia. Pertama, seorang professor Amerika Syarikat
yang pernah memenangi Hadiah Nobel bernama Stiglitz menjelaskan “Ahli ekonomi
di Persidangan PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan, UNCTAD, meramalkan
bahawa Malaysia akan menjadi ‘net tade loser’ (dengan izin) setelah menyertai
TPP. Perbezaan nilai eksport berbanding dengan import, iaitu imbangan
perdagangannya, akan merosot AS$17 bilion setiap tahun.” Ini bererti kita akan kerugian
kira-kira RM30 bilion setiap tahun.
55. Perkara
kedua berhubung dengan harga ubatan. Perkara ini ada kaitannya dengan harta
intelek (IP), di mana pemilik IP boleh mendapat untung yang banyak dengan
menaikkan kadar perlindungan melalui pelbagai undang-undang. Hal ini berkaitan
dengan paten. Pemilik IP boleh memonopoli pengeluaran ubatan dengan mempunyai
paten selama lima tahun atau lebih. Dengan memiliki paten syarikat-syarikat boleh menyekat
pengeluaran dan penjualan ubatan lebih murah, yang merupakan ubatan generik. Jadi
pesakit-pesakit terpaksa membeli dan menggunakan ubatan asal yang dikeluarkan
dan dijual oleh syarikat-syarikat yang memiliki paten dan memonopoli pengeluaran
dan penjualan ubatan asal.
56. Sekarang
ini sesetengah ubatan generik untuk menyakit-penyakit seperti diabetes dan lemah
jantung, misalnya, jauh lebih murah daripada ubatan asal yang diimport dari
syarikat gergasi pengeluarnya. Ada kalanya perbezaan harga ubatan generik dengan
ubatan asal lebih dari dua kali ganda, bahkan ada kalanya lebih daripada lima kali
ganda. Jikalau ubatan generik disekat dalam pasaran, sudah tentulah ubatan asal
yang diperlukan jauh lebih mahal sehingga di luar kemampuan ramai pesakit.
57. Untuk
memberi untung besar kepada syarikat gergasi, nyawa pesakit yang miskin dan
berpendapatan rendah terancam dan boleh jadi terkurban, melainkan ada cara
pemerintah untuk memberi ubat asal percuma atau murah kepada mereka. Cara ini
akan hanya menjamin keuntungan besar kepada syarikat besar yang memiliki paten
dan tidak menurunkan harganya. Ada pihak yang mengatakan pada jangka panjang
harga ubatan akan turun. Benar, ubatan asal mungkin turun harganya, akan tetapi
tidak serendah harga ubatan generik, jika dibenarkan.
58. Ketiga,TPP
mengandungi mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara, dikenali sebagai
ISDS. Melalui mekanisme ini pelabur asing boleh mendakwa sesebuah negara jika negara
itu mengadakan peraturan yang dianggap oleh pelabur sebagai boleh mengakibatkan
kerugian ke atasnya. Hakim ditentukan oleh pihak yang mendakwa dan perbicaraan
dijalankan di luar negara hampir secara sulit. Undang-undang, peraturan dan
kebiasaan negara didakwa, dan kewibawaan makamahnya tidak diendah. Dengan
demikian kedaulatan negara itu tidak dihormati. Boleh dikatakan ini merupakan suatu
penjelmaan penjajahan bentuk baru.
59. Ini
bukan satu andaian, bahkan sudah berlaku pada hakikatnya. Melalui mekanisme
ISDS ini beberapa buah negara, antaranya
Australia, Argentina, El Salvador dan Kanada pernah dikenakan denda
berpuluh bahkan beratus juta dolar selepas didakwa oleh syarikat-syarikat
gergasi. “Kesalahan” yang konon mereka lakukan ialah, antara lainnya: membuat
peraturan menjual rokok dalam kotok yang tidak bertanda apa-apa, membekukan bil
tenaga yang mahal dan memansuhkan paten ke atas ubatan. Semua tindakan ini
mereka ambil untuk melindungi kesejahteraan rakyat dan memastikan mereka tidak
tertindas oleh syarikat-syarikat yang cuba mengambil keuntungan besar.
60. Menteri
pernah memberi jaminan bahawa peruntukan perlembagaan mengenai keistimewaan
Melayu tidak terjejas setelah TPPA ditandatangani nanti. Saya tidak begitu
yakin. Saya bimbang, sekiranya Malaysia cuba memperkenalkan sesuatu tindakan atas
asas keistimewaan untuk melindungi
kepentingan sesetengah rakyatnya, maka apakah jaminannya sebuah syarikat
gergasi yang merasakan kerugian daripada mengambil tindakan dengan menggunakan
ISDS? Memang tepat sekali apa yang dikatakan oleh Profesor Undang-undang UM,
Gurdial Singh: dengan izin “What has our
government agreed to? The establishment of a private justice system for foreign
corporations – with no protection against corporate greed!”
61. Penutup. Akhirul qalam,
sebagai penutup, saya telah mengemukakan kritikan dan rasa tidak puas hati
terhadap Belanjawan 2016. Oleh kerana itu saya menolaknya.
Terima kasih.
Dewan Negara
7hb Disember 2015