Sunday, April 25, 2010

UCAPAN DR SYED HUSIN ALI DALAM SENAT PADA 26/04/2010

Dalam ucapan saya yang pertama pada sidang lalu Dewan ini, saya menegaskan bahawa sejak ditubuhkan Dewan Negara merupakan “rubber stamp”. Bahkan ada pemimpin yang menggelarkannya sebagai “tong sampah”. Saya tidak suka dan tidak bersetuju Dewan ini dihinakan sebagai “tong sampah”, akan tetapi mungkin ada juga kebenarannya. Dengan ikhlas saya mesti mengakui bahawa sudah lama sangat saya melihat dari luar Senat memainkan peranan sebagai “rubber stamp”.

Namun setelah mendengar perbahasan tentang beberapa isu dan rang undang-undang, seperti yang saya terangkan dulu saya mencapai kesimpulan yang berbeza sedikit. Nyata terdapat ramai juga Senator, yang tidak mahu dan tidak akan membenarkan Dewan ini terus menjadi “rubber stamp”. Mereka terdiri bukan saja dari wakil-wakil negeri-negeri yang dikuasi Pakatan Rakyat bahkan juga, Alhamdulillah, beberapa orang yang mewakili negeri-negeri yang diperintah Umno-Bn serta yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong.

Saya ingin melihat semua persepsi negatif terhadap Dewan Negara lenyap. Namun saya sedari bahawa ini akan berlaku hanya jikalau Dewan ini serta ahli-ahlinya memainkan peranan yang lebih berkesan. Hanya jikalau kita berkesan baru kita dihormati. Ini lebih mudah dicakapkan daripada dilaksanakan. Akan tetapi kita semua harus mencuba. Jika setelah mencuba gagal juga, apa boleh buat.

Saya percaya kita mengetahui kuasa yang ada pada Senat adalah besar juga. Ia boleh menolak dan mengembalikan sebarang keputusan yang diambil oleh Dewan Rakyat. Seingat saya ini telah berlaku hanya sekali. Ahli Dewan Negara boleh juga mengambil daya utama untuk mengemukakan usul, termasuk rang undang-undang. Jikalau Dewan Negara meluluskannya ia tidak perlu diserah untuk disahkan oleh Dewan Rakyat. Bahkan ia akan terus ke Yang di-Pertuan Agung. Namun saya tidak mengetahui berapa banyak usul yang pernah dikemuka dan diluluskan di Dewan Rakyat dalam sejarahnya.

Mengikut sejarah, peranan Dewan Negara ini dianggap sebagai badan yang boleh dan patut mengimbangi kuasa Dewan Rakyat dan di samping itu menyeimbangkan kuasa serta kepentingan Negeri dengan Pusat. Inilah inti dari perakuan Suruhanjaya Reid, yang menggubal Perlembagaan Persekutuan, mengenai kedudukan Dewan Negara dalam Parlimen Malaysia.

Untuk memastikan keseimbangan ini, kita dapati pada permulaannya Dewan ini terdiri dari 22 orang Wakil Negeri (dari 11 buah negeri waktu itu) dan 14 orang yang dilantik Yang di-Pertuan Agong atas perakuan Perdana Menteri. Ini untuk memberikan imbangan yang lebih berat kepada Negeri dan wakil-wakilnya. Akan tetapi lama kelamaan pindaan dibuat dan keadaan berubah. Pada tahun 1974 bilangan wakil negeri naik kepada 26 (dari 13 negeri) dan yang dilantik Agong bertambah kepada 30. Sekarang ini wakil negeri tetap 26, manakala lantikan Agong sudah naik kepada 44 orang, menjadikan 70 semuanya..

Dengan demikian, akibatnya keanggotaan Dewan ini terlalu berat kepada Pusat. Mengikut Perlembagaan Persekutuan Fasal 45(2), ahli-ahli yang dilantik Yang di-Pertuan Agong hendaklah terdiri dari “orang yang pada pendapatnya telah memberikan perkhidmatan awan yang cemerlang atau telah mencapai keunggulan dalam profesion, perdagangan, perindustrian, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau yang mewakili ras minoriti atau berkebolehan mewakili kepentingan Orang Asli”.

Tidak dinafikan memang ada di antara kategori yang dilantik ini terdiri dari golongan-golongan yang mengikut peruntukan dalam Perlembagaan ini. Akan tetapi, kebanyakan atau hampir semuannya terkenal sebagai anggota, penyokong atau yang mirip kepada Umno-Bn. Ini sepatutnya dielak berlaku; yang harus dilantik hendaklah mereka yang “cemerlang” dan “unggul” dalam bidang masing-masing, terutama yang bersikap neutral. Apakah salahnya melantik mereka yang benar-benar cemerlang dan unggul, walaupun pandangan mereka tidak selari dengan kerajaan yang berkuasa pada satu-satu masa?

Yang buruknya ialah Dewan Negara pada masa ini lebih sering dijadikan sebagai pintu belakang untuk melantik Menteri sertaTimbalan Menteri, khususnya mereka yang kalah pilihanraya. Hal ini merupakan kelemahan yang mengakibatkan Dewan Negara mudah saja menjadi “rubber stamp” bahkan dilihat sebagai “tong sampah”. Saya harap akan berlaku perubahan. Untuk ini kita hendaklah kembali kepada dan melaksanakan semangat Perlembagaan yang sebenar.

Kita mesti ingat bahawa mengikut Fasal 45(4a) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen melalui undang-undang boleh “menambah bilangan ahli yang dipilih bagi setiap negeri menjadi tiga”. Saya dan kawan-kawan saya di sebelah sini akan memulakan usaha agar undang-undang dapat dikemukakan dalam Dewan Rakyat untuk menambah seorang lagi ahli Senat yang mewakili Negeri.

Dengan demikian wakil-wakil negeri boleh bertambah jumlahnya menjadi 39, satu kurang dari yang dilantik Agong. . Yang penting ialah wakil-wakil negeri hendaklah mempertahankan hak dan kepentingan Negeri serta rakyatnya, tanpa membelakangkan kepentingan Pusat yang difikirkan wajar. Keseimbangan antara Negeri dengan Pusat yang adil, berkebajikan dan sihat adalah perlu dan seharusnya dipertahankan dengan tidak terikat kepada kepentingan parti politik.

Seterusnya, Perlembagaan Persekutuan dalam Fasal 45(4b) juga menegaskan bahawa ahli Dewan Negara dari setiap Negeri boleh “dipilih sedemikian melalui undi terus oleh pemilih-pemilih Negeri itu”. Ertinya pemilihan boleh dilakukan melalui proses pengundian yang memberikan hak kepada setiap pengundi di tiap-tiap negeri. Mungkin sebagai permulaan pengundian seperti ini boleh dilakukan dengan seorang lagi wakil yang boleh diatmbah bagi negeri itu.

Saya mengimpikan proses pilihanraya itu pada satu masa nanti akan berlaku bagi sebahagian besar Ahli Senat. Proses ini harus meliputi bukan saja mereka yang mewakili Negeri bahkan juga bagi mereka yang sekarang ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Saya mengatakan sebahagian daripada mereka hendaklah dipilih. Namun saya saya percaya masih perlu ada sebilangan yang perlu dilantik oleh Agong, mengikut Perlembagaan.

Saya sedar bahawa segala perubahan ini tidak mungkin berlaku sekarang. Saya mengharapkan proses pemilihan ini akan menjadi kenyataan apabila kuasa pemerintahan Negara berubah, Insha Allah. Proses ini pasti akan memberikan kuasa dan peranan yang lebih berkesan kepada Dewan Negara. Saya berharap ia tidak akan mudah menjadi “rubber stamp” dan “tong sampah” seperti yang didakwa sekarang.

Akhir sekali, saya ingin menarik perhatian Dewan ini kepada Fasal 45(4c) Perlembagaan yang memberi kuasa kepada Parlimen untuk “mengurangkan ahli dilantik atau menghapuskan ahli dilantik.” Ini bererti sekiranya hendak memastikan agar Senat tidak didominasi semata-mata oleh kepentingan Pusat, maka bolehlah diusahakan sehingga berjaya bilangan yang dilantik adalah kurang dari bilangan yang dipilih untuk mewakili Negeri.

Untuk memahami lebih lanjut lagi tentang struktur Senat, keanggotaan dan peranannya, kami telah membuat sedikit kajian mengenai keadaanya di negara-negara luar, yang meliputi ASEAN dan luar ASEAN. Kami meninjau keadaan di 9 buah negara, iaitu: Amerika Syarikat, Britain, Cambodia, Filipina, Indonesia, Laos, Singapura, Thailand dan Vietnam. Didapati bahawa Laos, Singapura dan Vietnam tidak mempunyai Senat atau Dewan Atas. Laos dan Singapura mempunyai satu dewan Parlimen, manakala di Vietnam Jawatankuasa Pusat Parti Komunis mengendali hal-ehwal perundangan dan lain-lain.

Dari enam negara yang mempunyai dua Dewan dalam Parlimen, Amerika, Cambodia, Filipina dan Thailand mempunyai Dewan Atas yang dipanggil Senat juga. Akan tetapi di Britain ianya dikenali sebagai House of Lords atau House of Peers, di Indonesia pula dipanggil Dewan Perwakilan Daerah (DPD) dan di Thailand sebagai Majlis “Elders” Thailand . Di bawah ini diturunkan maklumat ringkas dari segi bilangan anggota, tempoh khidmat dan kaedah penentuan keanggotaan:

• Amerika: Ahli 100 orang, dua dari tiap-tiap 50 “state”; dipilih secara langsung; berkidmat 6 tahun bagi setiap penggal tanpa terbatas bilangan penggal. Asalnya Senator dilantik oleh dewan undangan negeri dan mulai 1913 mereka dipilih.
• Britain: Ahli 733 orang (77 lebih besara dari House of Commons (Dewan Rendah); asalnya keahlian dari keturunan bangsawan tetapi sekarang dilantik juga “peers” yang dianugerah gelaran; berkhidmat seumur hidup. Pada Julai 2008, House of Commons meluluskan usul supaya 80-100% ahli hendaklah dipilih dan
berkhidmat selama 12-15 tahun, akan tetapi usul ditolak oleh House of Lords.
• Cambodia: Ahli 58 atau 61 (tidak jelas, dua maklumat); 2 dilantik oleh Raja, 2 dilantik oleh Dewan Rendah, yang lain dipilih oleh ahli majlis “commune” dan ahli Dewan Rendah bagi pihak kawasan pemilihan mereka; berkhidmat selama 6 tahun sepenggal dan boleh dilanjutkan. Dewan Rendah tidak boleh melebihi separuh dari ahli Dewan Atas.
• Filipina: Ahli 24 orang; ditentukan melalui pemilihan umum, tiada kawasan tertentu bagi tiap-tiap ahli Senat; berkhidmat 6 tahun sepenggal tetapi terbatas kepada 2 penggal berturut-turut.
• Indonesia: 132 orang; 4 orang dipilih oleh tiap-tiap provinsi melalui pemilihan umum; jumlah Dewan Perwkilan Daerah (DPD), yang tidak boleh melebihi sepertiga dari Dewan Rendahnya, iaitu Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
• Thailand: Ahli 150 orang; 76 orang dilantik oleh 75 wilayah serta kota Bangkok, dan 74 dilantik oleh Jawatankuasa Pemilihan Senat dari kalangan pelbagai sektor; Berkhidmat selama 6 tahun, iaitu selama satu penggal saja.

Kita lihat melainkan House of Lords, semua Dewan Atas di negara-negara yang dikaji mempunyai anggota kurang dari Dewan Rendah. Cara keanggotaan ditentukan berbeza, iaitu berasaskan keturunan, perlantikan dan pemilihan. Di Thailand, seperti Malysia, ada anggota yang dilantik dan dipilih (tetapi oleh badan yang bebeza). Mengenai tempoh perkhidmatan, ada yang untuk satu penggal, dua penggal atau tidak terbatas. Tempoh satu penggal biasanya enam tahun, dan bukan tiga tahun seperti Malaysia.

Dari segi peranan dan kuasa, Senat Amerika Syarikat ialah yang paling kuat. Ia mempunyai kuasa sebenar serta kewibawaan untuk bertindak sebagai “check and balance” (dengan izin) terhadap Dewan Rendah dan pegawai-pegawai Federal, sehingga Presiden pun. Di Filipina angota-anggota Senat mempunyai banyak kuasa juga dan popular kerana dipilih umum. Sama ada di Amerika ataupun Filipina, calon Presiden lazimnya datang dari kalangan ahli Senat.

House of Lords agak besar juga bidang kuasanya. Selain mempunyai suara ke atas undang-undang atau resolusi yang diluluskan oleh House of Commons, ia juga boleh meminda dan kadang-kadang menolaknya. Selain itu Dewan Atas ini merupakan mahkamah rayuan terakhir (court of last resort). Di negara-negara lain, tampak bidang kuasanya berkaitan dengan menapis atau meminda (kadang-kadang boleh menolak) undang-undang atau resolusi yang dimula dan diluluskan oleh Dewan Rendah. Di Indonesia, acapkali kuasa DPD terbatas kepada mengawasi undang-undang yang ada kaitannya dengan provinsi saja.

Kita lihat bahawa dalam sejarah Dewan Atas di Amerika, Indonesia dan Britain banyak perubahan telah berlaku. Di Amerika pemilihan oleh dewan perwakilan negeri (state) ditukar menjadi pemilihan oleh semua pengundi di negeri tersebut. Di Britain, ada pecubaan yang telah diluluskan oleh House of Commons supaya keanggotaan House of Lords dipilih umum akan tetapi usul ditolak oleh House of Lord. Bahkan ada gerakan untuk menghapuskan House of Lords itu dan menggantikannya dengan sebuah Senat yang dipilih semua anggotannya.

Di Malaysia kita harus menganggap bahawa kedudukan Senat sepatutnya boleh juga diubah. Untuk memberikan kuasa dan kewibawaan yang lebih kepadanya, perubahan harus dilakukan. Kita memerlukan sebahagian dari anggota Senat, jikalau tidak
semua, dipilih. Kita memerlukan perubahan bilangan angggota dan peranan serta kuasa yang lebih seimbang di antara Dewan Rakyat dengan Dewan Negara. Kita perlu kaji mendalam jika ada perubahan lain yang patut dibuat.

Saya faham dan sedari bahawa semua ini memerlukan perubahan Perlembagaan melalui undi majoriti lebih dua-pertiga dalam Dewan Rakyat. Mungkin matlamat perubahan yang diharapkan ini akan mengambil masa untuk dicapai. Akan tetapi dari sekarang kita harus membuat permulaan. Mudah-mudahan akhirnya akan berlaku perubahan yang boleh menaikkan martabat dan kewibawaan Dewan Negaara, supaya ia tidak boleh lagi dituduh sebagai “rubber stamp” dan “tong sampah”!

DEWAN RAKYAT, APCO DAN ZIONIS

Benarkan saya berpindah kepada apa yang telah berlaku dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini. Dewan Rakyat menjadi ribut selama beberapa hari selepas YB Ketua Pembangkang dalam Parlimen menimbulkan isu kemasukan dan pengaruh Zionis ke Jabatan Perdana Menteri dan Polis Diraja Malaysia (di bawah Kementerian Dalam Negeri) melalui Apco dan Asiasoft. Hal ini mempunyai implikasi yang sangat serius sekali ke atas keselamatan negara.

Oleh kerana pendedahan beliau yang diperkukuh dengan hujah serta dokumen yang kuat, Sdr Anwar Ibrahim sudahpun dirujukkan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan. Resolusi yang di “bull-doze” oleh pihak Kerajaan dengan mengguna, atau lebih tepat menalahguna majoriti mereka dalam Parlimen, eolah-olah sudah memutuskan Anwar bersalah dan mahu Jawatankuasa itu hanya menetapkan hukuman. Pada hal, Jawatankuasalah yang sepatutnya mengkaji, membincang dan memutuskan sama ada Ketua Pembangkang itu bersalah atau tidak.

Sudah diramalkan pihak Kerajaan yang mempunyai majoriti undi dalam Parlimen dan juga dalam Jawatankuasa tersebut pasti akan menghukum Anwar secara tidak adil. Ada berita yang sedang tersibar luas sekarang ini bahawa pucuk pimpinan Kerajaan mahu supaya Anwar digantung dari Parlimen selama sehingga setahun. Pihak berkuasa mahu meutup mulut Anwar sebab tidak mampu dan tidak beredaya menghadapi ucapan-ucapan dan hujah-hujahnya.

Begitulah juga nanti agknya mahkamah dan hakim yang boleh diperalatkan akan cuba menghukum Anwar dengan menyumbatkannya ke dalam penjara seberapa lama yang boleh. Pucuk pimpinan Kerajaan Umno-Bn melihat ini saja caranya untuk melawan dan menyekat pengaruh kekuatan politik Anwar serta PAKATAN RAKYAT. Insha Allah jikalau kezaliman ini dilakukan, akan lebih cepat lagi akan musnah dan tersungkurnya pucuk pimpinan ini serta parti-parti yang mereka pimpin.

Saya ingin menegaskan bahawa mengikut kebiasaan dalam Parlimen yang berwibawa, lazimnya tindakan seperti ini diambil ke atas menteri, yang dianggap cuba berbohong atau menutup kebenaran dan bukannya ahli parlimen biasa. Dalam Parlimen negeri ini menteri sering “mislead” Parlimen dengan tidak bercakap benar. Contoh yang terbaru ialah penafian Menteri Pertahanan tentang pembayaran komisyen dan juga harga khidmat baik pulih berhubung pembelian kapal selam Scorpene yang suatu ketika tidak boleh menyelam.

Terdahulu dalam Parlimen diakui komisyen telah dibayar akan tetapi Menteri Pertahanan menafikannya. Bayaran untuk khidmat baikpulih yang mula-mula diberikan melebihi RM600 juta, akan tetapi menteri yang sama menyatakan jumlahnya cuma RM200 saja. Sepatutnya beliau dirujuk kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan. Walau bagaimanapun, beliau boleh diselamatkan oleh Kerajaan dengan majoriti undi Umno-Bn dalam Parlimen. Penyelamatan serupa telah berlaku juga kepada beberapa orang Ahli Parlimen Umno yang melanggar peraturan, seperti wakil-wakil Pasir Salak dan Kuala Krau.

Berbalik kepada soal APCO dan Asiasoft tadi, telah banyak dihuraikan tentang penetrasi Zionis ke dalam kementerian dan institusi tertentu. Tidak perlulah saya mengulanginya, terutama bersabit nama-nama tokoh penting dalam Apco dan Asiasoft yang pernah menjadi pegawai-pegawai tinggi kerajaan atau badan keselamatan Zionis Israel. Saya hanya ingin mengemukakan beberapa soalan dan pendapat, seperti berikut.

Pertama, kita mengetahui bahawa Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Warga negara tidak dibenarkan ke Israel dan ini dicop pada pasport pemiliknya. Selama lebih10 tahun para pemimpin tertentu Umno menuduh dan memfitnah Anwar Ibrahim sebagai agen Yahudi. Mengapakah Najib dengan sokongan pemimpin Umno serta polis memberikan kontrak begitu besar kepada syarikat Zionis yang mempunyai hubungan rapat dengan Israel? Bukankah ini seperti tindakan hipokrit?

Kedua, atas asas apakah Kerajaan membayar begitu banyak sekali untuk khidmat dari APCO? Mula-mula dinyatakan sebanyak RM27 juta dan kemudian disahkan dalam Parlimen oleh YB Menteri Nazri Aziz bahawa jumlah sebenarnya ialah kira-kira RM78 juta. Ada pula pihak yang menyatakan Apco Malaysia merupakan syarikat RM2 ringgit. Adakah ini benar? Saya belum mendengar lagi berapakah jumlah dibayar kepada Aisasoft. Adakah Asiasoft juga merupakan syarikat RM2 ringgit? Saya harap kedua-dua maklumat ini akan diberikan segara oleh Menteri semasa menjawab nanti.

Ketiga, Menteri Nazri Aziz memberitahu Parlimen bahawa bayaran kepada APCO adalah berbaloi kerana melalui usaha lobi badan ini, yang tentunya berharga mahal, PM Najib dapat berjumpa dengan Presiden Obama. Sambil menuding jari kepada mantan PM Tun Mahathir dan Tun Abdullah, Menteri ini menyatakan kedua-dua Tun tersebut telah merenggangkan hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat semasa mereka berkuasa. Sebaliknya dengan pertolongan Apco pertemuan Najib-Obama hubungan kedua negara berjaya dipulihkan.

Tetapi apakah natijahnya? Jikalau kita kaji kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Rumah Putih tentang pertemuan itu, kita boleh menyimpulkan bahawa Najib (terima kasih kepada bantuan dan nasihat Apco yang mempunyai hubungan rapat dengan Zionis) dasar luar Malaysia telah dikompromi. Kita tahu sejak beberapa lama dasar luar negara adalah “bebas dan berkecuali”. Akan tetapi, Najib berjaya menghumban ke laut dasar ini dan menjadikan negara kita sekutu (bukan semata sahabat saja) kepada Amerika Syarikat.

Hal ini berlaku kerana dua perkara. Pertama Najib bersetuju untuk melibatkan Malaysia terutama dalam usaha untuk “meningkatkan kapasiti” tentera, polis dan juga pentadbiran awam. Penglibatan dengan tentera dan polis itu tentu memerlukan pegawai-pegawai kita menyertai pasukan-pasukan AS dan NATO di Afghanistan.

Kita mengetahui, kerana perkara ini jelas dengan tidak payah disuluh, bahawa melalui pasukan-pasukan mereka, AS dan NATO menduduki bahkan menjajah negara dan rakyat Afghanistan. Pasukan-pasukan ini telah membunuh beribu-ribu orang awam yang tidak bersalah - terdiri dari kanak-kanak, wanita dan orang tua – kononnya dengan tidak sengaja. Pada ketika banyak negara mengumumkan hendak menarik diri, Najib mengisytiharkan dengan terburu-buru bahawa Malaysia akan masuk membantu penjajahan dan kezaliman kuasa besar ke atas Afghanistan ini. Tidak salah kita berbaik-baik dengan mana negara, termasuk Amerika Syarikat, akan tetapi kita perlu melutut kepada mereka?

Kedua, Najib bersetuju untuk bersama Obama menghantar “signal jelas” kepada Iran supaya jangan menjalankan usaha untuk mengembangkan teknologi nuklear sebagai alat perang yang mengancam keamanan. Najib sepatutnya mengetahui dan menghormati kenyataan berulang-ulang yang dibuat oleh pimpinan tertinggi Iran bahawa mereka akan menggunakan kuasa nuklear itu hanya untuk keamanan bagi memajukan ekonomi dan industri di negaranya? Beliau tidak harus menelan bulat-bulat propaganda AS.

Di wilayah Timur Tengah kita lihat bahawa Zionis Israel sebenarnya lebih bahaya dan mengancam dari Iran. Mereka melakukan pencerobohan dan merampas sebahagian dari negara-negara tetangga, seperti Syria dan Jordan. Mereka menduduki serta menjajahi wilayah Palestin. Mereka membunuh beribu-ribu rakyat Palestin yang tidak berdosa. Mereka memusnahkan harta benda – rumah, kilang dan kawasan pertanian. Mereka menyekat kebebasan bergerak orang awam yang mencari rezeki. Selain itu mereka mempunyai senjata nuklear dalam bentuk lebih kurang 200 “nuclear warheads”.

Zionis Israel boleh dan berani bertindak liar kerana mereka sentiasa diberi sokongan oleh AS dan presiden-presidennya, termasuk Obama yang sekarang ini semakin dianggap sebagai Bush kecil. Kenapakah Najib, tidak memberikan “signal” yang sama terhadap Israel? Kenapakah beliau bunkem atau kelu terhadap senjata nuklear Israel yang mengancam keamanan seluruh wilayah Timur Tengah? Adakah begitu berkesan sekali nasihat yang diberikan oleh Apco dalam hal dasar luar Malaysia?

KEADAAN EKONOMI NEGARA

Sekarang saya ingin membicarakan beberapa perkara dasar yang melibatkan rakyat dan negara. Saya mulakan dengan ekonomi.

Sejak krisis kewangan yang kita alami mulai pertengahan 1997, setahu saya tidak ada kajian tereperinci yang dilakukan untuk melihat sejauh manakah proses dan kadar pemulihan ekonomi telah berlaku. Daripada kenyataan-kenyataan umum yang dibuat oleh beberapa orang ahli-politik serta ekonomi dan dari apa yang saya dengar daripada sebilangan peniaga kecil serta besar, saya mendapat kesan bahawa keadaan kemerosotan ekonomi yang berlaku kira-kira 13 tahun dulu masih belum pulih. Bahkan ada yang mengatakan sehingga tahun lalu keadaan pemulihan ekonomi negara baru mencapai kadar kira-kira dua-pertiga saja.

Dua tahun lalu Amerika Syarikat mengalami kemerosotan besar ekonominya. Sering orang mengatakan “Apabila Amerika bersin negara-negara lain selsema”. Malaysia telah dijangkiti selsema ini juga, walaupun tidak seburuk sesetengah negara lain yang telah ataupun sedang membangun. Buat beberapa ketika negara kita mengalami perkembangan negatif sehingg -5%. Akan tetapi sekarang ini pucuk pimpinan negara mendakwa keadaan pemulihan sudah mulai berlaku. Bahkan mereka mendakwa kadar perkembangan ekonomi akan mencapai hingga 5% (positif). Dakwaan ini mengandungi unsur menafikan keadaan sebenar yang masih agak buruk.

Salah satu hujah yang mereka kemukakan, selain pengaruh pemulihan yang sedang berlaku di Amerika, ialah peruntukan sebayak RM67 billion yang diwar-warkan sebagai rangsangan eknomi. Saya tidak tahu sama ada jumlah yang sebanyak ini benar-benar merupakan ransangan untuk memulihkan ekonomi. Atau adakah sebahagian besarnya ialah sebagai ransangan untuk menyelamatkan ekonomi korporat dan kontraktor kroni yang menghadapi masalah?

Seterusnya, saya juga tidak mengetahui keadaan sebenarnya di Sabah dan Sarawak. Saya sering diberitahu bahawa berbilion ringgit yang dijanjikan di negeri-negeri tersebut adalah sebahagian besarnya untuk projek-projek yang boleh membuka peluang kepada para korporat serta kontraktor kroni di sana. Tujuannya sudah tentulah untuk menjamin sokongan serta kesetiaan berterusan daripada tokoh-tokoh dan pemimpin-pemimpin politik Sabah dan Sarawak kepada Kerajaan Pusat yang ada. Hal ini penting kerana hayat Kerajaan Pusat Umno-BN bergantung kepada dua negeri tersebut.

Oleh kerana adanya pelbagai tanda tanya, saya menggesa supaya pihak Kerajaan memberikan maklumat yang lengkap tentang jenis-jenis dan jumlah perbelanjaan yang digunakan dari peruntukan ransangan tersebut. Siapa-siapakah (syarikat atau individu} yang mendapat manfaat daripadanya? Seiring dengan itu perlu dikemukakan juga laporan penilaian tentang keberkesanan setiap perbelanjaan dari segi meningkatkan taraf ekonomi negara dan juga rakyat, khususnya yang berada di lapisan bawahan.

Pada 25 Februari 2010, Ketua Pembangkang Sdr Anwar Ibrahim telah mengingatkan Perdana Menteri jangan terlalu ghairah hendak mengisytiharkan bahawa “the worst is over” (dengan izin) bagi ekonomi Malaysia. Ini kerana prestasi ekonomi Malaysia masih tertinggal ke belakang berbanding dengan kebanyakan negara di rantau ini. Paling ketara ialah perbandingan dengan Singapura.

Baru-baru ini ada berita, berdasarkan laporan dari Bank Pusat Singapura, bahawa dalam suku pertama 2010, perkembangan Keluaran Negara Kasar (KNK atau GDP) untuk Singapura ialah sebanyak 32.1%. Akan tetapi di Malaysia, Kerajaan masih bercakap mengenai perkembangan kira-kira setakat 5% saja. Itupun belum diperkukuhkan lagi dengan angka-angka terperinci.

Saya percaya masih ada hambatan kepada perkembangan di Malaysia, iaitu kita nampaknya merupakan sebuah negara yang berada dalam “perangkap pendapatan pertengahan” (middle income trap). Kita tidak cukup maju untuk bersaing dengan negara maju dan kita agak tertinggal dan oleh itu terpaksa bergantung kepada buruh pendatang, misalnya. Kehadiran mereka mengakibatkan kesan menekan pendapatan rakyat pada paras yang agak rendah. Selagi berada dalam perangkap ini, eknomi negara terjejas dan dan sulit untuk berkembang.

Sehubungan ini sangat tepat sekali bagi Sdr Anwar menjelaskan bahawa Kerajaan dan negara perlu segera menangani lima bidang ekonomi yang kritikal supaya segera dapat lepas dari perangkap pendapatan pertengahan itu. Bidang-bidang yang dikenalpastinya ialah:

1. Terlalu bergantung kepada “petro-dollar” dan semakin melebarnya jurang antara pelaburan awam dengan swasta;
2. Modal keluar (atau terbang) dari negara;
3. Merudum teruknya pelaboran modal baru dan pertumbuhan tambah nilai dalam sektor perkilangan;
4. Perkembangan sumber manusia yang tercicir dan tidak dapat menyokong ekonomi yang diliberalisasikan;
5. Kadar nilai simpanan dan pelaboran tidak seimbang yang menunjukkan masalah akses bagi mendapat pinjaman.

Saya tidak perlu menghuraikan maksud kelima-lima perkara ini. Sesiapa (termasuk ahli-ahli Dewan mulia ini) yang ingin mengetahui mengenainya lebih lanjut, silalah lihat dan kaji ucapannya yang terdapat dalam Hansard.

MODEL EKONOMI BARU (MEB)

Baru-baru ini dalam sebuah perhimpunan Malaysia Invest di sebuah hotel mewah, yang dihadiri kebanyakannya oleh golongan pemodal-kapitalis-korporat, YAB Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan rangka asas Model Ekonomi Baru atau New Economic Model (MEB atau NEM) bagi Malaysia. Rangka MEB ini berdasarkan dokumen perakuan yang disediakan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Nasional (MPEN atau NEAC) yang dilantik oleh Kerajaan. Sebenarnya MEB yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu banyak merujuk kepada isi dokumen yang disiapkan oleh MPEN. Kedua-dua MEB dan laporan MPEN tidak dibentangkan dalam Parliamen untuk dibahas.

Sebaliknya, Menteri yang bertanggungjawab ke atas perancangan ekonomi, YB Mohd Nor Yakcop, membuat kenyataan dalam Dewan Rakyat pada 1 April 2010 bahawa dokumen MPEN itu merupakan hanya sebagai cadangan kepada kerajaan dan bukannya dokumen kerajaan. Oleh itulah ia tidak perlu dibentang dalam Parlimen. Perdana Menteri menjelaskan dokumen terakhir MPEN dan MEB akan dikemukakan bersama Rancangan Malaysia ke-10 dalam sessi Parlimen akan datang. Memandangkan semua ini, Najib perlu menjelaskan apakah status sebenar MEB sekarang.

Walaupun gambarannya masih kabur, saya akan membuat sedikit komen ke atas beberapa perkara penting tentang MEB setakat yang diketahui kini.

Pertama, dari segi falsafah atau orientasi, MEB berpegang kepada ekonomi bebas atau pasaran bebas (laissez faire). Oleh kerana itu ia mementingkan Liberalisasi, Deregulasi dan Penswastaan (LDP). Langkah-langkah liberalisasi, yang melibatkan 27 item, telah dumumkan oleh PM beberapa bulan lalu. Baru-baru ini diumumkan pula langkah-langkah penswastaan yang melibatkan saham Khazanah di Jabatan Pos dan dua subsidiari Petronas.

Saya bimbang orientasi kepada kuasa pasaran dan penekanan kepada LDP akan lebih menguntungkan golongan yang kuat dari segi modal dari luar serta dalam negara. Pada masa yang sama ia pasti merugikan rakyat bawahan dan menyulitkan golongan pertengahan yang lemah juga. Kesan-kesan buruk dari proses globalisasi boleh meluas bahkan bermaharajalela. PM hari ini harus mengingati dan menjejaki orientasi serta proses ekonomi yang diamal masa lalu oleh arwah bapanya.

PM kedua Tun A Razak (masa itu Datuk) tidak melepaskan semuanya kepada kuasa pasar dalam ekonomi bebas. Bahkan beliau mengakui dan menekankan peranan kerajaan untuk memastikan golongan miskin seperti petani, misalnya, dilindungi melalui Felda. Kami mempercayai bahawa perlu wujud keseimbangan di atara peranan pasaran bebas, untuk menjamin persaingan yang sihat, dengan peranan kerajaan untuk melindungi kepentingan serta kebajikan golongan rakyat yang lemah.

Ini merupakan sistem ekonomi campuran (mixed economy), yang kami percaya boleh membangunkan negara di samping membela nasib rakyat dengan lebih berkesan. Sungguhpun MEB berkata sektor awam akan dikuatkan juga, namun ia lebih banyak bertindak untuk menguatkan sektor swasta. Halatuju yang hendak dibawa oleh PM Najib lebih jelas kepada matlamat untuk memperkukuh orientasi pasaran atau ekonomi bebas. Adakah ini salah satu kesan dari nasihat APCO?

Kedua, melalui MEB PM Najib mengisytiharkan cita-citanya untuk meningkatkan pendapatan per-kapita negara dari kira-kira US$7,000 sekarang kepada US$15,000 pada tahun 2020. Mengikut MEB, Umno-Bn meletakkan sasaran pertumbuhan 6.5% dalam tempoh 2011 hingga 2020 untuk mencapai dua kali ganda pelaburan swasta dan pendapatan per-kapita yang disasarkan itu. Ini merupakan cita-cita yang hebat. Akan tetapi adakah pencapaian serta kejayaannya terjamin? Dalam Rancangan Malaysia ke-8 disebutkan kadar pertumbuhan yang disasarkan antara 2001-2005 ialah 7.5%. Akan tetapi tiap-tiap tahun kadar yang dicapai rendah dari itu. Pukul rata, kadar pertumbuhan yang dicapai dalam tempoh lima tahun tersebut cuma 4.5% saja.
Secara ikhlas saya berharap cita-cita untuk mencapai kadar pertumbuhan 6.5% dan meningkatkan pendapatan per-kapita kepada US$15,000 itu akan tercapai. Akan tetapi syarat penting ialah peningkatan pendapatan itu hendaklah lebih menguntungkan golongan ramai rakyat susah atau sederhana hidupnya dan bukannya dibolot oleh segelintir yang kaya serta berkuasa. Tidak ada ertinya peningkatan pendapatan ini jikalau ia melebarkan lagi jurang di antara yang kaya atau berada dengan yang miskin atau tidak berada. Tidak bererti juga jikalau ia tidak menghapuskan kemiskinan, terutama sekali kemiskinan tegar, di kalangan rakyat jelata.

Saya bimbang cita-cita hebat ini mungkin akan merosot menjadi cita-cita kosong. Ini ialah kerana tidak dihuraikan dengan jelas apakah rancangan-rancangan yang dibuat serta langkah-langkah yang akan diambil untuk mencapai cita-cita ini. Jikalau kita menoleh ke belakang kita melihat bahawa apabila negara ini mendapat kemerdekaan pada tahun 1057, pendapatan per-kapitanya hampir sama dengan Singapura, Korea dan Taiwan. Akan tetapi sekarang ini kita tertinggal ke belakang. Kini pendapatan per-kapita Singapura sudah mencapai hampir empat kali ganda Malaysia, manakala yang di Taiwan dan Korea pula lebih kurang tiga kali ganda.

Kenapakah ini berlaku? Adakah kita mengkaji sebab-sebabnya untuk memahami mengapa kita tercicir? Walaupun seandainya negara ini berjaya mencapai cita-cita yang disuarakan oleh Najib, ia akan terus tertingal jauh di belakang Singapura, Taiwan dan Korea. Untuk memastikan cita-cita ini tidak gagal supaya kita tidak tertinggal lebih jauh lagi di belakang tiga negara tersebut, maka perlulah perancangan yang jelas dan perlaksanaan yang berkesan. Perlu ada semacam “road map”. Pada masa yang sama perlu juga pemerintahan telus, tidak membenarkan korupsi menular dan tidak mengamalkan pembaziran berleluasa.

Ketiga, Kerajaan Umno-Bn bertujuan untuk mengurangkan penumpuan pendapatan golongan terkaya di peringkat atasan. Pada masa ini angka rasmi menunjukkan 10% di lapisan atas, yang merupakan golongan terkaya mengawal 33.4% daripada pendapatan ekonomi. Sebaliknya 10% di bawah, yang merupakan golongan termiskin mengawal hanya 1.7% daripada pendapatan ekonomi. Ini menunjukkan penumpuan kekayaan. Sebenarnya penumpuan pendapatan dan/atau kekayaan lebih besar di kalangan 100 orang terkaya dalam negara, sebagaimana yang dilaporkan baru-baru ini.

Penumpuan pendapatan dan/atau kekayaan berhubungan dengan jurang sosio-ekonomi, yang ditunjuk dengan Gini Coefficient (GC). Semakin tinggi GC semakin lebar jurang perbezaannya. Mengikut sebuah laporan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP), di sekitar tahun 2002-2005, Malaysia mempunyai GC yang tertinggi di Tenggara Asia, iaitu 0.49. Ini berbanding dengan Filipina (0.46), Thailand (0.41), Laos (0.37), Vietnam (0.36) dan Indonesia (0.32). Bahkan Malaysia dikatakan mempunyai GC yang kedua tertingginya di seluruh Asia, selepas Papua New Guinea.

Untuk Malaysia saja, dari sumber Jabatan Statistik Malaysia, GC meningkat dari 0.452 kepada 0.462. Belum ada data dari sumber sama bagi tahun 2009. Akan tetapi mengikut CIA Facebook 2009, angkanya ialah 0.461. Mengikut Laporan Pembangunan Kemanusiaan 2009 oleh PBB, Malaysia menduduki di tempat ke-66 dari segi persamaan, yang diukur dengan GC, jauh ke belakang Singapura (ke-23), Hongkong (ke-24), Korea Selatan (ke-26) dan Brunei (ke-30). Ini meunjukkan juga kadar penumpuan kekayaan yang teruk di Negara kita.

Salah satu faktor penumpuan kekayaan di kalangan segelintir orang di peringkat atasan ialah wujud dengan kukuhnya budaya “rent seeking”. Pada 30 Jun 2009 akhbar The Sun melaporkan bahawa PM Najib mengakui secara terbuka bahawa dari RM54 bilion ekuiti saham yang diperuntukkan kepada Bumiputra, cuma RM2 bilion saja yang tinggal, akibat penjualan saham Bumiputra dalam pasaran modal. Seterusnya pada 3 Ogos 2009, PM Najib dilaporkan oleh Straits Times sebagai mengakui, “Mereka yang menerima saham Bumiputra bukannya orang biasa akan tetapi kebanyakannya orang berpengaruh ‘yang duduk di barisan hadapan dalam majlis-majlis dan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri’. Beliau agaknya terlupa (atau sengaja melupakan?) mereka yang bergelar Tun.

Tentulah penjualan saham dalam pasaran modal itu telah memberikan berbilion ringgit sebagai keuntungan untuk mereka yang bergelar itu tanpa banyak usaha dan tenaga.
Selain ini, ada jenis lain “rent seeking” yang diamalkan. Misalnya, pada 9 Januari 2007, mantan PM Abdullah Badawi melakukan istiadat pecah tanah bagi membina Institut Kanser Negara di Putrajaya. Pada ketika itu institut itu dianggar berharga RM340 juta. Akan tetapi pada 10 Mac 2009 Parlimen diberitahu Institut itu hampir siap dan kosnya ialah RM700 juta, iaitu lebih dari dua kali ganda?

Bagaimanakah begitu mudah sekali kenaikan harga yang tinggi ini diluluskan Menteri Kewangan? Kita tidak mengetahui berapakah untung yang diperolehi syarikat dan pemilik syarikat yang menjadi kontraktor membina Institut tersebut. Yang kita ketahui ialah syarikat dimiliki oleh seorang bilioner bergelar Tan Sri. Beliau termasuk dalam senarai orang terkaya di Malaysia dan mempunyai hubungan rapat dengan pimpinan utama Kerajaan dan pusat kuasa Umno-Bn.

Memang baiklah kita mendengar Najib mengakui tentang kehilangan RM52 bilion saham Bumiputra ini. Kelihatan telus. Akan tetapi, apakah yang telah dilakukan atau tindakan tegas yang telah diambil setelah hampir setahun berlalu sejak beliau membuat pengakuan ini? Ini jumlah yang sangat besar. Adakah terdaya dan mampu PM mengambil tindakan terhadap Datuk Seri, Tan Seri dan Tun yang berhubung rapat dengan pusat kuasa Umno-BN ataupun pernah menjadi sebahagian dari pusat kuasa itu?

Bagaimana pulakah dengan melambungnya harga Institut Kanser itu? Ini bukanlah satu-satunya saja contoh yang berlaku. Bahkan jikalau diselidik rapi, kita akan mendapati berpuluh bahkan beratus contoh yang hampir serupa. Seperti diakui, “rent seeking” sudah menjadi budaya, budaya ‘rompakan ekonomi negara’ yang sangat tebal. Bukan saja tindakan tegas mungkin tidak akan diambil. Bahkan sekali lagi kita melihat tidak ada perincian tentang bagaimanakah amalan yang berupa korupsi atau rompakan ini akan dihadapi, supaya tercapai tujuan hendak mengurangkan penumpuan kekayaan dan pendapatan. Apakah rancangan-rancangannya? Apakah langkah-langkahnya?

Meletakkan tujuan dan matlamat adalah lebih mudah daripada melaksanakannya dengan jaya. Saya harap semua tujuan dan matlamat akan dilaksanakan secara sungguh-sungguh dan bukannya sebagai “public relations exercise” (dengan izin) untuk membaiki imej Kerajaan dan pemimpinnya saja.

Keempat, PM Najib menegaskan bahawa MEB tidak akan berdasarkan kaum bahkan pada masa yang sama akan menekankan pendekatan yang berdasarkan keperluan dan merit. Namun faktor kaum akan dipertimbangkan juga. Ini mudah bunyinya. Akan tetapi kesulitan akan timbul ialah di peringkat perlaksanaan. Bagaimanakah ketiga-tiga faktor kaum, keperluan dan merit akan diseimbangkan semasa perlaksanaan? Dengan pelbagai tekanan dari golongan perkauman sempit, seperti Perkasa, yang disertai oleh ramai juga anggota Umno, besar kemungkinan pada peringkat perlaksanaan akhirnya petimbangan kaum saja yang diberatkan.

Masalahnya ialah atas dasar kaum, yang akan mendapat faedah bukanlah rakyat ramai kaum tersebut akan tetapi golongan elit yang kaya dan berkuasa. Cara lama akan berterusan. Gunakan nama kaum Melayu untuk mengkayakan mereka yang sudah kaya. Akhirnya yang miskin atau berpendapatan rendah dari semua kaum akan terpinggir. Memang benar kadar kemiskinan dapat dikurangkan, akan tetapi jurang sosio-ekonomi menjadi bertambah lebar.

Seperti kita ketahui, lebih dari dua-pertiga mereka yang miskin dan berpendapatan rendah itu adalah terdiri dari orang Melayu/ bumiputera. Kemiskinan di kalangan sesetengah golongan, seperti Penan di Sarawak adalah di antara yang termiskin dalam dunia. Golongan ini sangat terbiar dan terdedah kepada bermacam-macam kezaliman. Baru-baru ini dilaporkan ramai kanak-kanak orang Penan menjadi mangsa seks, dirogol. Mereka tidak diberi pembelaan. Sebahagian besar dari golongan ini tidakpun mempunyai kad pengenalan.

Kami dari Pakatan menolak pendekatan berdasarkan kaum semata-mata, terutama apabila ia diperalatkan hanya untuk menguntungkan golongan atasan yang kaya serta berkuasa. Kami meyakini pendekatan yang berdasrkan keperluan, terutama sekali dalam usaha menangani kemiskinan dan golongan berpendapatan rendah yang lain. Kami percaya dasar ini boleh menguntungan orang Melayu/ Bumiputera yang merupakan majoriti dalam golongan ini. Atas dasar ini golongan bukan Melayu/ Bumiputra juga tidak akan dipinggirkan.

Sesuai dengan ini sumber kekayaan negara hendaklah ditumpukan kepada kawasan desa dan pedalaman lebih dari kawasan bandar dan lebih mengutamakan golongan miskin serta tidak berada daripada semua kaum dari golongan berada serta kaya. Sumber kekayaan negara hendaklah dicurahkan kepada projek-projek untuk kebajikan rakyat jelata, buknnya kepada projek-projek mega yang tidak menguntungkan rakyat, akan tetapi mengayakan yang sudah kaya melalui kontrak dan budaya “rent seeking” .Pendekatan seperti ini sudah tentu memuaskan hati dan lebih menguntungkan semua kaum, terutama yang miskin dan berpendapatan rendah, yang majoritinya Melayu/ Bumiputra.

Berhubung dengan golongan miskin dan penghapusan kemiskinan kita lihat bahawa apa yang dirancang tidak dapat tercapai sepenuhnya. Melalui Rancangan Malaysia ke-8 Kerajaan Umno-Bn telah mensasarkan matlamat untuk menurunkan kadar kemiskinan mutlak kepada 0.5% menjelang 2005. Akan tetapi pada 2007 angka rasmi menunjukkan kadar kemiskinan ialah jauh lebih dari itu, iaitu 3.6%. Ini nyata suatu kegagalan. Namun mereka bersorak-sorai tanpa malu kononnya rancangan mereka memerangi kemiskinan telah berjaya.

Ini satu contoh jelas yang menunjukkan tidak semua yang dirancang oleh Kerajaan Umno-Bn akan tercapai matlamatnya. Kami lihat, seperti kes ini, banyak cita-cita dan matlamat yang diisytihar dan dirancang (seperti yang diterangkan di atas) oleh Umno-Bn mungkin akan mengalami kegagalan juga. Sebabnya Kerjaan di bawah PM Najib membaharui banyak rancangan lama dan meniru program orang lain (khususnya dari PAKATAN) untuk menjadikan MEB sebagai satu ‘Public relations exercise’ dan bukan bertujuan benar-benar untuk memberi pembelaan kepada ekonomi rakyat.

Banyak lagi aspek MEB ini yang boleh dikiritik dan didedah kekurangannya. Namun cukuplah setakat empat perkara ini saja. Pakatan Rakyat telah menerbitkan dokumen rasmi sepanjang 31 halaman kertas kajang sebagai respon kepada MEB itu. Di sini saya ingin meringkaskan pendapat yang terdapat dalam dokumen itu, tentang empat bidang penting yang tidak disentuh oleh MEB. Keempat-perkara ini akan menjadi batu uji kepada kepada kejayaannya. Bahkan ini juga merupakan reformasi yang akan dilaksanakan oleh pemerintahan Pakatan Rakyat, Insha Allah.

Pertama, menyusun semula empat kemudahan awam iaitu: penjanaan elektrik yang melibatkan IPP, konsesi air, konsesi tol dan penyediaan perkhidmatan jalur-lebar (broadband). Kemudahan-kemudahan ini hendaklah murah tetapi cekap untuk meringankan beban ke atas rakyat dan menjadikan industri lebih kompetitif. Perkhidmatan jalur-lebar perlu untuk meluaskan internet bagi perkembangan ekonomi berasaskan ilmu dan inovasi.

Perjanjian konsesi air dan tol perlu dikaji semula dengan tujuan meringankan beban rakyat. PAKATAN sanggup mengambil alih kedua-dua kemudahan untuk menggubal persetujuan baru bagi menjamin rakyat dilindungi dari langkah-langkah yang diambil oleh pihak mendapat konsesi untuk menambah keuntungan. IPP menguntungkan beberapa orang kroni saja dengan membebankan TENAGA, dan subsidi kepada IPP merupakan pembaziran dan tidak membantu rakyat ramai.

Kedua, memperkenalkan gaji minima. Kerajaan sekarang bercakap tentang meningkatkan kemahiran dan membawa teknologi, akan tetapi tidak menyebut tentang gaji minima. Perlu dimulakan proses perbincangan meluas sebelum gaji minima dilaksana. Perlaksanaannya boleh menyelaraskan struktur gaji secara keseluruhan pada semua industri dan peringkat pekerjaan. Ia juga boleh mendorong perindustrian meningkatkan penggunaan teknologi dan juga mendorong penstrukturan semula industri supaya terus kompetitif.

Ketiga, MEB tidak menyebut tentang langkah-langah untuk membantu atau menyokong golongan muda, terutama mereka yang baru memasuki tenaga kerja. Kita dapati dari penduduk Malaysia yang berjumlah 27.73 juta, 72% adalah di bawah 40 tahun dan 41% di bawah 20 tahun. Ramai mereka senantiasa dibebani hutang oleh sebab kekurangan pendapatan, yang tidak naik mengikut kenaikan harga barang. Salah satu beban perbelanjaan yang mengakibatkan hutang ialah keperluan kereta kerana taraf pengangkutan awam rendah. Struktur cukai juga perlu disusun semula supaya bebannya dikurangkan untuk mereka berpendapatan rendah.

Keempat, selain perubahan untuk membantu keluarga muda, perlu juga reformasi pelbagai institusi yang sudah lama disuarakan. Korupsi merupakan penyakit parah bagi ekonomi. Untuk memerangi korupsi institusi awam seperti kehakiman, kamar Peguam Negara, SPRM dan pasukan polis perlu dibaiki dan diperkuatkan dari segi kredibilitinya. Tanpa komitmen kepada mereformasi institusi-institusi ini, tidak akan ada kesan perubahan ke atas cara transaksi perniagaan dijalankan atau pendekatan Kerajaan berbelanja untuk ‘membeli’ pelbagai benda dan perkara.

REFORMASI DAN DEMOKRASI PENDIDIKAN

Sekarang izinkan saya berpindah ke soal pendidikan. Sekarang ini memang benar ramai yang mengkritik sistem pendidikan yang wujud. Keadaannya bobrok dan menghadapi krisis. Setiap kali menteri bertukar maka setiap kali dilakukan pula perubahan dalam sistem pendidikan. Guru menjadi semakin lemah semangat. Akibatnya keadaan kelam-kabut dan mutu pendidikan tambah merosot. Hal ini mesti dihadapi dan diperbaiki. Sebenarnya sistem pendidikan kini memerlukan perubahan besar. Beberapa perkara perlu ditegaskan di sini.

Pertama, kedudukan Bahasa Malaysia kelihatan seperti semakin lemah dan oleh itu perlu diperkukuh untuk menghadapi cabaran terutama sekali dari Bahasa Inggeris dan mereka yang menyanjung bahasa Inggeris itu. Nilai ekonomi Bahasa Malaysia nampak semakin lemah bukan semakin kuat. Bahasa Malaysia semakin dipandang rendah.Kedua, hendaklah digalakkan pembelajaran dan pengajaran bahasa-bahasa ibunda dan juga bahasa-bahasa internasional. Ini tidak akan menimbulkan masalah sekiranya taraf bahasa Malaysia kukuh. Bahasa ibunda penting untuk kaum-kaum berkenaan memahami keadaan dan sejarah kaumnya sendiri. Bahasa internasional seperti Bahasa Inggeris memang tidak dinafikan amat berguna dan perlu dalam hubungan diplomatik dan perdagangan antarabangsa.

Ketiga, mutu sekolah-sekolah kebangsaan peringkat rendah dan menengah hendaklah dipertingkatkan, supaya rakyat termasuk orang Melayu sendiri, mempunyai keyakinan terhadapnya. Sekarang ini kita dapati kurang dari 10% kanak-kanak bukan Melayu memasuki sekolah kebangsaan. Pada masa sama hampir 10% juga kanak-kanak Melayu memasuki sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Baru-baru ini, manakala berada di Sarawak saya dapati ramai kanak-kanak Iban pergi ke sekolah jenis kebangsaan Cina kerana tidak wujud di tempat mereka sekolah kebangsaan aliran Bahasa Malaysia dan sekolah jenis kebangsaan yang menggunakan bahasa ibunda Iban. Jikalau adapun, seolah-sekolah ini tidak berapa diyakini.

Keempat, kaedah belajar dan mengajar harus dibaiki dan disamping memperkuat pengajaran subjek seperti sastera, sejarah, ilmu alam dan sebagainya, perlu diperkukuhkan pengajaran matematik, sains dan teknologi. Sehubungan ini latihan perguruan yang baik harus diberikan, dan prestasi guru-guru perlu sering dipantau supaya segala kekurangan dapat diataasi. Keseimbangan perlu diwujudkan di peringkat persekolahan di antara dua kategori subjek-subjek tersebut. Pengkhususan perlu digalak dan ditentukan di peringkat pra-universiti dan seterusnya di universiti. Minat membaca mesti disemai dan cara berfikir secara kritikal mesti digalakkan. Selain dari membaiki peralatan sekolah, sangat perlu dibesarkan perpustakaan.
Kelima, di peringkat universiti mesti digalakkan kegiatan membaca dan berfikir secara kritikal di kalangan siswa. Juga, perlu dipastikan penyelidikan dan penulisan akademik dilakukan secara komited oleh para pensyarah. Sumbangan mereka dalam bidang-bidang ini serta pengajaran mesti diiktiraf untuk kenaikan pangkat. Hnedaklah dihapuskan peraturan-peraturan yang mengongkong seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan Akujanji. Seterusnya hendaklah dipilih pegawai-pegawai universiti, terutama Naib-Canselor yang mempunyai kredibiliti. Akhirnya, hendaklah diberi serta dijamin autonomi universiti.

Di universiti agak sulit bagi setiap pelajar dan pensyarah mengambil peluang untuk menyerlahkan potensi dan bakat masing-masing apabila pelajar dan pensyarah dibelenggu oleh AUKU dan Akujanji. Apabila pelajar-pelajar kita berdemonstrasi secara aman terhadap isu-isu penting yang melibatkan hak serta kepentingan rakyat dan masyarakat pelajar, mereka ditangkap dan dilayan seperti penjenayah. Selain itu Akujanji mengongkong kebebasan akademik para pensyarah dan menjejaskan autonomi universiti. Ia tidak selari dengan matlamat untuk memastikan pembangunan modal insan yang menyeluruh.

Keenam, perlu pastikan berlaku proses pendemokrasian dalam bidang pendidikan di semua peringkat. Ini bererti sepatutnya diberi peluang lebih luas terutama kepada lebih ramai lagi penuntut yang kurang berkemampuan atau yang datang dari kawasan mundur untuk mendapat peluang serta kemudahan pendidikan yang baik mutunya. Selain itu pintu universiti seharusnya terbuka dengan lebih luas lagi kepada semua, dengan tidak mengira perbezaan kaum, gender dan taraf sosio-ekonomi. Seterusnya, seboleh-bolehnya mereka yang layak hendaklah diberi peluang untuk mengikuti kursus yang mereka minati, dengan syarat mempunyai kelayakan yang sesuai.

Sekarang saya ingin mengemukakan pandangan yang umum tentang keadaan sistem pendidikan sekarang. Saya merasakan seolah-olah pendidikan di Malaysia sudah kehilangan “roh”nya dan oleh itu kita mengeluarkan generasi baru tanpa “roh” . Yang saya maksudkan dengan roh ini ialah semangat, nilai dan ide yang membentuk teras bagi seseorang individu yang menentukan perlakuannya. Apa yang dikatakan roh ini adalah penting bagi pembentukan bangsa.

Bayangkan sebuah bangsa terdiri dari individu-individu bersemangat, yang mempunyai nilai serta peribadi berasaskan moral tinggi, yang penuh dengan ilmu dan ide, dan yang disatukan oleh warisan, matlamat serta rasa kekitaan bersama. Sudah tentulah bangsa itu akan berkeyakinan dan boleh berdiri gagah menghadapi dan mengatasi walau apapun yang melanda.

Bagaimanakah kita hendak mengembalikan rohnya ke dalam sistem pendidikan dan dari situ ke generasi akan datang? Saya rasa ini bergantung antara lain kepada senarai bacaan yang lengkap serta kukuh bagi tiap-tiap tahun persekolahan – dari peringkat rendah hingga menengah, untuk subjek-subjek penting seperti bahasa, sastera, sejarah, sains dan teknologi.

Buku-buku ini hendaklah yang boleh membina minda, memperkasa hati-sanubari dan memupuk semangat. Antaranya buku-buku mengenai tokoh tokoh besar yang memberikan inspirasi dan membantu membina perwatakan, buku-buku yang menceritakan perjuangan serta pergerakan manusia/rakyat dan yang mengingatkan betapa pentingnya berjuang untuk kepercayaan kita. Setiap kejayaan yang dicapai manusia mempunyai cerita yang menarik dan boleh mengilhamkan.

Senarai bacaan di sekolah harus terbuka dan meliputi, bersumberkan seluruh dunia, pelbagai pandangan hidup dan juga kepercayaan serta agama. Kesemuanya harus terletak di atas kepentingan-kepentingan yang sempit.
Secara khusus untuk proses membina bangsa, dalam persimpangan sejarah kita yang penting kini, perlulah kita menggalakkan anak-anak kita mengenali tokoh-tokoh dan pejuang-pejuang dari pelbagai aliran serta latar belakang, yang berusaha dan menyumbang untuk pembentukan kejayan negara ini. Kita perlu galakkan juga membaca dan mengetahui tentang tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang – sukan, seni, sastera, ilmu pengetahuan, sains, politik dan sebagainya, yang telah berjaya dalam bidang masing-masing.

Galakkanlah mereka membaca dan dididik tentang semua pejuang dari pelbagai kaum dan latar belakang politik supaya mengenal latar belakang mereka dan apakah sumbangan mereka. Galakkan mereka membaca tentang individu-individu yang telah berjaya dengan cemerlang dalam bidang masisng-masing supaya boleh menjadi ilham dan contoh.
Galakkan mereka membaca dan mengenali tentang berbagai-bagai peradaban dan budaya yang mempengaruhi dan memperkayakan corak bangsa kita kini. Bahkan galakkan juga mereka untuk membaca tentang sejarah dan ajaran agama-agama besar yang mempengaruhi kehidupan kita. Dengan demikian anak-anak kita akan berasa bangga terhadap warisan bangsa. Mereka boleh juga memilih tokoh yang mereka sukai dan yang boleh menjadi “role model” mereka. Semua ini boleh memandu jalan penghidupan mereka dan membantu mereka dalam keadaan yang mencabar.

Kita sangat kekurangan buku-buku yang menceritakan tentang negara dan masyarakat kita dan boleh menimbulkan rasa hormat terhadap warga-warga istimewa dalam negara dan masyarakat kita. Di sesetengah Negara yang maju, terdapat banyak buku yang ditulis dengan baik dan dihiasi gambar-gambar menarik untuk menyampaikan ilmu dengan cara memikat. Buku-buku seperti ini boleh memulakan perjalanan anak-anak mereka untuk mengetahui dan mencintai negara mereka. Rakyat dan kerajaan kita perlulah merancang dan menghasilkan buku-buku seumpama itu, yang boleh memberikan ilham, semangat dan bahkan roh yang membina bagi anak-anak kita supaya menjadi manusia berguna dalam sebuah negara-bangsa yang bersatu-padu dan beretika. Banyak lagi yang boleh diperkatakan untuk memperbaiki sistem pendidikan kita. Akan tetapi, rasanya sudah memadailah setakat ini buat masa sekarang.

MELINDUNGI ALAM SEKITAR

Berpindah kepada soal Alam Sekitar, saya ingin tekankan bahawa perkara ini semakin penting dan mencabar bukan saja bagi manusia masa kini bahkan lebih-lebih lagi bagi generasi akan datang. Oleh itu, saya merasa gembira kerana semakin ramai anak-anak muda yang bertambah prihatin terhadap masalah alam sekitar.
Pada masa ini banyak orang memperkatakan tentang hutan musnah oleh kerana kerja-kerja pembalakan dan juga pembangunan yang tidak terancang, bahkan kadang-kadang liar. Begitu juga mereka merasa bimbang kerana begitu banyak sekali bukit dan gunung ditarah untuk membina rumah, hotel dan juga pusat judi. Selain itu bilangan kenderaan bertambah dengan banyak, menyebabkan kesesakan lalu-lintas. Begitu juga kilang-kilang yang dibina banyak yang mengeluarkan asap kotor.

Aktiviti pembalakan dan pembinaan memberikan kekayaan kepada sebilangan kecil manusia yang rakus. Pada masa sama ia mengakibatkan kemusnahan dan pencemaran alam sekitar; sungai semakin kotor dan banjir bertambah kerap. Penambahan kenderaan dan kilang yang tidak terkawal mengakibatkan pencemaran udara dan kebisingan yang boleh menjejas kesihatan. Ini ditambah burukkan lagi pula oleh masalah jerebu yang sekarang ini melanda berulang-ulang setiap tahun, akibat antara lainnya oleh pembakaran terbuka.

Akibat-akibat dari segala pemusnahan dan pencemaran ini bukan hanya ke atas jangka pendek masa kini dan generasi sekarang saja. Bahkan segalanya boleh mengakibatkan masalah jangka panjang yang besar ke atas generasi anak cucu cicit kita akan datang. Sebabnya, pemusnahan dan pencemaran yang diakibatkan oleh tindakan-tindakan mansusia yang tidak prihatin dan tanpa tanggungjawab itu menimbulkan dua krisis yang serius ke atas alam dan manusia.
Krisis pertama ialah apa yang digelar sebagai Kepupusan ke-6 (6th extinction). Dunia sudah begitu banyak dan semakin kehilangan alam semulajadi atau sistem ekologi. Ini menyebabkan pelbagai haiwan dan tumbuhan pupus dan dijangkakan semakin banyak lagi akan pupus. Dalam sejarah manusia terdapat lima kepupusan besar (mass extinction). Kesemua lima kepupusan disebabkan oleh perubahan iklim melampau dari berbagai-bagai punca yang merosakkan alam sekitar. Selain itu, yang ke-5 dipercayai berlaku juga akibat pelanggaran asteroid dengan bumi. Pemusnahan kelima ini telah mengakibatkan semua dinosaur daratan pupus kira-kira 65 juta tahun dahulu.

Kemusnahan ke-6 dijangka akan berlaku. Ini disebabkan kemusnahan alam sekitar oleh manusia berpunca dari penebangan hutan yang melampau, kemusnahan kawasan paya (wetlands), termasuk hutan bakau, kawasan laut - terutama batu karang, dan kawasan sistem ekologi lain yang kebanyakannya amat kaya dengan kepelbagaian ekologi. Kita di Malaysia meyumbang juga kepada kemusnahan ini. Di negara kita meluas berlaku penebangan hutan secara tidak terkawal untuk mengeluarkan balak. Kita juga memotong dan menarah bukit-bukau untuk membina projek perumahan, hotel-hotel dan pusat judi.
Krisis kedua ialah Pemanasan Global, yang dikenali juga sebagai Perubahan Iklim. Ini disebabkan peningkatan “gas rumah hijau”, yang terhasil (emitted), terutama sekali karbon dioksida (CO2) dan metana (CH4) yang keluar daripada pelbagai sumber seperti kereta, kilang, bahkan juga dari kawasan padi. serta perut sesetengah haiwan. Gas-gas ini menaikkkan suhu dunia yang menyebabkan perubahan iklim. Sejak permulaan zaman perindustrian, yang mengeluarkan banyak gas CO2 ke udara, suhu meningkat 0.75 darjah Centigrad.

Perubahan 0.75 darjah ini sudah cukup untuk merubah iklim dunia dengan ketara sekali. Dunia sedang cuba untuk membataskan kenaikan suhu tidak melebihi dua darjah. Akan tetapi ramai saintis bimbang suhu mungkin naik sehingga 4 darjah Centigrad. Seorang saintis terkemuka, James Lovelock, percaya Pemanasan Global boleh menyebabkan sampai lima billion manusia maut, dan ini merupakan 90% penduduk dunia. Ini jika konsentrasi CO2 naik lebih dari dua kali ganda konsentrasi sekarang, iaitu 385 bahagian per sejuta (ppm - parts per million). Dunia cuba menghadkannya kepada 450 PPM supaya suhu tidak naik melebihi dua darjah Centigrad.

Mengikut kajian Jabatan Metereologi Malaysia, dalam tahun 2100 suhu purata dijangka naik antara 1 darjah sehingga 3.5 darjah Centigrad. Hujan purata setahun dijangka bertambah akan tetapi kemarau dijangka bertambah juga. Hujan lebat akan turun pada satu jangka masa dan pada jangka masa yang lain kemarau pula akan berlaku. Jadi mungkin timbul dua masalah sekaligus: lebih banjir dan lebih kemarau daripada sekarang. Selain itu, paras laut dijangka naik dan menenggelamkan kawasan rendah. Pertanian, perikanan, ekosistem hutan serta laut akan terjejas.

Selain itu kehidupan manusia juga akan terancam. Dalam jangka panjang peningkatan suhu global (dan bukan Malaysia saja) sebanyak 3 darjah Centigrad akan menaikkan paras laut 25 meter. Kenaikan ini boleh menenggelamkan Georgetown, Klang, Johor Bahru dan lain-lain tempat. Sekiranya ini berlaku berapa ramaikah manusia yang perlu dipndahkan atau diselamatkan? Apakah rancangan penempatan semula?
Saya akui semua hal ini bukan akan berlaku tahun depan atau sepuluh tahun lagi. Akan tetapi mungkin dalam tempoh abad kini juga. Saya tidak ingin berbunyi sebagai seorang alarmis. Saya cuma ingin hendak mengingatkan bahawa jika kita peduli kepada nasib anak cucu kita, kita harus mengambil tindakan dari sekarang terhadap semua masalah ini. Kita tidak boleh leka atau memandang ringan semuanya.

Kenaikan kadar suhu sebanyak 3 darjah ini boleh berlaku dengan konsentrasi karbon dioksida pada paras 380 bahagian per sejuta. Paras sekarang adalah 387 ppm. Pemanasan Global yang boleh mengakibatkan Perubahan Iklim melampau akan mempercepatkan kemusnahan ekologi dunia, termasuk di Malaysia. Akan tetapi, tanpa Pemanasan Global pun di Malaysia kita kita perlihat pelbagai aktiviti manusia sudahpun menyebabkan hutan dan sistem ekologi lain musnah dengan banyaknya. Ini mengakibatkan banyak haiwan yang sudah dikategori sebagai spesis terancam (endangered species).
Jika tidak dibendung, ia akan membawa kepada kepupusan. Antara haiwan paling terancam di Malaysia kerana kemusnahan habitat serta pemburuan ialah: beruang (sunbear), hornbill (sejenis enggang), badak Sumatra, gajah Borneo (Borneon pygmy elephant), harimau Malaya, Borneo cloud leopard, beruk Belanda (proboscis monkey) dan orang utan.
Maka amatlah penting bagi Malaysia mengekalkan habitat semula jadi – hutan, kawasan paya serta kawasan batu karang dll. Malaysia mesti juga memainkan peranan untuk mengurangkan pengeluaran CO2. Inisiatif harus diambil utuk mengurangkan kebergantungan kepada minyak petrol dan diesel sementara harganya belum melambung. Kempen meluas dan berkesan harus dijalankan untuk menggalak orang ramai bertukar kepada penggunaan NGV (Natural Gas Vehicle), kerana ia merupakan alternatif lebih bersih, walaupun bakalannya tidak boleh dibaharui Cukai selektif yang lebih membebankan golongan kaya boleh dikenakan kepada kenderaan bermotor besar, misalan 2000 cc ke atas. Cukai terhadap minyak juga boleh dikenakan untuk mengurangkan perjalanan tidak penting.

Selain itu mesti dibatas dan dikawal penebangan hutan dan pencurian balak berikut dari rancangan-rancangan membuka beberapa empangan di Sarawak bagi menjana pengeluar tenaga elektrik. Sektor tenaga negara wajar dibangunkan untuk memastikan bekalan yang konsisten, “cost effective” dan mesra alam. Kerajaan bertanggungjawab memastikan sumber tenaga mesra alam digunakan dengan optimum, dan tidak sewenag-wenangnya membenarkan projek-projek hidroelektrik yang tidak diperlukan.
KESELAMATAN DAN PERTAHANAN
Kita mengetahui bahawa dua institusi yang paling penting bagi menjamin keselamatan dan pertahanan di sesebuah negara ialah polis dan tentera. Kedua-dua institusi ini perlu cekap, berwibawa, bersih, moden dan berkesan. Mereka perlu dihormati dan dipercayai oleh rakyat. Jikalau tidak, pelbagai masalah akan timbul.
Kita ketahui banawa peranan terpenting polis ialah menjaga keselamatan dan mencegah jenayah. Di Negara ini kita lihat pasukan polis terutama sekali sudah banyak kehilangan kewibawaan dan kurang mendapat penghormatan atau kepercayaan dari rakyat.
Ada banyak faktor yang menyebabkannya, antara lain: polis dianggap ramai sebagai merupakan golongan paling korup sekali dalam masyarakat, pimpinan polis sering dipandang tidak lagi profesional oleh kerana sering membenarkan diri menjadi alat kuasa politik pemerintah; pegawai-pegawai polis lebih banyak digunakan untuk mengawal serta menekan perhimpunan aman daripada menumpukan lebih banyak tenaga dan masa memerangi jenayah yang semakin berleluasa.

Kami mengalu-alukan kenaikan gaji polis baru-baru ini, bahkan kami ingin melihat gaji semua kakitangan dalam jawatan beruniform harus sama-sama dinaikkan. Akan tetapi kenaikan gaji saja belum boleh menjamin korupsi akan segera dapat dimansuhkan dalam pasukan polis. Taraf prestasi dan moral, terutama di peringkat rendah, perlu dibaiki. Ada pepatah yang mengatakan, ikan bermuala dan paling teruk busuknya di kepala. Inilah yang berlaku pada pasukan polis. Kepala-kepala besarnyalah yang sering dituduh paling busuk kerana korupsi, bersekongkol dengan penjenayah besar dan menjadikan pasukan polis sebagai alat politik.

Semua tuduhan ini perlu disiasat dengan rapi. Beberapa tahun lalu Kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis. Suruhanjaya ini telah banyak dapat menyelami dan mendedahkan pelbagai aspek dari perjalanan dan pengurusan polis yang tidak memuaskan. Ia telah mengemukakan perbagai perakuan untuk menambaikkan keadaan. Namun banyak yang belum diterima untuk dilaksanakan. Mungkin kerana tidak sesuai dengan pendirian Kerajaan yang boleh dipengaruhi pegawai-pegawai tertinggi polis yang tidak mahu melihat perubahan.
Kami mendesak supaya laporan Suruhanjaya ini segera diimplementasi, terutama tentang penubuhan IPMC. Perlu juga ditegaskan bahwa pengawalan keselamatan bukan menjadi tanggung jawab polis saja. Masyarakat atau komuniti setermpat perlu juga memberikan kerjasama untuk mencegah dan membanteras jenayah terutama sekali. Lebih penting lagi ialah membuat kajian punca-punca jenayah dalam masyarakat serta juga di kalangan sesetagah pegawai polis, dan bertindak tegas terhadapnya. Ini tugas sebuah kerajaan yang telus dan bertanggungjawab.

Berpaling kepada pasukan tentera pula, kami berharap tingkat gaji dan taraf perumahan mereka, terutama yang berpangkat rendah hendalah segera dinaikkan, sekurang-kurangnya setara dengan kenaikan yang diperolehi pasukan polis. Taraf latihan dan peralatan mereka perlu ditingkatkan juga.

Kerajaan telah banyak kali berbelanja berbilion ringgit untuk membeli peralatan-peralatan yang dikatakan canggih untuk memperlengkapkan pasukan tentera. Kapal terbang pejuang dan kereta-kereta kebal telah dibeli. Saya diberitahu beberapa buah kereta perisai yang dibeli dari Poland tidak susuai dengan keadaan alam di Negara kita.

Pada tahun 2002, semasa PM sekarang menjadi Menteri Pertahanan, Kerajaan telah mengeluarkan pebelanjaan besar untuk membeli kapal selam Scorpenne dari Perancis dan kapalterbang pejuang Sukoi dari Rusia. Kami tetelah membuat tuduhan tentang ratusan juta wang komisyen, yang sebenarnya wang korupsi, berjumlah kira-kira RM500 juta, berhubung pembelian alat-alat tersebut. Kami dituduh melakukakan fitnah. Sekarang sebuah mahkamah di Perancis sudah memulakan penyiasatan terhadap korupsi yang berlaku berkaitan pembelian kepal selam itu.

Baru-baru ini, di dalam laporan media pada 21 April 2010, Menteri Pertahanan YB Dr Ahmad Zahid memberitahu 20 kontrak dan perjanjian persefahaman berjumlah RM10.4 bilion telah termeterai. Ia membabitkan lima syarikat tempatan dengan enam syarikat antarabangsa, dan ditandatangani semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke 12 di Kuala Lumpur.
Antaranya ialah, pertama, perjanjian untuk membeli Eurocopter EC725 dengan harga RM1.6 bilion bagi Tentera Undara Diraja Malaysia (TUDM, mengganti 12 helikopter Nuri). Adakah sebelum dibeli pesawat-pesawar ini akan dilihat, diperiksa dan diuji? Yang kedua ialah dua Surat Hasrat yang ditandatangani oleh DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) dengan syarikat dari Turki dan Afrika Selatan untuk membeli 257 kereta perisai dengan harga berjumlah RM8 billion. Saya berharap peristiwa kereta perisai dari Poland tidak berulang.

Ada beberapa soalan yang perlu dijawab oleh Kementerian Pertahanan dan juga Kerajaan berkenaan perjanjian dan persefahaman yang baru ini.

Pertama, adakah Malaysia sekarang ini terlibat dengan proses militarisasi dan persaingan alat perang (arms race)? Jikalau ya, dengan siapa dan mengapa? Adakah negara kita sedang diancam oleh serangan dari Negara tetangga atau adakah kemungkinan perang berlaku? Adakah proses militarisasi ini akan menjamin keselamatan di rantau ini.

Kedua, apakah langkah-langkah yang akan diambil untuk memastikan tidak berlaku korupsi dan penyelewengan seperti yang didakwa berlaku dalam kes pembelian Scorpene dan Sukhoi? Perjanjian dan Surat Hasrat ditandatangani oleh syarikat-syarikat tempatan. Siapakah pemilik atau pemegang saham terbesar dalam syarikat-syarikat tersebut? Mungkinkah amalan budaya “rent seeking” akan dilkukan oleh mereka bagi pihak ahli politik, pegawai dan menteri yang mempunyai kepentingan?
Ketiga, nampaknya tambahan perbelanjaan bagi membeli alat-alat perang yang akan dipikul oleh Kerajaan begitu besar sekali. Bolehkah diterangkan secara terperinci penambahan perbelanjaan untuk membeli alat-alat perang ini? Bagaimana jikalau dibandingkan dengan penambahan perbelanjaan untuk sekolah, hospital, rumah-murah, pengangkutan awam yang boleh membantu rakyat?

Sehubungan ini saya ingin menyentuh secara sambil lalu saja tentang ura-ura hendak membina industri “aerospace” di Negara ini. Apakah tujuannya? Apakah urgensinya? Tidakkah lebih baik perbelanjaan untuknya, yang mungkin akhirnya membazir saja, digunakan untuk meningkatkan kemudahan serta kebajikan rakyat?
Akhir sekali saya ingin menyebut dua perkara yang berlaku baru-baru ini, yang melibatkan tindakan-tindakan Perdana Menteri dan Kementeri Pertahanan.
Pertama, Perdana Menteri semasa menemui Presiden Obama baru-baru ini telah melutut kepada dasar-dasar imperialisme Amerika Syarikat. PM Najib menyokong tanpa syarat pendirian AS terhadap Iran tanpa membantah Israel. Hal ini telah saya huraikan lebih awal. Yang bahaya sekali ialah janji PM Najib untuk menghantar pasukan peninjau dengan tujuan memberikan bantuan kepada Afghanistan untuk membina kapasiti polis tentera dan perkhidmatan awamnya.

Saya melihat bukan saja ini mengkompronikan dasar bebas dan berkecuali yang lama kita anuti, bahkan akan membuka pintu kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab dari luar untuk mengancam keselamatan negara dan rakyat kita.
Kedua, tahun lalu tentera Zionis Israel telah menyerang dengan bomb dan peluru paling bahaya secara tersangat zalim ke atas Gaza. Mereka membunuh beratus-ratus orang, kebanyakannya kanak-kanak, wanita dan orang tua yang tidak berdosa, Mereka juga telah memusnahkan tempat kediaman dan tempat pekerjaan rakyat Palestin.Tidak lama selepas peristiwa kejam ini Menteri Pertahanan Malaysia menemui Menteri Pertahanan Israel, Barak, di Paris. Barak bertanggungjawab ke atas semua pembunuhan dan pemusnahan yang berlaku.

Saya diberitahu bahawa ramai pejuang pembebasan Palestin merasa kecewa bahkan marah terhadap pertemuan itu. Saya mendapat maklumat bahawa untuk mengendurkan keadaan, Menteri Zahid telah menemui pemimpin sebuah gerakan radikal Palestin. Beliau dikatakan menwar bantuan senjata kepada gerakan itu. Saya mendapat maklumat juga bahawa bantuan itu akan hanya diberi jikalau gerakan tersebut menasihat dan menggesa PAS supaya bekerjasama rapat dengan Umno. Pada waktu itu memanglah berita tentang kerjasama antara kedua-dua parti itu sangat hangat.

Maklumat ini sangat serius. Oleh itu saya meminta supaya YB Menteri Pertahanan Dr Zahid Hamidi menjelaskan sendiri tentang perkara ini.
Dewan Negara
26 April 2010

No comments:

Post a Comment